Halaman

18 January 2011

Tilapia Tasik Kenyir Capai Piawaian Dunia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Seri Ahmad Said (tengah) bersama Dato' Seri Mohd Johari Baharum dan Dato' Ahamad Sabki Mahmood menyentuh bola kristal gimik perasmian Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu di Primula Beach Resot. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar khususnya Tilapia yang berkualiti tinggi kini menjadi antara Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang bakal menjadi tumpuan pelabur swasta dari luar negara untuk pasaran seluruh dunia.



“Baru-baru ini kita terima kunjungan pelabur dari China dan Taiwan yang mahu melabur secara besar-besaran untuk pasaran eksport dan mereka sedang membuat penelitian. Kalau ada pelabur tempatan kita beri kepada pelabur tempatan, bagaimanapun mereka melabur dalam skala yang besar dan kita mengalu-alukan kerana mereka memerlukan beratus tan sebulan untuk jadikan sebagai ketul ikan,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, ketika sidang akhbar di Majlis Pelancaran Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (18 Januari).

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Dato’ Wira Mohd Johari Baharum; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Haji Asha’ari Idris dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Ahamad Sabki Mahmood.



Menteri Besar berkata, ikan air tawar di Tasik Kenyir berkualiti tinggi kerana kualiti air yang bersih dan kawasan yang luas, berbanding sangkar ikan air tawar yang berskala kecil biasanya lebih berselut.

Katanya, pengeluaran ikan air tawar di negeri ini mencapai 40 hingga 60 tan sebulan dan dijangka sebanyak 100 tan dapat dikeluarkan selepas Jun ini.

Beliau sebelum itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian yang meluluskan pembinaan dua Pusat Pembenihan Ikan, iaitu Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Kampung Sungai Chamar, Hulu Terengganu dan Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Laut Berteknologi Tinggi di Kampung Limau Nipis, Setiu yang menelan belanja RM12.6 juta.



Kedua-dua pusat ini dijangka siap pada pertengahan tahun ini dan dapat membekalkan benih projek HIP sangkar air tawar di ZIA Sungai Como dan sangkar ikan air masin di negeri ini.

Sementara itu, Dato’ Ahamad Sabki berkata, selain China dan Taiwan, pelabur dari Amerika Syarikat (US) juga berminat untuk memasuki pasaran ikan air tawar di Tasik Kenyir berikutan spesis ikan di tasik itu yang memenuhi piawaian dan kehendak mereka.



Pelabur negara itu mengunjungi Tasik Kenyir ketika persidangan antarabangsa mengenai akuakultur di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Jadi sekarang mereka minta pengusaha di Tasik Kenyir untuk keluarkan seberapa banyak ikan berkenaan untuk mereka. Sekarang masa untuk kita mengeluarkan produk yang memenuhi ciri-ciri dan piawaian pasaran US bagi membolehkan produk kita di eksport,” katanya.

TEGANUKITA