Halaman

19 January 2010

Lombong Bijih Besi Operasi Semula

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said meninjau kawasan biji besi di Bukit Besi, Dungun. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pusat perlombongan bijih besi di Bukit Besi Dungun bakal beroperasi tidak lama lagi jika kajian mengenai jumlah kandungan bijih yang terdapat di kawasan itu mampu menghasilkan pendapatan tinggi dan menjana ekonomi negeri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menaruh keyakinan bahawa jumlah bijih yang masih terdapat di kawasan itu mencapai satu angka yang munasabah dan sesuai untuk dilombong semula pada masa depan.

“Sekiranya berasaskan kepada laporan-laporan yang kita terima, kita boleh membuka semula lombong Bukit Besi pada masa yang akan datang kerana setakat ini yang telah dimaklumkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) kepada kita dan kajian seterusnya sedang dibuat untuk mendapatkan keputusan muktamad berapakah jumlah deposit bijih yang kita ada,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika sidang akhbar selepas meninjau tapak perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun, hari ini (18 Jan).

Beliau berkata, hasil kajian yang dijalankan oleh JMG tidak lama lagi akan menentukan status pusat perlombongan bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara itu, sama ada akan dibuka atau sebaliknya.



Bagaimanapun, Dato’ Ahmad yakin dan percaya kajian mampu mencapai satu angka yang releven kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan syarikat yang dilantik untuk menjalankan kembali kerja perlombongan.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga melihat potensi tanah perlombongan bijih berkenaan dapat menghasilkan hampas besi yang mampu mendatangkan hasil lumayan kepada kerajaan.

“Justeru itu, kita akan tentukan anak syarikat negeri Terengganu yang akan mengendalikan habuk atau hampas besi ini serta tidak beri kepada syarikat lain selain daripada syarikat yang diluluskan kerajaan negeri,”katanya.



Menteri Besar juga mahu memastikan Bukit Besi sebagai kawasan paling hampir dan utama melalui Lebuh Raya Pantai Timur yang bakal siap tidak lama lagi akan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan negeri.

Katanya, artifak yang dibina sejak perlombongan dimulakan pada 1926 oleh beberapa syarikat dari British, Jepun dan Cina akan dibaikpulih sebagai bahan sejarah yang boleh dilihat oleh generasi kini dan generasi akan datang.

Dato’ Ahmad berkata, kerja-kerja pembersihan dan baikpulih artifak di seluruh kawasan itu termasuk terowong lama yang dikatakan mencecah sehingga dua kilometer panjang akan diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan peruntukan membeli eskabator akan disediakan untuk tujuan itu.

Kerajaan negeri akan mewartakan artifak itu kepada Lembaga Muzium Negeri Terengganu sebelum kawasan bersejarah itu dibuka untuk pelancongan.

Bukit Besi telah meninggalkan beberapa artifak sejarah seperti `chimney’, `stockpile’, `washing plant, dan ` crushing plant’, tempat menyimpan bahan letupan dan sebahagian daripada kuarters yang didiami pekerja perlombongan masih kukuh berdiri hingga kini .


Kawasan perlombongan biji besi di Bukit Besi, Dungun, beroperasi semula.

Manakala Tasik Puteri, Bukit Besi yang wujud hasil daripada perlombongan bijih besi di kawasan itu dimajukan oleh Ketengah sebagai kawasan rekreasi yang menarik.

Bukit Besi menjadi terkenal kerana pengeluaran bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara bermula pada suku pertama abad ke-20 dan perkembangan perusahaan perlombongan di situ seiring dengan pertumbuhan perusahaan keluli di Jepun ketika itu.

UKOM