Majlis penyerahan tugas Pengerusi UMNO Negeri Terengganu oleh Dato' Seri Hishamuddin kepada Dato' Seri Ahmad Said di Putrajaya.
Isnin, 17 Januari 2011, suasana di pintu masuk dan ‘lobby’ sebuah hotel di Putrajaya yang agak sunyi sebelumnya tiba-tiba menjadi agak sibuk dan meriah kira-kira jam 1.00 tengahari. Kelibat beberapa pemimpin Umno dari Terengganu mula kelihatan, khususnya Ketua-ketua Umno Bahagian.
Ini termasuklah, YB Haji Yahya Khatib Mohamad (Ketua Umno Bahagian Marang) yang baru diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT) beriringan bersama Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Dr.Rosli Mat Hassan.
Ketua Umno Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Farid Wan Salleh tidak ketinggalan.Kelihatan juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, YB Datuk Rahin Mohd Said dan YB Rozi Mamat (Timbalan Ketua Bahagian Hulu Terengganu).
Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, YB Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri kelihatan tiba bersama karibnya, Ketua Umno Bahagian Setiu YB Datuk Mohd Jidin Shafie. Ketua Umno Hulu Terengganu,Dato’ Tengku Putera Awang didapati lebih awal lagi telah ada di bahagian lobby hotel.
Kelihatan juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Terengganu, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Negeri tidak ketinggalan hadir bersama ketua-ketua sayap itu di peringkat bahagian masing-masing.
Setiausaha Kerja Umno BPUNT, Razali Bidin,pegawai-pegawai kanan Pejabat Menteri Besar turut kelihatan. Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom) yang baru dilantik tahun ini Haji Shamsuddin Sulong dan penulis selaku Timbalannya turut bersama crew untuk merakam detik penting ini.
Iaitulah Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi BPUNT kepada YAB Dato’ Seri Ahmad Said daripada YB Datuk Sri Hihsamuddin Tun Hussien.
Semua amat berharap bahawa juga sebentar lagi mereka akan dapat tahu siapakah pula akan dilantik sebagai Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari Umno Terengganu .
Bermacam spekulasi,telahan dan andaian dibuat, dengan pendapat dan rasionalisma masing-masing, itulah dunia politik yang penuh dengan cakap-cakap sebelum dan selepas sesuatu perlantikan mahupun pertandingan bagi sesuatu jawatan penting.
Rasanya beberapa orang berperawakan seperti pegawai polis berpakaian biasa turut kelihatan, mungkin dari bahagian risikan atau cawangan khas juga kelihatan berlegar di samping rakan-rakan wartawan bersama jurukamera juga sudah mulai tiba ketika jam menghampiri 2 petang.
YAB Dato, Seri Ahmad kemudian tiba-tiba muncu difahamkan baru sekejap mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Dato’ Sri Najib Tun Razak berkaitan perlantikan pegawai pegawai kanan Umno Terengganu.
Beliau (Dato’ Seri Ahmad) kemudian mengajak semua beredar dari lobby dan menunggu di depan pintu masuk hotel itu bagi menyambut ketibaan Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussien.
Sebaik Datuk Sri Hishamudin tiba, semua beredar ke Dewan yang bernama Dewan Selangor di bahagian bawah hotel.,menikmati jamuan tengahari. Selesai jamuan majlis pun bermula dalam keadaan yang cukup sederhana tetapi penuh makna.
Dato’ Tengku Putera mempengerusikan majlis dengan memulakannya dengan rasa syukur kerana dapat mengadakan majlis penyerahan tugas secara rasmi pada hari ini setelah YAB Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad (Ketua Umno Bahagian Kemaman) diumumkan menerajui semula Umno Terengganu mulai 1 .1.2011.
Dalam nada yang lemah-lembut tetapi bertenaga, beliau menjemput Dato’ Seri Hishamudin untuk menyampaikan ucapan. Bagi Tengku Putera, Hishamuddin banyak berkorban untuk membantu Umno Terengganu walaupun dalam kesibukan di kementerian dan kawasannya sendiri di Johor.
