Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Bagaimana keadaan Umno Terengganu sebaik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT) dikembalikan semula kepada Dato’ Seri Ahmad Said (Menteri Besar)?
Apa komen orang-orang penting tentang perlantikan semula Dato’ Seri Ahmad Said?
Jawapannya bagi orang-orang Umno keseluruhannya amatlah dialu-alukan serta tunggu dan lihatlah pekembangannya, tetapi bagi pihak parti lawan- semuanya tak bagus dan tak baik sesiapa pun menerajui Umno.
TEGANUKITA
Namun begitu Dato’ Seri Ahmad telah pun melaksanakan beberapa tugas awalnya, termasuk membantu kempen pilihanraya DUN Tenang dan balik ke Terengganu semula mengadakan Mesyuarat BPUNT kali pertama bagi tahun 2011 serta membuat perlantikan pegawai-pegawai kanan parti, Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari.
Dengan perbincangan yang telah diadakan dengan Presiden Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sendiri, beberapa muka baru telah dibawa oleh Dato’ Seri Ahmad untuk perkuatkan Umno Terengganu termasuklah YB Ahmad Razif Abdul Rahman (Ketua Penerangan) dan YB Dato’ Za’abar Mohd Adib (Bendahari). Kedua-kedua mereka adalah Exco Kerajaan Negeri.Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu,yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terenganu,Tengku Putera Awang kekal sebagai Setiausaha.
Di samping beliau sendiri yang diberi tanggungjawab semula menerajui Umno Terengganu di samping Timbalannya, YB Haji Yahya Khatib Mohamad, dibantu oleh Dato’ Rosli Mat Hassan (Pengarah Strategik).
Lain-lain, Dato’ Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar), Dato’ Nasir Ibrahim Fikri (Ketua Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus), YB Datuk Mat Jidin Shafie (Ketua Bahagian merangkap Ahli Parlimen Setiu) dan Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu).
Penulis sempat merakamkan pandangan dan komen beberapa Ketua Umno Bahagian:
Ketua UMNO Bahagian Besut ,Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga bekas Menteri Besar berpandangan bahawa pelantikan dan penyusunan semula PBUNT itu mampu menyerlahkan lagi semangat baru untuk memastikan kemenangan cemerlang dalam PRU akan datang.
Manakala Ketua UMNO Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad, pula berkata amalan melantik Pengerusi BPUNT di kalangan MB bukannya perkara baru malah menjadi tradisi sejak dahulu lagi termasuk di zaman pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh di mana Menteri Besar (MB) akan memegang jawatan sebagai pengerusi BPUNT.
“Saya percaya segala urusan seperti merancang strategi dan meraih undi akan bertambah mudah, selain mampu menambah kepercayaan rakyat terhadap parti Barisan Nasional (BN),” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan pula menyifatkan pelantikan MB sebagai Pengerusi BPUNT suatu yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli UMNO seluruh Terengganu.
Malah ia membuktikan suatu keyakinan tinggi pucuk pimpinan tertinggi negara khususnya Presiden UMNO yang memiliki kuasa eksklusif untuk membuat pilihan mana-mana pemimpin negeri bagi menerajui parti dan memenuhi harapan rakyat.
“YAB MB pastinya sesuai menggalas dan mengetuai kepimpinan parti berdasarkan ketokohan dan pengalaman yang ada pada beliau selama ini. Malah, beliau juga menjadi Ketua UMNO Bahagian (Kemaman) yang berjaya memimpin kawasan dengan cemerlang sehingga mampu merekodkan keahlian teramai di Malaysia.
“Beliau merupakan individu yang layak menjadi perantara antara barisan pemimpin dan rakyat, ditambah pula peranan sebagai MB yang saling berkesalinan atau melengkapi dengan kedua-dua amanah yang dipegang kini.
Ketua Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, pula berkata rakyat Terengganu dan pemimpin setempat sebenarnya sudah lama menunggu berita gembira ini untuk mengembalikan semula jawatan Pengerusi BPUNT kepada anak negeri.
“Dato’ Seri Ahmad Said sememangnya seorang yang bekerja kuat dan sentiasa turun padang bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai. Sewajarnya jawatan itu layak untuk beliau bagi memantapkan lagi saf kepimpinan,” katanya.
Beliau yang kekal sebagai Setiausaha BPUNT sejak 2004 berkata , Presiden Parti, Dato’ Seri Najib Abdul Razak sering menyuarakan di mana setiap pemimpin perlu melaksanakan perubahan atau transformasi politik supaya lebih mantap dan mendapat lebih kepercayaan.
