Halaman

25 October 2012

T-Team melangkah ke fasa baru tahun depan

Menteri Besar ditemani SUK Terengganu menjawab pertanyaan wartawan pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman.
Oleh; Esah Abdullah

Pasukan T-Team akan melangkah ke fasa baru apabila bakal diuruskan secara profesional oleh seorang pengurus merangkap jurulatih yang didatangkan khas dari luar negara tahun depan.

 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, langkah ini diambil untuk memberi keberkesanan terhadap corak permainan yang diuruskan oleh orang yang sama iaitu pengurus merangkap jurulatih malah bersama bermain di padang.

 “Setakat ini kita telah mengenalpasti beberapa pemain yang boleh mengalas tanggungjawab itu termasuk bekas penyerang Liverfool, Robbie Fowler,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, sebelum menerima pemain berkenaan mereka perlu menjalani ujian kecerdasan bersama pasukan sebagaimana yang ditetapkan oleh T-Team dalam usaha mencari penyerang untuk membantu pasukan pada musim depan.

Sehubungan itu, T-Team juga turut mengintai beberapa pemain import dari beberapa negara termasuk England serta pemain kelahiran Ghana, Derek Boateng, 29.

“Dengan kehadiran beberapa pemain ternama bersama pasukan T-Team diharap dapat menarik penonton untuk memenuhi bangku stadium musim depan,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini kehadiran penoton di stadium amat mengecewakan biarpun ketika itu T-Team beraksi dalam separuh akhir Piala Malaysia musim lalu ketika menentang Selangor dan berharao senario itu akan berubah.

 

Pilih BN negara aman

Oleh:Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman 

Hj Shamsudin Sulong
Pengundi di negeri ini diingatkan supaya memilih calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 bagi memastikan BN terus memerintah, demi keamanan dan kesejahteraan negara.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Haji Shamsudin Sulong, berkata hanya BN yang mampu menjaga keamanan negara dan kestabilan politik, berdasarkan sejarah pentanbirannya sejak dulu hingga kini.

Beliau berkata, pengundi di negeri ini perlu mengambil iktibar daripada kehancuran negara-negara lain seperti Syiria, Lubnan, Iraq, Palestin, Afganistan dan beberapa lagi negara Arab yang lain akibat politik yang tidak stabil dan perangan sesama sendiri.

“Percayalah tuan-tuan jika bukan BN yang memerintah negara ini selepas PRU-13, kita semua tidak akan dapat keluar rumah dengan aman, walaupun untuk ke masjid atau kubur kerana parti lain tidak mampu untuk menjaga keamanan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Hotel Vista malam tadi.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan, Haji Azmi Razik; Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat (AMPT), Encik A. Latiff Awang, ketua-ketua cawangan Umno di DUN Rhu Rendang dan pengerusi-pengerusi JKKK.

Haji Shamsuddin berkata, parti Pas pula hanya memecahbelahkan rakyat dan menghasut mereka supaya menentang kerajaan.

“Tindakan yang dilakukan oleh Pas ini merupakan satu sikap yang bertentangan dengan lunas-lunas agama Islam. Orang Pas lebih rela memberi sokongan kepada DAP yang terang-terang anti-Islam.

Jadi buat apa lagi kita nak sokong Pas,” katanya. Beliau turut mengingatkan jentera UMNO dalam Dun Rendang supaya sentiasa bersedia dan jangan lalai kerana siren daripada YAB Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bila-bila masa sahaja.


Pengundi Rhu Rendang, Parlimen Marang perlu pilih BN

Oleh :Amirullah Othman


Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Parlimen Marang tiada pilihan melainkan mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berkata hanya ini pilihan yang ada bagi memastikan dua kawasan itu dibangunkan setanding dengan kawasan dan daerah lain.

“Jika kita tengok, Marang merupakan daerah paling mundur berbanding kawasan lain kerana lama berada di bawah pentadbiran parti pembangkang,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan, Haji Azmi Razik; Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat (AMPT), Encik A. Latiff Awang, ketua-ketua cawangan Umno di DUN Rhu Rendang dan pengerusi-pengerusi JKKK.

Haji Nik Dir amat teruja dan berterima kasih dengan kehadiran semua jentera Umno yang akan bekerja dalam PRU 13 nanti kerana telah menunjukkan semangat yang kuat untuk hadir serta taat setia kepada parti.

Beliau amat mengharapkan kerjasama yang penuh dari semua jentera untuk memenangkan UMNO dan Barisan Nasional tanpa mengira siapa calon yang diletakkan oleh pucuk pimpinan di Dun Rhu Rendang.

Sejak PRU tahun 1986, Dun Rendang telah di tawan oleh pembangkang dan pada kali ini beliau ingin melihat dan pucuk pimpinan mengharapkan Barisan Nasional akan memenangi kerusi Dun Rhu Rendang.

“Jika ingin melihat Bandar Marang maju, Dun Rhu Rendang mesti dimenangi oleh Barisan Nasional kerana pusat bandar Marang berada dalam Dun Rhu Rendang,” katanya.


Kerajaan agih RM100,000 untuk guru, pelajar dan sekolah cemerlang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi mengiktiraf kebolehan dan kemampuan guru, pelajar serta sekolah seluruh Terengganu yang mencapai keputusan terbaik dalam setiap peperiksaan awam, kurikulum dan kokurikulum di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

 Peruntukan itu diagihkan kepada 358 penerima anugerah mengikut 36 kategori di Majlis Karnival Pendidikan Terengganu, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Oktober).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pengkitirafan itu merupakan satu usaha untuk meningkatkan lagi potensi diri dan kemampuan guru, pelajar serta pejabat pelajaran daerah sehingga Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi memperkasakan sektor pendidikan negeri.

“Agenda menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu dapat dicapai menerusi pelbagai usaha memperkasa pendidikan melalui pengiktirafan kepada murid dan guru yang berjaya mempamerkan keterbilangan dalam bidang pendidikan.

 “Kita berharap bahawa kejayaan yang dapat dicapai selama ini dapat terus kita pertahankan sampai bila-bila..Insya-Allah,” katanya di sidang media selepas melancarkan program itu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin.

Kesemua penerima anugerah menerima sijil dan wang tunai di majlis yang bertemakan `Guru Penyayang, Murid Berkualiti’.

 

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu salur RM2 juta kepada KRT



Oleh: Mohammad Ishak

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu menyalurkan RM2 juta kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Tukimin Sarlan berkata, pengagihan menerusi geran pentadbiran itu membolehkan 371 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ditubuhkan oleh jabatan itu dapat meenggerakkan ahli menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan itu.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 7,000 ahli KRT dan komuniti setempat mendapat manfaat daripada penubuhan KRT yang sentiasa bergiat aktif menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun,katanya daripada jumlah itu masih ada 25 peratus daripada KRT yang ditubuhkan tidak bergerak aktif menjalankan aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan oleh KRT terbabit.

“Pihak JPNIN sedang memantau KRT yang didapati tidak aktif supaya jawatankuasa dapat menggerakkan semula kerana tiada pihak jabatan sentiasa menyalurkan peruntukkan untuk menjalankan aktiviti,” katanya pada majlis Sambutan Perhimpunan Pemimpin Rukun Tetangga Peringkat Negeri Terengganu.

Majlis yang berlangsung di Dewan Besar Politiknik Sultan Mizan,Dungun itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Dato’ Zaa’ba Mohd Adib.

Pada majlis itu kira-kira 1,000 pemimpin dan ahli jawatankuasa KRT dari seluruh negeri ini menghadiri perhimpunan berkenaan.

Pada majlis sama Zaa’ba turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang, sempena sambutan bulan kemerdekaan negara tahun ini.

24 October 2012

PPAT anjur pameran foto

Oleh: Norani Jusoh 

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menganjurkan pameran foto sempena 50 tahun program Peace Corps di Malaysia di ruang legar perpustakaan awam negeri, bermula semalam.

Bertemakan “An Enduring Bond: 50th Anniversary of the Peace Corps in Malaysia: A Photo Exhibition” gambar-gambar yang dipamerkan menonjolkan semangat sukarelawan rakyat Amerika yang datang ke Malaysia untuk berkhidmat di bidang pertanian, pendidikan dan teknologi bermula tahun 60-an.

