Halaman

24 April 2010

MB Terengganu Bermandi Peluh

Laporan daripada Esah Abdullah dan Anida Abd Ghani dari Hulu Selangor



Dato' Ahmad bersama jentera parti meninjau di Ladang Nigel Gardner.

Sanggup bermandi peluh, demi untuk bertemu dengan lebih dekat dan bercakap dari hati ke hati dengan penduduk yang tinggal di Ladang Nigel Gardner walaupun terpaksa berjalan kaki mendaki bukit dan menuruni cerun yang dalam.

Tetapi itulah hakikat yang dilalui Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dalam kunjungan beliau ke Parlimen Hulu Selangor untuk membantu jentera parti dalam menghadapi Pilihanraya Kecil P094 pada Ahad ini.


Ladang Nigel Gardner didiami 70 keluarga atau 1,286 pengundi iaitu 722 India, 405 (Melayu) dan 155 orang (Cina) yang rata-rata bekerja di ladang kelapa sawit di sekitar tempat tingggal mereka.

Kunjungan Dato’ Ahmad dan rombongan diiringi petugas parti bahagian Kemaman termasuk Wanita, Pemuda, Puteri disambut oleh Pengerusi MIC Nigel Gardner, Encik Nagamutu dan Ketua Wanita, Puan Rohani Osman serta masyarakat tempatan.

Dalam kunjungan tersebut, Dato’ Ahmad turut menyampaikan sumbangan hamper berupa beras, gula, gandum, susu dan sardin bagi keperluan penduduk di situ.

Dato’ Ahmad kemudiannya turut singgah ke Bilik Gerakan Cawangan Puteri di Felda Sungai Tengi dan diberi taklimat ringkas serta mengunjungi warga emas yang uzur di sekitar Felda Sungai Tengi.


Dato' Ahmad bertanya khabar warga emas Rainah Adon yang lumpur separuh badan.
Seorang warga emas, Puan Rainah Adon yang lumpuh separuh badan melahirkan rasa terharu dan terkejut kerana seorang Menteri Besar sanggup datang ke rumah beliau serta bertanya khabar.
Sementara itu Puan Misiah Riso turut terharu apabila menerima kunjungan Dato' Ahmad ke rumahnya.


Simpati ... Dato' Ahmad memegang erat warga emas yang uzur.

Encik Jailani Utoh yang uzur kerana sakit tua dan hanya mampu berbaring di katil juga seakan tergamam apabila Dato’ Ahmad mengengam erat tangannya ketika bersalam.

Dato’ Ahmad melahirkan keyakinan bahawa keprihatinan jentera Barisan Nasional (BN) yang bertungkus-lumus membantu di empat Peti Undi termasuk Kampung Sungai Dusun, Kampung Sungai Tengi dan Felda Sungai Tengi akan dapat membantu memberi kemenangan yang selesa kepada BN.

Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara P. Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.

Kerusi itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos. Daripada jumlah tersebut kaum Melayu merupakan majoriti pengundi atau 52.7 peratus, diikuti kaum Cina (16.964 atau 26.3 peratus) dan India (12,453 atau 19.3 peratus).

TEGANUKITA