Halaman

31 January 2011

Jurutera didakwa



Seorang jurutera perunding didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini (31 Januari) berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu pada Jun 2009.

Tertuduh, Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009 iaitu dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.



Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Januari dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Dia didakwa memberi dan menandatangani dokumen berkenaan kepada Pengarah JKR negeri, Rosli Zainal, dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.



Hakim M Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa manakala pendakwaan dilakukan oleh Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

TEGANUKITA

Dato’ Seri Ahmad mampu lakukan yang terbaik

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata rakyat Terengganu, terutama penyokong Barisan Nasional (BN) menyatakan rasa syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat kerana mempercayai kewibawaan Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerajui barisan pimpinan Umno.

Pesara Kerajaan, Haji Long Abdul Rahman, berkata Dato’ Seri Ahmad cukup dikenali rakyat dengan sifat semula jadinya, mudah tersentuh apabila rakyat ditimpa musibah, bencana alam dan sebagainya. Jadi, tidak hairanlah, mengapa beliau rapat dengan rakyat.

“Mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, ia tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana jawatan itu cukup sesuai berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Beliau bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang politik malah menjadi individu yang dipercayai sewaktu memegang beberapa jawatan penting dalam agensi kerajaan dan swasta, termasuk pernah menjawat Penolong Pegawai Daerah Setiu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kemaman dan Pengerusi Pesama Timber Corporation Sdn, Bhd,” katanya.

Haji Long Abdul Rahman berharap barisan pimpinan baru Umno menjadi mantap dan tersusun dalam mentadbir negeri untuk terus mengecapi kesejahteraan dan kemakmuran.

“Saya percaya Dato’ Seri Ahmad dan Timbalannya, YB Yahya Khatib Mohamad mampu melakukan yang terbaik untuk masa depan rakyat dan Umno,” katanya yang memegang jawatan terakhir sebagai Pegawai Daerah Marang.

Ketua Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata apabila seseorang itu diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar secara mutlaknya perlu memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno seperti yang dilantik di lain-lain negeri.

“Amalan ini bukannya perkara baru malah menjadi tradisi sejak dahulu lagi, ia juga berlaku di zaman pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh di mana ketika itu selaku Menteri Besar akan memegang jawatan sebagai pengerusi badan,” ujar Ketua Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad.

Beliau yang turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi badan itu mengakui dan percaya segala urusan seperti merancang strategi dan meraih undi akan bertambah mudah, selain mampu menambah kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional.


TEGANUKITA


Rakyat Perlu Syukur Pemimpin Cakna

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat hari ini, khususnya rakyat Terengganu sewajarnya bersyukur di atas kurniaan Illahi yang menganugerahkan sebuah negara yang makmur dan maju.

Tidak lupa juga, kita sebagai rakyat perlu berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat dan negeri yang telah berusaha mencari kemakmuran itu semata-mata untuk kesejahteraan dan kesenangan rakyat.

Pengerusi Veteran Umno Parlimen Kuala Nerus, Haji Sayed Mohamad Idrus, cukup kesal dengan sikap segelintir individu yang memandang rendah dan mengkritik setiap tranformasi dilaksanakan pemimpin sedangkan mereka turut menggunakan kemudahan itu.

“Adalah tidak bagus mempunyai sikap sebegitu, kerana secara tidak sedar golongan itu dan keturunannya turut menggunakan kemudahan seperti jalan raya, jambatan dan jejantas yang sememangnya diusahakan pemimpin Umno,” katanya ketika dihubungi wartawan Teganukita.

Menurut Haji Sayed Mohamad, bagi mengecapi kemakmuran seperti ini, bukannya mudah kerana pelbagai halangan yang dihadapi pemimpin terdahulu terutama sebelum mencapai kemerdekaan.

“Pengalaman ketika bersama-sama menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 pula masih segar dalam ingatan walaupun hampir 54 tahun berlalu.

“Sewaktu itu saya bersama-sama 40 ahli Umno bersepakat untuk meraikan hari bersejarah itu di Padang Merdeka, Kuala Lumpur dengan menaiki feri dan bas,” katanya yang menggunakan duit poket sendiri dan ada di antara ahli lain terpaksa memecah duit tabung semata-mata tidak mahu ketinggalan meraikannya.

