Halaman

07 February 2011

MB Rayu Pelajar Terengganu Pulang

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Seri Ahmad Said ditemani Dato' Rosol Wahid menyampaikan e-Book kepada murid Tahun 5 dalam kawasan DUN Ajil di SMK Bukit Diman, Ajil.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merayu kira-kira 2,000 pelajar Malaysia khususnya anak Terengganu yang masih berada di Mesir supaya meninggalkan negara bergolak itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Terdapat maklumat terkini ada pelajar yang tidak mahu pulang. Kita tidak boleh cakap apa dan kita tidak boleh paksa mereka. Cuma kita merayu mereka kalau boleh, pulanglah. Walaupun keadaan (di Mesir ) sekarang agak tenang sedikit, kita takut berlaku gelombang kedua atau sebagainya,” kata beliau ketika sidang akhbar selepas Majlis Pembahagian e-Book 2011 Dewan Undangan Negeri (Dun) Ajil, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman, Ajil, hari ini (7 Februari).



Turut hadir, yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Adun Ajil, Dato’ Rosol Wahid.

Menteri Besar berkata, pelajar Malaysia dan Terengganu khususnya tidak wajar lagi berada di negara itu memandangkan universiti sudah mengeluarkan surat pengisytiharan menutup pengajian, sementara keadaan yang tegang di negara itu kembali pulih seperti sediakala.

Dato’ Seri Ahmad juga meminta supaya pelajar anak Terengganu yang masih berada di sana segera menghubungi bilik operasi yang diwujudkan di Jeddah bagi memudahkan urusan penghantaran pulang dan mengemaskini rekod jumlah pelajar di negara itu dari masa ke semasa.

“Kalau sesuatu insiden tidak diingini berlaku, mereka terpaksa menanggung sendiri memandangkan kerajaan negeri sudah memberi peluang dan menyediakan kenderaan untuk membawa balik mereka. Bagaimanapun, jika mereka berasa yakin, kita tidak mampu membuat apa-apa dan kita tidak mahu dipersalahkan jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.



Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad akan meneliti rancangan membawa pensyarah perubatan dari Mesir ke Terengganu untuk memastikan pengajian anak Terengganu dalam bidang itu dapat diteruskan walaupun diisytiharkan penangguhan pengajian sepanjang pergolakan berkenaan.

Katanya, jika pelajar terbabit bercuti sehingga setahun dan berada di kampung pastinya akan merugikan kerajaan negeri khususnya pelajar yang mendapat pembiayaan penuh Kerajaan Terengganu dalam pengajian perubatan di Mesir .

Menteri Besar berkata, jika pensyarah perubatan berkenaan bersetuju untuk menjalankan kelas khas serta peperiksaan sebagaimana pengajian mereka, kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukan khusus untuk menyelesaikan masalah itu.

Berdasarkan rekod, terdapat 247 pelajar tajaan Yayasan Terengganu dan 323 pelajar tajaan Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang menuntut di Mesir, selain sejumlah pelajar yang menuntut di negara itu menerusi pembiayaan sendiri.


TEGANUKITA

LADANG GEMILANG…MENGAPA?

Gambar atas: MB sendiri turun padang memastikan pembinaan pangsapuri sempurna dan selesa. Gambar bawah: Orang ramai melihat sendiri pelan perancangan pangsapuri Ladang Gemilang.

Bahagian 2

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Meskipun betapa caknanya kerajaan terhadap usaha membangunkan masyarakat Ladang supaya dapat menikmati sama pembangunan yang berada di Bandaraya Kuala Terengganu, tetapi kerana permainan politik dan manipulasi pembangkang, kadang-kadang ada yang berasa gelisah apakah yang kerajaan buat tidak betul?

Tiada kerajaan yang baik seperti Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada semua orang untuk mengecapi nikmat pembangunan walaupun mereka menumpang. Di negeri seperti Pulau Pinang, misalnya dalam pembangunan kampung Pala, mereka diusir keluar begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk menempatkan mereka di mana-mana, jauh sekali untuk membayar saguhati ehsan.

