Aksi cemerlang pasukan Terengganu yang bertandang ke Stadium Kangar Perlis, semalam berjaya membuahkan hasil apabila mengutip tiga mata penuh menerusi kemenangan 3-1 sekaligus meranapkan impian tuan rumah untuk memungut mata pertama.
Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim memuji aksi anak didiknya kerana mampu mencabar pasukan tuan rumah serta tidak menghampakan harapan peminat.
Irfan Bakti berkata, kemenangan itu hasil gandingan mantap barisan serangan, tengah dan pertahanan sehingga tuan rumah terpaksa berputih mata di depan penyokong setia Singa Utara yang mengharapkan mata pertama musim ini.
Bekas jurulatih Perlis itu mengakui, kehadiran semula Abdul Manaf Mamat di barisan serangan untuk bergandingan dengan Abdul Hadi Yahya, terbukti berkesan sehingga barisan pertahanan Perlis sering kucar-kacir lantas memudahkan tugas menjaringkan gol.
Dua gol dalam separuh masa pertama menerusi Hadi dan selang dua minit kemudian Ashaari Shamsuddin menyebabkan pemain tuan rumah hilang semangat dan terpaksa akur dengan kekuatan Terengganu,” katanya.
Irfan Bakti berkata, Terengganu seharusnya mampu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol lagi menerusi percubaan Ashaari dan ketua pasukan, Marzuki Yusof tetapi kecekapan penjaga gawang Perlis menafikan pesta gol di Kangar.
Terengganu kini mengumpul lima mata hasil satu kemenangan dan dua kali seri dan berada di kedudukan kelima Liga Super.
“Kemenangan ini sudah pasti menyuntik semangat kepada kami untuk bertemu Selangor di Stadium Shah Alam, Selasa ini,” katanya.
Sementara T-Team terpaksa berputih mata lagi, apabila kunjungan ke Stadium Kelana Jaya, untuk menentang pasukan Harimau Muda A berkesedahan dengan kekalahan 3-1.
Harimau Muda A meneruskan rentak kemenangan bergaya pada penampilan musim pertama kancah Liga Super kali ini apabila menjadikan pasukan dari Terengganu mangsa kedua mereka untuk mengutip tiga mata berharga.