Katanya, sebelum tiba di Padang Merdeka yang mengambil masa dua hari satu malam pelbagai halangan dan rintangan dilalui di mana mereka terpaksa bermalam di Masjid Temerloh, Pahang dan akibat kepenatan juga, bangku Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda menjadi tempat untuk berehat dan dijadikan alas tidur.

“Laungan merdeka, merdeka, merdeka yang dilafazkan Tuanku Abdul Rahman masih tergiang-giang sehingga ke hari ini dan tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat,” katanya ketika itu berusia 17 tahun.


TEGANUKITA

Jangan jadi ‘gunting dalam lipatan’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jangan jadi ‘gunting dalam lipatan’. Ingatan tersebut pendek saja dan mudah diingati oleh sesiapa saja yang mendengarnya.

Pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Ahmad Said, memberi peringatan itu kepada penjawat awam yang bekerja di agensi-agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri serta Persekutuan, sewaktu menyampaikan amanat pada majlis Bicara Eksekutif Bersama YAB Menteri Besar di Wisma Darul Iman, pada 27 Januari, 2011.

Jelas sekali hasrat Menteri Besar mahu penjawat awam bersikap amanah dan tidak sesuka hati membocorkan rahsia kerajaan, khususnya kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sikap segelintir penjawat awam membocorkan fakta-fakta yang masih di peringkat rahsia rasmi kerajaan, amat merbahaya dan boleh menjejaskan imej kerajaan yang mentadbir negeri ini.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan perbuatan itu boleh menjatuhkan kerajaan, terutama jika fakta berkenaan yang belum tentu kesahihannya, digunakan parti pembangkang untuk ‘menikam’ kerajaan semasa.

Tindakan sesetengah penjawat awam mendedahkan maklumat sulit kerajaan kepada pihak tidak bertanggungjawab, amat tidak wajar dan bertentangan dengan Perintah Am yang wajib dipatuhi setiap kakitangan awam.

Menteri Besar menegaskan sepatutnya setiap penjawat awam menghargai pemimpin negeri ini dan taat setia kepada kerajaan semasa yang mengurus tadbir negeri.

Dalam hal ini, beliau mencabar penjawat awam yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan semasa dan tidak boleh bekerja untuk kerajaan supaya meletak jawatan mereka.
Bagi Dato’ Seri Ahmad tidak ada gunanya kerajaan terus membela mereka yang bersikap ‘musang berbulu ayam’ kerana langkah itu amat merbahaya.

Menteri Besar tidak mahu mereka yang ibarat ‘api dalam sekam’ akan menghancurkan kerajaan yang ada, sekaligus membuka ruang kepada parti pembangkang untuk mentadbir semula negeri ini.

Kakitangan awam dan rakyat Terengganu pastinya masih ingat pelbagai kezaliman yang dilakukan Pas semasa parti tersebut mentadbir negeri ini.

Pastinya kejadian kanak-kanak dihalau dari Tabika Kemas dan pintu pagar tabika dikebanyakan kawasan dikunci oleh Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), masih segar dalam ingatan penduduk di negeri ini.

Tentunya rakyat Terenganu tidak mahu Pas berkuasa semula di negeri ini dan melakukan pelbagai kezaliman kepada rakyat, termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa.

Bagi mengelakkan bencara itu berlaku, penjawat awam perlu patuh kepada nasihat Menteri Besar dan jangan cuba bermain dengan api. Mereka perlu memikirkan masa depan anak-anak kecil yang dahagakan ilmu kerana dengan ilmu seseorang itu boleh menjadi insan yang cemerlang.

Dengan ilmu juga seorang anak mampu mengubah nasib keluarga mereka yang hidup seharian ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Kerajaan negeri pimpinan Dato’ Ahmad kini ke arah menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu dan setiap orang, terutama sekali penjawat awam perlu menyokong usaha murni ini, demi masa depan generasi muda yang semakin bertambah di negeri ini.

Bagi membendung kegiatan ini daripada berulang, kerajaan negeri akan bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut sebagai pengajaran kepada yang lain.

Menteri Besar berharap pembocoran maklumat suilt tidak lagi berlaku, sebaliknya kakitangan awam perlu menumpukan tugas masing-masing dengan bekerja dengen lebih gigih bagi membantu melaksanakan program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Penjawat awam sebaliknya diminta menghayati sepenuhnya roh ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ (MPPNT), mendampingi rakyat, menyelami masalah mereka, mencari jalan dan membuat keputusan bagi menyelesaikannya.

