Halaman

22 October 2012

Peniaga dipelawa buka gerai di Payang Walk

Oleh; Esah Abdullah

Peniaga atau orang ramai yang berminat ingin membuka gerai jualan dan juga pameran di ‘Payang Walk’ berpeluang berbuat demikian kerana masih ada ruang untuk diisi.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Encik Wan Mohd Sofian Wan Ishak berkata, lebih 50 gerai yang menjual pelbagai produk dan makanan telah beroperasi sejak lebih dua minggu lalu.

“Bagi fasa pertama ini, masih ada kekosongan untuk mereka yang berminat membuka gerai dan juga ruang pameran serta ruangan korporat. Keluasan gerai pameran adalah 10x40 dengan harga RM250 sebulan.

“Beroperasi tiga kali seminggu, iaitu Jumaat hingga Ahad bermula pada jam 6 petang hingga 1 pagi,” katanya.

 Menurutnya, jika fasa pertama mendapat sambutan, akan disusuli fasa kedua pula, malah bukan hanya beroperasi tiga hari seminggu, tetapi tujuh hari seminggu mampu dilaksanakan sekiranya mendapat sambutan dari orang ramai.

Katanya, selain gerai jualan, terdapat juga persembahan dan juga perkhidmatan urutan serta Terengganu River Cruise, (TRC) yang menyediakan perkhidmatan menyusuri sungai Terengganu.

Tambahnya, melalui program TRC itu, PPNT menyediakan dua bot penambang kayu tradisional bagi membawa pelancong menikmati keindahan sungai utama negeri itu.

 “Kita juga menyediakan perkhidmatan beca bagi mereka yang memerlukan, sama ada untuk mengelilingi kawasan Payang Walk, hentian beca di dataran Shahbandar, ke Masjis Puteh atau ke hotel penginapan dengan kadar tambang hanya RM15 sahaja,” katanya.

 

Pegawai tadbir, individu penting dalam perkhidmatan awam

 Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam terutama pegawai tadbir negeri antara individu penting yang perlu bertindak sebagai penghubung antara pentadbiran negeri dengan rakyat.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata perkara yang diamanahkan majikan dan rakyat sewajarnya dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelak cemuhan, pandangan serong dan tohmahan terhadap mutu perkidmatan awam.

“Sekiranya berlaku perkara kurang elok terhadap perkhidmatan awam, secara tidak langsung akan terpalit kepada orang politik dan bukan mudah untuk menjernihkan kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Makan dan Penyampaian Hadiah sempena Program Peningkatan Kerjaya & Sukan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah bersama isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Lebih 800 pegawai tadbir dari empat negeri iaitu Terengganu, Johor, Kedah dan Kelantan berkampung di negeri ini bagi menjayakan program yang berlangsung selama enam hari dan berakhir 22 Oktober itu.

Tetamu istimewa, Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamda turut diundang bagi mengisi slot seminar Pemantapan Profesionalisme, Transformasi, Budaya Kerja & Pemikiran.

 Antara sukan yang dipertandingan, bola sepak, karom, golf, lawan ball, ping pong dan lawatan ke beberapa destinasi menarik di sekitar Kuala Terengganu.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pegawai sewajarnya mencari idea-idea baru yang lebih bernas bagi memenuhi kehendak pelanggan dan orang ramai yang berurusan di jabatan masing-masing.

 

Manis FM salur maklumat kepada rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Radio Manis FM milik kerajaan negeri kini menjadi medium utama bagi penyaluran pelbagai maklumat mengenai dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat Terengganu dan para peminat setia siaran tersebut di Pantai Timur.

Radio berkenaan boleh diikuti melalui frekuensi 102.0 FM di Terengganu, 90.6 FM di Kelantan dan 95.1 FM di Pahang. Selepas mula bersiaran beberapa bulan lalu, kini Manis FM semakin mendapat perhatian pendengar, termasuk di Selatan Thailand.

Selain penyaluran informasi Manis FM bertindak sebagai medium hiburan yang tidak melampau bagi menghiburkan penduduk tempatan dan negeri-negeri berdekatan yang menerima siaran tersebut.

Pada masa ini, selain Terengganu, Manis FM boleh didengar penduduk di Kelantan, Pahang, Johor Timur dan Selatan Thailand.

Seperti siaran radio lain, Manis FM juga kini mempunyai peminat tegarnya sendiri, terutama beberapa program harian yang disiarkan radio itu.

Manis FM diterajui Pengarah Eksekutifnya, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar, Encik Mahari Abdul Rahman.


Majlis Komunikasi Patriotik diteruskan malam esok

Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, akan diteruskan malam esok bagi membolehkan jentera pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir mengikuti sesi penerangan dan cambah minda, sebagai persiapan menghadapai PRU 13.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada petugas dan jentera pilihan raya dari DUN berkenaan, dijangka hadir pada program tersebut.

