Halaman

06 July 2014

200 anak yatim Besut terima sumbangan Pehimi.



Pehimi menyerahkan sumbangan Ramadan kepada seorang anak yatim.
Oleh: Mohammad Ishak.

GOLONGAN miskin dan anak yatim mendapat rezeki bertambah pada bulan Ramadan apabila lebih ramai yang tanpil memberi bantuan dan sumbangan kepada mereka yang sememangnya memerlukan bantuan. 

Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, tidak ketinggalan mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini dengan mengumpul anak yatim di kawasan berkenaan untuk menerima sumbangan wang tunai.

Seorang anak yatim gembira terima sumbangan.
Seramai 200 anak yatim diraikan dalam satu majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan masyarakat setempat pada majlis yang berlangsung di perkarangan Pejabat Penyelaras DUN Jertih, di Gong Kemuntong, Jertih.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Muhamad Pehimi Yusof yang juga ADUN Jertih, selaku tuan rumah menyampaikan sumbangan kepada anak yatim terbabit.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut serta Ketua Umno Cawangan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan berkenaan.

Selain Muhamad Pehimi, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa juga turut mengadakan majlis serupa bagi DUN berkenaan yang diadakan di Kampung Raja. Kedua-dua majlis anjuran pemimpin kerajaan itu ternyata mendapat sambutan meriah daripada orang ramai dan membuktikan sokongan rakyat kepada kerajaan yang ada sekarang.