Oleh itu, Teganukita cuba memudahkan jawapan segalanya melalui pendekatan soal-jawab:

SOALAN: Mengapa dalam proses ambil balik tanah dan bayaran pampasan tidak sama jumlah hingga ada yang mendakwa; ada yang mendapat bayaran banyak (ratusan ribu ringgit) ada yang sedikit (ribu ringgit sahaja).

JAWAPAN: Tidak semua orang terbabit dengan bayaran pampasan. Mereka yang mempunyai rumah dan tanah milik persendirian tentulah mendapat bayaran pampasan dengan jumlah tertentu selaras dengan penilaian yang dibuat. Yang dapat sedikit itu bukan pampasan, tetapi bayaran saguhati ehsan kerana mereka adalah yang menumpang di tanah kerajaan milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) khususnya yang tinggal di tanah wakaf Ladang Tok Pelam.

Walaupun mereka menumpang tanah kerajaan tetapi mereka tetap mendapat bayaran ehsan dari kerajaan, malah diberi tawaran untuk berpindah ke pangsapuri Ladang Gemilang itu, bukannya dihalau.

Yang telah mendapat bayaran pampasan pun kerajaan membenarkan mereka mengambil aset itu malah boleh jual pula kayu-kayu dan pelbagai perkakasan yang telah dibayar oleh kerajaan itu.


Nilai pampasan berbeza pula kerana penilaian dibuat bukan ke atas tanah sahaja, tetapi termasuk bangunan di atas tanah itu; sebab itulah wujud jumlah bayaran pampasan yang berbeza, yang ada bangunan tentulah mendapat bayaran lebih dari tanah kosong dan bangunan itu pula ada penilaian tertentu juga yang menjadikan bayaran berbeza juga.

SOALAN: BENARKAH BAYARAN SEWA DI PANGSAPURI TRANSIT ITU MAHAL DAN MEREKA TIDAK MAMPU MEMBAYARNYA KERANA KEMISKINAN HIDUP?

JAWAPAN: Sewa RM300 sebulan itu tidak mahal, jauh murah kerana tiga bilik tidur dan dua bilik air. Kalau harga sewa sebenar tentulah RM700 atau RM800 sebulan. Yang tidak bermampuan dan cukup syarat diberikan pula subsidi bayaran sewa rumah itu.

Di sini ada juga yang harganya RM800 tetapi merupakan pangsapuri kos sederhana mengandungi 4 bilik tidur.

SOALAN: MENGAPA MEREKA TIDAK BOLEH MILIK KE ATAS RUMAH ITU DAN RUMAH ITU HANYA UNTUK TRANSIT?

JAWAPAN: Betullah untuk sementara (transit) dan apabila bangunan Ladang Gemilang kedua siap mereka akan diberikan hak milik secara sewa-beli. Transit bermakna sementara kerajaan membina bangunan di tanah yang membabitkan pengambil-balik dan perpindahan mereka itu, maka mereka diberi peluang untuk menyewa di pangsapuri transit itu.

SOALAN: SELEPAS SIAP DAN DAN MEREKA BERPINDAH KE PANGSAPURI LADANG GEMILANG KEDUA, APAKAH PANGSAPURI TRANSIT ITU AKAN DIKOSONGKAN?

JAWAPAN: Kerajaan mempunyai perancangan pembangunan di lain-lain tempat sekitar lagi, termasuk di Tanjung Kapur dan sebagainya. Pangsapuri transit itu juga akan digunakan untuk perpindahan sementara mereka sebagaimana kaedah yang digunakan di Kampung Ladang.

SOALAN: MENGAPA ADA YANG MASIH TAK PUAS HATI DAN MELAKUKAN TINDAKAN MENGHANTAR MEMORANDUM DAN SEBAGAINYA.

JAWAPAN: Biasalah kerana mereka adalah dari kalangan yang suka membangkang, apatah lagi di belakang mereka ada parti politik tertentu yang menjadi ‘dalang’ untuk membangkit pelbagai rasa tidak puas hati. Ramai di antara penghuni di situ tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan dan ia dilakukan tanpa izin mereka.