Jika semua pihak bekerjasama dan saling membantu, sudah pasti kerajaan negeri pimpinan Dato’ Ahmad dapat melaksanakan pelbagai program dengan lebih lancar dan terus menabur bakti kepada rakyat Terengganu...


TEGANUKITA

NASI DAGANG HIDANGAN TAHUN BARU CINA…




Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Sambutan Tahun baru Cina Khamis ini ; berbagai persiapan telah dibuat termasuklah masayarakat Cina di Kampung China, di tengah bandar Kuala Terengganu.
Penulis dan rakan-rakan sekerja dari Unit Komunikasi Negeri membuat tinjauan persiapan sambutan di sektiar kampung China Terengganu yang bersejarah itu, mendapati suasana persiapan sambutan Tahun Arnab itu sungguh meriah sekali.
Exco Kerajaan Negeri, YB Toh Chin Yaw yang kebetulan ada di sekitar kampung berkenaan petang semalam (30 Januari) memberitahu bemula hari semalam, setiap malam sehingga hari raya Khamis ini diadakan program Ambang Sambutan Tahun Baru Cina dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian singa, tukar topeng dan sebagainya..

TEGANUKITA

Beliau juga memberitahu pada hari Selasa kira-kira jam 9.00 malam, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said akan meluangkan masa melawat perkampungan berkenaan dan bertemu penduduk dan singgah di beberapa buah rumah.
Pada Khamis ini, 3 Februari pihaknya mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina untuk semua kaum di Dewan Tunku Abdul Rahman dan menjemput semua datang berkunjung.
Katanya, tahun ini diadakan juga pertandingan menhiasi rumah dengan penyertaan seramai 44 buah rumah, bertambah dari tahun lepas hanya 33 penyertaan.
Yang uniknya ialah kata beliau pada pertandingan kali ini terdapat enam penyertaan dari kaum lain, iaitu dua India dan empat orang Melayu.
Sementara itu, seorang pemuda, Chua Goh Tong memberitahu, pada malam raya iaitu malam Khamis ini, seperti biasa diadakan ‘makan besar’ di dalam keluarganya.
Mereka duduk semeja, ibubapa,nenek dan anak-anak serta cucu makan bersekali dan bemesra sesame keluarga sampai larut malam.
Katanya, masakan utama pilihan keluarganya ialah “Mee Suah”, di samping tepung bakul dan limau.
Seorang nenek Anne Gan,60 tahun ketika ditemui memberitahu keluarganya memilih ‘nasi dagang’ dan ‘ayam masak kerutup’ menu pilihan utama di hari raya Cina itu, seperti juga masakan orang Melayu.
“Kadang-kadang pagi, petang dan malam, semua keluarga saya suka makan nasi dagang, termasuk yang pulang berhari raya dari Kuala Lumpur” beritahunya kepada penulis.
Demikian gambaran 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, jelas terpampang dan terbukti dalam sosio-budaya masyarakat Malaysia kita, termasuk di Terengganu.




30 January 2011

Anugerah Guru Unggul Suntik Semangat

Oleh: Aida Abd Rahman

Peranan penting guru dalam membentuk insan cemerlang diiktiraf pelbagai pihak , bukan hanya kerajaan negeri malah syarikat swasta seperti Exxonmobil Exploration and Production Malaysia Inc. (Exxonmobil) apabila badan korporat itu menyumbang RM37, 5000 kepada 25 guru unggul yang terpilih dari seluruh Terengganu.

Seorang penerima Anugerah Guru Unggul 2010 dari Sekolah kebangsaan (SK) Teluk Pasu, Kuala Terengganu, Tengku Aznuriah Tengku Aziz, berterima kasih dengan inisiatif Exxonmobil kerana menaja anugerah sebagai mengiktiraf jasa dan ketrampilan guru dalam meningkatkan martabat pendidikan di Terengganu.

“Anugerah ini mampu memberi suntikan semangat untuk saya dan pendidik lain terus memberi perkhidmatan terbaik kepada anak didik sama ada dalam akademik ataupun bidang kokurikulum.

Tengku Aznuriah yang mengajar subjek Matematik, Pendidikan Jasmani dan Muzik turut dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Terengganu) dan berjaya membawa persatuannya itu menjalankan aktiviti sehingga ke Johor dan juga ke Padang Indonesia.