Sehingga ini lima DUN yang dikuasai parti pembangkang telah mengikuti program tersebut iaitu Ladang, Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Bukit Payong dan Bukit Tunggal.

Jentera pilihan raya dari DUN Rhu Rendang dijadualkan mengikuti program berkenaan pada hari Rabu (24 Oktober) jam 8 malam di tempat yang sama.

Manakala DUN Sura dijangka mengikuti program tersebut selepas sambutan Hari Raya Aidiladha di sebuah hotel di Dungun.


21 October 2012

Media massa diminta tonjol nilai positif dalam berita

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Golongan wartawan di negeri ini diminta supaya mengolah berita-berita semasa dari sudut positif bagi membantu mengembang minda rakyat dan memberikan imej yang baik kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan neger, YB Haji Kazan Che Mat, berkata pihaknya sedar wartawan mempunyai kepakaran untuk mengolah sesebuah berita sama ada dari sudut positif atau negatif.

“Jika wartawan menonjol sesuatu berita itu dari sudut positf, maka hasil berita menjadi positif dan begitulah sebaliknya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Mesra Media Pantai Timur, di Taman Tamadun Islam, malam tadi.

Beliau berkata, wartawan boleh mencorak dan menjurus berita-berita semasa mengikut citarasa mereka, tanpa menjejaskan fakta dan kesahihan berita.

Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik jika wartawan mengolah berita-berita yang dihasilkan supaya ia menampakkan nila-nilai positif bagi kebaikan semua pihak dan tidak disalahertikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

 Haji Kazan juga berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan golongan media dan pada masa yang sama mengharapkan mereka menyiarkan berita-berita positif mengenai kerajaan.

 “Pihak media juga mempunyai tanggungjawab sosial dan tidak hanya mementingkan berita-berita sensasi bagi tujuan komersil,” katanya.

 

Jentera Umno dinasihat usah peteh calon

Oleh: Aida Abd Rahman dan Amirullah Othman

Kemenangan Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong bukan disebabkan parti pembangkang itu kuat, tetapi ia berpunca daripada kelemahan sikap ahli Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri yang mengkhianati parti yang mengakibatkan DUN itu jatuh ke tangan pembangkang.

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Supritendan Ridzuan Abdul Aziz, berkata pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, Pas menang di Dun Bukit Payong dengan hanya majoriti kecil membuktikan wujudnya unsur pengkhianatan di kalangan ahli Umno yang sanggup mensabotaj parti disebabkan mereka tidak suka kepada calon yang dikemukakan oleh parti.

“Sepatutnya, perkara sebegini tidak timbul jika rasa cinta yang kuat kepada parti dan terus berjuang tanpa mengira siapa calon mewakili Barisan Nasional kerana natijahnya sangat buruk jika kemenangan memihak kepada pembangkang.

“Oleh itu, saya menasihatkan kepada semua pengundi buatlah yang terbaik untuk generasi yang akan datang sebagai kesinambungan supaya mereka dapat menikmati apa yang kita kecapi hari ini,” katanya di majlis Komunikasi Patriotik anjuran unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan DUN, Encik Zaidi Muda dan Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong.

Seramai 200 orang jentera parti daripada 23 cawangan dalam Dun Bukit Payong hadir di program itu.

Superitendan Ridzuan berkata, pihaknya sentiasa memantau setiap pergerakan jentera parti dalam usaha memastikan tiada anasir tidak sihat berlaku khususnya ketika penamaan calon, kempen dan juga proses pilihan raya.

Katanya, sebarang bentuk provokasi dan salah laku yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah akan mengakibatkan sesiapa sahaja berdepan dengan tindakan mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati jentera parti di seluruh Terengganu menunjukkan kerjasama yang sangat baik termasuk Dun Bukit Payong khususnya di kalangan jentera Wanita.


PPAT anjur Pameran Fotografi

Oleh: Suriati Ali 

 Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan menganjurkan Pameran Fotografi sempena 50 tahun Program Peace Corp bertempat di lobi perpustakaan itu, pada 23 Oktober ini.

Pengarah PPAT Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program yang akan dirasmikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said diadakan dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat.

Katanya, gambar-gambar yang akan dipamer bertemakan `An Enduring Bond 50th Anniversary of the Peace Corp in Malaysia: A Photo Exhibition.

“Sebahagian gambar turut menceritakan mengenai sukaralewan Amerika yang datang ke Malaysia untuk bekerja dengan rakan Malaysia dalam bidang pertanian, pendidikan dan teknologi sekitar 1960 an sehingga 1980 an.

“Pada masa sama, kita turut mengadakan pameran berkaitan program English Teaching Assistants (ETA) yang kini hampir tujuh tahun dilaksanakan Terengganu sebelum dipraktikkan negeri lain iaitu Johor dan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pameran seumpama itu cukup bermanfaat kepada masyarakat terutama kepada peminat fotografi.

“Ia bukan saja dapat mengetahui teknik dan pentingnya dunia foto dalam kehidupan harian malah membuktikan kepercayaan negara luar kepada Terengganu khas PPAT untuk menganjurkan program seumpama ini.

“Pihak kami berharap orang ramai mengambil kesempatan untuk bersama-sama hadir pada program yang pertama kali dianjurkan ini.

 

Terengganu muncul juara Karnival Sukan Media-Petronas Pantai Timur 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) selaku tuan rumah Karnival Sukan Media-Petronas Pantai Timur 2012 muncul juara keseluruhan dalam kejohanan sehari yang berlangsung di gelangang sukan Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, semalam.

Hadiah kemenangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mamat di majlis penutup karnival itu, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, Dato' Wan Hisham Wan Salleh;  Pengurus Besar Petronas Wilayah timur, Encik Wan Mohd Hasnan Abdullah, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat; Presiden Kelab Wartawan Pahang, Nik Naizi Husin dan Presiden Kelab Wartawan Kelantan, Anwar Hussin.

Seramai 200 atlet di kalangan pengamal media dari Terengganu, Pahang dan Kelantan serta Petronas berkampung di Kuala Terengganu bagi menjayakan karnival sulung itu.

Daripada empat acara yang melibatkan sembilan kategori yang dipertandingkan, Terengganu mengumpul 830 mata selepas membaham enam emas, empat perak dan satu gangsa.

Naib johan milik pasukan Pahang dengan 470 mata terkumpul, diikuti ketiga, Kelantan (260 mata) dan keempat pasukan Petronas (60 mata).

Emas pertama tuan rumah diperolehi menerusi boling individu yang dimenangi Abd Rahim Daud dari Unit Komunikasi Negeri, diikuti perseorangan ping pong (Jefri Mamat-RTM), ping pong berpasukan, badminton beregu campuran (Rosamiza Omar dan Noor Shamsiah dari Bernama), badminton beregu lelaki (Aziz Abdullah dan Nik Mohd Hazuwal Nik lah) serta badminton berpasukan.

Manakala pingat perak menerusi boling berpasukan, ping ping beregu lelaki (Rizallimi dan Yusof Sabri), ping pong berpasukan, badminton beregu campuran (Arjasneh Ahmad dari Bernama dan Lew I-Ling dari Sin Chew Jit Poh) serta badminton beregu lelaki (Aswadi Alias dan Mazlan Abd Ghani dari NSTP).

Sementara satu-satunya gangsa diperolehi menerusi acara futsal yang berlangsung di gelanggang Futsal Uptown, Jalan kamaruddin.

 

Peserta Thai ungguli Sultan Mizan Cup 2012

Peserta Thailand, Wipawan Pawitayalarp, muncul johan Sultan Mizan Cup 2012, yang berakhir awal pagi tadi.



Penunggang tersebut yang mencatatkan masa purata kelajuan 18.872 kilometer sejam meraih hadiah wang tunai US10,000 dan jam tangan bernilai RM25,000 serta piala dan sijil.



Penunggang tempatan, Mohamad Fuad Hashim muncul sebagai naib johan dan memenangi wang tunai US7,000 serta piala dan sijil manakala pemenang tempat ketiga, Mohd Bulkhari Rozali menerima wang tunai US5,000 serta piala dan sijil.



Seramai 52 peserta menyertai acara tersebut yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu.

Selain peserta tempatan, kejohanan itu juga turut disertai penunggang dari beberapa negara luar, termasuk Thailand, Indonesia dan Myanmar. Sultan Terengganu,

Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenaan berangkat ke majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, pagi ini. Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Exco-Exco dan ketua-ketua jabatan.















Seminar Belia Daerah Marang

Oleh: Amirullah Othman 

Seramai 100 pimpinan belia daerah Marang menyertai seminar anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) hari ini di Marang Village Resort & Spa, Kelulut, Marang.

Program tersebut dirasmikan Penolong Pengarah APMT, Encik A.Latif Awang. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan pemimpin belia supaya berfikir banyak kali dalam melakukan sebarang tindakan dan tidak mengikut emosi.

Beliau bimbang golongan belia akan dipergunakan oleh pihak lain yang ingin menangguk di air yang keruh jika mereka bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan baik buruk sesuatu perkara.

Antara Tajuk modul yang dijalankan ialah “Malaysia Sebuah Negara Islam” dan “Perjuangan Belum Selesai”.

Ternyata modul dan gaya penyampaian moderator dari Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) amat menyentuh perasaan sehinggakan ada antara peserta mengalirkan air mata tanpa sedar akibat rasa sedih agama Islam diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pembangkang dari hari ke hari.

Program seumpama ini amat baik dan wajar diteruskan supaya pemimpin-pemimpin muda ini ada kesedaran tentang pentingnya menjaga tatasusila dan jangan terjebak dengan dakyah pembangkang yang hanya ingin memecahkan umat Islam sahaja.