TEGANUKITA

Gembira terima e-Book

Oleh: Suriati Ali



“Kami sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk menggunakan e-Book yang diterima daripada Menteri Besar dan terima kasih diucapkan kepada kerajaan di atas pemberian ini yang sudah lama diimpikan kami berdua.

“Saya tahu e-Book ini mahal harganya, disebabkan faktor itu kami tidak memaksa ayah yang bekerja sebagai buruh membelinya walaupun keinginan untuk memiliki terlalu mendalam, kata Nor Samimi Aziz, yang juga pasangan kembar kepada Nor Samirah,11.




Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai itu berkata demikian selepas Majlis Penyerahan e-Book Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat yang disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Sekolah Kampung Baharu Serada, Marang, semalam (6 Februari).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Razali Daud dan beberapa pegawai kanan kerajaan.



Kira-kira 772 pelajar daripada lapan sekolah iaitu SK Padang Midin seramai 186 pelajar, SK Gelugor (129), SK Kepong (107), SK Simpang Rawai (119), SK Tasek (93), SK Banggol Kantong (54), SK Kampung Baharu Serada (52) dan SK Serada (33) menerima pemberian e-Book secara percuma.

Bapa pelajar yang juga kakitangan Syarikat Air Terengganu (Satu), Nik Idris Nik Mat, 49, berkata dia akan menyahut saranan Dato’ Seri Ahmad yang menyatakan supaya menjaga e-book sebaik mungkin setanding barang berharga lain.



“Sebelum anak Nik Nurul Fakihah, 11, menjejak kaki ke sekolah, dia juga akan mempastikan kemudahan itu akan dicas terlebih dahulu bagi memastikan pelajarannya tidak terganggu,” katanya.

Menurutnya, dia turut tersentuh melihat gelagat anaknya yang terlalu gembira untuk menerima e-Book. Pemberian ini bagaikan satu bonus kepada Nurul Fakihah yang sudah lama meminati bidang teknologi maklumat.



Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dari SK Serada, Abdullah Haji Roslin, 11, berkata, dengan adanya kemudahan e-Book, dia tidak perlu lagi meminta rakan membawa beg yang berat.

“Walaupun keadaan fikizalnya tidak seperti rakan normal, dia yakin mampu meneroka ilmu melalui kemudahan canggih ini,” katanya


TEGANUKITA


LADANG GEMILANG: MENGAPA?

Perkampungan Ladang-


Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bahagian 1.

Usaha Pembangunan di Kampung Ladang yang membabitkan beberaba buah kampung sekitar yang sekian lama terpinggir dalam bandar Kuala Terengganu adalah usaha yang amat positif.

Kalau dibiarkan kuasa pasaran menentukan dan pembangunan hartanah dijalankan oleh swasta akan berterusan, mereka yang kebanyakan orang-orang Melayu yang menghuni di situ, termasuk secara menumpang tidak mungkin mampu untuk membeli hartanah atau unit-unit rumah dan kedai yang pasti tinggi harganya.


Cantik dan selesa: Pangsapuri Ladang Gemilang

Begitu juga keadaan perkampungan itu yang tidak terurus susun aturnya, sistem perparitannya dan rumah-rumah usang dan suasana yang mencacatkan pemandangan tentulah membawa suatu pola kehidupan yang tidak selesa dan menghasilkan pelbagai masalah sosial.


Kita tidak mahu aset-aset Melayu terlepas begitu sahaja dan orang-orang Melayu tinggal terpinggir, apatalah lagi kebanyakkannya merupakan golongan yang berpendapatan rendah.

Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit demi membela nasib masa depan orang-orang Melayu di Ladang dan sekitarnya.

Terdapat beberapa katogeri orang-orang Melayu yang berada di Kampung Ladang itu:

• Mereka memiliki rumah dan tanah
• Mereka hanya memiliki rumah tetapi menumpang di tanah orang
• Mereka hanya menumpang di rumah dan tanah milik orang, termasuk tanah milikan kerajaan.