Dalam ucapan ringkasnya kira-kira 15 minit Datuk Sri Hisham menyifatkan kehadirannya bersama dalam Umno tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayatnya (agak sayu nadanya waktu menyatakan frasa ini).
Katanya, awal awal lagi beliau sewaktu diberi tugas mengetuai Umno Terengganu menyatakan tidak akan selamanya tetapi untuk tempoh sementara sahaja, bila tiba waktunya akan diserahkan semula kepada anak Terengganu.
Beliau amat gembira dan berterima kasih di atas kerjasama semua pimpinan Umno di Terengganu sepanjang diberi amanah itu bagi menjernihkan keadaan yang digembar-gemburkan dari luar sebagai kurang jernih ketika itu.
“Sebenarnya keadaan Umno Terengganu tidaklah sebagaimana yang digembar-gemburkan dari luar” katanya.
Apa yang penting, katanya mempastikan Umno terus menjadi relevan agar rakyat di negeri ini terpelihara dan negara aman makmur serta terus maju melalui pelbagai transformasi di peringkat kerajaan dan parti.
“Saya tidak menyifatkan hari ini majlis penyerahan tugas semata-mata, tetapi penyerahan amanah untuk terus melonjakkan kecemerlangan Umno yang akan diterajui oleh anak Terengganu sendiri” katanya.’
Dato’ Seri Ahmad yang diminta berucap selepas itu menyatakan jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas kepercayaan Presiden, YAB Dato’ Seri Najib yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui Umno Terengganu bersama Timbalan, YB Yahya Khatib Mohamad.
“Sudah tentulah juga lantikan dari Presiden ini hasil sokongan dan pandangan dari Datuk Seri Hisham” katanya.
Beliau amat yakin ketua-ketua Bahagian dari Besut pimpinan Dato’ Seri Idris dan sampai ke Kemaman di bawah terajunya sendiri akan mampu untuk mencapai kemenangan sepenuhnya dalam pilihanraya umum nanti (1 Parlimen dan 4 DUN).
Beliau yakin ketua-ketua bahagian yang ada ini dapat memenangkan semula kawasan yang tewas kerana majoriti kekalahan dulu amat kecil seperti di DUN Ladang,Bukit Payong, Bukit Tunggal,Manir, Parlimen Marang.
Bahkan katanya, dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang lalu walaupun BN tewas, tetapi bagi DUN Ladang kita menang dengan majoriti yang besar.
“Sebenarnya dua sahaja kawasan hitam yang menjadi kubu lawan iaitu Dun Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang” katanya.
Menyentuh tentang perlantikan pegawai yang sedang ditunggu tunggu beliau berkata:
“ saya telahpun berunding dengan Presiden sebentar tadi, cuma tidak bercadang hendak umumkan hari ini, nantilah kita umumkan apabila kita adakan mesyuarat Umno Perhubungan di Kuala Terengganu dalam masa terdekat nanti”.
Beberapa kata-kata yang sempat penulis petik dari ucapan ringkas Dato Seri Ahmad di majlis penuh bermakna itu:
Apa erti diri kita menang kalaulah parti kita tewas.
Bukan sahaja air di dalam bekas itu perlu jernih, tetapi bekas itu juga hendaklah jernih dan tidak berdebu.
Keadaan Umno Terengganu ini bukan indah khabar dari rupa, sebenarnya indah rupa dari khabar
Bagi saya tugas yang diberi ini bukan untuk dibanggakan, tetapi merupakan suatu beban untuk dipikul dan digalas bersama rakan-rakan semua.
Saya berdoa ke hadrat Allah semoga kita semua diberikan rahmat dan pertunjuk dari–Nya diberikan hidayah dan kekuatan untuk kita tempohi perjuangan ini.
Demikian sebuah catatan penting Umno Terengganu 17 Januari 2011 untuk kita hayati bersama demi perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
TEGANUKITA