Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 13 bayi diikuti Hospital Selayang (12), Hospital Kuala Lumpur (11), Hospital Sungai Buloh (8), Hospital Ampang (6), Hospital Serdang (6), Hospital Banting (4) Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam (3) Hospital Kajang (3) dan seorang di Hospital Kuala Kubu Bharu.
Daripada jumlah itu empat kelahiran dicatatkan melalui pembedahan cesarean masing-masing satu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah.
Hospital Ampang juga turut mencatat kelahiran seorang bayi lelaki membabitkan warga Myanmar.
Bayi pertama Selangor dilahirkan dengan berat 3.1 kg pada pukul 12.10 minit pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Hospital Kuala Lumpur pula menyambut kelahiran bayi pertama mereka Muhammad Adam Iskandar Abdul Aziz seberat 2.46 kg pada 12.17 pagi bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Tiada kes kematian sama ada ibu mahupun bayi dilaporkan sehingga ini di semua 11 hospital kerajaan berkenaan.
Di Kuala Terengganu lapan bayi merdeka dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bermula dari pukul 12.41 hingga 6 pagi Isnin.
Bayi pertama dilahirkan lelaki pukul 12.41 seberat 2.29 kilogram oleh seorang guru yang mengajar di Sabah, Nafisah Ismail, 32, secara normal.
"Kami gembira dengan kelahiran bayi kami yang pertama ini dengan nama Fawwaz Hasbullah," kata suami wanita berkenaan Hasbullah Abu Bakar, 34, ketika ditemui di wad bersalin hospital itu.
Beliau yang tinggal di Kampung Tebakang, Manir dekat sini berharap apabila besar nanti anaknya menjadi seorang hafiz Al-Quran dan yang mentaati ajaran agama.
Sementara itu jurucakap wad bersalin hospital itu berkata, selain lapan bayi yang dilahirkan itu sehingga jam 6 pagi, lebih ramai bayi merdeka dijangka akan dilahirkan hari ini.
-- BERNAMA