Halaman

17 March 2014

Insiden MH370 tidak jejas industri pelancongan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik MAS pada 8 Mac lalu, tidak memberikan kesan kepada industri pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata, insiden kehilangan pesawat melibatkan penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, setakat ini tidak mendatangkan kesan kepada pengusaha pelancongan mahupun kedatangan pelancong ke Terengganu.

“Isu MH370 tidak memberi sebarang masalah kepada industri pelancongan bahkan dari segi jumlah kedatangan pelancong juga tidak berlaku pengurangan dan jadual penerbangan di negeri ini juga berjalan seperti biasa.

“Walaupun misteri kehilangan pesawat sehingga kini masih belum terjawab, tetapi saya yakin kedatangan pelancong ke negara kita khususnya ke Terengganu akan terus berjalan dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas adakah isu MH370 memberi kesan kepada industri pelancongan Terengganu, selepas merasmikan Pameran Demi Masa anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu di Bukit Losong, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.
Pada 8 Mac lalu, penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


 

No comments: