Halaman

19 January 2011

APMT Rasai Kehilangan Bekas Timbalan

Oleh : SURIATI BINTI ALI

“Saya dan kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) cukup merasai kehilangan Tuan Haji Shamsudin Sulong yang banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan sepanjang dua tahun bersama APMT.

“Walaupun Tuan Haji kini memikul tanggungjawab sebagai Pengarah di Unit Komunikasi Negeri (Ukom), kami di APMT masih mengharapkan jasa dan pengalaman untuk bersama-sama membawa misi dan harapan kerajaan negeri, Menteri Besar dan rakyat untuk terus mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan,” ujar Pengarah AMPT Haji Roshali Taha dalam nada sebak.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perpisahan dan Meraikan Jasa bekas Timbalan Pengarah AMPT, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, hari ini (19 Januari).

Tuan Haji Shamsudin kini memegang jawatan Pengarah Ukom selepas dua tahun berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah APMT.

Sebelum itu, Haji Roshali hadir mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Ketua Penyelia dan Penyelia Parlimen agensi itu dengan membentang pelbagai agenda dan matlamat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

Menurut Tuan Haji Shamsudin, APMT, Ukom, Setiausaha Akhbar, Setiausaha Politik dan beberapa lagi jawatan penting di bawah pentadbiran Pejabat Menteri Besar yang perlu memainkan peranan dan melaksanakan objektif di landasan yang betul.

“Oleh itu, kita sebagai kakitangan perlu melaksanakannya sebaik mungkin dan perlu menganggap setiap harapan yang disuarakan pemimpin adalah perkara serius.

“Saya percaya APMT yang terdiri daripada lebih 600 kakitangan sentiasa bersedia dan mampu memainkan peranan, khususnya apa yang diharapkan Menteri Besar ,” katanya.

Katanya, dia tidak ada masalah untuk memberi kerjasama dalam apa jua tugas,kerana APMT dan Ukom perlu bersama-sama menjaga Terengganu.

“Cukup malang bagi kita, sekiranya Terengganu yang kini cukup `gah’ dengan pelbagai infrastruktur, pembangunan dan teknologi moden jatuh ke tangan pembangkang,” katanya.

TEGANUKITA

Cabaran Pertama TPCT di LTdL

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said bersama Terengganu Pro-Asia Cyling Team yang akan menyahut cabaran pertama pada LTdL penghujung bulan ini. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) menggalas harapan seluruh rakyat Terengganu apabila berdepan dengan cabaran pertama dalam Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada penghujung bulan ini.

Enam pelumba terbabit dalam kejohanan itu ialah Anuar Manan, 24, Mohd Shahrul Mat Amin, 21, Mohammad Saufi Mat Senan, 20, Mohd Harrif Salleh, 22 dan dua pelumba dari luar negara iaitu Shinichi Fukushima (Jepun) dan Phuchong Sai-Udomsin (Thailand) yang turut dijanjikan ganjaran RM5,000 bagi setiap sirkit yang dimenangi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kerajaan akan menggandakan ganjaran itu jika pelumba yang sama terus menguasai pusingan seterusnya dengan kadar ganjaran serupa .



“Kita yakin dengan meletakkan juara jersi hijau dalam kejohanan (LTdL) tahun lalu, Anuar Manan selaku ketua pasukan beserta beberapa nama yang pernah mencatat kemenangan di peringkat kebangsaan mampu memberi saingan kepada pasukan lawan,” katanya di majlis pelepasan TPCT di perkarangan Wisma Darul Iman, hari ini (19 Januari).

Dato’ Seri Ahmad juga mengucapkan terima kasih kepada penaja TPCT iaitu Epic Berhad yang menyumbang RM200,000 serta berharap mendapat lebih banyak penajaan sekiranya TPCT dapat menunjukkan prestasi yang baik.



