Halaman

24 March 2012

HUTeC perkasa pendidikan Hulu Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Terengganu menggerakkan usaha terancang melalui Projek Hulu Terengganu Cemerlang 2012 (HUTeC-2012) bagi memperkasakan pendidikan daerah pedalaman ini seiring dengan perkembangan arus perdana.

Penyelaras projek, Mohd. Yuseri Che Din memberitahu, HUTeC yang melibatkan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak bakal dilancarkan esok dan menyasarkan kecemerlangan kokurikulum dan sahsiah diri merangkumi semua aspek jasmani dan rohani.

"HUTeC-2012 merupakan lontaran idea Pegawai Pelajaran Daerah, Shafruddin Ali Husin yang cuba menggerakkan arus perubahan dengan lebih berkesan ke arah mencetuskan tradisi kecemerlangan dalam pendidikan di daerah ini," katanya semalam.

Katanya, projek itu turut berlandaskan 26 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) merangkumi pembentukan sahsiah para guru dan pelajar, kecemerlangan dalam bidang koakademik, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) melalui Bai'ah sekolah menengah dan rendah di samping program Literasi dan Numerasi (LINUS).

Selain itu katanya, ia juga melibatkan penggunaan ICT secara menyeluruh, penghayatan dalam bidang keagamaan, penyelenggaraan projek pembangunan secara pintar dan peningkatan profesionalisme warga pendidik.

"Harapan itu tidak mustahil dicapai sekiranya mendapat sokongan seluruh warga pendidik dan pelajar bersama penyertaan menyeluruh pihak lain termasuk ibu bapa, agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan," ujarnya.

Katanya, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB. Mohd. Nor Othman akan menyempurnakan pelancaran projek selain turut memberikan peruntukan khas bagi menguruskan HUTeC-2012 dengan harapan ia menjadi nadi kebangkitan Hulu Terengganu dalam pelbagai bidang.


Sultan Mizan rasmi Masjid Al-Firdaus Kampung Alor Lik

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Masjid Kampung Alor Lik di Setiu dan masjid itu kemudian secara rasmi diberi nama Masjid Al-Firdaus.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Seri Temenggung, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Sultan Mahmud dan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris.

Baginda kemudian turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan sebelum menghadiri majlis santapan diraja yang turut dihadiri para jemaah dan penduduk sekitar.

Sultan Mizan dalam titah ucapan sebelum itu menyeru umat Islam agar mengamalkan hidup bersaudara sebagaimana dituntut agama.

Sehubungan itu, titah baginda jawatankuasa masjid seluruh negeri perlu memainkan perananan dalam memperkukuhkan persaudaraan di kalangan umat Islam.

"Masjid hendaklah dijadikan sebagai tempat masyarakat memupuk persaudaraan dan mendalami ilmu agama," titah baginda pada majlis itu semalam.

Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan tauliah kepada pendaftar, jurunikah serta imam masjid mukim bagi Daerah Setiu.

Masjid Al-Firdaus mula dibina pada 2008 dan mula diguna pakai pada 2010 menelan kos RM1.8 juta dan ia mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.


Polis Besut anjur majlis tahlil di Masjid Kampung Air Tawar


ADUN Kota Putera Muhammad Pehimi Yusof sedang berucap

Oleh: Mohammad Ishak


Sambutan Hari Polis Ke 205 peringkat daerah Besut tahun ini dimulakan dengan majlis tahlil dan doa selamat yang berlangsung di Masjid Kampung Air Tawar, Kampung Raja,malam tadi.

Majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof,Ketua Polis Daerah Besut, Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria serta pegawai kanan pasukan berkenaan.

Selain itu,program itu juga turut dimeriahkahkan dengan kehadiran penduduk tempatan serta anggota polis daerah itu.

Muhammad Pehimi ketika berucap selepas majlis itu gembira dengan sokongan masyarakat terhadap setiap program yang diadakan oleh pihak polis.

Katanya, sesuai dengan tema hari polis tahun ini “Komuniti Sejahtera” pemilihan masjid sebagai pusat aktiviti membabitkan polis dan masyarakat ia diharap dapat menjalin kerjasama erat antara kedua belah pihak.

“Usaha ini juga dapat menjalin semangat persefahaman dan kerjasama dalam usaha kerajaan merapatkan jentera kerajaan dengan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata pihaknya puas hati dengan kerjasama penduduk daerah itu terhadap pasukan Polis terutama dalam usaha membanteras jenayah.

Katanya, jawatankuasa Masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselatan Kampung (JKKK) daerah Besut menjadi agensi utama membantu setiap program yang diadakan oleh polis di kawasan masing-masing.



Pelaburan besar berhasil

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pelaburan besar kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di bidang pendidikan, menampakkan hasil positif apabila kejayaan negeri ini mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sekaligus mencatatkan nama Terengganu dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Turut dicatat dalam MBOR ialah kejayaan Kerajaan Terengganu melaksanaan Program e-Book di mana kemudahan berkenaan diagih secara percuma kepada semua murid Tahun Empat hingga Tahun Enam mulai 2009, membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Dua berita itu yang amat menggembirakan seluruh warga pendidikan dan rakyat negeri ini, disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Menteri Pelajaran, pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan Guru-Guru di Stadium Negeri, baru-baru ini.

Sewaktu mengulas kejayaan itu, Menteri Besar berkata, pengiktirafan tersebut menguatkan semangat beliau dan saf kepimpinan negeri serta warga pendidik untuk terus mengekalkan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu.

“Semua kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil usaha semua pihak terutama pelajar, ibu bapa dan guru-guru.

“Pada masa akan datang, kerajaan negeri akan berusaha meningkatkan lagi penggunaan Kelas Maya di semua sekolah seluruh negeri ini supaya turut diiktiraf dalam MBOR ,” katanya.

Kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad sentiasa meletakkan keutamaan tertinggi kepada sektor pendidikan. Buktinya, bagi Bajet 2012, sejumlah RM60.3 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program dalam sektor tersebut.

Kejayaan besar yang diraih negeri ini di bidang pendidikan dengan mengungguli keputusan semua peperiksaan utama baik di peringkat sekolah rendah, mahu pun sekolah menengah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan banyak negeri lain menjadi cemburu.

Justeru itu, pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran dari beberapa negeri lain dihantar ke Terengganu untuk ‘berguru’ dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, khusus bagi membolehkan mereka turut meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di negeri masing-masing.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencapai kejayaan tersebut dan kejayaan demi kejayaan yang dicapai Negeri Terengganu bukannya datang secara bergolek.

Mengambil iktibar pepatah lama yang menyebut ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, kerajaan negeri menyediakan kemudahan pembelajaran dan mendidik anak-anak tempatan, sejak dari peringkat pra-sekolah lagi.

Seawal pemerintahannya, Menteri Besar memperkenalkan Program Terengganu Briliant Kids (TB-Kids) yang kini diperluaskan di hampir semua tabika di negeri ini di mana ia memberi manfaat kepada kanak-kanak, terutama mereka yang tidak mampu menumpukan perhatian dalam tempoh yang lama terhadap buku mata pelajaran.


Pembelajaran menggunakan kecanggihan bidang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) itu mampu menggandakan daya ingatan kanak-kanak berbanding menghafal dan membaca buku.

Program tersebut yang mempunyai enam subjek iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Moral dan Jawi turut mendapat pujian para pendidik di dalam dan luar negara.

Hasil kerajaan negeri meperkenalkan Program Pintar al-Quran dan Kelas Fardu Ain (Kafa), hampir 30,000 kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun, berjaya khatam al-Quran pada tahun lalu.

Dijangka lebih 30,000 kanak-kanak dalam lingkungan usia sama yang sedang mengikuti kelas tadika Yayasan Islam Terengganu, Kemas, pra-sekolah Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Perpaduan, mengikut jejak langkah rakan-rakan mereka pada tahun ini.

Sejak program e-Book diperkenalkan, 92,788 murid telah menerima kemudahan tersebut dan pada masa yang sama tiga sekolah rendah – SK Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Telok Kalong – dipilih menyertai Kelas Maya (Virtual Class).

Sesungguhnya, Terengganu sentiasa dahagakan kejayaan dan lebih banyak lagi kejayaan di bidang pelajaran dan bidang-bidang lain bakal dicipta di masa depan jika kesinambungan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dikekalkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.




Remaja, belia perlu sokong BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Setiap tahun peruntukan yang besar disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk golongan remaja, termasuk bagi membiayai program dan pelbagai kemudahan asas, bagi membolehkan mereka beriadah dan melakukan kegiatan berfaedah.

Tidak kurang daripada RM30 juta disediakan kerajaan negeri pada setiap tahun kepada golongan belia bagi tujuan berkenaan.

Bantuan kewangan disalurkan kerajaan negeri kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang melibatkan golongan belia dan remaja, seperti Persatuan Belia 4B, MAYC dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Peruntukan yang besar juga disediakan kerajaan kepada belia berusia antara 18 hingga 40 tahun pada setiap tahun untuk membiayai Dana Remaja di mana mereka yang belum berkahwin menerima RM200 seorang.

Kira-kira 85,000 belia di seluruh Terengganu dijangka menerima Dana Remaja pada awal bulan depan melibatkan peruntukan RM17 juta.

Tahun lalu, seramai 83,197 belia diberi bantuan tersebut dengan peruntukan RM16.6 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sering mengingatkan golongan belia agar ‘meminta kepada yang kasih dan bermanja pada yang sayang’.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan belia dan remaja supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka.

