Halaman

20 January 2011

Umno Terengganu perlu nasihat, tunjuk ajar veteran

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Veteran UMNO Bahagian Kuala Nerus, gembira ketika berjumpa dengan pemimpin nombor satu negeri ini, Dato' Seri Ahmad Said di UMT, Kuala Terengganu. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Umno Terengganu memerlukan tunjuk ajar dan nasihat golongan veteran kerana mereka lebih berpengalaman dan mengetahui isi hati rakyat berbanding pemimpin generasi sekarang.

Sehubungan itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, meminta agar golongan berkenaan tidak menjauhkan diri daripada Umno kerana beliau dan rakan-rakan seperjuangan amat memerlukan jasa, tunjuk ajar dan pengalaman mahal yang dimiliki golongan tersebut.

“Kami sanggup menerima teguran serta kritikan sekiranya terdapat kesalahan dalam mentadbir negeri. Setiap teguran akan diterima secara positif, semata-mata untuk kepentingan rakyat dan masa depan Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Veteran di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, hari ini (20 Januari).



Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Encik Ahmad Razif Abd Rahman.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk yang juga Adun Teluk Pasu, YB Dato’ Abdul Rahin Mohd Said; Adun Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengerusi Majlis Veteran Umno Bahagian Kuala Nerus, Syed Muhammad Syed Idrus turut hadir dalam majlis yang dihadiri lebih 2,000 veteran Umno.

Pada majlis anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) itu, seramai 20 veteran menerima Anugerah Jasamu Dikenang dan sembilan individu uzur menerima bantuan kerusi roda.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata, wakil rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dinasihatkan supaya jangan sombong atau ego sebaliknya perlu berjiwa besar dan bersikap pemaaf dengan rakyat.

“Jangan hanya tunjuk muka atau `turun padang’ sewaktu tiba musim pilihan raya sahaja. Jika tetap berbuat demikian ia akan memberi tamparan hebat kepada pemimpin itu sendiri.

“Kita perlu menganggap, setiap rakyat itu nadi dan nadi itu pula adalah pengundi, kita sebagai pemimpin sewajarnya ingat ini semua, jika mahu terus kekal sebagai wakil rakyat dan sayangkan parti Umno,” katanya.



Menurutnya, pelbagai pendekatan sudah dilaksanakan malah di setiap DUN hampir RM3 juta diperuntukkan termasuk program atap biru, rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), sukan rakyat dan sebagainya.

“Jika melihat peruntukan yang disumbangkan, mustahil kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang. Oleh itu, pemimpin setempat perlu bersedia dan `turun padang’ bagi mendalami masalah rakyat. Sentuhan daripada pemimpin itu cukup penting bagi menawan hati setiap rakyat atau pengundi,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, beliau selalu berpesan, kita sebagai orang politik, jangan terlalu mudah berkecil hati, terasa hati, yang penting mesti berhati-hati.

“Seeloknya perlu mencari penapis yang sempurna, ibaratnya jika ingin minum air teh 0, penapis yang digunakan itu kurang elok, maka air yang ditapis itu akan berhabuk dan tidak selesa untuk diminum serta dipandang,” katanya.

TEGANUKITA