Halaman

12 January 2010

Kumpulan Kencana Lebarkan Operasi Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- Kumpulan Kencana Petroleum Berhad, sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas, berhasrat untuk bertapak di kawasan industri minyak dan gas di Terengganu.

Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Kencana, Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir berkata sebagai permulaan, kumpulan itu akan menggunakan khidmat Kapal KPV Kapas berharga RM46 juta untuk memulakan operasi dalam industri berkenaan di kawasan perairan Laut China Selatan.

"Kumpulan Kencana melihat kawasan perairan Laut China Selatan terutamanya perairan Terengganu yang sudah mempunyai industri minyak dan gas sejak sekian lama, mampu berkembang lagi pada masa depan.

"Dengan kerjasama rakan kongsi di sini, kita akan cuba melabur di Terengganu serta di kawasan sempadan negara dengan Thailand dalam industri ini. Pada masa ini juga kita sedang mencari tempat untuk bertapak di kawasan industri minyak dan gas di Kemaman," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis perasmian Kapal KPV Kapas yang disempurnakan oleh Tengku Ampuan Besar Terengganu, Tengku Ampuan Bariah.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud.

Kapal KPV Kapas sepanjang 60 meter memiliki enjin berkuasa 5,220 kuasa kuda merupakan kapal pertama milik Kumpulan Kencana yang boleh digunakan sebagai kapal sokongan untuk pelbagai operasi minyak dan gas.

Antara operasi kapal KPV Kapas yang berdaftar di Pelabuhan Kelang yang siap dibina pada 28 Okt lepas ialah untuk kerja-kerja pemasangan pelantar minyak dan struktur-struktur lain selain menyediakan tempat kerja terapung, kerja-kerja menunda dan membawa bekalan.

Mokhzani berkata kumpulan itu juga yang sebelum ini aktif di Pantai Barat Semenanjung juga mensasarkan untuk membeli beberapa buah kapal lagi bagi kerja-kerja dalam industri minyak dan gas di perairan Laut China Selatan pada masa depan.

Katanya, pihaknya akan melihat industri pembuatan bot dan kapal di Terengganu sebelum membuat tempahan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu Ahmad ketika ditanya penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dalam bidang petroleum dan gas, beliau berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri mengambil peluang menceburinya.

"Kita melihat industri minyak dan gas di Terengganu mempunyai masa depan yang sangat cerah dan kita berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri juga turut mengambil peluang menceburi industri ini," katanya.

-- BERNAMA