Katanya, kelulusan TPCT yang didaftarkan dengan `Union Cycliste Internasionale’ (UCI) pada 24 Disember tahun lalu memberi kebebasan pasukan dari Terengganu itu bergerak secara sah serta layak bertanding dalam mana-mana kejohanan antara benua.

Sementara itu dalam persiapan menghadapi kejohanan LTdL, empat pelumba tempatan telah menjalani latihan bersama empat pelumba luar negara di Chiang Raid dan Chiang Mai bermula 4 hingga 16 Januari lalu di bawah bimbingan Shinichi Fukushima.

“Kejohanan LTdL ini nanti akan menjadi kayu pengukur kepada prestasi pelumba-pelumba TPCT dan penting bagi program-program latihan dan pertandingan pada masa akan datang,” katanya.

TEGANUKITA

PAS KEMUKAKAN CALON WANITA- DI MANA HUKUM HARAM SELAMA INI?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Ibarat menjilat semula ludahnya, demikian terjadi apabila Presiden Pas mengumumkan calon wanita, NORMALA SUDIRMAN, untuk bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya DUN Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman dibuat oleh beliau (Haji Hadi) dalam satu majlis ceramah Pakatan Pembangkang di Labis baru lalu.


merah gincu....Nik Aziz tak larang dah ke?

Hadir sama member sokongan kepada calon wanita Pas itu penasihat DAP Lim Kit Sing, Setiausaha Agung Pas, Dato; Mustaffa Ali serta beberapa pemimpin pembangkang yang lain. Normala adalah Ketua Muslimat Pas Labis, guru sebuah sekolah rendah LKTP di Segamat, berkelulusan Maktab Perguruan di Pulau Pinang.

Mengapa menjilat ludahnya? Atau kerana hendak menarik undi pengundi bukan Melayu yang tidak mengambilkira soal hukum Islam yang dibawa oleh Pas selama ini?

Pas telah sekian lama tidak membenarkan wanita berdepan dengan orang awam kerana mengambil ketetapan suara wanita adalah aurat, bukan sahaja untuk tujuan biasa, tetapi untuk membaca al-Quran di majlis tilawah pun tidak dibolehkan Pas.

Ia bermula apabila Pas berkuasa di Kelantan pada tahun 1990- Nik Aziz selaku Menteri Besar terus mengharamkan penyertaan qariahnya (Kelantan) kerana menyifatkan suara wanita itu adalah aurat dan haram untuk didengari awam.

Haji Hadi Awang pun begitu juga. Bila Pas berkuasa di Terengganu pada tahun 1999- terus tidak membenarkan penyertaan qariah (perempuan) menyertai tilawah al-Quran.
Hari ini kita sudah mendengar suara Normala berucap kepada awam dan akan terus berceramah meraih undi, jadi bagaimana dengan suaranya itu…haram atau tidak untuk didengari oleh orang ramai termasuk para lelaki?

Bukan itu sahaja, suaranya yang merdu itu telah divideokan pula dan dimasukkan kepada youtube dan webtv Pas. Bagaimana hukumnya duhai Presiden Pas.

Bahkan ucapan merdu Normala sewaktu majlis pengumuman calon itu disambut oleh sekumpulan lelaki penyokong Pas dengan laungan Allahhuakar. Wajarkah?
Pemimpin Pas mengubah hukum sesuka hatinya!

TEGANUKITA

18 January 2011

Terengganu Sedia Bajet Besar Untuk Pendidikan

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan di bidang pendidikan yang jauh lebih besar berbanding negeri-negeri lain walaupun bilangan penduduk Terengganu agak kecil jika dibanding dengan negeri berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata lebih RM37 juta disediakan untuk biasiswa dan pinjaman pelajaran kepada pelajar tempatan sepanjang tahun lalu, iaitu jumlah dua kali ganda lebih besar dari negeri lain yang mempunyai penduduk jauh lebih besar dari Terengganu.

Katanya, lebih RM100 juta disalurkan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) pada tahun lalu untuk diagihkan kepada pelajar cemerlang dalam pelbagai bentuk pemberian dan pembiayaan pelajaran.