Seorang lagi penerima anugerah, Rosnizan Mohd, 33, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Chendering, Kuala Terengganu, menganggap anugerah itu sebagai hadiah berganda selepas mendapat Anugerah Guru Cemerlang peringkat sekolah pada November lalu.

Dia yang mengajar subjek Kimia dan Sains sejak tujuh tahun lalu, mencari kelainan dan inovasi dalam kaedah pengajaran apabila menyediakan modul khas mengikut kehendak pelajar yang digabungkan dalam satu buku bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam pelajaran apabila ketiadaan guru pada satu-satu ketika.

Katanya, sejak dulu lagi, dia menyasarkan untuk melihat kecemerlangan pelajar yang menjadi anak didiknya serta terus memperkasakan bidang akademik di sekolahnya.

Pengerusi Subsidiari Exxonmobil di Malaysia, Hugh W Thompson, berkata syarikatnya sentiasa mencari insiatif untuk membangunkan modal insan dan menyumbang untuk faedah jangka panjang kepada masyarakat setempat.

Katanya, pihaknya amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memajukan sektor pendidikan dan menyokong program pelajaran di Terengganu dengan harapan ianya mampu menyumbang kepada pembangunan serta menghasilkan tenaga kerja pakar.

Dalam pada itu, beliau juga berharap Anugerah Guru Unggul yang dipilih berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan guru dalam memajukan akademik dan kokurikulum pelajar itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada guru menghasilkan budaya kerja yang lebih cemerlang selain melahirkan generasi pelapis yang mampu memimpin negara pada masa depan.


TEGANUKITA

28 January 2011

DULU PEREMPUAN TAK BOLEH JADI CALON/WAKIL RAKYAT,SEKARANG BOLEH?


Dalam banyak perkara memang pemimpin Pas suka mengubah hukum dan fatwa yang mereka buat bersandarkan tafsiran mereka; dan mengubahnya pun mengikut selera dan keadaan mereka.
Seorang Naib Presiden PAS bergelar YB, mengakui Pas telah membuat tafsiran semula terhadap ayat 34 Surah An Nisa’ yang berbunyi,
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”
Di dalam pilihanraya 1990 dan sebelumnya, iaitu sejak golongan ulama menguasai PAS, mereka telah menggunakan ayat “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan” sebagai dalil yang mengharamkan umat Islam mengundi calon wanita dari Barisan Nasional.
Ia menjadi isu besar di dalam PRU 1990, bila berlaku pertandingan di antara calon lelaki dari PAS menentang calon perempuan dari BN dalam perebutan kerusi DUN Selising di Pasir Puteh Kelantan. Bagi memastikan calon mereka menang, PAS telah mengharamkan para pemilih mengundi calon perempuan BN bernama Cikgu Hajjah Wan Esah Binti Nik Hassan.
Dalil yang digunakan ialah ayat 34 Surah An Nisa’ yang ditafsirkan oleh mereka sebagai larangan Allah S.W.T kepada umat manusia dari mengangkat calon perempuan menjadi wakil rakyat. PAS juga telah menggunakan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari yang berbunyi,
“Tidak akan beruntung suatu kaum yang mereka menyerahkan urusan mereka kepada seorang wanita”
Sebelum 1990, PAS pernah meletakkan calon wanita di dalam PRU awal yang disertainya tetapi selepas golongan ulama’ menguasai parti itu, ia telah mengharamkan perletakan calon wanita berdasarkan apa yang mereka katakan sebagai larangan Allah S.W.T.
Namun begitu, bermula 2004 PAS kembali membenarkan calon wanita bertanding untuk PAS. Bagaimanapun perletakkan Normala Sudirman sebagai calon PAS di dalam PRK DUN Tenang memanaskan semula isu ini, terutama bila BN meletakan calon lelaki menentang calon wanita PAS itu.
Pengakuan Naib Presiden PAS semalam dalam temubual dengan wartawan dari Berita Harian akhirnya membongkar apa yang berlaku secara dalaman di dalam Parti Islam SeMalaysia itu.

Sesetengah pihak mengugut untuk menyiarkan beberapa keping gambar beberapa pimpinan tertinggi PAS bersalaman dengan wanita bukan muhrim. Ada juga yang bertanya sama ada PAS telah gagal menjelaskan tentang Islam kepada seorang bekas Naib Presiden PAS yang secara terbuka bersalam dengan Teresa Kok dari DAP di hadapan para jurufoto di lobi Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2007.
Kita tidak hairan itus semua kerana tafsiran agama di dalam PAS boleh diubah-ubah berdasarkan kesesuaian semasa dan kehendak perjuangan politik.

Yang jeliknya ada di kalangan muslimat Pas yang hebat bercakap tentang agama, tetapi dalam masa masih sebagai isteri mempunyai skandal atau hubungan sulit dengan lelaki lain, sehingga akhirnya berpisah dengan suami pertama dan kahwin dengan lelaki yang dijalini hubungan sulit itu, kini menjadi suaminya. Siapakah muslimat Pas yang dimaksudkan itu? Sama-samalah kita siasat.Panas!!!!!



TEGANUKITA

PERUBAHAN DALAM UMNO TERENGGANU-APA KATA MEREKA?





Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Bagaimana keadaan Umno Terengganu sebaik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT) dikembalikan semula kepada Dato’ Seri Ahmad Said (Menteri Besar)?
Apa komen orang-orang penting tentang perlantikan semula Dato’ Seri Ahmad Said?
Jawapannya bagi orang-orang Umno keseluruhannya amatlah dialu-alukan serta tunggu dan lihatlah pekembangannya, tetapi bagi pihak parti lawan- semuanya tak bagus dan tak baik sesiapa pun menerajui Umno.


TEGANUKITA

Namun begitu Dato’ Seri Ahmad telah pun melaksanakan beberapa tugas awalnya, termasuk membantu kempen pilihanraya DUN Tenang dan balik ke Terengganu semula mengadakan Mesyuarat BPUNT kali pertama bagi tahun 2011 serta membuat perlantikan pegawai-pegawai kanan parti, Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari.
Dengan perbincangan yang telah diadakan dengan Presiden Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sendiri, beberapa muka baru telah dibawa oleh Dato’ Seri Ahmad untuk perkuatkan Umno Terengganu termasuklah YB Ahmad Razif Abdul Rahman (Ketua Penerangan) dan YB Dato’ Za’abar Mohd Adib (Bendahari). Kedua-kedua mereka adalah Exco Kerajaan Negeri.Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu,yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terenganu,Tengku Putera Awang kekal sebagai Setiausaha.
Di samping beliau sendiri yang diberi tanggungjawab semula menerajui Umno Terengganu di samping Timbalannya, YB Haji Yahya Khatib Mohamad, dibantu oleh Dato’ Rosli Mat Hassan (Pengarah Strategik).


