Halaman

30 August 2009

BSN Cadang Buka Cawangan Perbankan Islam Di Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) bercadang untuk membuka cawangan penuh perbankan Islam di Kelantan dan Terengganu tahun ini, kata Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Konsumer dan Pembangunan Perniagaannya, Norazian Ahmad Tajuddin.

Beliau berkata pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan dari Bank Negara Malaysia untuk membuka cawangan tersebut.

Penubuhan cawangan perbankan Islam itu merupakan komitmen BSN menyokong usaha kerajaan dalam mengembangkan perbankan Islam di negara ini, katanya kepada Bernama dalam satu temubual di sini baru-baru ini.

"BSN memilih Kelantan dan Terengganu untuk membuka cawangan perbankan Islam kerana sebelum ini banyak pertanyaan diterima dari penduduk di sana mengenai produk perbankan Islam BSN," katanya.

Norazian berkata BSN bercadang untuk membuka lima cawangan perbankan Islam menjelang hujung tahun ini.

Walau pun cawangan itu menawarkan perbankan Islam, katanya pelanggan masih boleh melakukan transaksi konvensional.

BSN telah ditubuhkan pada 1 Disember 1974 di bawah Kementerian Kewangan. Dengan penubuhannya, semua tugas dan tanggung jawab Bank Simpanan Pejabat Pos diambil alih oleh BSN.

Misi BSN adalah untuk menggalakkan simpanan, pelaburan dan pengurusan kewangan yang berhemat di kalangan rakyat Malaysia demi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Pada masa ini, BSN mempunyai 377 cawangan di seluruh negara.

Mengenai pelancaran produk baru, Norazian berkata BSN bercadang untuk melancarkan produk pelaburan am-i Mudharabah Warga Emas pada suku keempat tahun ini.

Antara ciri istimewa yang ditawarkan untuk produk itu ialah pemegang akaun tersebut bakal menerima perkongsian keuntungan yang tinggi, katanya.

-- BERNAMA