Halaman

23 June 2010

PENTERNAKAN KAMBING ECERDC DI TERENGGANU

Oleh : Wan Haironniza Wan Naim

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), dijangka akan membangunkan 35 buah ladang yang melibatkan 36,000 ekor kambing menjelang 2015 di negeri ini.
Dijangkakan 216 tan daging kambing bakal diperolehi dalam projek yang akan dilaksanakan ini.

Perkara ini diberitahu oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Dato’ Jebasingam Issace John melalui siaran akhbar sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama ECERDC dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Wisma Darul Iman, semalam (14 Jun).

Katanya sebanyak 12,620 ekor kambing jenis Boer disasarkan oleh ECER dalam tempoh lima tahun pertama projek ini sekaligus akan menjadi asas permulaan yang penting bagi merealisasikan program pembiakan kambing Boer di Terengganu pada masa hadapan.
Sebagai langkah permulaan, ECERDC akan membekalkan sebanyak 530 ekor kambing baka asli kepada JPV dan akan diserahkan kepada Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn. Bhd (TADC) bagi tujuan pembiakan, manakala baki selebihnya, sebanyak 1,590 ekor kambing akan ditempatkan di ladang komersil.

Dato’ Jebasingam Issace John juga berkata, “Salah satu objektif utama kerjasama ini adalah bagi mewujudkan program penternakan kambing yang sistematik dan mampan bagi meningkatkan pengeluaran kambing di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)”.

Selain menandatangani perjanjian kerjasama dengan JPV dan MARDI, pada masa sama ECERDC mengadakan perjanjian komersil bersama TADC disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Usahasama ini diharap akan dapat menjayakan lagi program penternakan kambing di Terengganu dan menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah pengeluar kambing terbesar di Malaysia kelak, katanya.

Di bawah perjanjian ini, ECERDC bertindak dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bagi Pusat Pembiakan dan Inovasi Kambing di Ulu Tersat, yang merangkumi Kompleks Penyelidikan dan Pembangunan, Ladang Nukleus, Kompleks Komersil, kilang makanan dan lima Ladang Pengganda.

Tambah beliau, pembinaan Pusat Pembiakan dan Inovasi Kambing Kuala Berang dijangka akan bermula pada Ogos ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sementara itu, JPV akan menyediakan perkhidmatan veterinar dan kepakaran mereka dalam projek ini, manakala MARDI pula akan melaksana dan menjalankan kerja-kerja penyelidikan serta pembangunan pembiakan bagi memastikan objektif projek ini berjaya dicapai.

Bagi tujuan ini juga, TADC akan mengendalikan dan menguruskan secara komersil operasi sebuah ladang Pengganda Kambing di Pusat Pembiakan dan Inovasi Kambing Kuala Berang, dan sebuah ladang komersil di Telaga Papan, Setiu.

Dato’ Ahmad (Menteri Besar) ketika mengulas berkaitan perkara tersebut selepas majlis menandatangani perjanjian itu berkata, kerajaan negeri yakin projek itu akan memberi impak yang tinggi kepada pembangunan ekonomi negeri dan rakyat negeri ini.


TEGANUKITA

19 June 2010

Terengganu Juara Sukma Kedua Berturut-Turut

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu membuktikan kontinjennya bukan `jaguh kampung’ yang hanya mampu juara sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 lalu, apabila muncul juara Sukma Melaka ke-13 untuk kali kedua berturut-turut dalam temasya yang menutup tirai hari ini (19 Jun).

Slogan `Terengganu Nelang’ ternyata berjaya membawa atlit Terengganu ke puncak kejayaan dengan memungut 47 pingat emas mengatasi Selangor di tangga kedua dengan kelebihan empat pingat emas dan berkongsi 43 pingat emas dengan Wilayah Persekutuan (tangga ketiga).

Kontinjen Terengganu meraih 30 perak dan 43 gangsa menjadikan 120 pingat keseluruhan mencuri tumpuan ramai pada hari-hari terakhir temasya apabila melonjak naik mengatasi kontinjen yang lebih awal mendominasi tangga teratas carta kedudukan pingat terutama Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor.

