Halaman

24 January 2010

TBKids Diperluas ke Tadika Cina.

Oleh: Esah Abdullah


Pengurus Besar Top It, Encik Mohd Isa Nik ketika mengadakan sidang akhbar pada sesi lawatan media ke pemasangan eBook di Gong Badak.

Program Terengganu Brilliant Kids (TBKids) yang bertujuan meningkatkan mutu pembelajaran di peringkat pra-sekolah, akan diperluaskan ke 38 buah Tadika Cina di seluruh negeri, mulai tahun ini.

Pengarah Eksekutif Top IT Industries Sdn Bhd, Encik Mohd Isa Nik berkata, usaha mengemaskini serta memasukkan program dalam bahasa Cina sedang dilakukan dan ia dijangka siap sepenuhnya pada April atau Mei depan.

Beliau berkata, pihaknya menerima peruntukan RM350,000 daripada kerajaan negeri untuk merealisasikan usaha tersebut agar kandungan silibus program TBKids mengikut piawaian dan kualiti yang digariskan bersesuaian dengan kanak-kanak tadika berumur lima hingga enam tahun.

“Tahun ini 963 buah tadika seluruh negeri mula menggunakan TBKids secara menyeluruh membabitkan empat agensi utama iaitu Kemas (602), Jabatan Perpaduan (52), kelas pra-sekolah di bawah Jabatan Pelajaran Terengganu (292) dan Yayasan Islam Terengganu (17),” katanya dalam sidang media bersempena lawatan wakil-wakil media ke kilang e-Book di Gong Badak baru-baru ini.

Terdapat enam mata pelajaran utama dalam program ini iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral dan Pendidikan Jawi yang turut disertakan buku latihan TBKids bagi setiap mata pelajaran mengikut tahun.

“Menggunakan papan sesentuh atau ‘Interactive White Board’ mengandungi elemen-elemen seperti audio, visual dan multimedia serta latihan-latihan yang menguji tahap kecerdasan dan keterlibatan murid-murid dalam sesi pembelajaran,” katanya.

Kaedah ini secara langsung dapat mengatasi masalah murid yang tidak fokus dan kurang minat terhadap kaedah pembelajaran formal dalam kelas yang lebih bersifat konservatif dan kurang menarik.

Ternyata, program TBKids yang diilham oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berjaya memperkasa dan meningkatkan lagi kualiti serta taraf pendidikan pada peringkat pra- sekolah di negeri ini.

Tambahnya, kandungan silibus pengajaran berteraskan ‘multi-racial and religious’ yang diterapkan dalam program itu menjadi pemangkin dalam menjana hubungan baik serta memupuk semangat toleransi antara kaum, bangsa dan agama yang menjadi teras utama dalam mencapai konsep ‘1 Malaysia’.

TEGANUKITA

Adik Mohd Khaidill Semakin Sihat

Oleh: Zulkipli bin CW. Putera/ Harun bin Hassan dan Mohd Yahya Muda (yang berada di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur)

23 Januari 2010

Mohd Khadill yang sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Prince Court telah dipindahkan dari unit rawatan rapi dan ditempatkan di wad biasa pada jam 11.30 pagi tadi.

Menurut pakar perubatan Prince Court, Mohd Khaidill cepat sembuh dan berdasarkan perkembangan terkini yang memberangsangkan, pesakit mungkin akan dibenarkan pulang dalam tempoh singkat.

UKOM

Turun Padang Dekati Hati Rakyat

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kepimpinan Umno negeri perlu turun padang menemui rakyat bagi menyelami hati nurani mereka seiring dengan Program Juara Rakyat yang diperkenalkan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata agenda Program Juara Rakyat member tumpuan kepada gerak kerja untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, program tersebut sewajarnya disokong oleh kepimpinan Umno di pelbagai peringkat dengan menyusun program-program yang hampir dengan kehendak rakyat.