“Kerajaan lakukan ini semua bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat pendidikan yang lebih baik berbanding negeri-negeri lain,” katanya di majlis Penganugerahan Pingat Emas Dan Hadiah Kecemerlangan Pelajar di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (18 Januari).

Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarah YT, Haji Aziz Mamat.

Menteri Besar berkata, penduduk negeri ini, khususnya ibu bapa pelajar perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri bagi memastikan pelbagai agenda untuk memasrtbatkan bidang pendidikan di negeri ini diteruskan lagi.

Seramai 959 pelajar cemerlang dalam pelbagai peperiksaan awam diraikan pada majlis itu dengan kos pembiayaan keseluruhan bernilai RM798,440.

TEGANUKITA

Tilapia Tasik Kenyir Capai Piawaian Dunia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Seri Ahmad Said (tengah) bersama Dato' Seri Mohd Johari Baharum dan Dato' Ahamad Sabki Mahmood menyentuh bola kristal gimik perasmian Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu di Primula Beach Resot. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar khususnya Tilapia yang berkualiti tinggi kini menjadi antara Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang bakal menjadi tumpuan pelabur swasta dari luar negara untuk pasaran seluruh dunia.



“Baru-baru ini kita terima kunjungan pelabur dari China dan Taiwan yang mahu melabur secara besar-besaran untuk pasaran eksport dan mereka sedang membuat penelitian. Kalau ada pelabur tempatan kita beri kepada pelabur tempatan, bagaimanapun mereka melabur dalam skala yang besar dan kita mengalu-alukan kerana mereka memerlukan beratus tan sebulan untuk jadikan sebagai ketul ikan,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, ketika sidang akhbar di Majlis Pelancaran Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (18 Januari).

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Wira Mohd Johari Baharum; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Haji Asha’ari Idris dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Ahamad Sabki Mahmood.



Menteri Besar berkata, ikan air tawar di Tasik Kenyir berkualiti tinggi kerana kualiti air yang bersih dan kawasan yang luas, berbanding sangkar ikan air tawar yang berskala kecil biasanya lebih berselut.

Katanya, pengeluaran ikan air tawar di negeri ini mencapai 40 hingga 60 tan sebulan dan dijangka sebanyak 100 tan dapat dikeluarkan selepas Jun ini.

Beliau sebelum itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian yang meluluskan pembinaan dua Pusat Pembenihan Ikan, iaitu Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Kampung Sungai Chamar, Hulu Terengganu dan Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Laut Berteknologi Tinggi di Kampung Limau Nipis, Setiu yang menelan belanja RM12.6 juta.



Kedua-dua pusat ini dijangka siap pada pertengahan tahun ini dan dapat membekalkan benih projek HIP sangkar air tawar di ZIA Sungai Como dan sangkar ikan air masin di negeri ini.

Sementara itu, Dato’ Ahamad Sabki berkata, selain China dan Taiwan, pelabur dari Amerika Syarikat (US) juga berminat untuk memasuki pasaran ikan air tawar di Tasik Kenyir berikutan spesis ikan di tasik itu yang memenuhi piawaian dan kehendak mereka.



Pelabur negara itu mengunjungi Tasik Kenyir ketika persidangan antarabangsa mengenai akuakultur di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Jadi sekarang mereka minta pengusaha di Tasik Kenyir untuk keluarkan seberapa banyak ikan berkenaan untuk mereka. Sekarang masa untuk kita mengeluarkan produk yang memenuhi ciri-ciri dan piawaian pasaran US bagi membolehkan produk kita di eksport,” katanya.

TEGANUKITA

UMNO TERENGGANU: SECEBIS CATATAN PENTING

Oleh: Ruslan Rahman


Majlis penyerahan tugas Pengerusi UMNO Negeri Terengganu oleh Dato' Seri Hishamuddin kepada Dato' Seri Ahmad Said di Putrajaya.