Biarpun pada hari kelima dan keenam temasya Sukma itu, Terengganu agak ketinggalan dalam pungutan pingat dan hanya berada di tangga lapan tercorot. Kontinjen Terengganu bagaimanpun mencongak mata dan naik daripada tangga kelima untuk berada di dua tempat teratas serta saling pintas memintas dengan Wilayah Persekutuan.

Secara mutlaknya, penamat Sukma Melaka merekodkan Terengganu sebagai juara keseluruhan dan membawa berita gembira buat sejuta rakyat Terengganu terutama Kerajaan Negeri yang sentiasa menyokong dan menjaga kebajikan atlit serta penggiat sukan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd said, berkata kejayaan Terengganu membuktikan Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara sebagaimana yang pernah diuar-uarkan dalam ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 2008 lalu.

Katanya, emas terakhir kontinjen Terengganu dipungut menerusi sukan teras dan paling dinanti-nantikan iaitu bola sepak apabila berjaya mengalahkan Selangor dengan 1-0.

“Pasukan bola sepak yang dibarisi pemain berpengalaman daripada persatuan bola sepak negeri, pasukan Terengganu dan T-Team mengesahkan kemenangan untuk edisi Sukma yang ketiga berturut-turut hasil kemenangan 1-0 ketika menentang Selangor malam semalam,” kata beliau ketika menjadi tamu khas Imbasan Sukma Ke-13 di TV1, petang ini.

Katanya, kejayaan kontinjen Terengganu membolehkan janji Kerajaan Terengganu untuk menghadiahkan insentif kepada pemenang yang mampu mengekalkan kejuaraan dengan RM5,000 untuk pingat emas dan RM3,000 serta RM2,000 untuk pingat perak dan gangsa akan dikotakan.

“Kekalkan kejuaraan suatu yang tidak dapat dilupakan, kerana kita jangka Wilayah Persekutuan yang akan menggugat kedudukan kita, tetapi akhirnya Selangor akhirnya yang mencabar kita sebelum kekal sebagai juara. Sebenarnya kekuatan Kontinjen Terengganu atas sokongan kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) yang menonjol dengan slogan `Terengganu nelang’.

“Persediaan lebih awal termasuk bengkel sebelum bermulanya Sukma membuatkan atlit Terengganu lebih bersedia dan membuktikan mereka bukan jaguh kampung yang hanya berjaya di laman sendiri,” katanya.

Katanya, kontinjen Terengganu juga tidak menduga cabaran lapan pasukan teratas dalam Sukma kali ini dan tetap optimis untuk bersaing di tempat yang terbaik walaupun gagal menepati sasaran awal 66 emas akibat gagal dalam beberapa acara sasaran.

Pungutan emas terbanyak diraih menerusi acara kanu sebanyak 12 pingat emas diikuti basikal lapan, olahraga (enam ); judo, pencak silat dan angkat berat menyumbang lima pingat emas. Manakala enam emas lagi masing-masing menerusi bola sepak, tinju, lawn bowls, sepak takraw, ragbi dan ekuestrian.

TEGANUKITA

16 June 2010

KEPUTUSAN SUKMA XIII 2010 - MELAKA

ONLINE KEPUTUSAN SUKMA XIII 2010 - MELAKA

Kontinjen Sukma Terengganu Melonjak

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kontinjen Terengganu membolot 12 pingat emas pada hari keenam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Melaka Ke-13 yang menawarkan 72 emas keseluruhan (hari ini), sekaligus memintas kontinjen lain bagi membaiki kedudukan dari tangga kesembilan ke tangga kelima hari ini (15 Jun).

Sehingga petang ini, Terengganu merekod 22 emas, 13 perak dan 19 gangsa dengan jumlah 54 pungutan pingat dan berkongsi jumlah emas serta pungutan pingat dengan kontinjen tuan rumah, Melaka yang berada di tempat keempat.

Sementara Wilayah Persekutuan masih kekal di tempat pertama (29 emas), diikuti Selangor dan Kedah masing-masing 25 emas.