“Kita putuskan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri semalam bahawa apa yang dirancang oleh Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak akan kita teruskan.

“Berbekal dengan semangat dan iltizam itulah kita mahukan Program Juara Rakyat dijadikan kaedah sebagai saluran mendekati rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat yang bertemakan Pendidikan peringkat negeri di Dewan Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu, Kuala Terengganu, kelmarin (22 Januari).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan saf kepimpinan Umno turut hadir pada perhimpunan yang bertujuan menaikkan semangat juang parti itu.

Mengenai peluang Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri pada pilihan raya umum akan datang, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, peluang kemenangan amat besar dan tidak seharusnya diragui sesiapa.

“Semua permasalahan dalaman dapat ditangani dengan baik dan apa yang penting kita perlu tingkatkan perpaduan dan penyatuan sesama sendiri.

“Agenda kita bukan untuk memenangkan mana-mana kumpulan atau individu tetapi ini adalah agenda lebih besar,” katanya.

Dato’ Hishammuddin turut memberitahu, walaupun idea mengenai Juara Rakyat ini datangnya dari Pusat, ia perlu diterjemah dan disesuaikan mengikut suasana serta tempat masing-masing.

"Hari ini program ini dibuat di Parlimen Kuala Nerus dan saya tengok sambutan amat membanggakan dan ia adalah satu permulaan dalam usaha untuk menyemarakkan semangat perjuangan dalam Umno dan BN," katanya.

Beliau berkata, bagi Umno Terengganu, pelbagai program Juara Rakyat dirancang yang akan turut membabitkan penyertaan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Program Juara Rakyat dilancarkan Perdana Menteri pada 9 Januari lalu di Rawang, Selangor, adalah sebagai tanda Umno menerima isyarat daripada rakyat supaya kembali mendampingi rakyat.

UKOM

22 January 2010

Bapa Gembira, Mohd Khaidill Semakin Sihat

Oleh: Zulkipli bin CW. Putera/ Harun bin Hassan dan Mohd Yahya Muda (yang berada di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur)


Ibu memberi minum susu kepada adik Mohd Khaidill.

Mohd Khaidill 3 tahun, yang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan jantung berlubang pada 20 Januari lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur berada dalam keadaan stabil dan kini telah semakin sihat.

Mohd Khaidill telah bernafas secara normal tanpa memerlukan alat bantuan lagi.


Kegembiraan yang terpancar di wajah seorang bapa.

Menurut bapanya, Sharifudin, anaknya sudah mula bersuara meminta makan dan minum. Mohd Khaidill nampak ceria mula bercakap dan menyebut sambil mengingati kampung halamannya.

“Haidill nak balik. Nak duduk rumah’’. Saya terharu mendengar setiap sebutan anak saya tetapi saya tahu itu menandakan anak saya semakin sihat. Dia sudah mula mengenali setiap pelawat yang datang” kata Sharifudin.


Ibu adik Mohd Khaidill cekal menunggu di wad rawatan rapi.

Tetapi, atas nasihat doktor, Mohd Khaidill perlu lebih berehat panjang sebelum berpindah ke wad biasa.

Menurut bapanya lagi, berdasarkan perkembangan terkini yang positif, anaknya itu akan dimasukkan semula ke dewan pembedahan esok untuk ditanggalkan tiub sokongan di badannya.

Dalam perkembangan lain, nama adik Mohd Khaidill mula menjadi sebutan ramai bukan sahaja kakitangan pusat perubatan, malah orang luar yang datang menerima rawatan. Bukan sahaja menyebutnya, mereka turut melawat Mohd Khaidill di wad rawatan rapi.

Mereka mengagumi langkah Kerajaan Negeri Terengganu yang begitu mengambil berat terhadap rakyat menghidapi penyakit kritikal seperti jantung belubang. Nama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said juga bermain di bibir mereka.


Staf Pusat Perubatan Prince Court menjaga begitu baik adik Mohd Khaidill.

