Halaman

14 January 2010

SUK Dirai Sebelum Bersara

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Perasaan sebak dan terharu jelas terpapar pada wajah Dato' Mokhtar Nong, sebaik mengumumkan persaraannya dari jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika majlis meraikan persaraannya di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pesanan keramat ibu, membuatkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, yang bakal bersara 15 April ini, tidak mampu menahan sebak hingga nada ucapannya tersekat-sekat, sempena majlis meraikan persaraannya, di Wisma Darul Iman (WDI), hari ini (13 Januari).

Malah, beliau terpaksa mengambil masa beberapa minit sebelum dapat meneruskan pesanan ibunya untuk dikongsi bersama-sama warga WDI dan akhirnya terpaksa menghentikan serta-merta ucapan dengan pesanan tersebut.


Dato' Mazlan Ngah (kiri) yang akan memangku jawatan SUK menyampaikan cenderahati kepada Dato' Mokhtar Nong.

Walaupun Dato’ Mokhtar hanya sempat melontar sebaris pesanan ringkas berbunyi `Setinggi mana pangkat yang kita sandang, jangan lupa orang di bawah kita kerana mereka juga perlu diberi perhatian’, ia menyentuh hati pegawai kanan dan kakitangan awam yang turut hadir pada majlis tersebut.

Sebahagian besar kakitangan awam turut menangis bersama-sama Mokhtar yang tidak mampu meneruskan ucapannya kerana amat terharu apabila mengenangkan pesanan itu serta kepiluannya meninggalkan rakan-rakan yang masih dalam perkhidmatan dan orang bawahannya.


Dato' Mokhtar Nong berbincang sesuatu dengan pegawai kanan kerajaan.

Dato’ Mokhtar akan bercuti mulai esok dan bersara mulai 15 April depan. Sepanjang tiga bulan beliau bercuti, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, akan memangku jawatannya.

Terdahulu, Timbalan Setiusaha Kerajaan (Pengurusan), Haji Husain Embong, berkata pesaraan Dato’ Mokhtar merupakan satu kehilangan besar bagi kerajaan negeri kerana beliau sentiasa komited dalam kerja.


Kakitangan kerajaan bersalaman dengan Dato' Mokhtar di majlis perpisahan beliau.

Beliau berkata, SUK mudah didekati semua pihak, bukan sahaja pegawai atasan malah kakitangan bawahan.

“Walaupun memilki suara agak lantang tetapi sangat disenangi dan mempunyai bukti pekerti yang tinggi.

“Sepanjang menjalankan tugas, pelbagai pendekatan dilaksanakan semata-mata ingin menaikkan imej dan produktiviti negeri,” katanya.

Menurutnya, usaha gigih Dato’ Mokhtar meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan, mampu menaiktaraf mutu perkhimatan kerajaan negeri hingga mencapai tahap empat bintang mengikut penilaian MAMPU.

“Sebagai kesimpulannya, Dato’ Mokhtar telah berjaya menjalankan tugas dengan sempurna dan saya percaya penggantinya selepas ini akan melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang,” katanya.

UKOM