Keluarga dari kumpulan kumpulan ini terus berkembang dan kadang-kadang terpaksa hidup berasak-asak dalam rumah membabitkan beberapa keluarga.

Oleh itu kerajaan mengambil daya usaha membangunkan Ladang dan sekitarnya dan membina pangsapuri untuk menempatkan mereka dengan lebih selesa, termasuk pembesaran atau pertambahan keluarga baru, diberikan tempat tinggal ini..

Langkah pertama ialah dengan membina pangsapuri ‘transit’ untuk menempatkan dulu mereka yang terbabit sebagaimana tiga kumpulan dan katogeri tadi.

Pangsapuri Ladang Gemilang 1 ini dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air- amat selesa sekali berbanding dengan kehidupan sebelumnya di perkampungan yang padat dan tidak bersistem.

Kesemua 192 orang telah mula menduduki pangsapuri transit itu pertengahan tahun lalu (2010) sebelum menjelang hari raya Aidilfitri, penyerahan kunci disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri.

Ia dibangunkan di atas tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu.

Kemudahan surau juga diadakan untuk menampung 200 jemaah pada satu satu masa.

Perlu difahami untuk Pangsapuri Ladang Gemilang 1 ini adalah ‘transit’ dan mereka tinggal sementara secara menyewa terlebih dahulu di sini sebelum berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang 2.

Sewa bulanan lebih kurang RM300 sahaja di kediaman yang begitu selesa ini merupakan suatu nikmat kalau hendak di bandingkan unit-unit rumah rumah seumpamanya di sekitar bandar ini antara RM700 hingga RM800 sebulan.

Kadar sewaan ini hanya dibuka kepada mereka yang terlibat dalam perpindahan itu sahaja.

Bagi rumah yang akan dijual kelak (Gemilang 2) kerajaan memberikan subsidi 50 peratus bagi rumah kos rendah, manakala bagi Pangsapuri Ladang Gemilang bagi rumah mampu milik berharga RM150,000, dijual dengan harga RM75,000.

“Sekarang ini kita jadikan transit dahulu untuk beberapa tahun bagi memudahkan mereka berpindah dan memudahkan kerja-kerja pembangunan kampung mereka dijalankan,” tegas Menteri Besar sewaktudi majlis penyerahan kunci.

Mereka yang termasuk dalam senarai penerima bantuan sewa rumah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mereka hanya perlu bayar RM126 sahaja setiap bulan

Difahamkan berdasarkan prosedur biasa, bagi tiga tahun pertama mereka bayar sewa dan selepas itu jika tiada aduan, bantahan serta tiada penyelewengan, kerajaan menetapkan tiga tahun pertama sebagai bayaran permulaan kepada sewa beli rumah itu sebagaimana yang sudah dijelaskan.





TEGANUKITA

06 February 2011

Medium Khas Laporan Terkini di Mesir

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Perkembangan terkini pelajar Terengganu yang berada di Mesir yang menyaksikan pelajar berkenaan terbabit dalam misi membawa pulang ke tanah air.

Kerajaan negeri membuka laman web khusus dan talian operasi khas bagi memudahkan orang ramai serta ibu bapa yang mahu mendapatkan maklumat terkini perkembangan misi membawa pulang pelajar Terengganu yang berada di Mesir.



Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Encik Rosli Zakaria, berkata laman web rasmi berkenaan: http://mesir.terengganu.gov.my dan misipulang.blogspot.com.



Menurutnya, kedua-dua saluran itu akan memuatkan info dan perkembangan misi membawa pulang pelajar Terengganu dari Mesir secara terperinci serta nombor telefon bilik gerakan untuk dihubungi.



Berdasarkan laporan laman web rasmi kerajaan yang dikemaskini sehingga 5 Februari itu, sejumlah 236 penuntut Terengganu yang terlibat dalam misi itu dan sebahagian mereka sudah berada di 10 pusat perpindahan.