Ramai menyifatkan langkah Kerajaan Negeri Terengganu yang sudi menanggung kos rawatan adalah tepat pada masanya bagi membantu rakyat tidak kemampuan untuk mendapatkan rawatan.

UKOM

MB Tidak Puas Hati Tahap Kebersihan Pasar Payang

KUALA TERENGGANU, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada Khamis melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kebersihan Pasar Besar Payang di sini yang disifatkannya belum memuaskan.

Justeru itu, katanya kerjasama daripada peniaga di kawasan itu amat diharap bagi menjaga imej negeri selaras dengan statusnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Pantai.

"Tahap kebersihan perlu ditingkat lagi kerana Pasar Payang ini merupakan tumpuan utama pelancong ke negeri ini selain kemudahan-kemudahan lain yang ditawarkan.

"Jangan hanya berharap kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dalam menjaga kebersihan di sini. Kalau tempat busuk, kotor dan tak diurus dengan sempurna siapa yang nak datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Ramah Mesra dan Memasak Bubur Asyura di perkarangan Pasar Besar Payang di sini.

Ahmad berkata kerajaan negeri memperuntukan lebih setengah juta untuk kebersihan pasar berkenaan dan kira-kira tujuh juta untuk kebersihan Kuala Terengganu.

"Dalam kita mengharapkan prasarana kelas pertama, perlulah ada perubahan dari segi sikap dan mentaliti. Kita tak boleh berada di takuk lama," katanya.

Sementara itu, Ahmad meminta peniaga Pasar Besar Payang tidak menaikan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya kepada pelancong luar kerana ia akan menjejaskan sektor pelancongan dan imej negeri.

-- BERNAMA

WWF-Malaysia Mohon Undang-Undang Persekutuan Bagi Pemuliharaan Penyu Digubal

PETALING JAYA, 21 Jan (Bernama) -- WWF-Malaysia akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April mengenai keperluan menggubal undang-undang persekutuan yang komprehensif bagi pemuliharaan penyu.

Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius S. K. Sharma berkata penggubalan perundangan persekutuan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, hanya negeri-negeri sahaja mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai penyu.

"Memandangkan kita (Malaysia) masih lagi sebuah negara yang menjadi tempat bagi penyu belimbing bertelur, sudah tiba masanya bagi kerajaan melakukan perubahan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan penyu pupus di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen perundangan bagi penyu "Egg=Life" di sini pada hari Khamis.

Katanya Semenanjung Malaysia, terutamanya di Terengganu telah menjadi tempat penyu bertelur. Namun, kehadiran penyu-penyu bertelur berkurangan 80 peratus sejak 1950-an, umumnya kerana pengambilan telur-telur penyu untuk kegunaan manusia.

Justeru, pembangunan satu perundangan yang komprehensif beserta penguatkuasaan ketat dan sumber mencukupi bagi melaksanakan undang-undang seumpamanya amat diperlukan, katanya.

-- BERNAMA

21 January 2010

Adik Mohd Khaidill Semakin Stabil

Oleh: Zulkipli bin CW. Putera/ Harun bin Hassan dan Mohd Yahya Muda (yang berada di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur)



Mohd Khaidill sudah mula sedar dan menunjukkan respon positif disisi ayahnya, Sharifudin di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Tidak sampai 48 jam, adik Mohd Khaidill Sharifudin sudah mula sedar selepas selamat menjalani pembedahan jantung semalam (20 Januari).

Seawal pagi ini (21 Januari), kanak-kanak berusia tiga tahun itu semakin stabil dan baik tetapi masih ditempatkan di wad rawatan rapi dan dipantau dari semasa ke semasa di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.



“Nak air Milo”…Itulah ungkapan pertama adik Mohd Khaidill kepada ibu dan ayahnya yang berada disisinya di wad rawatan rapi selepas sedar walaupun dijangkakan ubat bius mampu bertahan sehingga 48 jam.

