Dato' Seri Shahrizat memberi amanat kepada petugas Wanita UMNO Terengganu.
Petugas-petugas pilihanraya Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Negeri Terengganu disaran bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen Hulu Selangor milik Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil P094 pada 25 April depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, anggaplah tanggungjawab ini satu ibadah demi memperjuangkan keutuhan agama, bangsa dan Negara.
“Puan-puan sanggup datang dari jauh, tinggalkan suami dan anak-anak kerana menjalankan tanggungjawab membantu jentera parti BN,”katanya di majlis perjumpaan dengan jentera pilihanraya Wanita Perhubungan Terengganu di Felda Sungai Tengi hari ini.
Katanya, jika ada sebarang masalah berbangkit, sila buat catatan kemudian panjangkan kepada pemimpin atasan agar dapat ditangani dengan segera.
“Setiap aktiviti yang ingin dilaksanakan biarlah selari dengan kehendak masyarakat tempatan kerana mereka lebih arif tentang kecenderungan penduduk pada satu-satu tempat,” katanya.
Dato’ Seri Shahrizat melahirkan rasa yakin dengan kelebihan yang ada pada jentera wanita bagi menarik pengundi untuk memilih BN dalam pilihanraya kecil nanti.
“Kita lakukan kerja dengan ikhlas dan jujur untuk membela nasib bangsa dan agama, insya Allah tugas kita ini direstui dan diberkati,” katanya.
TEGANUKITA