Lain-lain, Dato’ Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar), Dato’ Nasir Ibrahim Fikri (Ketua Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus), YB Datuk Mat Jidin Shafie (Ketua Bahagian merangkap Ahli Parlimen Setiu) dan Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu).
Penulis sempat merakamkan pandangan dan komen beberapa Ketua Umno Bahagian:
Ketua UMNO Bahagian Besut ,Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga bekas Menteri Besar berpandangan bahawa pelantikan dan penyusunan semula PBUNT itu mampu menyerlahkan lagi semangat baru untuk memastikan kemenangan cemerlang dalam PRU akan datang.
Manakala Ketua UMNO Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad, pula berkata amalan melantik Pengerusi BPUNT di kalangan MB bukannya perkara baru malah menjadi tradisi sejak dahulu lagi termasuk di zaman pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh di mana Menteri Besar (MB) akan memegang jawatan sebagai pengerusi BPUNT.
“Saya percaya segala urusan seperti merancang strategi dan meraih undi akan bertambah mudah, selain mampu menambah kepercayaan rakyat terhadap parti Barisan Nasional (BN),” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan pula menyifatkan pelantikan MB sebagai Pengerusi BPUNT suatu yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli UMNO seluruh Terengganu.
Malah ia membuktikan suatu keyakinan tinggi pucuk pimpinan tertinggi negara khususnya Presiden UMNO yang memiliki kuasa eksklusif untuk membuat pilihan mana-mana pemimpin negeri bagi menerajui parti dan memenuhi harapan rakyat.
“YAB MB pastinya sesuai menggalas dan mengetuai kepimpinan parti berdasarkan ketokohan dan pengalaman yang ada pada beliau selama ini. Malah, beliau juga menjadi Ketua UMNO Bahagian (Kemaman) yang berjaya memimpin kawasan dengan cemerlang sehingga mampu merekodkan keahlian teramai di Malaysia.
“Beliau merupakan individu yang layak menjadi perantara antara barisan pemimpin dan rakyat, ditambah pula peranan sebagai MB yang saling berkesalinan atau melengkapi dengan kedua-dua amanah yang dipegang kini.
Ketua Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, pula berkata rakyat Terengganu dan pemimpin setempat sebenarnya sudah lama menunggu berita gembira ini untuk mengembalikan semula jawatan Pengerusi BPUNT kepada anak negeri.
“Dato’ Seri Ahmad Said sememangnya seorang yang bekerja kuat dan sentiasa turun padang bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai. Sewajarnya jawatan itu layak untuk beliau bagi memantapkan lagi saf kepimpinan,” katanya.
Beliau yang kekal sebagai Setiausaha BPUNT sejak 2004 berkata , Presiden Parti, Dato’ Seri Najib Abdul Razak sering menyuarakan di mana setiap pemimpin perlu melaksanakan perubahan atau transformasi politik supaya lebih mantap dan mendapat lebih kepercayaan.
Sementara Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Ahmad dan berterima kasih kepada Presiden parti yang telah mengambil satu keputusan bijak melantik MB untuk menerajui parti.
“Memang tepat, Dato’ Seri Ahmad diberi tanggungjawab memikul tugas berkenaan dan pengalaman pernah menjawat jawatan sama sebelum ini dan yakin tidak ada masalah besar untuknya memikul amanah itu di samping memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum nanti.
Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee, pula berkata keputusan yang diambil oleh Presiden Parti memberi tanggung jawab mengurus parti kepada MB merupakan tindakan yang tepat pada masanya demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kebaikan kepada parti yang memerintah.
Beliau melahirkan keyakinan, MB mampu memikul tanggungjawab baru ini dengan menyusun agenda memperkuatkan jentera parti untuk menawan kembali kawasan yang dimenangi parti pembangkang di samping mengekalkan kerusi BN.
Manakala Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata semua pihak perlu menyokong kepimpinan MB dan juga Pengerusi BPUNT.
Katanya, Bahagian Kuala Nerus mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Ahmad kerana diberi tanggungjawab menerajui UMNO Terengganu di samping turut merakamkan pengharagaan kepada Naib Presiden Parti, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana menggalas peranan itu sebelum ini.
Beberapa pandangan pihak lain juga dirakamkan:
Yang Dipertua Mubarak, Dato’ Ahmad Sidi Ismail berkata,Majlis Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Mubarak) menyokong penuh di atas pelantikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru.
Yang Dipertua Mubarak, Dato’ Ahmad Sidi Ismail berharap pelantikan itu memberi mandate lebih besar kepada Dato’ Seri Ahmad menyusun jentera parti bagi persiapan menghadapi piliranraya umum akan datang.
“Mubarak penuh yakin dengan kepimpinan Menteri Besar, usaha menawan kembali kawasan parti pembangkang dapat di tawan semula di samping mengekalkan kerusi BN,” katanya.
Setiausaha Mubarak, Haji Harun Hasan berkata,
“Pelantikan Dato’ Seri Ahmad amat tepat, kerana selaku pemimpin tempatan beliau lebih memahami masalah yang timbul dalam parti,” .
Katanya, dengan perlantikan itu, dapat menyelaraskan pentadbiran kerajaan dan jentera parti berjalan seiring demi kesejahteraan rakyat dan negeri.
Malah Mubarak pernah membawa usul dalam mesyuarat agungnya tahun lepas, agar Menteri Besar dilantik menjadi pengerusi perhubungan untuk memudahkan perjalanan parti dan setiap masalah berbangkit dapat ditangani segera.
Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Haji Yahya Hashim turut mengalu-alukan pelantikan tersebut dan anggota veteran seluruh negeri memberi sokongan penuh untuk memperkasakan parti dan menjamin kemenangan parti dalam pilihan raya umum nanti.
“Sewajarnya sebagai ketua negeri, sekaligus menjadi ketua parti dan dapat laksanakan dasar-dasar kerajaan dan parti diselaras dan seiring bagi memenuhi tuntutan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Dato’ Haji Yahya seterusnya melahirkan rasa yakin Dato’ Seri Ahmad dapat memikul tanggung jawab ini dengan baik dan ahli-ahli veteran sentiasa menyokong apa saja perancangan demi untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti.

