Salah satu khazanah negeri Terengganu diabadikan dalam buku “Kulit Manis’ yang diterbitkan To’ Puan Rosita, 64, sebagai ‘buah tangan’ buat penduduk tempatan, khususnya golongan wanita yang gemar mencuba pelbagai resepi masakan tradisional.
Buku setebal 252 muka surat yang turut memuatkan 1,077 keping gambar berkaitan masyarakat tradisi tempatan, diterbitkan khusus atas kesedaran penulis agar warisan turun temurun itu tidak akan pupus.
Dato' Ahmad diberi penerangan mengenai buku Kulit Manis oleh To' Puan Rosita. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Beliau mengutarakan 88 resepi masakan tradisional di dalam hasil buah tangannya untuk rakyat tempatan dan luar Terengganu dan menyelitkan pelbagai ilustrasi berkaitan ukiran kayu, tembaga, anyaman mengkuang dan tenunan songket.
To’ Puan Rosita anak kelahiran Kampung Cina, Kuala Terengganu, mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan buku tersebut yang dianggap sebagai suatu usaha yang mudah, tetapi amat sukar untuk disempurnakan dalam tempoh singkat.
Menteri Besar menurunkan tandatangan ke atas buku Kulit Manis.
“Saya mahu meninggalkan sesuatu yang boleh dikenang sepanjang hayat kepada generasi akan datang serta anak cucu saya,” kata isteri kepada Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Sultan Ismail.
Beliau yang juga ibu kepada 10 anak dan 11 cucu ini sanggup mengeluarkan perbelanjaan hampir setengah juta untuk menyiapkan buku ini dan menetapkan harga di pasaran RM250 sebuah.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menerima 50 buah buku Kulit Manis yang diserahkan sendiri oleh To’ Puan Rosita sebaik beliau selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman hari ini (13 Januari).
UKOM