Halaman

01 February 2011

TERENGGANU DAN ANUAR MANAN TETAP UNGGUL





TERENGGANU DAN ANUAR MANAN TETAP UNGGUL

Laporan: Ruslan Abdul Rahman, Mohd.Yusof (AV) Razlan (jurukamera webtv) dan Wahab (logistik).

Anuar Manan dari Terengganu, meskipun hanya mampu di tempat ketiga edisi 2011 Le Tour de Langkawi, yang berakhir di garisan penamat di Dataran Mardeka petang ini 1 Februari 2011, namun Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said tetap berbangga dengan keserlahan Terengganu dalam Sukan Lumba Basikal itu, malah kemunculan Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara masa kini.

Dato’ Seri Ahmad yang berada di Dataran Mardeka petang ini untuk melihat sendiri detik-detik stage terakhir, sesekali kelihatan mengesat airmata kegembiraan bila nama Terengganu dan Anuar Manan berkali-kali dilaungkan bagi mengejar mata demi mata untuk stage-stage terakhir.

Bendera Terengganu dan Malaysia yang berkibar mengalu-alukan penerpaan Annuar Manan menjadikan orang Terengganu berasa begitu bangga.

Ketika ditemui media Dato’ Seri Ahmad berkata, belia akan terus memastikan Terengganu cemerlang dalam sukan itu di masa hadapan kerana sebahagian besar jaguh negara adalah berasal dari Terengganu.

Ini diakui Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek yang menyatakan lebih dari enam orang jaguh lumba basikal negara adalah datangnya dari Terengganu.

Dato' Seri Ahmad Said dan Dato' Seri Shabery Cheek dikerumuni media selepas berakhirnya kejohanan yang berprestij itu di Dataran Merdeka petang ini. (1 Februari). Apa yang uniknya kedua-kedua pemimpin itu juga dari Kemaman, Terengganu.

Menteri Besar Terengganu menawarkan kepada negara, khususnya Menteri Belia dan Sukan untuk tahun depan Terengganu bersedia untuk menjadi stage terakhir Le Tour de Langkawi itu dan akan memberi pelbagai kemudahan.

Beliau juga menyatakan, kejayaan pelumba juga bergantung kepada pengurusan yang baik.
Terengganu katanya, mempunyai pasukan pelapis dan akan dihantar menyertai kejohanan di India dan Sanghai China untuk pendedahan.

Terengganukita mengiringi Dato’ Seri Ahmad Said dan Datuk Shabery Cheek bersama ribuan penonton di stage penamat itu untuk tujuan membuat liputan .






TEGANUKITA

Bot cruise dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 42,000 pengunjung tempatan dan luar Negara menggunakan perkhidmatan bot cruise di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, sejak ia dilancarkan lebih setahun lalu.

Pendekatan pengurusan TTI memperkenalkan perkhidmatan itu sebagai daya penarik, bukan saja mampu menambah bilangan pengunjung ke taman tema tersebut, malah ia membawa perubahan imej sungai Terengganu.

Pengarah Urusan TTI, Engku Azmi Engku Abdul Rahman, berkata perkhidmatan bot cruise yang dilancarkan pada Mac 2009, nyata memberi perkembangan positif di mana sebelum ini TTI hanya dikenali umum sebagai destinasi yang mempunyai taman monumen dan Masjid Kristal.

“Sebanyak tiga Perahu Payang dan dua Perahu Kolek digunakan, sebagai permulaan memperkenalkan perkhidmatan itu dengan mengenakan kadar bayaran RM10 seorang.

“Disebabkan sambutan yang cukup menggalakkan, empat bot fiber yang dinamakan sebagai Bot Sri Warisan, Bot Sri Wan Man, Bot Sri Kristal dan Bot Sri Paloh ditambahkan sebagai langkah memenuhi pemintaan pengunjung,” katanya yang dihubungi pemberita Teganukita.

Menurutnya, untuk menambah lebih keselesaan, Bot Dining Cruise turut diperkenalkan di mana perkhidmatan terbaru ini cukup istimewa dan unik.

“Setiap pelanggan akan dihidangkan dengan makanan tradisional seperti nasi dagang, kuih muih dan kerepok lekor sepanjang 45 minit menyelusuri sungai.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, rata-rata pengunjung memuji pendekatan itu, di samping mengharapkan tebing sungai dinaik taraf dengan memasang lampu neon,” katanya.