Sementara Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Ahmad dan berterima kasih kepada Presiden parti yang telah mengambil satu keputusan bijak melantik MB untuk menerajui parti.
“Memang tepat, Dato’ Seri Ahmad diberi tanggungjawab memikul tugas berkenaan dan pengalaman pernah menjawat jawatan sama sebelum ini dan yakin tidak ada masalah besar untuknya memikul amanah itu di samping memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum nanti.
Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee, pula berkata keputusan yang diambil oleh Presiden Parti memberi tanggung jawab mengurus parti kepada MB merupakan tindakan yang tepat pada masanya demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kebaikan kepada parti yang memerintah.
Beliau melahirkan keyakinan, MB mampu memikul tanggungjawab baru ini dengan menyusun agenda memperkuatkan jentera parti untuk menawan kembali kawasan yang dimenangi parti pembangkang di samping mengekalkan kerusi BN.
Manakala Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata semua pihak perlu menyokong kepimpinan MB dan juga Pengerusi BPUNT.
Katanya, Bahagian Kuala Nerus mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Ahmad kerana diberi tanggungjawab menerajui UMNO Terengganu di samping turut merakamkan pengharagaan kepada Naib Presiden Parti, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana menggalas peranan itu sebelum ini.
Beberapa pandangan pihak lain juga dirakamkan:
Yang Dipertua Mubarak, Dato’ Ahmad Sidi Ismail berkata,Majlis Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Mubarak) menyokong penuh di atas pelantikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru.
Yang Dipertua Mubarak, Dato’ Ahmad Sidi Ismail berharap pelantikan itu memberi mandate lebih besar kepada Dato’ Seri Ahmad menyusun jentera parti bagi persiapan menghadapi piliranraya umum akan datang.
“Mubarak penuh yakin dengan kepimpinan Menteri Besar, usaha menawan kembali kawasan parti pembangkang dapat di tawan semula di samping mengekalkan kerusi BN,” katanya.
Setiausaha Mubarak, Haji Harun Hasan berkata,
“Pelantikan Dato’ Seri Ahmad amat tepat, kerana selaku pemimpin tempatan beliau lebih memahami masalah yang timbul dalam parti,” .
Katanya, dengan perlantikan itu, dapat menyelaraskan pentadbiran kerajaan dan jentera parti berjalan seiring demi kesejahteraan rakyat dan negeri.
Malah Mubarak pernah membawa usul dalam mesyuarat agungnya tahun lepas, agar Menteri Besar dilantik menjadi pengerusi perhubungan untuk memudahkan perjalanan parti dan setiap masalah berbangkit dapat ditangani segera.
Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Haji Yahya Hashim turut mengalu-alukan pelantikan tersebut dan anggota veteran seluruh negeri memberi sokongan penuh untuk memperkasakan parti dan menjamin kemenangan parti dalam pilihan raya umum nanti.
“Sewajarnya sebagai ketua negeri, sekaligus menjadi ketua parti dan dapat laksanakan dasar-dasar kerajaan dan parti diselaras dan seiring bagi memenuhi tuntutan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Dato’ Haji Yahya seterusnya melahirkan rasa yakin Dato’ Seri Ahmad dapat memikul tanggung jawab ini dengan baik dan ahli-ahli veteran sentiasa menyokong apa saja perancangan demi untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti.
Adun Permaisuri, Setiu, Haji Abdul Halim Jusoh menyatakan;
“Perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu merupakan perlantikan yang menyeluruh di seluruh negara dan stategik pihak pusat untuk memberi peluang pemimpin tempatan menerajui parti di negeri masing-masing,”.
“Keputusan ini memang tepat dan InsyaAllah, Dato’ Seri Ahmad mampu memikul tanggungjawabnya dengan baik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri itu.
Beliau juga yakin pengerusi perhubungan yang baru ini akan mendapat sokongan semua pemimpin umno di peringkat bahagian dan kawasan serta mampu memenangi hati rakyat hingga ke akar umbi.
Adun Kuala Berang, Haji Mohd Zawawi Ismail mengucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kerana mendapat kepercayaan YAB Presiden parti untuk menerajui Umno Terengganu.
“Tentunya kepimpinan dan cetusan idea Menteri Besar, memperkenalkan moto ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di negeri ini menyakinkan YAB Presiden akan kemampuan Dato’ Seri Ahmad mengepalai parti dan negeri dengan jayanya,” katanya.
Katanya, apa pun perubahan yang berlaku, tentu untuk kebaikan rakyat dan negeri dan ini merupakan agenda besar parti yang menjurus kepada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan datang.