Daripada sepuluh emas yang diraih atlit Terengganu sepanjang temasya yang berlangsung di pelbagai venue hari ini, kanu menjadi antara penyumbang terbesar dengan pungutan tiga emas ( satu perak dan satu gangsa).

Satu lagi acara yang menjadi sasaran pingat, pencak silat turut menghadiahkan tiga emas menjadikan pungutan pingat keseluruhan sebanyak lima emas, diikuti tiga perak dan enam gangsa.

Angkat berat turut menambah satu lagi koleksi emas menjadikan jumlah pungutan tiga emas, satu perak dan satu gangsa bagi acara itu. Dua pingat emas menerusi Mohd Hafifi Mansor (kategori 69 kilogram) berjaya dihasilkan semalam (14 Jun).

Hari ini juga menyaksikan skuad olahraga menghasilkan dua emas menerusi acara lompat kijang wanita dan lontar peluru lelaki, selain tiga perak dan satu gangsa yang terkumpul sejak acara itu dipertandingkan dua hari lalu.

satu rekod kebangsaan dicatatkan menerusi atlit negara, Adi Alifudin Hassan selepas menghasilkan lontaran pada jarak 17.31 meter membaiki rekod 17.18 meter yang pernah dicatatkan atlit berusia 22 tahun itu ketika di Sukan Sea Laos tahun lalu.

Tidak terkecuali, sepak takraw menyumbang satu emas serta dua emas terakhir kontinjen Terengganu pada hari ini terhasil daripada acara berbasikal. Basikal menjadi penyumbang ter besar pingat emas dengan pungutan tujuh emas, dua perak dan dua gangsa yang berjaya diraih sejak 12 Jun lalu.

Ekuestrian pula merekodkan satu emas untuk Terengganu pada hari ketiga temasya berkenaan.

BERITA TERDAHULU :

Kontinjen Terengganu membolot sepuluh pingat emas pada hari ketujuh temasya Sukan Malaysia (Sukma) Melaka Ke-13 yang menawarkan 72 emas keseluruhan, sekaligus memintas kontinjen lain untuk membaiki kedudukan dari tangga kesembilan ke tangga kelima hari ini (15 Jun).

Sehingga petang ini, Terengganu merekod 20 emas, 13 perak dan 19 gangsa dengan jumlah pungutan pingat kesemuanya 52, di belakang pasukan tuan rumah, Melaka yang hanya dibezakan dengan satu emas. Sementara Wilayah Persekutuan masih bertahan di tempat pertama (28 emas), diikuti Selangor dan Kedah masing-masing 25 emas.

Daripada sepuluh emas yang diraih atlit Terengganu sepanjang temasya yang berlangsung di pelbagai venue hari ini, kanu menjadi antara penyumbang terbesar dengan pungutan tiga emas ( satu perak dan satu gangsa).

Satu lagi acara yang menjadi sasaran pingat, pencak silat turut menghadiahkan tiga emas menjadikan pungutan pingat keseluruhan sebanyak lima emas, diikuti tiga perak dan enam gangsa.

Angkat berat turut menambah satu lagi koleksi emas menjadikan jumlah pungutan tiga emas, satu perak dan satu gangsa bagi acara itu. Dua pingat emas menerusi Mohd Hafifi Mansor (kategori 69 kilogram) berjaya dihasilkan semalam (14 Jun).

Hari ini juga menyaksikan skuad olahraga menghasilkan dua emas menerusi acara lompat kijang wanita dan lontar peluru lelaki, selain tiga perak dan satu gangsa yang terkumpul sejak dua hari acara itu dipertandingkan di temasya Sukma.

Tidak terkecuali, sepak takraw menyumbang satu emas hari ini, manakala ekuestrian menghasilkan emas pada hari ketiga temasya. Acara berbasikal pula menjadi penyumbang ter besar dengan lima emas, dua perak dan dua gangsa yang berjaya diraih sejak 12 Jun lalu.


TEGANUKITA

Rakyat Terengganu Sumbang Tabung Gaza

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kesengsaraan penduduk di Palestin yang dizalimi tentera rejim zionis Israel mendapat perhatian kerajaan negeri serta rakyat Terengganu apabila sebanyak RM121,258.80 berjaya dikumpulkan untuk Tabung Gaza.

