Mohd Shafizi Ismail (Foto: Zulkipli CW Putra)
Pelajar yang menuntut di Mesir dan selamat tiba di Terengganu selepas mengharungi perjalanan jauh beribu batu, melahirkan rasa syukur dan penghargaaan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu serta Kerajaan Pusat, yang membawa mereka pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
Selepas menempuh pelbagai pengalaman mengerikan sewaktu berada di negara yang sedang bergolak itu, akhirnya pelajar berkenaan selamat menjejaki kaki di kampung halaman sendiri.
Tambah bermakna bagi mereka kerana kepulangan kali ini, turut disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Timbalannya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana selamat tiba di Malaysia dan kini berada di Terengganu. Sebelum ini, saya dan isteri serta anak yang baru berusia lima bulan terpaksa menempuhi perjalanan yang amat jauh, sebelum berjaya pulang ke tanah air,” kata Mohd Shafizi Ismail yang berusia 26 tahun.
Pelajar jurusan Pengajian Islam di Universiti American Open itu berkata, beliau dan keluarganya terpaksa keluar dari Mansurah menuju ke Iskandariah, sebelum tiba di Jeddah dan menunggu pesawat khas untuk terbang ke tanah air.
Wan Md Shazani
“Kami bersyukur kerana tidak ada yang mengalami kecederaan dan selamat tiba di Kuala Lumpur hari ini (8 Februari). Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, Kerajaan Terengganu dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan kami,” katanya.
Beliau merupakan antara 30 rakyat Terengganu yang dibawa pulang ke negeri ini malam tadi menaiki bas, setelah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dengan pesawat yang disewa khas dari Jeddah.
Mereka dibawa ke kediaman rasmi Menteri Besar di Kediaman Seri Iman dan diraikan di majlis makan malam khas sempena kepulangan bersejarah itu.
Wan Md Shazani pelajar Tahun 5 jurusan perubatan Universiti Mansurah, pula berkata dia dan pelajar lain yang berada di Mesir tidak pernah menduga akan mengalami pengalaman berharga.
“Walaupun kami mengalami pelbagai kesulitan sebelum tiba ke tanah air, ia mematangkan kami dan meningkatkan rasa syukur kepada Tuhan kerana masih selamat dan berpeluang kembali ke tanah air,” ujarnya.
Alia Sazwani Razali, pelajar Tahun 3 perubatan dari Universiti Zagazig, berkata keadaan di tempat tinggalnya tidak terkawal apabila tiga penjara yang berada di kawasan sekitarnya dibom, menyebabkan ramai banduan terlepas lari.
Alia Sazwani Razali
“Kami tingggal dalam keadaan ketakutan kerana nyawa terancam. Rusuhan berlaku di kawasan tempat tinggal kami menyebabkan kami tidak berani keluar dari asrama,” ujarnya.
Beliau berkata, pengalaman itu ada hikmahnya dan mereka yang mengalaminya begitu insaf keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia tidak ada tolok bandingnya.
TEGANUKITA