Halaman

20 February 2011

Vanila Tumbuh Meliar Tanaman Berpotensi Tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menjalankan kajian terperinci mengenai pokok vanila yang tumbuh meliar di beberapa kawasan di negeri ini yang dikenalpasti sebagai tanaman yang berpotensi tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan kepada petani.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pasaran tanaman itu yang mahal dan mencecah sehingga beratus ringgit per kilo selain terdapat permintaan daripada pelabur yang mendorong kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu bagi melihat perkara itu dengan lebih mendalam.

Katanya, selepas kajian dijalankan dan terbukti ia mampu memberi pulangan lumayan, kerajaan negeri akan menimbang untuk mengkomersialkan tanaman itu sebagai sumber pertanian yang baru di negeri ini.

“Saya arahkan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani supaya melihat (pokok vanila) dan kita ada vanila yang hidup meliar di Terengganu serta sudah banyak ditebang oleh orang ramai kerana mereka tidak mengenali pokok berkenaan. Jika pokok itu ada potensi kita akan tanam,” katanya ketika sidang media, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, tanaman kenaf yang pernah dikomersialkan kerajaan negeri dan memiliki potensi besar di pasaran sebelum ini didapati hanya menguntungkan pengilang kerana mereka boleh menghasilkan pelbagai produk dengan meletakkan harga mengikut pasaran semasa.

Menteri Besar berkata, pengusaha kenaf tidak mendapat untung berikutan pokoknya yang terlalu ringan dan menunggu tempoh masa yang lama sehingga tujuh bulan baru mendapat hasil. Malah, 0.4 hektar ladang hanya menghasilkan dua tan pokok kenaf.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, vanila yang merupakan tanaman baru di negara kita dilihat jauh berpotensi daripada kenaf khususnya kenaf yang sama spesies seperti di Mexico.

“Ada pelabur berminat dan kita minta buat ujian terlebih dahulu di kawasan seluas 20 hektar. Mereka (pelabur) mahu kawasan yang luas, tetapi Terengganu tidak mempunyai kawasan yang luas, kecuali dengan menjalankan secara berasingan yang mana 40 hektar di sana, 40 hektar di sini,” katanya.



TEGANUKITA

Tapak Rumah Kini Milik Generasi Kedua

Oleh: Shahrir Hamid

Peneroka generasi kedua Felda Belara boleh menarik nafas lega apabila, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri memberitahu isu pemilikan tanah tapak rumah di Bukit Perah dan Batu 20, Tepoh yang tergendala hampir 20 tahun kini dalam proses pindah milik.

“ Kita menyedari generasi kedua Felda Belara menunggu lama bagi mendapatkan hak milik tanah di Bukit Perah dan Batu 20 yang diteroka oleh generasi pertama Felda Belara. Perkara ini telah dipersetujui oleh pejabat daerah dan kita hanya menunggu masa sesuai untuk mengusulkan kepada mesyuarat exco dalam masa terdekat”, jelas Dato’ Nasir ketika memberitahu wartawan unit komunikasi negeri.

Pemindahan milik tanah rentitan perlu melalui banyak proses dalam memastikan pembahagian tanah berlaku dengan adil. Menurut Dato’ Haji Nasir, keadaan ini akan terjejas sekiranya pertindihan nama pada dua kawasan berbeza dan mengakibatkan pemilikan berganda.

“Sekiranya nama generasi kedua terdapat dalam senarai nama kawasan Bukit Perah, secara automatik tapak rumah di Batu 20 akan diberikan kepada ahli keluarga yang lain dan Insya Allah isu ini akan cuba diselesaikan dalam masa dua tahun”, ulas Dato’ Haji Nasir lagi.

Kini terdapat 165 nama di Bukit Perah dan 65 nama di Batu 20 dalam kawasan Felda Belara yang merupakan salah satu Felda Bandaraya di Malaysia. Penama hanya perlu membayar 10% harga premium daripada harga nilaian tanah bagi mendapatkan tapak rumah itu.

Dato’ Haji Nasir menjelaskan perkara tersebut dalam Majlis Perhimpunan Rapat dan Mesra Peneroka dan Generasi Kedua Komuniti Peringkat Felda Belara Bersama YB di Dewan Sivik Felda Belara pada Khamis (17 Februari) lepas.

