Kerajaan negeri sentiasa meletakkan kepentingan agama di tangga teratas dan menyediakan peruntukan besar bagi meningkatkan syiar Islam serta menangani isu-isu agama yang berbangkit sepanjang tahun ini.
“Gerakan dakwah dan penerangan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) antara medium yang membantu mengurus pemasalahan yang timbul kalangan masyarakat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat.
Katanya, soal agama hak bersama, tanpa mengira sama ada individu itu mempunyai fahaman berbeza tetapi masyarakat perlu bersatu untuk pertahankan kesucian Islam.
Haji Khazan berkata, pelbagai bentuk penghargaan juga diberi seperti kenaikan elaun imam dan bilal yang menjalankan tanggung jawab fardu kifayah dan memastikan setiap waktu ada kariah dalam masjid.
“Sama ada kerajaan bayar atau tidak, saya yakin imam dan bilal tetap melaksanakan tugas masing-masing dengan ikhlas kerana Allah dan ini suatu kerja mulia yang dituntut dalam agama kita,” katanya.
Katanya, kepekaan kerajaan negeri terhadap perkara kebajikan, mendahului Kerajaan Pusat dalam banyak perkara termasuk mewujudkan Kelas Agama dan fardu ain (Kafa) sejak awal 70-an lagi dan setiap tahun akan menghantar imam dan bilal untuk mengerjakan fardu haji secara percuma.
Oleh itu katanya, bila program Kafa ini di wujudkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), diselaraskan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama negeri-negeri seluruh negara tetapi di Terengganu kelas Kafa terus diletakkan di bawah Yayasan Islam Terengganu (YIT).
Sehubungan itu katanya, pelbagai program bersepadu dilaksanakan yang melibatkan semua lapisan masyarakat, belia, dewasa, pelajar serta golongan pertengahan untuk melengkapkan ilmu serta mengekang masalah gejala sosial dari terus berkembang dalam masyarakat.
“Tanpa kerjasama masyarakat, ibu bapa, pelajar dan belia apa yang ingin kerajaan sampaikan akan tinggal perancangan tanpa pelaksanaan,” katanya.
TEGANUKITA