Selain itu, aktiviti-aktiviti 17 peserta program English Teaching Assistants (ETAs) yang telah ditempatkan di sekolah terpilih di Terengganu sejak Januari lalu turut dipamerkan di pameran tersebut.

Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Paul W. Jones, berkata menerusi program ETAs, beliau berbangga dengan graduan negaranya yang dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dalam usaha membantu pelajar di Terengganu menguasai bahasa Inggeris.

“Menerusi program Peace Corps, diharap kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat akan terus terjalin dan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena majlis perasmian pameran foto tersebut, semalam.

Di majlis yang sama, peserta ETAs turut diraikan sempena menghargai jasa mereka berkhidmat di bidang pendidikan di Terengganu yang bakal berakhir November ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah PPAT, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

Insentif RM72,000 kepada atlet rangkul juara hoki Piala Tun Razak

Kerajaan negeri menyampaikan ganjaran RM72,000 kepada skuad hoki Terengganu selepas muncul juara Kejohanan Hoki Piala Tun Razak.
Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju memberi insentif RM3,000 kepada setiap atlet hoki Terengganu selepas kejayaan melakar kejuaraan di pentas final, Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, malam kelmarin.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ganjaran berjumlah RM72,000 itu sebagai penghargaan kerajaan kepada pemain dan barisan pengurusan yang berjaya membawa balik piala itu ke negeri ini selepas 50 tahun memburunya.

“Kejayaan ini amat membanggakan kita dan ini mengambarkan anak-anak Terengganu mampu mencipta kejutan walaupun ini bukan sukan pilihan kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan, Dato' Haji Mazlan Ngah; Pengerusi jawatankuasa Belia dan Sukan negeri YB Haji Rozi Mamat dan Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Presiden Hoki Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. 

Menteri Besar berkata, mulai tahun depan kita akan mewujudkan pasukan sendiri yang diurus secara profesional dan akan menyertai Liga Hoki Kebangsaan yang sebelum ini hanya disertai oleh Kelab-kelab dari agensi kerajaan dan swasta.

 “Usaha ini adalah untuk memastikan bakat-bakat pemain tidak terpendam begitu sahaja, kerana rugi jika mereka tidak menyertai apa-apa pertandingan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Sehubungan itu, pemain akan didedahkan dengan menyertai pelbagai kejohanan dan perlawanan persahabatan untuk menambah stamina mereka.

“Setakat ini, terdapat lima orang atlet dari negeri ini yang mewakili negara dan berharap setelah kita mempunyai pasukan nanti lebih ramai muncul pemain yang boleh bermain dengan pasukan negara,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya meminta Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid supaya berurusan secara terperinci dengan pihak hoki kebangsaan untuk mengetahui syarat-syarat penyertaan Liga Hoki Kebangsaan bagi memastikan Terengganu dapat menyertai liga itu kelak.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada semua pemain dan pengurusan kerana telah mengharumkan nama negeri dalam acara hoki di negara ini.

 

Terengganu bakal sertai Liga Hoki Malaysia musim depan

Pasukan hoki Terengganu gembira bersama Menteri Besar .
Oleh: Aida Abd Rahman

Kejayaan Terengganu bergelar juara Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak ke-50, kelmarin menambah semangat Kerajaan Terengganu untuk membentuk satu pasukan yang lebih mantap bagi menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membayangkan cadangan membawa pasukan hoki ke peringkat lebih berprestij dapat dilaksanakan dengan jayanya bermula musim depan bersandarkan kejayaan menggenggam piala sulung kejohanan berkenaan, selain Terengganu juga terbukti sudah melahirkan ramai pemain hoki profesional di peringkat negeri dan juga kebangsaan.

“Sebagaimana saya sebutkan baru-baru ini, kita telah pun bersetuju untuk menyertai liga hoki peringkat kebangsaan pada tahun hadapan dan kita telah mengarahkan pihak terlibat supaya mendaftar serta memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak liga berkenaan kerana kita tahu bahawa liga ini biasanya disertai kelab-kelab seperti TNB, DBKL, UNiKL dan sebagainya.