“Berdasarkan respon positif adik Mohd Khaidill, pesakit mungkin dibenarkan keluar dari wad rawatan rapi dalam masa terdekat sebelum di hantar ke wad biasa,” kata perunding Anaesthetist pusat perubatan itu, Dr. Hoe Kak Siong.

Katanya, Mohd Khaidill tidak perlu lagi mendapat sokongan oksigen dari mesin, tetapi sudah mampu bernafas secara normal. Jika pesakit terus menunjukkan respon sedemikian, tidak mustahil adik Mohd Khaidill akan cepat sembuh.



Adik Mohd Khaidill selamat menjalani pembedahan jantung berlubang dan membesarkan saluran injap. Pembedahan bermula jam 9.45 pagi memakan masa kira-kira 11 jam diketuai pakar pembedahan jantung, Doktor David Khoo Sin Kiat.

Kos rawatannya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

UKOM

Pentadbiran negeri dirombak

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Pentadbiran negeri dirombak bagi mengisi kekosongan pelbagai jawatan penting, berikutan persaraan Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato’ Haji Mokhtar Nong.

Arahan pertukaran tersebut yang menyaksikan pertukaran 48 pegawai tadbir negeri, dikeluarkan Pejabat SUK, hari ini (20 Januari) dan ditandatangani Pemangku SUK, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim dilantik sebagai Timbalan SUK (Pembangunan) dan beliau diganti oleh Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Encik Mustofa Abd Rahman akan memegang jawatan Pegawai Daerah Dungun dan tempatnya diganti Timbalan SUK (Pengurusan), Haji Husain Embong.

Setiausaha Sulit Kanan Kepada YAB Menteri Besar, Haji Wan Ahamad Wan Muda pula menggantikan Haji Husain manakala Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Dato’ Alim Muda dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Skills Development Center (Kolej) TESDEC.

Pegawai Daerah Setiu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala Terengganu manakala tempatnya digantikan Pengarah Institut Intergriti Negeri, Mohd Akil Mat.

Pegawai Daerah Dungun, Zulkifli Mohamad, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Osman Muda akan memegang jawatan Pengarah PTG manakala tempatnya digantikan Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Mustafar Khalid.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Aziz Mat, dilantik sebagai Pengarah Yayasan Terengganu dan tempatnya diganti Pegawai Daerah Besut, Wan Mohd Wan Ibrahim.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Mohd Zulkifli Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Makro) UPEN manakala tempatnya diganti Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

UKOM

20 January 2010

Adik Mohd Khaidill Selamat Jalani Pembedahan

Oleh: Harun bin Hassan / Zulkipli Putra dan Mohd Yahya Muda (yang berada di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur)


Pembedahan ke atas adik Mohd Khaidill dilakukan di dewan bedah di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur yang diketuai oleh pakar pembedahan jantung, Dr David Khoo Sin Kiat. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Berkat doa semua, adik Mohd Khaidill Sharifudin, tiga tahun, selamat menjalani pembedahan jantung berlubang dan membesarkan saluran injap hari ini (20 Januari) di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Keadaan pesakit jantung berlubang itu stabil dan baik selepas menjalani sesi pembedahan yang bermula pada jam 9.45 pagi tadi.

Adik Mohd Khaidill telah dipindahkan dari unit pembedahan ke pusat rawatan rapi hospital itu kira-kira pada jam 8.00 malam tadi.

Menurut pakar pusat perubatan itu, Dr David berkata, berdasarkan perkembangan terkini pesakit akan berada di pusat rawatan rapi hospital itu bagi pemantauan dari semasa ke semasa dalam tempoh 48 jam.

Pesakit telah berjaya menjalani pembedahan penutupan lubang dan pembesaran saiz saluran ke injap pada otot jantung serentak dan aliran oksigen dalam darah yang kembali normal.