Hadir sama memeriahkan majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Haji Nuh.

Pada masa yang sama, YB Ramli menegaskan perjuangan bagi membuka kawasan penempatan baru di kawasan berhampiran Felda Belara akan tetap diteruskan dalam usaha melahirkan lebih ramai peneroka di samping meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat Melayu.

TEGANUKITA

TCNG Cungkil Pelapis Sukan di Daerah-daerah

Oleh: Aida Abd Rahman


Di antara aktiviti Terengganu City Night Games. (Gambar hiasan)

Terengganu City Night Games (TCNG) akan menjelajah ke setiap daerah mulai bulan depan bagi mencungkil bakat baru dan pelapis sukan khususnya sukan yang berprestasi tinggi seperti basikal serta kanu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata TCNG yang dijalankan di lokasi yang sama berhampiran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu setiap bulan sejak tiga tahun lalu akan diadakan di setiap daerah pula mengikut giliran dan bergantung kepada persediaan daerah yang mahu menjadi tuan rumah.

Katanya, TCNG di Gong Badak yang merangkumi sukan berprestasi tinggi, sukan lasak dan sukan massa, acara hiburan, persembahan, pameran, jualan dan demonstrasi bukan hanya membuka peluang kepada masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur untuk menyertainya, malahan turut menarik penyertaan peminat sukan dari negeri lain seperti Kelantan, Pahang dan Kedah.



Haji Rozi berkata, pelbagai acara sukan yang dipertandingkan di TCNG (Gong Badak) termasuk hoki, bola jaring, boling padang, memanah, kanu, lumba basikal, `drift car’, lumba kereta kawal dan `motorcross’ yang lazimnya dijalankan pada minggu ketiga setiap bulan.

“Bagaimanapun, sukan TCNG di daerah adalah mengikut kesesuaian dan sukan teras yang lazimnya popular di kawasan itu, selain persiapan tuan rumah untuk menganjurkan sukan tertentu.

“Sebagai contoh, pada Februari katakan Hulu Terengganu akan menjadi tuan rumah, diikuti Mac di Kemaman dan Besut pada bulan berikutnya,”katanya selepas merasmikan TCNG di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam (18 Februari.

Beliau berkata, TCNG menjadi landasan mempelbagaikan aktiviti di persekitaran kompleks sukan (Gong Badak), mempelbagaikan aktiviti malam minggu, membantu menghindarkan remaja dari gejalan kurang sihat dan menjadi produk yang menarik pelancong ke Terengganu.

TEGANUKITA

19 February 2011

MB Terengganu Hadir Majlis Pecah Tanah Projek Tram Melaka

Oleh: Kamarudin Mat Akib Jurugambar: Razlan Mamat dan Hazli Mustaffa


Menteri Besar Terengganu turut menaiki Melaka Tram ketika majlis pecah tanah Projek Tram Melaka yang dirasmikan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak di Ayer Keroh, Melaka.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut hadir pada majlis pecah tanah Projek Tram Melaka yang dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib di Ayer Keroh, petang ini.



Projek berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh setahun merupakan satu lagi projek yang bakal meningkatkan bilangan pelancong ke Melaka Bandaraya Bersejarah.

Perdana Menteri dalam ucapannya melahirkan ras teruja dengan hasrat kerajaan negeri Melaka untuk melaksanakan projek tersebut dan berharap ia akan menjadi ikonik bukan saja kepada negeri Melaka, tetapi kepada negara Malaysia.



Beliau berkata, projek itu amat istimewa kerana ia mampu mengelakkan masalah pencemaran dan mesra alam kerana menggunakan NGV.

Katanya, pelaksanaan projek tersebut juga selari dengan hasrat Kerajaan Pusat yang ingin mengetengahkan projek pelancongan yang mampan dan mengambil kira penjagaan persekitaran



Projek tersebut akan dimulakan pada bulan Mei depan dan dijangka siap pada bulan Mei tahun depan.

Terengganu turut terlibat dalam projek berkenaan apabila TATIuC dipilih sebagai institusi pengajian tinggi yang akan melatih petugas tram berkenaan.