 “Kita akan ada pasukan negeri (dalam LHM) kerana saya dapati bahawa Terengganu banyak melahirkan pemain hoki. Hari ini ramai di kalangan mereka berjaya menempatkan diri di peringkat kebangsaan dan mewakili Kelab Kilat, TNB termasuk juga Maybank dan sebagainya,” katanya di sidang media selepas melancarkan Karnival Pendidikan Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam (23 Oktober).

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Menteri Besar berharap Terengganu dapat membentuk satu pasukan yang mantap dan disegani lawan, sekali gus dapat menyaingi kelab-kelab hoki yang sudah menempa nama di negara ini termasuk TNB, KLHC, uniKL dan Sapura.

 “Jadi, kita perlu ada pasukan mewakili negeri ke Liga Hoki Malaysia. Ada pemain kita yang cemerlang tetapi tidak boleh mewakili kelab-kelab ini.

 “ Ini bermakna kita membiarkan bakat-bakat kita ada begitu saja. Justeru itu, kita perlu gabungkan mereka dalam satu pasukan supaya mereka terus aktif dan bertanding dalam liga hoki (LHM) pada tahun hadapan,” katanya.

 Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri bukan hanya menumpukan kepada pelaksanaan untuk memajukan bidang sukan, malah turut memfokuskan semua bidang yang dapat memberi manfaat dan membantu menaikkan imej negeri serta negara.

 Beliau berkata, Terengganu sudah terbukti melahirkan ramai atlit berwibawa yang dicungkil bakat mereka menerusi penganjuran Sukan Malaysia.

 Menurutnya, atlit negeri ini juga paling ramai berjaya mewakili negara di pentas antarabangsa khususnya Sukan SEA di Indonesia tahun lalu dan Sukan olimpik London baru-baru ini di mana enam daripada 10 anak Melayu yang terlibat merupakan anak Terengganu.

 

Ketengah bantu promosi Tahun Melawat Terengganu( TMT ) 2013

Oleh: Mastura Jamaluddin

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berjaya menganjurkan satu pertandingan berprestij iaitu Kenyir Motocross Challenge 2012 di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, kelmarin, yang di hadiri pelbagai peringkat usia peminat permotoran.

Acara tersebut yang merupakan program tahunan, telah bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat telah merasmikan dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang sempena pertandingan tersebut.


“Sembilan program pelancongan Tasik Kenyir sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 bagi mempromosikan tasik buatan manusia terbesar di mata dunia. Program ini berkonsepkan kegiatan sukan,fotografi dan rekreasi untuk para pelancong yang datang ke Tasik Kenyir.

Lahir 34,084 kanak-kanak khatam al-Quran sejak 2006

Oleh: Suriati Ali

Majlis Khatam Program Pintar al-Quran yang diperkenalkan kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Terengganu (YIT) sejak 2006 berjaya mengkhatamkan seramai 34,084 kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun di seluruh Terengganu.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak daripada empat gabungan tadika iaitu YIT, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional (JPIN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan perkembangan positif itu sekaligus dapat membuktikan Terengganu memiliki ramai kanak-kanak berilmu dan celik al-Quran.

Katanya, kanak-kanak tadika bukan saja berjaya khatam al-Quran pada usia 5 dan 6 tahun, bahkan juga telah berjaya menghafaz surah Yasin dan terjemahan sepenuhnya dengan begitu baik.

“Jika kanak-kanak ini diasuh dan dibimbing secara berterusan, tidak mustahil ia mampu melahirkan generasi Ulul Albab sepeti apa yang diimpikan selama ini.

“Penguasaan al-Quran seperti apa yang diusahakan ini turut menjadi penghalang kepada diri kanak-kanak itu daripada terjebak kepada anasir-anasir negatif dan tidak bermoral,” katanya.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Majlis itu yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

 Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail; wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Haji Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Rozali Salleh.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu apa yang dilaksanakan ini juga mampu membentuk generasi serta mulia dan berupaya memikul tanggungjawab