Kesemua sumbangan yang terkumpul diserahkan oleh wakil penyumbang kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO).

Sumbangan itu termasuk RM50,000 daripada Kerajaan Terengganu, Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu (RM5,000); TADC (RM5,000); Q-Bena (RM5,000); Gerakan Belia 4B (RM5,000) dan Pasar Raya Maiden Mall (RM10,000).

Sementara itu, Tun Dr Mahathir menggesa Mesir agar tidak terlalu mengikut telunjuk Israel yang mengadakan pemeriksaan ketat terhadap bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada penduduk Palestin di sempadan Rafah dengan alasan misi bantuan berkenaan turut membawa senjata .

Katanya, Israel bertindak dengan pelbagai cara untuk memastikan bantuan tersebut tidak sampai atau lambat tiba kepada penduduk Palestin yang memerlukannya bagi meneruskan hidup.

"Ini adalah helah Israel sahaja (mendakwa misi bantuan membawa senjata). Saya berharap kerajaan Mesir tidak akan memberi kerjasama kepada Israel," katanya ketika sidang akhbar pada program perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini (14 Jun).

Beliau berkata Israel melakukan tekanan itu sebagai tindakan halus rejim berkenaan bagi memusnahkan bangsa Palestin secara beramai-ramai atau genosid.

Tun Dr Mahathir berkata sehubungan itu, Israel akan cuba sedaya upaya menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan dan sebagainya dalam usaha mengurangkan jumlah penduduk di Semenanjung Gaza.

"Bila penduduk Palestin tiada bekalan makanan yang cukup, ubat-ubatan, tidak mampu hidup sempurna.. tidak ada rumah dan terpaksa hidup dalam khemah, dalam musim sejuk umpamanya, tua dan daif menyebabkan mereka akan mati kerana kesejukan," katanya.

Katanya, walaupun sukarelawan gagal menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini, namun apa yang berlaku kepada mereka berjaya membuka mata masyarakat dunia terhadap kezaliman Israel yang tergamak membunuh orang tidak bersenjata.

"Dunia kini sudah tahu bahawa rejim Israel bukan sahaja sanggup bunuh musuh mereka iaitu orang-orang Palestin, tetapi Turki yang mempunyai hubungan diplomatik dengan mereka pun mereka sanggup bunuh," katanya sebagai merujuk kepada tragedi 31 Mei lalu apabila tentera regim Zionis bertindak kejam membunuh sembilan aktivis serta menahan puluhan sukarelawan, termasuk 12 rakyat Malaysia, yang berada di atas kapal `Mavi Marmara’ di perairan antarabangsa ketika perjalanan ke Gaza bagi tujuan bantuan kemanusiaan.

TEGANUKITA

Pertahan Kuasa, Hak Melayu-Tun Mahathir

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Jika kaum lain menganggap orang Melayu mengagihkan kekayaan untuk golongan Melayu sahaja, mereka seharusnya membuat perhitungan dengan teliti dan teratur tanpa membuat anggapan yang tidak berasas.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian ketika berucap sebagai tamu khas program perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini (14 Jun).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Gertak, Encik Razali Idris serta lebih 2,000 wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Tun Dr Mahathir berkata, kaum Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia dan sejarah membuktikan Melayu adalah penduduk asal negara sebelum kedatangan kaum minoriti yang lain.

Menurut beliau, jika selepas merdek, kita masih berkuasa menaikkan sedikit kedudukan kaum Melayu, hari ini apa yang `sedikit’ yang terdapat pada kita itu pun hendak dilucutkan kerana didakwa tidak adil.

“Kalau dibuat perhitungan secara terperinci dan teratur siapa yang mendapat nikmat yang banyak atas kemerdekaan negara ini? Jangan kita sekaligus sahaja dengan dakwaan tertentu yang berkata orang Melayu mengambil terlalu banyak untuk diri mereka. Itu anggapan mereka . Sila buat perhitungansecara saintifik, tersusun dan teratur mengenai kekayaan negara kita, peluang yang terdapat dalam negara kita ini. Benarkan orang Melayu rebut segalanya bagi diri mereka?” kata Tun Mahathir lagi.