Isnin, 17 Januari 2011, suasana di pintu masuk dan ‘lobby’ sebuah hotel di Putrajaya yang agak sunyi sebelumnya tiba-tiba menjadi agak sibuk dan meriah kira-kira jam 1.00 tengahari. Kelibat beberapa pemimpin Umno dari Terengganu mula kelihatan, khususnya Ketua-ketua Umno Bahagian.

Ini termasuklah, YB Haji Yahya Khatib Mohamad (Ketua Umno Bahagian Marang) yang baru diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT) beriringan bersama Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Dr.Rosli Mat Hassan.

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Farid Wan Salleh tidak ketinggalan.Kelihatan juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, YB Datuk Rahin Mohd Said dan YB Rozi Mamat (Timbalan Ketua Bahagian Hulu Terengganu).

Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, YB Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri kelihatan tiba bersama karibnya, Ketua Umno Bahagian Setiu YB Datuk Mohd Jidin Shafie. Ketua Umno Hulu Terengganu,Dato’ Tengku Putera Awang didapati lebih awal lagi telah ada di bahagian lobby hotel.

Kelihatan juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Terengganu, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Negeri tidak ketinggalan hadir bersama ketua-ketua sayap itu di peringkat bahagian masing-masing.

Setiausaha Kerja Umno BPUNT, Razali Bidin,pegawai-pegawai kanan Pejabat Menteri Besar turut kelihatan. Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom) yang baru dilantik tahun ini Haji Shamsuddin Sulong dan penulis selaku Timbalannya turut bersama crew untuk merakam detik penting ini.

Iaitulah Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi BPUNT kepada YAB Dato’ Seri Ahmad Said daripada YB Datuk Sri Hihsamuddin Tun Hussien.

Semua amat berharap bahawa juga sebentar lagi mereka akan dapat tahu siapakah pula akan dilantik sebagai Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari Umno Terengganu .

Bermacam spekulasi,telahan dan andaian dibuat, dengan pendapat dan rasionalisma masing-masing, itulah dunia politik yang penuh dengan cakap-cakap sebelum dan selepas sesuatu perlantikan mahupun pertandingan bagi sesuatu jawatan penting.

Rasanya beberapa orang berperawakan seperti pegawai polis berpakaian biasa turut kelihatan, mungkin dari bahagian risikan atau cawangan khas juga kelihatan berlegar di samping rakan-rakan wartawan bersama jurukamera juga sudah mulai tiba ketika jam menghampiri 2 petang.

YAB Dato, Seri Ahmad kemudian tiba-tiba muncu difahamkan baru sekejap mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Dato’ Sri Najib Tun Razak berkaitan perlantikan pegawai pegawai kanan Umno Terengganu.

Beliau (Dato’ Seri Ahmad) kemudian mengajak semua beredar dari lobby dan menunggu di depan pintu masuk hotel itu bagi menyambut ketibaan Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussien.

Sebaik Datuk Sri Hishamudin tiba, semua beredar ke Dewan yang bernama Dewan Selangor di bahagian bawah hotel.,menikmati jamuan tengahari. Selesai jamuan majlis pun bermula dalam keadaan yang cukup sederhana tetapi penuh makna.

Dato’ Tengku Putera mempengerusikan majlis dengan memulakannya dengan rasa syukur kerana dapat mengadakan majlis penyerahan tugas secara rasmi pada hari ini setelah YAB Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad (Ketua Umno Bahagian Kemaman) diumumkan menerajui semula Umno Terengganu mulai 1 .1.2011.

Dalam nada yang lemah-lembut tetapi bertenaga, beliau menjemput Dato’ Seri Hishamudin untuk menyampaikan ucapan. Bagi Tengku Putera, Hishamuddin banyak berkorban untuk membantu Umno Terengganu walaupun dalam kesibukan di kementerian dan kawasannya sendiri di Johor.

Dalam ucapan ringkasnya kira-kira 15 minit Datuk Sri Hisham menyifatkan kehadirannya bersama dalam Umno tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayatnya (agak sayu nadanya waktu menyatakan frasa ini).

Katanya, awal awal lagi beliau sewaktu diberi tugas mengetuai Umno Terengganu menyatakan tidak akan selamanya tetapi untuk tempoh sementara sahaja, bila tiba waktunya akan diserahkan semula kepada anak Terengganu.

Beliau amat gembira dan berterima kasih di atas kerjasama semua pimpinan Umno di Terengganu sepanjang diberi amanah itu bagi menjernihkan keadaan yang digembar-gemburkan dari luar sebagai kurang jernih ketika itu.

“Sebenarnya keadaan Umno Terengganu tidaklah sebagaimana yang digembar-gemburkan dari luar” katanya.

Apa yang penting, katanya mempastikan Umno terus menjadi relevan agar rakyat di negeri ini terpelihara dan negara aman makmur serta terus maju melalui pelbagai transformasi di peringkat kerajaan dan parti.

“Saya tidak menyifatkan hari ini majlis penyerahan tugas semata-mata, tetapi penyerahan amanah untuk terus melonjakkan kecemerlangan Umno yang akan diterajui oleh anak Terengganu sendiri” katanya.’

Dato’ Seri Ahmad yang diminta berucap selepas itu menyatakan jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas kepercayaan Presiden, YAB Dato’ Seri Najib yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui Umno Terengganu bersama Timbalan, YB Yahya Khatib Mohamad.

“Sudah tentulah juga lantikan dari Presiden ini hasil sokongan dan pandangan dari Datuk Seri Hisham” katanya.

Beliau amat yakin ketua-ketua Bahagian dari Besut pimpinan Dato’ Seri Idris dan sampai ke Kemaman di bawah terajunya sendiri akan mampu untuk mencapai kemenangan sepenuhnya dalam pilihanraya umum nanti (1 Parlimen dan 4 DUN).

Beliau yakin ketua-ketua bahagian yang ada ini dapat memenangkan semula kawasan yang tewas kerana majoriti kekalahan dulu amat kecil seperti di DUN Ladang,Bukit Payong, Bukit Tunggal,Manir, Parlimen Marang.

Bahkan katanya, dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang lalu walaupun BN tewas, tetapi bagi DUN Ladang kita menang dengan majoriti yang besar.

“Sebenarnya dua sahaja kawasan hitam yang menjadi kubu lawan iaitu Dun Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang” katanya.

Menyentuh tentang perlantikan pegawai yang sedang ditunggu tunggu beliau berkata:
“ saya telahpun berunding dengan Presiden sebentar tadi, cuma tidak bercadang hendak umumkan hari ini, nantilah kita umumkan apabila kita adakan mesyuarat Umno Perhubungan di Kuala Terengganu dalam masa terdekat nanti”.

Beberapa kata-kata yang sempat penulis petik dari ucapan ringkas Dato Seri Ahmad di majlis penuh bermakna itu:

Apa erti diri kita menang kalaulah parti kita tewas.

Bukan sahaja air di dalam bekas itu perlu jernih, tetapi bekas itu juga hendaklah jernih dan tidak berdebu.

Keadaan Umno Terengganu ini bukan indah khabar dari rupa, sebenarnya indah rupa dari khabar

Bagi saya tugas yang diberi ini bukan untuk dibanggakan, tetapi merupakan suatu beban untuk dipikul dan digalas bersama rakan-rakan semua.

Saya berdoa ke hadrat Allah semoga kita semua diberikan rahmat dan pertunjuk dari–Nya diberikan hidayah dan kekuatan untuk kita tempohi perjuangan ini.

Demikian sebuah catatan penting Umno Terengganu 17 Januari 2011 untuk kita hayati bersama demi perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

TEGANUKITA

Rombakan Kecil Badan Perhubungan Umno Negeri Akan Diumum Segera

Oleh: Kamarudin bin Mat Akib

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, satu rombakan kecil akan dilakukan dalam Badan Perhubungan Umno Negeri bagi mengukuhkan lagi jentera parti.

