Derita si cilik yang menghidap saluran buah pinggang bocor sehingga menyebabkan perut dan muka membengkak mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang melawat pesakit itu, di Wad Kanak-Kanak, Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang ini (16 Februari).
Pesakit berkenaan, Tengku Muhammad Haikal Afify Tengku Mohamad, 6, dari Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu menghidap penyakit yang dikenali sebagai `Relapse Nephrotic Syndrome’ sejak berusia dua tahun menyebabkan kehidupannya tidak seperti kanak-kanak normal lain, selain tidak mampu mengikuti pra persekolahan seperti biasa.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan memastikan pesakit itu mendapat bantuan yang sewajarnya termasuk merujuk ke Unit Nefrologi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan atau Hospital Kuala Lumpur.
“Doktor memberitahu bahawa pesakit ini perlu berulang-alik dan tidak perlu pembedahan buat masa sekarang. Oleh kerana kita tidak mempunyai pakar nefrologi (buah pinggang), kita akan rujuk ke Hospital Besar Kuantan atau Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangan pakar di sana,” katanya sejurus melawat kanak-kanak itu.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, dari segi kos perubatan dan perjalanan berulang-alik ke hospital berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi Tabung Penyakit Kronik.
Selain itu, bapa pesakit berkenaan, Tengku Mohamad Tengku Sulong, 49, merupakan penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana mengalami masalah penglihatan, selain mendapat rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin.
Sementara ibu kanak-kanak itu, Mek Salmah Abd Rahman, 41, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Mahkamah Syariah, Kuala Terengganu, berkata kehadiran Menteri Besar dan rombongan yang melawat anaknya yang ditempatkan di wad itu sejak tiga hari lalu amat menyentuh hati dan berterima kasih dengan keprihatinan pemimpin negeri itu.
Katanya, sebagai ibu, dia hanya menyerahkan kepada kepakaran doktor untuk merawat anak bongsu daripada lima beradik itu supaya derita yang ditanggung akan berakhir satu masa nanti.
“Saya setuju apa sahaja yang terbaik dan sepatutnya dilakukan kepada anak saya. Mahu hantar ke mana-mana (hospital) pun saya ikut sahaja sebab doktor lebih tahu apa yang perlu dibuat untuk memulihkan anak saya,” katanya.
Mek Salmah berkata mereka sekeluarga terpaksa berulang-alik sebanyak 14 kali sejak anaknya menghidap penyakit itu empat tahun lalu.
Katanya, dia terpaksa melakukan pemerikaan air kencing anaknya sendiri di rumah bagi memastikan anaknya itu bebas dari jangkitan atau normal.
Bagaimanapun, jika air kencing Tengku Muhammad Haikal tidak normal seperti kebiasaan kesan masalah buah pinggangnya itu dan berlarutan sehingga dua minggu, anaknya itu akan dibawa menjalani rawatan susulan di HSNZ.
TEGANUKITA