Adik Mohd Khaidill bersama ibunya sebelum memasuki dewan bedah.

Dalam perkembangan yang sama ketika dihubungi oleh Radio Terengganu FM, Encik Sharifudin bapa kepada Mohd Khaidill mengucapkan terima kasih di atas jasa baik YAB Dato’ Haji Ahmad Said kerana kerjasama dan sokongan yang diberikan serta kos rawatan anaknya itu telah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu.


Mohd Khaidill dibawa ke wad rawatan rapi selepas selesai menjalani pembedahan.

“Dikesempatan ini, saya juga berterimakasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu, terutama kepada pemimpin nombor satu, Dato’ Ahmad Said, kerana begitu cakna soal kebajikan rakyat sehingga sanggup menanggung semua kos pembedahan ini,” katanya.

Encik Sharifudin juga meminta agar semua rakyat Terengganu untuk turut sama-sama berdoa agar adik Mohd Khaidill selamat dan cepat sembuh.

UKOM


19 January 2010

MB Lawat Mohd Khaidill

Oleh: Harun bin Hassan / Zulkipli Putra dan Mohd Yahya Muda (yang berada di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur)


Walaupun sibuk dengan tugas rasmi harian, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Haji Ahmad Said melawat adik Mohd Khaidill yang akan menjalani pembedahan jantung berlubang di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur esok.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said telah meluangkan masa hampir sejam untuk melawat pesakit jantung berlubang, Mohd Khaidill Sharifudin kanak-kanak berusia tiga tahun yang baru sahaja selesai menjalani ujian catheter di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada jam 10.30 pagi tadi. (19 Januari 2010).

Dato’ Ahmad diberi taklimat oleh Pakar perubatan hospital itu, Dr David mengenai penyakit serta prosidur pembedahan Mohd Khadill. Turut hadir ialah Setiausaha Sulit YAB MB, Encik Azman Ghani dan keluarga Mohd Khaidill.

Mohd Khaidill telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court pada 18 Januari 2010, dan telah menjalani ujian catheter pada jam 9.00 pagi tadi. Berdasarkan keputusan ujian tersebut pesakit berkenaan akan dimasukkan ke bilik pembedahan pada jam 9.00 pagi esok.


Mohd Khaidill Sharifudin ketika menjalani ujian catheter.

Mohd Khaidill Sharifudin, menghidap penyakit jantung berlubang telah menjalani pemeriksaan melalui imbasan 2D Ecocardiogram pada 2 Januari, 2010 lalu.

Pesakit dari Kampung Lubuk Lesung, Kemaman itu telah dibawa ke hospital berkenaan dan telahpun menjalani pemeriksaan awal penyakitnya pada 1 Disember 2009 lalu, untuk pengesahan tahap penyakit yang dialaminya.

Menurut bapanya, Mohd Khaidill telah dimasukkan pada jam 10.00 pagi semalam, menjalani beberapa pemeriksaan perubatan seperti x-ray, ujian darah dan berpuasa sejak jam 2.00 pagi tadi untuk persediaan bagi ujian catheter tersebut.

Menurut pakar perubatan Hospital Prince Court, pesakit menghadapi masalah jantung berlubang dan juga mengalami ruang injap pembuluh darah ke paru-paru yang agak sempit akan menjalani pembedahan penutupan lubang dan pembesaran ukuran pada otot jantung serentak bagi memastikan paras oksigen dalam aliran darah yang normal.


Encik Sharifudin, bapa Mohd Khaidill ketika menerangkan kepada isteri dan sanak-saudaranya.

Dan esok (20 Januari) adalah hari penentuannya, adik Mohd Khaidill akan menjalani pembedahan di mana kos rawatannya akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Ia merupakan `hadiah’ kerajaan negeri kepada rakyat Terengganu. Marilah kita bersama-sama berdoa agar pembedahan adik Mohd Khaidill berjaya.

UKOM