Halaman

30 August 2009

Pemain T'Team Kerjakan Umrah Guna Wang Hadiah

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Bernama) -- Pasukan bola sepak T'Team yang berjaya muncul sebagai naib juara dalam kempen Piala Liga Perdana musim ini bakal mengerjakan umrah dengan menggunakan wang kemenangan mereka sebanyak RM100,000.

Pengurus pasukan Datuk Rahin Mohd Said berkata Majlis Sukan Negeri sedang menguruskan tentang hal tersebut dan mereka dijangka mengerjakan umrah selewat-lewatnya akhir bulan ini.

"Kerajaan negeri telah bermurah hati untuk menambah peruntukan tersebut jika wang sebanyak RM100,000 yang dimenangi dalam kempen tersebut tidak mencukupi untuk membawa pemain-pemain kita mengerjakan umrah," katanya kepada Bernama di sini pada hari Sabtu.

Rahin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata hadiah tersebut diberikan sebagai insentif di atas kejayaan pemain-pemain mengharumkan nama negeri dan pasukan dalam kejohanan berprestij itu.

Sementara itu, Rahin berkata kontrak jurulatih, Chek Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor telah disambung beberapa hari lepas untuk membolehkan beliau membuat persiapan awal pasukan T'Team bagi menghadapi Liga Super tahun depan.

Beliau berkata, persiapan itu termasuklah mencari pemain-pemain dari luar Terengganu, terutamanya pemain penyerang yang terbaik untuk memantapkan pasukan T'Team dalam kejohanan itu.

"Harga boleh dirunding demi sasaran kita hendak menjadi juara liga dan juga juara Piala Malaysia tahun depan, soal harga pemain ia nombor dua. Yang penting pretasi mereka," katanya.

Mengenai prestasi pemain T'Team, beliau berkata penilaian semula ke atas pemain akan dibuat dalam masa terdekat.

-- BERNAMA