TEGANUKITA

Belia luar negara iktiraf Giat Mara

Oleh: Suriati Ali

Pusat Latihan Giat Mara bukan saja bertanggungjawab menawarkan pelbagai kursus kepada belia tempatan bagi menambah kemahiran mereka, malah berjaya melatih 2,253 belia luar negara.

Antaranya belia dari Sudan, Selatan Thailand, Timur Laste, Indonesia, Combodia dan Namibia.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, berkata pihaknya bangga kerana Giat Mara diiktiraf individu luar negara yang sebelum ini mengikuti pelbagai kursus berkaitan.

“Pengiktirafan itu adalah hasil usaha sama Giat Mara-Petronas dengan memperkenalkan Khartoum Vocational Training Center (KVTC) kepada mereka termasuk belia Darfur, Sudan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Kerjasama Teknikal Malaysia-Darfur, Sudan, di Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Dato’ Seri Haji Idris memberitahu, Giat Mara berazam akan terus meneroka lebih jauh bagi memperkenal dan melaksanakan program berkaitan kepada masyarakat luar negara lain termasuk negara dunia ketiga lain.

TEGANUKITA

Sikap Berat Tulang Punca Denggi

Oleh: Aida Abd Rahman



Sikap segelintir masyarakat yang `berat tulang’ dalam menjayakan program gotong-royong membersihkan kampung sendiri antara penyebab masalah demam denggi masih berlaku di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata pelbagai saranan dan kempen sudah dilaksanakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan namun sikap sekelompok masyarakat yang tidak pernah berubah menyukarkan hasrat memastikan kawasan persekitaran bersih sekaligus terhindar daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.



“Memang berlaku masalah denggi dan H1N1 di Terengganu.Kita di pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan tempatan melakukan pelbagai program bagi memastikan kualiti alam sekitar kita meningkat.

“Malah, pada tahun ini dijalankan program tambahan bagi menjaga sungai dan fizikal selain mencadangkan bot pemungut sampah bagi memastikan sungai dan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tidak tercemar dengan sampah sarap yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau ketika ditemui di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga kesal kerana banyak program gotong-royong hanya melibatkan peratusan kecil penduduk kampung yang bekerjasama untuk turun padang menjayakan aktiviti berkenaan.



Bagaimanapun, pihaknya berharap Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menggembleng tenaga semua komuniti dalam kampung untuk turun padang dan menunaikan tanggungjawab kemasyarakatan.

“Tindakan itu bukan hanya dapat membersihkan kawasan persekitaran kita, bahkan juga akan mewujudkan kesedaran rakyat mengenai keperluan menjaga kebersihan. Ia juga memerlukan sokongan agensi berkaitan ketika program diamalkan.

“Selain itu, penguatkuasaan ketat perlu dilaksanakan kerana sikap sambil lewa orang kita yang lebih gemar melakukan tabiat buruk membuang sampah di tempat sendiri terutama tempat awam. Bagaimanapun, apabila ke luar negara tabiat buruk itu tidak diamalkan kerana menghormati perundangan dan penguatkuasaan sesebuah tempat,”katanya.



Suara Kampus Buka Minda Siswa

Oleh: Esah Abdullah

Program suara kampus mampu membuka minda siswa dan siswi serta mencungkil bakat dan kreativiti mereka, selain memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan pendengar.

“ Saya percaya pengalaman ini akan menjadi perangsang kepada mereka setelah tamat pengajian dan mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif apabila berada di dunia luar nanti,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, pada majlis penutup Bengkel DJ Suara Kampus 2011, di Auditorium Radio Malaysia Terengganu FM (TFM), Bukit Pak Apil, semalam (31 Januari).

Teks ucapan beliau dibacakan Penolong Setiausaha Kerajaan, Agama dan Penerangan negeri, Haji Lukema Meri Salleh.

Hadir sama, Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiyah Che Lah; Ketua Bahagian Rancangan, Puan Noor Asmihan Mansor dan Penerbit, Encik Rizallimi Mohamed dan 34 peserta dari 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan lima dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Katanya, program suara kampus yang akan bersiaran setiap Khamis jam 9.15 malam hingga 11 malam ini berkonsepkan hiburan santai dan menjadi saluran untuk mempromosikan aktiviti serta info semasa perkembangan pusat pengajian tinggi.