Menteri Besar Terengganu itu telah memaklumkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu pertemuan di Putrajaya, pagi semalam.

"Saya akan maklumkan perubahan tersebut pada mesyuarat Badan Perhubungan negeri yang pertama nanti, yang mungkin akan diadakan dalam bulan ini juga," katanya kepada pemberita di Putrajaya, semalam.

Sebelum itu, beliau menerima penyerahan tugas selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang jawatan tersebut sejak April 2009.

Dato’ Seri Ahmad dilantik semula memegang jawatan itu dalam satu rombakan pucuk pimpinan parti di beberapa buah negeri yang diumum Najib selaku Persiden Umno pada 27 Dis lepas.

Beliau berikrar untuk memastikan Umno terus kukuh di Terengganu dalam usaha merampas semula beberapa kerusi, terutama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dipegang pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun ada pepatah mengatakan bahawa 'indah khabar dari rupa' tetapi apa yang berlaku di Terengganu adalah 'indah rupa dari khabar'.

"Maknanya Umno Terengganu taklah seburuk yang digambarkan oleh orang dan saya bersedia melakukan apa sahaja demi kemenangan Barisan Nasional," katanya.

Sementara itu, Dato Seri Hishammuddin berkata perbincangan peringkat asas mengenai perkara yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) Umno Terengganu kini hampir selesai.

Beliau juga berharap segala perancangan yang dibuat sebelum ini diteruskan dan anggota parti terus memantapkan parti dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

"Saya mahu setiap ahli akan memikul tanggungjawab ini secara bersama dan sekiranya kita terus meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri atau puak masing-masing segala permasalahan akan dapat diselesaikan," katanya.


TEGANUKITA

17 January 2011

UMNO Terengganu Kukuh - Hishammuddin


Majlis penyerahan tugas Pengerusi UMNO Negeri Terengganu oleh Dato' Seri Hishamuddin kepada Dato' Seri Ahmad Said di Putrajaya.

Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa beliau menyerahkan UMNO kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dalam keadaan UMNO Terengganu kukuh dan padu.

“Kepimpinan UMNO mendapat petanda bahawa keteguhan UMNO Terengganu semakin terserlah menyebabkan mereka bersetuju untuk menyerahkan semula Badan Perhubungan UMNO Terengganu kepada pemimpin tempatan,” katanya di Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu kepada Dato’ Seri Ahmad Said, di Hotel Marriott, Putrajaya, petang ini (17 Januari).

Hadir sama di majlis ini, semua Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita Bahagian, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Bahagian Seluruh Terengganu.

Sebelum ini Dato’ Seri Ahmad diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, manakala timbalannya, YB Yahya Khatib Mohamad.

Dato’ Seri Hishammuddin berkata, pihaknya berharap UMNO Terengganyu menjaga parti dengan sebaik mungkin dan memastikan penyatuan yang dibina di semua peringkat ini diterima oleh rakyat Terengganu.

“Pucuk pimpinan UMNO mempunyai agenda yang besar daripada pengembalian kekuatan UMNO di Terengganu, iaitu memenangai Pilhan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Naib Presiden UMNO itu berkata, walaupun beliau tidak lagi mengetuai UMNO Terengganu, beliau tetap akan memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan UMNO tetap relevan dan diterima baik oleh rakyat Terengganu.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, beliau menerima pelantikan itu dengan penuh tanggungjawab dan amanah demi membela nasib rakyat Terengganu.

“Saya tidak akan mengutamakan kepentingan diri, tetapi apa yang lebih penting adalah parti akan diutamakan pada setiap masa dan setiap hal,” katanya.

Beliau memberi jaminan akan menguatkan jentera UMNO di setiap peringkat bagi memastikan UMNO dan BN memenangi lebih banyak kerusi pada PRU akan datang.

