Menjadi teka-teki siapakah agaknya Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Umno Terengganu di bawah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Ahmad Said yang buat kali kedua diberi amanah menjawat jawatan itu.
Sudah pasti kemungkinan besarlah, jawatan-jawatan pegawai tinggi dalam Umno Terengganu itu akan diumumkan dalam Mesyuarat Pertama Umno Terengganu pimpinan kali kedua Dato’ Seri Ahmad pada Isnin ini 17 Januari 2011, sebaik majlis penyerahan tugas dari bekas Pengerusi, Datuk Sri Hihsamuddin Tun Hussien (Naib Presiden Umno).
Majlis dijangka akan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya yang sudah pasti akan dihadiri oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian, termasuklah Ketua Umno bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad yang telahpun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.
Semasa Datuk Sri Hishamuddin menjadi Pengerusi hampir setahun lapan bulan iaitu bermula pada 24 April 2009 menggantikan Dato’ Seri Ahmad (Dato’ Seri Ahmad menjadi Timbalan) beliau telah melantik YB Tengku Putera Awang, (Setiausaha), YB Datuk Rahin Mohd.Said (Bendahari) dan YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek sebagai Ketua Penerangan.
Amat sukar kali ini untuk diramalkan siapa pula akan dilantik. Namun begitu beberapa nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak berjawatan utama di bahagian disebut-sebut.
Sebenarnya jawatan-jawatan itu bukanlah ‘mahkota’ tetapi suatu amanah yang perlu dipikul dengan komited dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti dan kepimpinan.
“Setia” dan “Usaha” adalah suatu jawatan yang akan menjadi nadi penggerak penting, sebab itu dalam institusi kerajaan Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah nadi segalanya.
Bendahari pula bukan sahaja mampu menyimpan wang dan membelanjakannya secara berhemah, tetapi mestilah seorang yang mampu bersama-sama memastikan ‘tabung’ Umno Terengganu mampu menampung pentadbiran dan operasinya, lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umno, PRU 13.
Manakala Penerangan adalah nadi penting dalam sesebuah organiasi parti, jika lumpuh di peringkat ini, maka parti akan dilihat dan dikatakan lumpuh; sedangkan di pihak lawan operasi penerangan begitu hebat sekali.
“Kita tidak boleh ketinggalan dan tidur di masa pihak pembangkang menyerang kita dengan hebatnya,” kata orang-orang Umno yang bersemangat tinggi untuk melihat Umno Terengganu cemerlang.
Mereka berharap dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Ahmad selaku Pengerusi Umno dan Menteri Besar dan barisan kepimpinan dan para pegawai parti yang bakal dilantik meneruskan kembali gerakan memperkasakan kegiatan penerangan, turun padang menemui rakyat dan ahli-ahli serta penyokong.
TEGANUKITA