Adun Permaisuri, Setiu, Haji Abdul Halim Jusoh menyatakan;
“Perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu merupakan perlantikan yang menyeluruh di seluruh negara dan stategik pihak pusat untuk memberi peluang pemimpin tempatan menerajui parti di negeri masing-masing,”.
“Keputusan ini memang tepat dan InsyaAllah, Dato’ Seri Ahmad mampu memikul tanggungjawabnya dengan baik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri itu.
Beliau juga yakin pengerusi perhubungan yang baru ini akan mendapat sokongan semua pemimpin umno di peringkat bahagian dan kawasan serta mampu memenangi hati rakyat hingga ke akar umbi.
Adun Kuala Berang, Haji Mohd Zawawi Ismail mengucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kerana mendapat kepercayaan YAB Presiden parti untuk menerajui Umno Terengganu.
“Tentunya kepimpinan dan cetusan idea Menteri Besar, memperkenalkan moto ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di negeri ini menyakinkan YAB Presiden akan kemampuan Dato’ Seri Ahmad mengepalai parti dan negeri dengan jayanya,” katanya.
Katanya, apa pun perubahan yang berlaku, tentu untuk kebaikan rakyat dan negeri dan ini merupakan agenda besar parti yang menjurus kepada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan datang.






TERIMA KASIH ‘ DATUK MAT SAID’





Datuk Mat Said yang suka membantu golongan susah..."

Tidakkah sesuatu yang sungguh mengembirakan rakyat Terengganu bilamana, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said memberitahu kira-kira 106,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di negeri ini bakal menerima bantuan pembelian pakaian sekolah pertengahan Februari depan.

Ia akan diagihkan secara beperingkat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bukan sedikit dibelanjakan pada tahun ini untuk tujuan itu tetapi RM12 JUTA.




TEGANUKITA

Setiap pelajar yang pendapatan bulanan keluarga adalah kurang daripada RM1,200 juga akan menerima RM100- katanya.

"Satu keluarga boleh dapat bantuan maksimum dua orang, satu untuk pelajar sekolah menengah dan satu sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said berkata pengagihan bantuan itu, yang bertujuan meringankan beban ibu bapa, akan dibuat secara berperingkat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri.

Begitulah caknanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu terhadap golongan yang berpendapatan rendah.

Menteri Besar Terengganu yang amat sinonim dengan panggilan “Datuk Mat Said” di kalangan rakyat menghayati dan menjiwai orang-orang yang susah sentiasa memikirkan apa sahaja untuk dibantu.

Seorang bapa yang bekerja sebagai buruh ‘angkat tabik’ kepada “Datuk Mat Said’ yang menjiwai kesusahan rakyat bawahan dan berharap akan terus memikirkan lebih banyak lagi usaha-usaha membantu rakyat yang berpendapatan rendah.

“Terima kasih Datuk Mat Said” katanya dengan nada yang sayu.

Emak penulis sudah hampir berusia 80 tahun menceritakan betapa sukarnya dia dan arwah bapa seorang buruh kampung dulu mencari duit untuk membeli pakaian sekolah dan buku teks bagi membolehkan anak-anak belajar.

Mengimbas kembali kenangan lalu, emak berkata, dia sanggup mengikat perut semata-mata untuk membolehkan anak-anak belajar sehingga berjaya, tetapi tiadalah bantuan seperti sekarang ini, ceritanya sedih.

Begitu juga anak penulis yang bersekolah rendah pernah memberitahu, kawannya tiada pakaian sekolah dan beg sekolah- dan minta yang terpakai kerana tidak mampu membeli.

Kini syukurlah kerajaan sendiri membantu membelikan pakaian seragam sekolah untuk pelajar yang miskin ini! Demikian sebuah kerajaan yang benar-benar adil dan menghayati cara pemerintahan menurut pendekatan Islam.


Penulis membuat tinjauan ke negeri jiran yang dikatakan memerintah menurut Islam, tetapi sayangnya tiada bantuan pakaian sekolah diberikan seumpama ini.
Kadang-kadang pelajar miskin ini mengemis bantuan untuk membeli pakaian sekolah dari peniaga-peniaga, syarika, pihak hotel dan sebagainya untuk mendapat simpati.

Malangnya penulis difahamkan yang dibantu oleh pihak hotel itu hanya murid-murid miskin yang cemerlang sahaja, membabitkan beberapa buah sekolah berjumlah 190 orang sahaja pada tahun lalu.

