Menteri Besar menyampaikan e-Book kepada murid Tahun Lima DUN Cukai, Kemaman di Dewan Berlian MPK . - Gambar oleh Amirullah.
Masyarakat tempatan tidak wajar memandang negatif usaha kerajaan negeri memperkenalkan e-Book kepada murid-murid sekolah rendah di Terengganu kerana usaha murni yang diperkenalkan kerajaan ini amat berguna kepada pembelajaran pelajar.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, berkata sudah menjadi kebiasaan setiap perkara atau usaha baru yang diperkenal kerajaan akan mendapat tentangan pelbagai pihak, khususnya mereka yang tidak sefahaman dengan pemimpin kerajaan.
Sebagai contoh, katanya, apabila mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, membina Jambatan Sultan Mahmud, banyak pihak mempertikaikan pembinaan projek tersebut.
“Kini semua orang menggunakan kemudahan tersebut, termasuk mereka yang dulunya mengkritik dan menghentam Menteri Besar yang mencadangkan projek berkenaan,” katanya ketika berucap di majlis pemberian e-Book kepada Murid Tahun Lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, petang semalam.
Hadir sama pada majlis itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), Dato’ Haji Mohamed Awang Tera dan Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman.
Encik Razali berkata, beberapa tahun selepas jambatan berkenaan siap dibina ternyata ia amat wajar dan berguna kepada masyarakat.
Beliau berkata, begitu juga dalam soal e-Book masyarakat perlu faham penggunaannya mampu membantu pelajar menguasai Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada awal usia.
Justeru itu, masyarakat tidak wajar membuat tomahan buruk terhadap penggunaan e-Book, sebaliknya menyokong usaha kerajaan negeri demi kecemerlangan anak-anak di bidang pendidikan.
TEGANUKITA