“Usaha TFM meneruskan program Tadarus Bersama Remaja juga harus dipuji, bertujuan membentuk remaja berpendidikan serta kuat berpegang kepada agama, berkualiti dan jatidiri,” katanya.

Katanya, apa yang bersiaran di TFM merupakan ilmu dan maklumat serta mesej kerajaan yang berguna kepada seluruh penduduk di negeri ini agar masyarakat memahami dengan jelas dan tepat.

Bengkel DJ Kampus kali kedua diadakan, di mana peserta diberi pendedahan mengenai penyelidikan bahan, penyediaan dan penulisan skrip serta amali di studio yang dikendalikan DJ TFM, Puan Noor Asmihan Mansor, Encik Zainal Abidin Mustafa, Puan Rida Suzirawati Muda dan Puan Noorhaniza Mat Yeh.


TEGANUKITA

Pelajar Terengganu di Mesir selamat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 233 pelajar negeri ini di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang sedang menuntut di Mesir yang kini sedang bergolak, dilaporkan berada dalam keadaan selamat.



Pengarah YT, Haji Aziz Mamat berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan pelajar di negara itu dengan cara menghubungi pihak kedutaan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai mereka.


Pada masa yang sama, tambah beliau, pihak YT turut memantau perkembangan di negara yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang menuntut Presiden mereka meletak jawatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan pelajar tidak terjejas.



Kesemua pelajar yang sedang menuntut di Mansurah, Iskandariah dan Kaherah dinasihatkan agar tinggal di asrama masing-masing dan tidak keluar ke mana-mana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Haji Aziz berkata, pada masa ini pihaknya difahahamkan pergolakan di Mesir sudah sampai ke tahap oren (peringkat kedua) dari kuning (peringkat pertama). Jika sekiranya tahap tersebut sampai ke tahap merah (peringkat ketiga dan kritikal), semua pelajar Malaysia akan dibawa keluar dari negara berkenaan.

Bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pergolakan itu, YT menghantar Penolong Pengarahnya, Encik Razali Mahmud ke Wisma Putra di Putrajaya, bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelajar Terengganu yang berada di Mesir.



Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay telah berlepas ke Kaherah bagi mengetuai sepasukan lima pegawai untuk meninjau tahap keselamatan para pelajar, sekaligus merangka pelan kontigensi bagi menyelamatkan rakyat Malaysia, termasuk pelajar di Mesir.

TEGANUKITA

Konsep Baru Cegah Jenayah

Oleh : Aida Abd Rahman

Satu konsep baru bakal diperkenalkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dalam usaha pencegahan jenayah iaitu mereka bentuk persekitaran.

Naib Pengerusi MCPF , Tan Sri Lee Lam Thye, berkata konsep baru yang akan dilaksanakan secara meluas itu bagi menggembleng tenaga masyarakat ke arah usaha pencegahan jenayah.

Katanya, penglibatan semua pihak termasuk di taman-taman atau persatuan perumahan, institusi profesional seperti arkitek atau unit perancang bandar diperlukan bagi melaksanakan konsep ini dengan berkesan.

"Ini bermakna setiap pembinaan yang dirancang akan diambil kira persekitarannya supaya tidak terselindung yang boleh mengurangkan risiko jenayah," katanya selepas merasmikan laman web Yayasan Pencegahan Jenayah negeri Terengganu, kelmarin (31 Januari).

Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata konsep ini terbukti berkesan dan popular di negara barat kerana membawa kesan positif selain berkesan membantu mencegah jenayah.

MCPF tahun ini memfokuskan lebih banyak penubuhan kelab-kelab pencegahan jenayah di sekolah-sekolah kerana golongan ini merupakan aset penting yang bakal menjadi pemimpin negara satu masa nanti.

Sebanyak 70 sekolah di Terengganu menubuhkan kelab pencegahan jenayah masing-masing iaitu 136 sekolah menengah dan 306 sekolah rendah.




TEGANUKITA

31 January 2011

Jurutera didakwa



Seorang jurutera perunding didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini (31 Januari) berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu pada Jun 2009.

Tertuduh, Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009 iaitu dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.



Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Januari dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Dia didakwa memberi dan menandatangani dokumen berkenaan kepada Pengarah JKR negeri, Rosli Zainal, dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.