Walau bagaimanapun, penulis terfikir eloklah juga peniaga, jutawan dan pemilik-pemilik syarikat besar yang mempunyai kewangan turut sama mencontohi apa yang dibuat oleh kerajaan dalam membantu pelajar miskin ini.- OLEH:RUSLAN RAHMAN



PENERANGAN UMNO- CABARAN BUAT YB RAZIF


Gambar di atas menunjukkan calon Pas DUN Tenang, Puan Normala sedang berceramah dan mengangkat tangannya yang lembut kepada pengundi lelaki dan wanita kaum Cina khususnya ..tapi kalau membaca ayat al-Quran, pemimpin Pas kata tak boleh aurat, ni berceramah macam artis macam mana pula?



Oleh: RUSLAN RAHMAN

Perlantikan YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Ketua Penerangan Umno Terengganu yang baru menggantikan YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek merupakan suatu pengharapan agar jentera penerangan Umno di negeri ini akan aktif dan berkesan.
Pemberian tugas kepada Ahmad Razif yang merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri merupakan suatu pengiktirafan dan perseimbangan di antara kedudukan beliau dalam parti dan kerajaan, kerana selama ini beliau hanya Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus sahaja.
Namun lebih dari itu perkiraan positif yang dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said setelah berbincang dengan Presiden parti ialah mahu melihat gerakan penerangan berjalan seiring dengan pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan dan parti yang memerintah.




TEGANUKITA

Peranan Penerangan untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang kebenaran perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta kerajaan yang memerintah Malaysia dan Terengganu bukanlah sesuatu yang boleh dikesampingkan.
Buat apa pembangunan hebat kalau akhirnya kerajaan dijatuhkan kerana dakyah pembangkang serta kegagalan Umno menerangkan kepada rakyat jelata dan pengundi tentang kebaikan dan persediaan yang kerajaan mereka buat untuk masa depan rakyat.
Justeru itu, penerangan dan penyampaian maklumat secara berkesan kepada rakyat hendaklah selari dengan pembangunan dan perbelanjaan yang dijalankan; dan janganlah fikir pembaziran wang untuk kerja-kerja penerangan kerana ia sama pentingnya juga dengan pembangunan lain.
Sudah sampai masanya gerakan penerangan Umno dimulakan di peringkat Bahagian-bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) malah peti undi sekalipun kerana pilihanraya di ramalkan akhir tahun ini atau awal tahun hadapan. Masa dah terlalu singkat!!
Kaedah penerangan juga perlu dipelbagaikan supaya apa yang diterangkan itu berjaya masuk ke dalam fikiran dan hati sasaran kita.
Di sini perlunya dilatih kader-kader penceramah; dan apa salahnya wakil-wakil rakyat Umno dan Exco Kerajaan Negeri juga turun padang berceramah di pentas parti memberikan maklumat kepada rakyat apa yang mereka lakukan.
Mempelbagaikan kaedah penyampaian maklumat penting. Kemahiran menceritakan dan meggambarkan seterusnya mempengaruhi sokongan itu amat penting.
Parti lawan bukannya hebat sangat, beberapa negeri yang mereka perintah haru-biru seperti Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang- tetapi sejauhmanajkah Umno telah menerangkan kepada rakyat tentang haru-biru pemerintahan mereka di sana?
Benarkah Pas laksanakan hukum Allah dan undang-undang Islam dalam kerajaan yang mereka perintah dan anggotai di beberapa negeri?

Hakikatnya tak laksana pun, cakap dan ceramah sahaja berdegar-degar oleh pemimpin mereka mencanangkan seolah-olah mereka telah memerintah menurut Islam yang dilaung-laungkan...tetapi sejauhmana diterangkan kepada rakyat,khususnya di Terengganu tentang temberang pemimpin Pas itu?
Pendekatan penerangan kepada golongan muda juga berbeza; hari ini media baru mendominasi kehidupan golongan remaja ini. Sesuaikah dengan ceramah? Jawabnya tidak.
Sekarang dunia Facebook, Twitter, SMS, MMS, baca blog, youtube, webtv, bermacam-macam blog, tetapi sejauhmana Penerangan Umno sudah memanfaatkannya, berbanding parti lawan yang dikatakan lebih ke hadapan dalam pendekatan media baru ini sekian lama.
Ini semua juga menjadi cabaran kepada Ahmad Razif untuk memikirkan bertindak sesuatu dan membuat tranformasi Penerangan Umno yang berkesan dan realistik.