Malah, apabila disebut mengenai perkara itu, kaum Melayu pasti dianggap bersifat perkauman, bagaimanapun beliau menafikan dakwaan itu kerana agihan tidak boleh dilaksanakan sama rata, sebaliknya perlu dibuat secara adil dan mereka yang ketinggalan hendaklah diberi peluang berbanding mereka yang sudah berjaya, bagi mengelak jurang ketara antara golongan miskin dan kaya.

“Kita tidak harus salahkan sesiapa, kita harus salahkan diri kita sendiri. Kita yang menjadi majoriti dalam negara kita, sekarang ini sudah menjadi `minoriti’ . Dalam sistem demokrasi, puak minoriti tidak akan berkuasa, kita sebagai puak minoriti sudah hilang peluang kita untuk terus berkuasa dalam negara kita,” katanya.

Tun Dr Mahathir, berkata mungkin benar ada segelintir pendapat mengatakan jika negara dikuasai orang lain akan bertambah maju sebagaimana Singapura, yang dulunya milik Johor dan negeri Melayu, tetapi kerana tawaran wang negeri itu sanggup dijual kepada pihak British.

Akhirnya Singapura menjadi negari yang berasingan daripada kita, di mana penduduknya Melayunya hanyalah 15 peratus dan selebihnya pula dikuasai oleh kaum lain. Apabila kita menjadi minoriti dan lemah pastinya kita pula akan dikuasai pihak lain, kata Tun Mahathir lagi.

Di sebalik kemajuan Singapura kerana pemerintahan yang cekap, bagaimana pula kedudukan dan nasib kaum minoriti (Melayu) itu kini.

Kaum Melayu di negara ini juga akan menerima kesan yang sama sekiranya tidak lagi berkuasa kerana pihak lain tidak akan menjaga kepentingan kita.

“Kita bukan kata mereka mengutamakan kaum mereka. Tidak (benar dakwaan itu). Mereka tidak sesekali mengutamakan kaum mereka . Hanya mereka utamakan ialah siapa yang memiliki kebolehan yang lebih, merekalah yang berhak mendapat peluang dan mereka yang tidak mempunyai kebolehan tidak harus diberi peluang supaya (mereka) dapat meningkatkan taraf mereka . Inilah yang dipanggilkan meritokrasi.

“Tak payah sebut agama, bangsa ataupun apa, hanya disebut meritokrasi. Saya sedih terpaksa mengakui bahawa kalau kita membuat agihan di negara kita mengikut meritokrasi iaitu memberi kelebihan kepada mereka yang lebih baik, lebih boleh, maka saya fikir orang Melayu tidak akan berjaya,” katanya.

Oleh itu, katanya, kaum Melayu akan ketinggalan dan apabila ketinggalan mereka tidak akan menguasai kuasa dalam negara sekaligus gagal menolong kaum mereka .

Tun Dr Mahathir berkata, akibatnya kemerosotan akan berterusan dan jika hari ini kita menganggap memberi biasiswa kepada orang Melayu sebagai tidak adil, pastinya cerdik pandai yang ada tidak mampu menempatkan diri di tempat sepatutnya jika kita tidak memberi peluang yang lebih kepada mereka.

Sebelum itu, Tun Dr Mahathir melahirkan rasa kesal apabila pada 1998 ada individu yang mempunyai tabiat tidak baik dan tidak sesuai untuk terus memimpin negara kita, maka dia telah disingkir dan menyertai parti lawan yang lain serta membawa pendapat supaya parti lain bergabung untuk menentang parti Umno.

“Oleh itu, apabila kita perhitungkan apabila 60 peratus pengundi terdiri daripada orang Melayu, tetapi oleh kerana mereka terbahagi kepada tiga sekarang ini, sebenarnya peratusan mereka sudah jadi amat kecil, boleh dikatakan 20 peratus sahaja bagi tiap-tiap parti, dan 20 peratus tiap-tiap parti ini melawan sesama mereka menjadikan orang Melayu ini puak minoriti dalam negara ini.

