Dato' Seri Ahmad Said disambut tarian singa ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap masyarakat Tiong Hua di Terengganu terus melakar kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan selain menjalinkan kerjasama dengan kaum lain termasuk Melayu di negara ini dan Terengganu khususnya dalam usaha membangunkan negeri.
Beliau yang turut mengambil kesempatan mengucapkan `Gong Xi Fa Cai’ kepada semua kaum Cina di negeri ini berharap majlis rumah terbuka sempena perayaan itu mampu meningkatkan lagi perpaduan dan semangat 1Malaysia.
Menteri Besar ditemani isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud tiba di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, kira-kira jam 10 pagi, hari ini (3 Februari).
Turut hadir,Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw.
Kira-kira 3,000 tetamu menghadiri majlis berkonsepkan perayaan 1Malaysia yang menyediakan menu pelbagai kaum di Malaysiatermasuk nasi minyak, laksa, putu mayam dan kuih bakul.
Seorang pengunjung, Puan Hasnor Salleh, 52, turut tidak melepaskan peluang menghadiri majlis itu bersama keluarga, teruja dengan sambutan yang begitu meriah kerana mampu menghimpunkan semua masyarakat tanpa ada batasan kaum.
“Majlis ini bagus dan mak cik sekeluarga sentiasa tidak melepaskan peluang bersama anak-anak ke sini sejak dulu lagi. Makanan yang disediakan juga lazat dan menyelerakan,” kata surirumah dari Flat seri Kolam, Kuala Terengganu itu.
Manakala seorang kakitangan kerajaan, Chua Gor Thong, 25, dari Gong Kapas, Kuala Terengganu, berkata semangat perpaduan dan muhibah dapat dipupuk daripada sambutan Tahun baru Cina yang menekankan konsep 1Malaysia ini sebagaimana juga kepentingannya dengan sambutan perayaan lain di negara ini.
Katanya, pelbagai makanan tradisional pelbagai kaum yang tersedia di majlis itu juga menggambarkan semua kaum saling menghormati dan menggemari makanan tradisi kaum lain.
Seorang perunding syarikat swasta, Munusamy Aplasamy, 55, juga bersemangat menyertai sambutan itu bersama keluarga kerana kelainan dan keunikan yang ditonjolkan, selain kemeriahan majlis yang menimbulkan keseronokan.
“Saya bersama keluarga sudah kali ketiga meluangkan masa menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina ini. Perayaan ini berjaya menyatukan semua kaum dan menyeronokkan kerana kita jarang dapat berkumpul dalam satu majlis besar seperti ini,” katanya.
TEGANUKITA