Sehingga kini, seorang pelajar sudah selamat pulang ke Malaysia, seorang di Perancis dan Sepanyol. Sementara tiga pelajar berada di Hayyu Ashir, Kaherah, 80 di Mansourah dan 63 di Jeddah. Manakala 87 masih belum dipindahkan lagi.

Info:

Bilik Gerakan Negeri:
09-6224559, 09-6224559, 096310164

Bilik Gerakan Mesir:
+2010-5005338,
+2010-1101004,
+2010-8714264,
+2010-5382715

TEGANUKITA

Lebih 200 pelajar Terengganu tiba di Jeddah

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Zulkipli bin CW. Putera

MAKLUMAT TERKINI


Sebahagian pelajar Malaysia kumpulan pertama seramai 356 yang di bawa dari Mesir dengan pesawat Malaysia Arilines (MAS) dan AirAsia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, semalam.

Lebih 200 pelajar Terengganu yang sedang menuntut di Mesir sudah dipindahkan di Jeddah dan menunggu masa untuk diterbangkan ke tanah air.

Mereka dijangka pulang ke tanah air bersama-sama pelajar dari negeri-negeri lain setelah urusan visa selesai.

Hari ini lebih ramai pelajar dijangka tiba di Jeddah selepas mereka diterbangkan dari Mesir ke Jeddah oleh beberapa pesawat yang diuruskan Kerajaan Malaysia.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, berdasarkan laporan yang diterima urusan membawa keluar pelajar Malaysia, termasuk dari Terengganu ke Jeddah berjalan lancar dan ia akan selesai dalam beberapa hari ini.

“Ibu bapa pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir boleh berhubung terus dengan sekretariat bilik operasi yang ditubuhkan kerajaan di Jeddah bagi mendapatkan laporan terkini mengenai anak-anak mereka,” katanya kepada wartawan TEGANUKITA di Shah Alam, hari ini.

Beliau berharap ibu bapa bersabar dan pihak kerajaan sudah melakukan yang terbaik bagi membawa segera pelajar yang berada di negara yang bergolak itu itu pulang ke tanah air.

Sementara itu, pegawai tadbir negeri, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, muncul johan Pertandingan Golf Persahabatan Kerajaan Negeri Terengganu 2011 yang diadakan di Kota Permai Golf & Country Club, Shah Alam.



Tempat kedua dimenangi Setiausaha Politik YAB Menteri Besar, Haji Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid manakala tempat ketiga disandang Setiausaha Sulit Kanan YAB Menteri Besar, Encik Azman Ghani.

TEGANUKITA

05 February 2011

DYMM Tuanku Mizan Sertai Pertandingan Golf

Laporan: Kamarudin Mat Akib dari Kota Permai Golf & Country Club, Shah Alam


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan bergambar bersama peserta Golf Persahabatan Kerajaan Negeri Terengganu 2011 di Kota Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN / Zulkipli bin CW. Putera



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyertai acara Golf Persahabatan Kerajaan Negeri Terengganu 2011 di Kota Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning, Shah Alam, pagi ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, turut menyertai pertandingan tersebut yang bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin kerajaan dan pegawai tadbir negeri Terengganu.



Tuanku Mizan berangkat kira-kira jam 7.45 pagi dan ketibaan baginda di kelab itu disambut Menteri Besar, Ahli-Ahli Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Seramai 44 orang membabitkan 11 pasukan menyertai pertandingan tersebut yang dimulakan kira-kira jam 8 pagi.



Tuanku Mizan berkenan bergambar kenang-kenangan dengan semua pemain sebelum pertandingan dimulakan.

TEGANUKITA

Raja Perlis dan Rombongan Diraja Lawat TTI

Oleh: Aida Abd Rahman dan Esah Abdullah



Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Al-Marhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat dan meluangkan masa hampir dua jam melawat Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (5 Februari).

Baginda berdua berangkat ke taman pelancongan yang menjadi mercu tanda Terengganu itu bersama-sama anakanda baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Dato’ Akashah Khalil.