“Inilah yang berlaku hasil daripada keinginan untuk merebut kuasa yang diutamakan bukan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air sebaliknya untuk mendapatkan kuasa walau dengan apapun alat yang digunakan asalkan dapat menjadi Perdana Menteri,” katanya.

TEGANUKITA

IPT dan Syarikat Tempatan Saling Melengkapi

Oleh : Aida Abdul Rahman, Nurul Faizah binti Abdullah

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan syarikat tempatan disarankan bekerjasama untuk menangani masalah pengangguran di kalangan graduan universiti tempatan, dengan mengamalkan konsep ‘saling melengkapi’ di antara satu sama lain.

Ini kerana pengangguran di kalangan graduan IPT semakin meningkat dan mereka perlu bersaing dengan tenaga kerja asing yang semakin meningkat.

“ Gabungan aspek teori dan praktikal adalah penting untuk melahirkan graduan yang berkualiti,berdaya saing serta seiring dengan kehendak pasaran serta memenuhi syarat-syarat kelayakan jawatan yang dipohon,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, di majlis perasmian Persidangan Sumber Manusia anjuran Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, di Hotel Primula, malam tadi (8 Jun).

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Dato’ Tengku Putera Awang, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri.

Terengganu merupakan destinasi ke-5 untuk persidangan ini, yang bertujuan untuk menjadi platform bertukar idea di kalangan professional sumber manusia di samping berbincang mengenai isu yang boleh diaplikasikan dari aspek akademik dan praktikal.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Nordin Kardi.

Katanya, sekiranya tidak dibendung pengambilan tenaga kerja asing di negara ini meningkat hingga ke angka lima juta orang menjelang akhir tahun 2010.

Kebanjiran tenaga kerja asing merupakan satu masalah yang serius, apatah lagi majikan lebih mengutamakan golongan ini kerana kadar upah yang diberi adalah rendah, katanya.

Katanya, kehadiran pekerja asing seringkali dikatakan memberi kesan negatif, termasuklah peningkatan keluaran wang ke luar negara yang merugikan kedudukan kewangan negara, impak kepada masalah sosial, seperti jenayah, rogol, bunuh dan sebagainya yang boleh menjejaskan imej negara Malaysia.

Beliau mengalu-alukan program ‘Train and Place’ yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia khas untuk graduan menganggur dilihat dapat mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing dalam sektor pekerjaan.

“ Pelaksanaan program sebegini dapat meningkatkan pasaran pekerjaan bagi graduan yang baru menamatkan pengajian di IPT,” katanya.
TEGANUKITA

Kayu Karas Sumber Baru Petani

Oleh: Esah Abdullah


YB Haji Khazan mengagihkan anak pokok kayu karas kepada Pengerusi JKKK Bukit Nenasi.

Golongan petani diminta memanfaatkan setiap ruang tanah kosong dengan tanaman yang boleh mendatangkan keuntungan berganda seperti tanaman Kayu Karas bagi menjana pendapatan keluarga.

“Tanaman Kayu Karas amat menguntungkan petani disamping tidak perlu cari kawasan baru untuk menanamnya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, di majlis Kempen Penanaman Kayu Karas bagi DUN Batu Rakit, di Kampung Bukit Wan, baru-baru ini.

Katanya, pokok ini tidak memerlukan kawasan khas malah boleh ditanan dikebun buahan dan akan matang dalam tempoh lima tahun.

“Saya harap penanaman kayu karas ini menjadi sumber baru bagi masyarakat tempatan kerana permintaan terhadap bahan ini begitu tinggi dan harganya mencecah RM14,000 hingga RM18,000 sekilogram mengikut gred,” katanya.

Katanya, setiap 0.4 hektar pokok ini boleh ditanam antara 430 pokok hingga 1,000 pokok dan tidak keterlaluan jika meletakkan RM1,000 sahaja setiap pokok yang menghasilkan gaharu.