Menteri Besar berkata, beliau akan mengumumkan senarai penuh Badan Perhubungan UMNO Terengganu termasuk Setiausaha dan Ketua Penerangan pada mesyuarat badan perhubungan itu dalam masa terdekat.

TEGANUKITA

UMT Wujud Insentif Baru Untuk Kakitangannya

KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan satu insentif baru iaitu program lawatan sambil belajar ke universiti atau institusi pendidikan di luar negara, kepada semua kakitangannya, mulai tahun ini.

Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman berkata, lawatan itu bertujuan memberi peluang kepada ahli akademik, pegawai pengurusan dan kakitangan sokongan menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi kerjaya masing-masing.

"Kita harap selain daripada ahli akademik dan pegawai pengurusan, kakitangan sokongan pun boleh menimba pengalaman dan meningkatkan kerjaya melalui program ini," katanya kepada Bernama, di sini.

Katanya, melalui program ini, UMT berharap dapat menghantar antara 200 dan 300 orang setahun di mana dalam tempoh lima tahun, mungkin semua kakitangan UMT telah dan pernah mendapat pengalaman di luar negara.

Aziz berkata, UMT akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,500 seorang untuk satu perjalanan manakala selebihnya akan ditanggung sendiri oleh mereka yang terlibat.

Beliau berkata, UMT mempunyai kira-kira 1,000 kakitangan dan program ini menggalakkan mereka pergi secara berkumpulan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata UMT bercadang untuk menghantar antara 30 dan 50 kakitangan membuat latihan industri tahun ini dengan syarikat-syarikat besar dan terpilih dalam negara.

"Mereka akan ditempatkan di syarikat-syarikat berkenaan antara sebulan dan dua bulan untuk menimba pengalaman dan belajar perkara-perkara baru bagi membantu meningkatkan kerjaya mereka.

"Sebagai contoh, mungkin pegawai sukan akan dihantar ke pusat sukan negara. Kalau ahli akademik di bidang kimia misalnya, mereka akan dihantar ke industri berkaitan kimia seperti Guthrie manakala di bidang pengurusan mungkin akan dihantar ke AirAsia," katanya.

-- BERNAMA

YPU Adakan Promosi Batik Dan Songket Di Timur Tengah

KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Bernama) -- Selepas mengadakan promosi batik dan songket Terengganu ke Eropah, kini Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengadakan promosi yang serupa ke negara-negara Timur Tengah pula.

Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata langkah itu bertujuan supaya batik dan songket Terengganu berkembang serta terkenal di seluruh dunia.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Fesyen, Tekstil serta Pasaran Songket dan Batik Terengganu di Eropah, beliau berkata tahun lepas kerajaan negeri menghantar rombongan tediri daripada pengusaha batik dan songket untuk membuat promosi antaranya di Barcelona, Itali dan London.

Katanya hasil daripada promosi itu, ramai pengusaha pakaian terkemuka di negara-negara tersebut menunjukkan minat untuk menggunakan batik dan songket dalam ciptaan mereka.

Beliau berkata produk songket dan batik semakin kreatif dan kerajaan negeri Terengganu sentiasa berusaha untuk mendapatkan peluang pasaran di peringkat antarabangsa.

Azmi berkata awal 1990-an, songket dan batik Terengganu jatuh kerana beberapa sebab antaranya kurang daya kreativiti khususnya dalam rekaan dan kurang pemahaman tentang perkembangan citarasa pasaran.

Menyedari perkara itu, beliau berkata kerajaan negeri memberi perhatian terhadap songket dan batik melalui promosi, galakan dana bimbingan terhadap rekaan dan reka bentuk yang mengikuti trend serta citarasa pasaran.

Beliau berkata seminar sehari itu diadakan khusus untuk pengusaha-pengusaha songket dan batik mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang potensi pasaran songket dan batik di luar negara.

Kira-kira 100 penggiat songket dan batik di Terengganu menyertai seminar berkenaan.

-- BERNAMA