Halaman

20 March 2014

UMT terima geran RM1juta untuk hasil mutiara air tawar

Oleh: Suriati Ali 

 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima geran kira-kira RM1 juta daripada kerajaan negeri bagi meneruskan projek menternak kepah yang boleh menghasilkan mutiara air tawar, di tasik di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

 Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, berkata pihak universiti telah menjalankan kajian kesesuaian untuk menternak kepah di tasik tersebut yang mempunyai potensi untuk menghasilkan mutiara kepah yang berkualiti.

 "Bagi penternakan kepah mutiara ini, UMT akan menggunakan kaedah akuakultur dengan memasukkan implan ke dalam benih-benih kepah dan dibiarkan hidup di dalam sangkar untuk menjamin kualiti yang dihasilkan nanti,” katanya . Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Majlis pelancaran Pelan Strategik UMT 2013-2017 di Dewan Sultan Mizan, UMT, malam tadi.

Majlis pelancaran itu dirasmikan, Menteri Besar, Dato’ seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UMT yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Alam sekitar, Teknologi Hijau & Air Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Pengarah Pusat Tranformasi , Perancangan Strategik dan Risiko, Prof Madya Dr Fauziah Abu Hasan.

Prof Dr Ibrahim berkata, penternakan kepah mutiara ini memakan masa hampir empat hingga lima tahun untuk matang dan UMT akan menggabungkan proses sains dan teknologi bagi mempercepatkan usia matang iaitu kurang dari tiga tahun.

"Melalui industri penternakan ini ia juga mampu menjana ekonomi serta dapat melahirkan usahawan mutiara yang terdiri daripada penduduk tempatan. “Projek penternakan ini yang akan melibatkan penduduk kampung dan secara tidak langsung memberi pendedahan kepada penduduk tempatan seterusnya dapat menjana peluang pekerjaan,”.katanya.

 Projek itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) serta dibiayai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Terengganu.

 

No comments: