Halaman

19 January 2011

Cabaran Pertama TPCT di LTdL

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said bersama Terengganu Pro-Asia Cyling Team yang akan menyahut cabaran pertama pada LTdL penghujung bulan ini. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) menggalas harapan seluruh rakyat Terengganu apabila berdepan dengan cabaran pertama dalam Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada penghujung bulan ini.

Enam pelumba terbabit dalam kejohanan itu ialah Anuar Manan, 24, Mohd Shahrul Mat Amin, 21, Mohammad Saufi Mat Senan, 20, Mohd Harrif Salleh, 22 dan dua pelumba dari luar negara iaitu Shinichi Fukushima (Jepun) dan Phuchong Sai-Udomsin (Thailand) yang turut dijanjikan ganjaran RM5,000 bagi setiap sirkit yang dimenangi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kerajaan akan menggandakan ganjaran itu jika pelumba yang sama terus menguasai pusingan seterusnya dengan kadar ganjaran serupa .



“Kita yakin dengan meletakkan juara jersi hijau dalam kejohanan (LTdL) tahun lalu, Anuar Manan selaku ketua pasukan beserta beberapa nama yang pernah mencatat kemenangan di peringkat kebangsaan mampu memberi saingan kepada pasukan lawan,” katanya di majlis pelepasan TPCT di perkarangan Wisma Darul Iman, hari ini (19 Januari).

Dato’ Seri Ahmad juga mengucapkan terima kasih kepada penaja TPCT iaitu Epic Berhad yang menyumbang RM200,000 serta berharap mendapat lebih banyak penajaan sekiranya TPCT dapat menunjukkan prestasi yang baik.



Katanya, kelulusan TPCT yang didaftarkan dengan `Union Cycliste Internasionale’ (UCI) pada 24 Disember tahun lalu memberi kebebasan pasukan dari Terengganu itu bergerak secara sah serta layak bertanding dalam mana-mana kejohanan antara benua.

Sementara itu dalam persiapan menghadapi kejohanan LTdL, empat pelumba tempatan telah menjalani latihan bersama empat pelumba luar negara di Chiang Raid dan Chiang Mai bermula 4 hingga 16 Januari lalu di bawah bimbingan Shinichi Fukushima.

“Kejohanan LTdL ini nanti akan menjadi kayu pengukur kepada prestasi pelumba-pelumba TPCT dan penting bagi program-program latihan dan pertandingan pada masa akan datang,” katanya.

TEGANUKITA