Kolej Universiti Tati (TATiUC) yang menekankan aspek kemahiran menerusi bidang yang ditawarkan kepada pelajarnya terus mengorak langkah mempelbagaikan program seiring dengan perkembangan industri negara.
Bermula tahun ini, TATiUC menawarkan Diploma in Non-Destructive Testing (NDT) atau Ujian Tanpa Musnah.
Pengambilan pelajar pertama dijangka pada Julai depan sekaligus menjadikan TATiUC sebagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) pertama di negara ini yang menawarkan program NDT peringkat Diploma.
Sebelum ini, TATiUC hanya menawarkan program NDT di peringkat sijil bermula dari tahun 1996 melalui anak syarikatnya Ruane-TATI Sdn. Bhd.
Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata NDT merupakan satu bidang yang berkaitan Kawalan Mutu (QC) contohnya dalam bidang industri minyak dan gas.
Katanya, ujian tanpa musnah dilaksanakan bagi menguji kualiti serta mutu sistem perpasangan minyak dan gas tanpa perlu memusnahkannya.
Bidang itu merupakan salah satu daripada sub bidang sains nuklear. Selain itu, bidang NDT ini juga boleh digunakan dalam bidang fabrikasi, industri pembinaan, aeroangkasa, automotif dan bidang penyelidikan nuklear.
Dr Mohd Rozailan berkata, permintaan tenaga kerja dalam bidang NDT ini bertambah seiring dengan perkembangan industri minyak dan gas di negara ini.
Beliau berkata, senario itu dapat dilihat apabila pelajar yang mengikuti kursus NDT di peringkat sijil ini mudah mendapat pekerjaan sama ada di dalam negara dan juga luar negara.
TATiUC merancang menawarkan kursus ini di peringkat diploma supaya graduan di bidang itu dapat mempelajari dengan lebih mendalam serta menjadikan mereka graduan NDT yang berkemahiran tinggi, berdasarkan permintaan yang tinggi dalam pasaran industri minyak dan gas dalam dan luar negara.
“Selain mempunyai pengalaman dalam menawarkan program ini, TATiUC juga mempunyai tenaga pengajar yang berkualiti dalam bidang NDT. Selain mengajar, mereka pernah bekerja di industri dan sekaligus dapat membantu para pelajar belajar dengan lebih berkesan dalam bidang tersebut,” katanya.
TATiUC turut mempunyai kemudahan-kemudahan makmal yang lengkap antaranya makmal `Penetrant Testing', makmal `Magnetic Particle Testing', makmal `Ultrasonic Testing; dan makmal `Radiographic'.
Makmal lain seperti makmal elektrik dan elektronik serta makmal instrumentasi yang terdapat di Fakulti Elektrik dan Automasi akan digunakan sebagai sebahagian makmal Diploma NDT itu.
Dalam pada itu, TATiUC juga telah menjalinkan kerjasama dengan rakan industri dalam bidang minyak dan gas, antaranya Petronas, `Schlumberger Oilfield 'dan Huntsman Tioxides (M) Sdn Bhd. Kerjasama dengan syarikat tersebut telah dapat membantu membangunkan bidang NDT di TATiUC.
TATiUC berharap dengan kepakaran dan pengalaman dalam bidang itu, program Diploma NDT dapat menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut untuk dipasarkan ke industri tempatan dan juga luar negara.
UKOM