Halaman

22 January 2010

MB Tidak Puas Hati Tahap Kebersihan Pasar Payang

KUALA TERENGGANU, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada Khamis melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kebersihan Pasar Besar Payang di sini yang disifatkannya belum memuaskan.

Justeru itu, katanya kerjasama daripada peniaga di kawasan itu amat diharap bagi menjaga imej negeri selaras dengan statusnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Pantai.

"Tahap kebersihan perlu ditingkat lagi kerana Pasar Payang ini merupakan tumpuan utama pelancong ke negeri ini selain kemudahan-kemudahan lain yang ditawarkan.

"Jangan hanya berharap kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dalam menjaga kebersihan di sini. Kalau tempat busuk, kotor dan tak diurus dengan sempurna siapa yang nak datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Ramah Mesra dan Memasak Bubur Asyura di perkarangan Pasar Besar Payang di sini.

Ahmad berkata kerajaan negeri memperuntukan lebih setengah juta untuk kebersihan pasar berkenaan dan kira-kira tujuh juta untuk kebersihan Kuala Terengganu.

"Dalam kita mengharapkan prasarana kelas pertama, perlulah ada perubahan dari segi sikap dan mentaliti. Kita tak boleh berada di takuk lama," katanya.

Sementara itu, Ahmad meminta peniaga Pasar Besar Payang tidak menaikan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya kepada pelancong luar kerana ia akan menjejaskan sektor pelancongan dan imej negeri.

-- BERNAMA