YB Khazan melahirkan keyakinan, jika tanaman ini diusahakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat khidmat nasihat dari jabatan dari masa kesemasa, tidak mustahil ia menjadi sumber baru pendapatan golongan petani di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu (JPT), Dato’ Nor Akhirudin Mahmud berkata, pihaknya menanam secara ladang 40,000 pokok Kayu Karas di Mercang sebelum memperkenalkannya kepada masyarakat.luar.

“Tanaman ini berpotansi besar , sehingga ada yang mengatakan lebih bernilai daripada emas namun kini diancam kepupusan kerana hasilnya diambil dari hutan,” katanya.

Oleh itu katanya, usaha mengelak kehilangan terus pokok ini dipeta dunia perlu dilakukan dengan memberi seberapa banyak maklumat kepada masyarakat agar keberhasilan yang tinggi dapat dinikmati bersama.

Katanya, kayu karas (gaharu) digunakan dalam industri minyak wangi, produk perubatan, perubatan Ayurvedic, majlis keagamaan dan sebagainya mampu hidup ditanah pamah sehingga ketingggian 40 meter dan memerlukan taburan hujan dan kelembapan yang tinggi.

“Masyarakat perlu merebut peluang ini untuk mengusahakan secara pertanian hutan ladang dan diintergrasikan dengan pelbagai tanaman lain seperti herba dan tanaman komoditi,” katanya.

Katanya, Batu Rakit merupakan DUN kelima yang menerima pengagihan anak pokok ini dari JPT untuk memberi galakan petani mengusahakan tanaman dan pihak jabatan akan membuat pemantauan setiap enam bulan untuk melihat tumbesaran pokok.

YB Haji Khazan kemudiannya mengagihkan kira-kira 4,000 anak pokok kayu karas kepada 200 orang masyarakat tani dari 20 buah kampung dalam DUN Batu Rakit sebagai galakan tanaman tersebut.

TEGANUKITA

KERJASAMA POLITIK TELAH LAMA DIAMALKAN BN

Oleh: Putera Pesisir Air

Pakatan atau kerjasama politik bukanlah perkara baru. Persepakatan antara kaum yang sudah tentu membabitkan orang-orang Islam dan bukan Islam sudah lama dirintisi oleh UMNO, MCA dan MIC melalui ‘Perikatan’ sehingga kita mencapai kemerdekaan.

Hari ini ada pihak tertentu baru berbicara mengenai hal tersebut. Tidak tahu mengapa baru sekarang, sedangkan dulu fikiran dan ilmu pihak yang berkenaan amat negatif mengenai perkara ini, sehingga timbul isu mengkafirkan sesama Islam akibat tindakan berpakat dan bekerjasama ini.

Hari ini baru berbicara tentang pakatan dan kerjasama politik ini yang diistilahkan sebagai ‘tahaluf siyasi’ yang sebenarnya telah lama wujud.

Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama orang Islam dengan bukan Islam yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya.

Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama.

Musuh yang sama itu misalnya termasuklah komunis, penjajah dan lain-lain.
Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

Namun amatlahlah tidak betul orang Islam tertentu bekerjasama dengan bukan Islam (tahaluf Siyasi) untuk menentang musuh politiknya yang sama dalam konteks kepartian, sehingga akhirnya bekerjasama untuk menghancurkan orang Islam juga.

Kerjasama yang dipelopori oleh ‘Perikatan’ dan BN adalah untuk menentang musuh-musuh luar yang hendak mengancam negara yang didiami bersama, bukan untuk menghancurkan sesama Islam.

Kini ternyata apa yang telah dibuat oleh “Perikatan” dan “Barisan Nasional’ yang dipelopori oleh Umno sejak sekian lama baru terbukti kebenarannya sehingga membawa pemimpin-pemimpin lain yang berada di pihak pembangkang untuk mengikuti jejak yang pernah ditolak dan dicemuh itu.

Bahkan pembaca tentu masih ingat fatwa ‘kafir berikat’ pada Ogos 1963 oleh dewan ulamak sebuah parti yang bersidang di kediaman Menteri Besar Kelantan, di Kota Bharu, Kelantan, telah mengeluarkan hukum bersifat fatwa "Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram".