Hakim M Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa manakala pendakwaan dilakukan oleh Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

TEGANUKITA

Dato’ Seri Ahmad mampu lakukan yang terbaik

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata rakyat Terengganu, terutama penyokong Barisan Nasional (BN) menyatakan rasa syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat kerana mempercayai kewibawaan Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerajui barisan pimpinan Umno.

Pesara Kerajaan, Haji Long Abdul Rahman, berkata Dato’ Seri Ahmad cukup dikenali rakyat dengan sifat semula jadinya, mudah tersentuh apabila rakyat ditimpa musibah, bencana alam dan sebagainya. Jadi, tidak hairanlah, mengapa beliau rapat dengan rakyat.

“Mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, ia tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana jawatan itu cukup sesuai berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Beliau bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang politik malah menjadi individu yang dipercayai sewaktu memegang beberapa jawatan penting dalam agensi kerajaan dan swasta, termasuk pernah menjawat Penolong Pegawai Daerah Setiu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kemaman dan Pengerusi Pesama Timber Corporation Sdn, Bhd,” katanya.

Haji Long Abdul Rahman berharap barisan pimpinan baru Umno menjadi mantap dan tersusun dalam mentadbir negeri untuk terus mengecapi kesejahteraan dan kemakmuran.

“Saya percaya Dato’ Seri Ahmad dan Timbalannya, YB Yahya Khatib Mohamad mampu melakukan yang terbaik untuk masa depan rakyat dan Umno,” katanya yang memegang jawatan terakhir sebagai Pegawai Daerah Marang.

Ketua Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata apabila seseorang itu diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar secara mutlaknya perlu memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno seperti yang dilantik di lain-lain negeri.

“Amalan ini bukannya perkara baru malah menjadi tradisi sejak dahulu lagi, ia juga berlaku di zaman pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh di mana ketika itu selaku Menteri Besar akan memegang jawatan sebagai pengerusi badan,” ujar Ketua Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad.

Beliau yang turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi badan itu mengakui dan percaya segala urusan seperti merancang strategi dan meraih undi akan bertambah mudah, selain mampu menambah kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional.


TEGANUKITA


Rakyat Perlu Syukur Pemimpin Cakna

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat hari ini, khususnya rakyat Terengganu sewajarnya bersyukur di atas kurniaan Illahi yang menganugerahkan sebuah negara yang makmur dan maju.

Tidak lupa juga, kita sebagai rakyat perlu berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat dan negeri yang telah berusaha mencari kemakmuran itu semata-mata untuk kesejahteraan dan kesenangan rakyat.

Pengerusi Veteran Umno Parlimen Kuala Nerus, Haji Sayed Mohamad Idrus, cukup kesal dengan sikap segelintir individu yang memandang rendah dan mengkritik setiap tranformasi dilaksanakan pemimpin sedangkan mereka turut menggunakan kemudahan itu.

“Adalah tidak bagus mempunyai sikap sebegitu, kerana secara tidak sedar golongan itu dan keturunannya turut menggunakan kemudahan seperti jalan raya, jambatan dan jejantas yang sememangnya diusahakan pemimpin Umno,” katanya ketika dihubungi wartawan Teganukita.

Menurut Haji Sayed Mohamad, bagi mengecapi kemakmuran seperti ini, bukannya mudah kerana pelbagai halangan yang dihadapi pemimpin terdahulu terutama sebelum mencapai kemerdekaan.

“Pengalaman ketika bersama-sama menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 pula masih segar dalam ingatan walaupun hampir 54 tahun berlalu.

“Sewaktu itu saya bersama-sama 40 ahli Umno bersepakat untuk meraikan hari bersejarah itu di Padang Merdeka, Kuala Lumpur dengan menaiki feri dan bas,” katanya yang menggunakan duit poket sendiri dan ada di antara ahli lain terpaksa memecah duit tabung semata-mata tidak mahu ketinggalan meraikannya.

Katanya, sebelum tiba di Padang Merdeka yang mengambil masa dua hari satu malam pelbagai halangan dan rintangan dilalui di mana mereka terpaksa bermalam di Masjid Temerloh, Pahang dan akibat kepenatan juga, bangku Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda menjadi tempat untuk berehat dan dijadikan alas tidur.

“Laungan merdeka, merdeka, merdeka yang dilafazkan Tuanku Abdul Rahman masih tergiang-giang sehingga ke hari ini dan tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat,” katanya ketika itu berusia 17 tahun.


TEGANUKITA