Halaman

19 April 2010

Peluang BN tawan Hulu Selangor cerah

Analisis oleh: Kamarudin Mat Akib di Hulu Selangor

AYAM SERAMA AYAM SELASIH,
UNDI BN TERIMA KASIH.

Pantun dua kerat di atas agak janggal bunyinya, tetapi mesej yang ingin disampaikan amat jelas, iaitu mengingatkan pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, 25 April ini.

Pantun yang dipaparkan di sebidang kain rentang yang diletakkan di tepi sebuah estet berhampiran pekan Tanjong Malim itu, sangat wajar diberi perhatian oleh para pengundi di kawasan berkenaan.

Inilah peluang mereka memilih calon yang lebih sesuai dan prihatin dalam membela nasib mereka pada masa depan. Tentunya mereka tidak akan membiarkan ‘pisang berbuah dua kali’ atas kesilapan mereka mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu.

Kali ini pengundi di kawasan berpeluang memperbaiki kesilapan lalu dengan memberi peluang kepada calon BN, P Kamalanathan untuk berkhidmat di kawasan tersebut.

“Bagi orang lama, terutama generasi peneroka asal Felda sudah pasti akan memilih calon BN pada pilihan raya kecil Ahad ini kerana sejak dulu hingga kini sokongan mereka kepada BN masih tetap tidak berubah,” kata Sajat Sajiman, seorang peneroka di Felda Sungai Tengi.

Namun jauh di sudut hati peneroka yang semakin dimamah usia itu, beliau menaruh kebimbangan terhadap generasi baru, terutama golongan belia kerana arah sokongan mereka agak sukar diduga.

“Jika kena gaya, mereka akan sokong BN, tetapi tidak mustahil mereka akan beralih arah kepada pembangkang akibat pengaruh pihak tertentu,” katanya.

Justeru, dengan masa tempoh kempen yang tinggal beberapa hari inilah jentera pilihan raya BN perlu memberi tumpuan kepada usaha-usaha memikat pengundi muda supaya mengundi calon BN.

Beberapa tindakan tidak popular Kerajaan Selangor pimpinan PKR sejak mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-12 juga dikatakan memihak kepada BN.

Antara tindakan zalim pakatan pembangkang yang tidak disenangi rakyat, khususnya di kalangan peneroka Felda ialah menyekat usaha perbadanan tersebut membina 268 unit kediaman baru bagi generasi kedua di empat tanah rancangan tersebut di Hulu Selangor.
Felda berkenaan ialah Felda Tengi, Felda Tengi Selatan, Felda Gedangsa dan Felda Soeharto.

Warga Felda menganggap langkah tersebut sebagai tindakan yang menganiaya rakyat dan tidak akan dimaafkan mereka, sekaligus menyebabkan undi peneroka akan berpihak kepada BN.

“Pemimpin pakatan rakyat dan penyokong-penyokong mereka pernah bertindak untuk menguasai hak milik bangunan awam seperti balai raya dan dewan orang ramai seawal mereka memerintah negeri ini kerana menyangka ia milik kerajaan negeri,” kata Sajat.

Keadaan ini menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat setempat di mana sebelum ini mereka hidup dalam keadaan aman damai dan bersatu padu.

Perpecahan yang diwujudkan parti pembangkang di kalangan peneroka Felda dan penduduk negeri ini, membuka mata banyak pihak terhadap angkara dan gejala buruk yang dibawa pembangkang,

“Kali ini sudah pasti generasi kedua Felda dapat menilai ‘tembelang’ sebenar pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji manis pada musim pilihan raya, tetapi ia tidak ditunai hingga sekarang.

“Harap-harap mereka semua sudah serik dengan tipu helah parti pembangkang dan menyokong BN pula pada pilihan raya kecil ini bagi memberi peluang calon BN menang dan seterusnya mengambil langkah tertentu memperjuangkan nasib rakyat, khususnya peneroka Felda,” tambahnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yakin dengan jaminan kerajaan membela nasib masyarakat di kawasan empat Felda berkenaan, akan membawa kesan positif kepada BN.

Sewaktu ditemui di Felda Sungai Tengi beliau memberitahu bahawa Felda menyediakan peruntukan RM36.9 juta bagi memulih dan menebus kembali tanah rancangan Felda di kawasan berkenaan yang terbiar selama ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO menaruh keyakinan tinggi bahawa rakyat, khususnya pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor akan member sokongan penuh kepada BN bagi memastikan P Kamalanathan menang 25 April ini.

Katanya, dengan kerja keras semua pihak, khususnya jentera BN, peluang BN untuk merampas kembali kerusi P94 pada pilihan raya kecil ini amat cerah.

TEGANUKITA