Harap-harap tuduhan ini telah ditarik balik setelah pihak berkenaan sudah insaf dan memahami konsep berikat tersebut yang mereka sendiri sedang berusaha lakukan kini.

Kalau hendak dibuktikan,sebenarnya pakatan yang dirintisi oleh Umno melalui Perikatan dan BN adalah berkesan kerana berasaskan saling mengerti di antara satu sama lain untuk perpaduan dan keamanan.

Buktinya telah terbina kerajaan dan pemerintahan secara bersama dalam tempoh hingga lebih 50 tahun sampai kini, walaupun ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.

Apa yang hendak ditiru oleh pihak pembangkang sekarang hanya baru di peringkat permulaan, itupun masih lagi dalam polemik sesama mereka sendiri tentang kewajaran tindakan itu.

Masyarakat sama ada umat Islam dan orang bukan Islam di negara ini janganlah terperangkap dalam istilah dan tindakan-tindakan berpusing mereka yang beralih arah dari sebelum ini, kononnya suatu pendekatan yang baru, berkesan dan pragmatis atas sifat parti mereka adalah untuk semua (for all).

Sedangkan apa yang dilakukan itu telah lama dipraktikkan oleh Umno dan BN yang sebelumnya telah dicemuh dan diberi hukum yang bukan-bukan kepada orang Islam yang terlibat dalam kerjasama politik itu.

Halal dan Islamik kalau dilakukan oleh kumpulan mereka, tetapi haram dan bertentangan dengan Islam kalau dilakukan oleh orang lain, itulah sifat pemimpin dan pengikut yang menggunakan nama Islam untuk parti mereka.

TEGANUKITA

Modul baru lahir 50 peratus hafazan SM Imtiaz

Oleh: Aida Abd Rahman

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz melaksanakan pembaharuan dengan menggunapakai Modul Sukatan Hafazan al-Quran bermula tahun ini bagi memastikan sasaran melahirkan 50 peratus hafiz dan hafizah menjelang 2015.

Modul pertama seumpamanya di Malaysia itu baru diperkenalkan sebagai garis panduan kepada pelajar bermula tingkatan satu bagi menilai dan mengesan tahap penguasaan serta sukatan ilmu hafazan masing-masing mengikut bulanan.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Imtiaz, Encik Mazlan Che Will, berkata modul yang memakan masa setahun kajian sebelum berjaya diterbitkan itu menjadi bahan tambahan pelajaran yang penting bagi memastikan tahap hafazan pelajar Imtiaz semakin baik dan lebih lancar berbanding sebelum ini.

“Sistem ini baru diperkenalkan di mana ia dapat mengukur prestasi bulanan dan tahap yang perlu dicapai oleh pelajar Imtiaz

“Modul hafazan al-Quran seperti ini adalah yang pertama dalam sistem pendidikan negara dan ia dijangka akan dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said tidak lama lagi,” kata beliau kepada Teganukita, di pejabat Imtiaz, Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, silibus hafazan al-Quran itu mendapat reaksi positif pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan pendidikan di Indonesia yang berminat untuk mendapatkan modul berkenaan.

Beliau berkata , bagaimanapun, Imtiaz menerusi pengurusan Yayasan Terengganu tidak bercadang untuk berkongsi modul itu dengan pihak lain memandangkan ia perlu diwartakan terlebih dahulu sebagai Harta Intelek.

Sehingga April lalu, sebanyak 8.1 peratus SM Imtiaz atau 126 daripada 1,557 pelajar dari empat SM Imtiaz berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Berikutan itu, jumlah pelajar yang berjaya menghafaz dijangka akan mencapai 15 peratus sehingga penghujung tahun ini, berdasarkan jumlah yang berjaya menghafaz 20 hingga 29 juzuk atau 16.25 peratus pelajar sehingga April lalu.

RALAT:
Merujuk kepada laporan akhbar ‘Teganukita’ bil 22 muka surat 21, Berita itu sebenarnya dibaca, “Imtiaz bakal dibina di Kijal, Kemaman”. Kesilapan amatlah dikesali dan dipohon maaf.

TEGANUKITA