Dalam hal ini, adalah tidak wajar jika golongan belia ‘mengigit’ tangan yang memberi mereka makan.

Mereka tidak wajar tepengaruh dengan hasutan pembangkang agar membenci Kerajaan BN, sebaliknya menyokong kerajaan pada setiap masa bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.



Mulut pemimpin Pas kini ‘dikunci’

INIKAH PERJUANGAN PAS!!!...gabungan pembangkang Pas sudah hilang bisa apabila pemimpin parti itu tidak lagi memainkan peranan yang tegas dalam memperjuangkan dasar menegakkan agama Islam.

Oleh: Wartawan Teganukita

Mulut pemimpin Pas kini ‘dikunci’ setelah parti itu menyertai gabungan parti pembangkang yang turut melibatkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Disebabkan pergabungan itu, pemimpin Pas, termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, sendiri tidak mampu menegur atau mengulas sesuatu isu yang melibatkan pemimpin DAP dan PKR, walaupun mereka sedar kenyataan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.

Timbalan Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan Badan Perhubungan Umno Negeri, Ustaz Muhammad Ramli Nuh, berkata Pas boleh menjadi parti yang lebih hebat dalam memperjuangkan pendiriannya jika tidak bergabung dengan DAP dan PKR.

Bagaimanpun, sejak menyertai gabungan pembangkang Pas sudah hilang bisa apabila pemimpin parti itu tidak lagi memainkan peranan yang tegas dalam memperjuangkan dasar menegakkan agama Islam.

Beliau berkata, keadaan itu boleh dilihat dengan jelas berhubung isu Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan kontroversi apabila menyokong keselamatan Israel.

Ustaz Muhammad Ramli berkata, jika Pas bergerak secara bersendirian seperti sebelum ini, sudah pasti pemimpinnya, terutama Abdul Hadi akan mengkritik secara habis-habisan berhubung soal itu kerana ia ternyata bercanggah dengan kehendak Islam.

“Bagaimanapun, disebabkan bergabung dengan DAP dan PKR mereka (pemimpin Pas) tidak mampu mengeluarkan kenyatan yang menghentam Anwar,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Pas bergabung dengan DAP dan PKR adalah kesilapan besar yang dilakukan parti itu dan menyebabkan semakin ramai penyokongnya kini menjauhkan diri daripada Pas.

“Dalam hal ini, rakyat perlu menilai keikhlasan dan hala tuju Pas yang semakin jauh terpesong dari matlamat asal penubuhan parti itu.

“Jika ada lagi yang menyokong Pas, saya harap mereka kembali ke pangkal jalan dan usah lagi menyokong parti itu yang sudah tersasar daripada matlamat memperjuangan agama Islam,” katanya.



MPPP agih bantuan peladang

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Terengganu memperuntukan RM100,000 bagi melaksanakan dua projek kecil pertanian dan ladang pertanian disetiap parlimen.

Urusetia MPPP negeri, Encik Mohd Zulkifli Junid berkata, peserta yang terpilih akan menerima bantuan berupa bahan dan peralatan mengikut projek yang dipilih dan bukan dalam bentuk kewangan.

“Mereka yang terpilih menerima bantuan merupakan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di samping mempunyai pengalaman luas dalam bidang yang diceburi serta sudah lama mengusahakan projek pertanian ,” katanya di majlis penyampaian peruntukan MPPP di Balai Bestari Batu Rakit baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan seramai 95 peladang di bawah pengurusan PPK Maras/Batu Rakit menerima bantuan pertanian termasuklah menjalankan projek nanas (50 orang), projek tembikai (30 orang) manakala 10 orang menerima anak kelapa sawit serta lima lagi menjalankan projek fertigasi melon.

“Semua peserta yang terpilih diminta tidak mensia-siakan bantuan yang diberi kerajaan serta bersungguh-sungguh menjalankan projek agar mendapat pulangan lumayan,” katanya.

Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee telah menyampaikan bantuan berkenaan kepada semua peladang terbabit.




Keputusan Shahrizat kekal pimpin Wanita perkukuhkan jentera parti




Laporan dan gambar dari PWTC
Oleh: Mohammad Ishak


Kecelaruan ahli Pergerakan Wanita Umno sejak kebelakangan ini terhadap siapa bakal memimpin sayap kanan pari itu akhirnya terjawab apabila ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kekal menerajui perti itu.

Kehadiran lebih 8,000 ahli pergerakan Wanita Umno dari seluruh negara di PWTC Kuala Lumpur semalam membuktikan kesetiaan wanita terhadap pemimpin mereka dan ini terbukti dengan laungan bersemangat ahli yang hadir untuk member sokongan kepada Shahrizat.

Dewan perhimpunan di PWTC penuh sesak dengan kehadiran ahli parti sehingga pentas utama yang menempatkan pemimpin Umno turut dijadikan tempat duduk kepada ahli pergerakan itu.

Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menjelaskan kedudukan Ketua Wanita Umno itu selepas berucap pada majlis Perhimpunan Wanita Umno Bersama Presiden Umno mahu jentera wanita diperkukuhkan lagi.

Katanya, Shahrizat yang dipilih oleh 1.3 juta ahli Wanita Umno dari seluruh negara perlu meneruskan memimpin pergerakan itu terutama bagi membantu Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang.

Semangat kerjasama dan sokongan padu seluruh jentera wanita terhadap pemimpin mereka jelas terbukti pada perhimpunan itu apabila mereka berikrar memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Shahrizat.

Shahrizat yang kelihatan terharu ketika mula memasuki dewan menerima tepukan gemuruh dari seluruh ahli pergerakan itu dan dalam nada hiba beliau mengucapkan terima kasih kepada wanita kerana terus memberi sokongan kepadanya.

Setiausaha Pergerakan Wanita Umno Besut,Zainon Latif ketika ditemui pada majlis itu berkata, beliau gembira dan bersyukur kerana jentera wanita kini semakin kukuh dan ahli akan terus bekerja membantu parti.

Katanya, beliau bersama ahli wanita dari Terengganu datang untuk memberi sokongan dan semangat kepada pemimpin wanita supaya mereka dapat meneruskan agenda parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.







23 March 2012

60 kanak-kanak kelas Tabika Perpaduan diraikan

Oleh: Mohammad Ishak




Seramai 60 kanak-kanak dari Kelas Tabika Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PNIN) daerah Besut diraikan di sebuah restoran makanan segera di Bandar Jertih semalam.

Kanak-kanak terbabit mewakili kelas tabika, Bandar Jertih, Alur Lintang dan Kuala Besut, diraikan sebahagian usaha pihak pengurusan kelas berkenan untuk memberi pendedahan kepada suasana luaran daripada tempat belajar.

Pegawai Perpaduan Daerah Besut, Nor Almizan Mahmood berkata, program yang dikendalikan sendiri oleh jawatankuasa kelas terbabit satu usaha baik untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan.

Katanya, jabatan berharap tenaga pengajar di kelas Tabika Perpaduan mampu mencetuskan aktiviti yang boleh menarik minat kanak-kanak supaya dapat membuka minda dengan keadaan sekitar.

Beliau berkata, jabatan tidak menghalang mana-mana guru untuk mengadakan pelbagai aktiviti di luas kelas malah sentiasa memberi sokongan dan galakkan kepada mereka untuk mempelbagaikan aktiviti.

Sementara itu, kanak-kanak yang menghadiri majlis jamuan yang diadakan di sebuah restoran makanan segera di Bandar Jertih kelihatan gembira kerana mereka diraikan secara beramai-ramai di restoran seperti itu.

Selain kanak-kanak dan guru program berkenaan juga turut di hadiri oleh penolong Pegawai Perpaduan Daerah,Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan ahli jawatankuasa penyelaras kelas Tabika berkenaan.


Sokong Pas berdosa

Oleh: Wartawan Teganukita

Seorang tokoh agama yang juga Pengasas Pondok Genting, Tumpat, Abdullah Sa’amah tetap dengan pendirian beliau bahawa menyokong parti Pas melakukan program dan aktivitinya serta mengundi calon-calon Pas pada pilihan raya umum akan datang, adalah berdosa.

Mengikut laporan BULETINS, Abdullah menyatakan pendiriannya untuk berdebat dengan mana-mana individu, termasuk pemimpin Pas sendiri jika mereka tidak setuju dengan pendapat beliau tersebut.

Malah, beliau hairan dengan sikap segelintir masyarakat yang masih belum sedar bahawa parti Pas sekarang ini tidak sama lagi dengan Pas yang dulu selepas ia berpakat dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagi beliau, pemimpin Pas kini tidak lagi bertegas dengan dasarnya untuk menegakkan negara Islam dan atas masalah itulah maka Pas tidak perlu lagi disokong.
“Pas masuk dalam pakatan pembangkang dan bekerjasama dengan DAP yang tidak terima Islam sebagai dasar parti berkenaan.

“Sementara PKR pula memperjuangkan liberalisme dan pluralisme yang menyatakan semua agama, termasuk agama Islam adalah sama, orang Islam dan orang lain sama rata. Perjuangan liberalisme ini haram,” tegas Abdullah.

Beliau berkata, kedudukan hari ini Pas bersengkokol dan redha serta menyokong pula calon-calon DAP dan PKR.

“Pas juga menyokong apabila DAP menang dan jadi pemimpin,” katanya.

Abdullah menjelaskan kerjasama Pas dan DAP berbeza dengan kerjasama Umno dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang telah memperakui kedudukan agama Islam dan umat Islam sejak sekian lama.