Halaman

14 January 2010

ECER Bantu Atasi Pengangguran

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yakin program Pembangunan Modal Insan di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bagi menangani masalah pengangguran akibat krisis kewangan dunia.


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said melancarkan Program Kerjaya Peringkat Negeri Terengganu sambil diperhatikan Dato' Mokhtar Nong (kiri) dan Dato' Issace John. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Program kerjaya ECER ini membabitkan tiga bahagian utama iaitu Program Penempatan Graduan (PPG), Program Penempatan Pekerja (PPP) dan Program Latihan Kemahiran (PLK),” katanya pada majlis pelancaran Program Kerjaya Peringkat Negeri Terengganu di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu hari ini (12 Januari).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Dato’ Jebasingam Issace John: Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri.


Peserta program menerima sijil daripada Dato' Ahmad.

Sehubungan itu PPG yang bermula Oktober tahun lalu mendapat sambutan daripada graduan menganggur dan 304 orang telah mendaftar untuk bekerja sekurang-kurangnya dua tahun di syarikat-syarikat terpilih.

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama peserta akan diberi pendedahan latihan di tempat kerja dengan menerima gaji minima RM1,200 sebulan,” katanya.

Katanya, 448 peserta telah mendaftar dalam PPP dan ECER telah membantu syarikat-syarikat di negeri ini mencari pekerja tetap dan sambilan dari kalangan mereka yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini.

Dato’ Ahmad berkata, 13 buah pusat latihan telah dilantik dengan mengendalikan 74 kursus-kursus kemahiran yang sesuai dengan keperluan semasa di bawah PLK membabitkan 909 peserta.

Katanya setakat ini, peserta boleh mengikuti pelbagai latihan kemahiran dalam bidang mekanikal, eletronik dan komputer, pramusaji dan pelancongan, termasuk juga kursus-kursua berteknologi tinggi seperti robotik dan otomasi.

“ECER mensasarkan 70 peratus daripada peserta yang dilatih akan layak bagi penempatan pekerjaan dengan syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya.

Menteri Besar yang baru selesai mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelaras (ICC) Majlis Pembangunan ECER turut memaklumkan bahawa semua projek ECER di negeri ini berjalan lancar dan mengikut jadual.



Antaranya, termasuklah taman Industri Polimer Kertih (KPP); projek Pelancongan Persisiran Pantai Teluk Bidara dan Pulau Besar; Pembangunan Pelancongan Inap Desa (Homestay) dan Taman Industri Berat Kemaman.

Program Pembangunan Kelompok Ternakan Lembu dan Kambing di Ulu Tersat dan Kuala Berang; Lembah Sitrus Dungun dan projek Agropolitan Besut-Setiu.

Katanya, Terengganu sebagai gerbang utama pelancongan ke ECER bakal menyaksikan pembangunan secara bersepadu dalam sektor perhotelan di persisiran pantai dan pembangunan resort.

UKOM