Rombongan Diraja Perlis berkenan menaiki Bas Bandar dari tempat penginapan dan turut diperkenalkan tempat menarik sepanjang perjalanan menuju ke Pulau Wan Man.

Kira-kira 5 kerabat Diraja Perlis yang turut sama dalam lawatan baginda ke Terengganu sepanjang tiga hari bermula Khamis lalu itu.



Di Taman Tamadun Islam, rombongan Diraja berkenaan diberi taklimat mengenai pusat pelancongan itu sebelum dibawa menaiki tram khas bagi mengelilingi taman dan menyaksikan monumen senibina Islam yang masyhur seluruh dunia yang terdapat di situ.

TTI yang terletak di tapak berkeluasan 23 hektar merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia yang memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.

Taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam itu menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Selain itu, Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.



Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu yang mana masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.

Rombongan turut melawat Noor Arfa Batik, Chendering dan meluangkan masa lebih sejam melihat hasil kerja tangan di bilik pameran dan membeli sutera ekslusif yang dihasilkan anak tempatan itu.

Sejurus lawatan di TTI, rombongan Diraja Perlis berangkat balik ke Perlis kira-kira jam 3 petang.


TEGANUKITA

04 February 2011

BANGUNAN DEWAN UNDANGAN NEGERI TERENGGANU DIUBAHSUAI





Bangunan Dewan Undangan Negeri, yang terletak di tingkat U2 Wisma Darul Iman, diubahsuai sejak digunakan pada tahun 1987,iaitu kira-kira 24 tahun yang lalu.

Kerja-kerja pengubahsuaian sedang berjalan sekarang ini supaya memenuhi ciri-ciri keperluan masa kini.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato'Tengku Putera Awang berkata, selepas ini keadaan tempat persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu akan lebih selesa.

"Ia adalah tempat yang mulia bagi tujuan perbincangan untuk kesejahteraan rakyat,oleh itu tempat yang mulia ini mestilah disempurnakan sebaiknya," katanya.

Jurufoto Teganukita, Zulkifli Putera merakamkan kerja-kerja ubahsuai tersebut.
Oleh:Ruslan Rahman.


TEGANUKITA

Terengganu Hantar Tiga Wakil Ke Jeddah

Oleh: Aida Abd Rahman




Kerajaan Terengganu menghantar tiga wakil yang terdiri daripada pegawai kerajaan negeri ke Jeddah, Arab Saudi, hari ini (3 Februari) bagi menguruskan kepulangan pelajar negeri ini yang menuntut di Mesir .

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata mereka diketuai Pegawai Penyelaras Penuntut Terengganu di Mesir, Ustaz Ahmad Kamal Abdullah, pegawai dari Yayasan Terengganu dan pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.



"Kita akan menghantar wakil berkenaan bagi menyiapan bilik opeasi untuk memudahkan menghubungi pegawai kita di sana sekaligus melancarkan urusan penghantaran pulang ke tanah air.

"Diharap ibu bapa jangan bimbang kerana Insya-Allah kita, kerajaan negeri dan kerajaan Malaysia akan berusaha membawa pelajar dan rakyat kita ulang dengan selamat, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menyiapkan bilik operasi khusus bagi melancarkan uruskan kepulangan penuntut-penuntut berkenaan termasuk menerbangkan mereka secara berperingkat-peringkat melalui kapal terbang atau kapal laut.



Pada masa ini terdapat 233 penuntut Terengganu yang mendapat tajaan Yayasan Terengganu dan 312 penuntut di bawah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menuntut di negara yang sedang bergolak itu.

Katanya, penuntut-penuntut Terengganu di Mesir diharap dapat menghubungi sekretariat bilik operasi yang ditubuhkan kerajaan Malaysia di Jeddah bagi memudahkan urusan membawa pulang.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata, semua penuntut berkenaan yang berada di Mesir dilaporkan dalam keadaan selamat kerana sejak awal lagi mereka diarahkan supaya berada di rumah serta asrama masing-masing dan mengelak daripada berada di tempat awam yang terdedah kepada bahaya.