Hadir sama pada majlis tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Ahmad Razif Abdul Rahman, Dato' Mohamed Awang Tera dan Dato’ Zaaba Mohd Adib.

TEGANUKITA

18 February 2011

JHEAT pantau kegiatan maksiat

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


DATO' SHAIKH HARUN ISMAIL.

“Alhamdulillah, tidak ada majlis sambutan ‘hari kekasih’ yang berlaku dalam masyrakat di negeri ini,” kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Shaikh Harun Ismail.

Katanya, sepanjang pemantauan dan intipan yang dibuat oleh penguatkuasa JHEAT sekitar bandar ini termasuk di daerah-daerah, tidak ada tangkapan dibuat dan ini adalah rekod negeri.

Selain itu kata Dato’ Shaikh Harun pihak JHEAT telah membuat persiapan awal dengan menyebarkan peringatan kepada masyarakat melalui khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri.

“Umat Islam perlu berhati-hati mengatur langkah dalam kehidupan hari ini yang penuh mencabar agar tidak terjebak dan terpesong daripada ajaran Islam,” katanya ketika ditemui di majlis Seminar Pemantapan Ummah Guru-guru Sekolah Menengah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, petang semalam.

“Saya bersyukur, kerana masyarakat hari ini sudah mula menunjukkan kematangan berfikir dan tidak terikut-ikut dengan budaya barat,” katanya.

Katanya, jabatan sentiasa memberi perhatian serius terhadap usaha membanteras kegiatan maksiat kalangan masyarakat dengan melaksanakan pelbagai program keagamaan.

Dato’ Shaikh Harun berkata, kerjasama erat daripada masyarakat amat dihargai kerana peranan dimainkan menyalur maklumat, membantu jabatan mengesan sebarang kegiatan tidak bermoral.

TEGANUKITA

SENAM SENI DAPAT SAMBUTAN

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sewaktu menyertai Senaman Seni Malaysia.






Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Senam Seni di Dataran Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu pagi ini 18 Februari, mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat, golongan dewasa, belia dan kanak-kanak.

Bahkan ada yang datang secara berkeluarga, menjadikan suasana 'penjagaan kesihatan' berlangsung dalam suasana penghayatan seni dan mengembirakan, suatu trend baru yang amat positif dalam masyarakat, termasuk di Terengganu.


Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato'Haji Wan Ahamad Wan Muda dan isteri turut sama dengan kira-kira 300 peserta, termasuk kakitangan "Air Asia" dan "Fire Fly".

Senam seni itu diiringi dengan muzik ala zapin, taici,bollywood, poco-poco dan juga rentak muzik orang asli, menjadikan para peserta cukup terhibur.

Senam seni ini adalah satu pendekatan yang cukup baik untuk mendorong masyarakat bersenam dan menjaga kesihatan mereka di samping menghayati keindahan seni pelbagai bangsa di negara ini.

Senam Seni pernah dilancarkan di peringkat nasional pada tahun 2008.
Senam Seni Malaysia ialah senaman yang merangkumi semua tarian kaum termasuk etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli.

Gerakan badan yang dilakukan termasuk aspek pemanasan, regangan, aktiviti kardiovaskular, penyejukan badan dan gerakan singkat. Senaman itu bertindak sebagai serampang dua mata iaitu menjaga kesihatan dan memulihara warisan budaya.

Objektif utama aktiviti itu ialah untuk membolehkan rakyat Malaysia lebih menyayangi dan mendekati seni tari dan lagu rakyat pelbagai kaum melalui elemen senaman.

Ia amat baik untuk mempromosikan amalan penjagaan kesihatan dan mengharmonikan masyarakat Malaysia melalui penyertaan pelbagai kaum di dalam aktiviti berkenaan.

Aktiviti fizikal berdasarkan seni dan tarian rakyat memberi makna besar kepada usaha pembangunan dan penghayatan seni budaya tempatan. Senam Seni Malaysia telah membuktikan kesenian tradisional rakyat boleh diguna pakai dalam apa jua perkara.

Modul Senam Seni Malaysia yang dihasilkan daripada gabungan pelbagai seni tari dan lagu rakyat pelbagai kaum di negara ini diadunkan menjadi elemen senaman selama 30 minit. Ia turut dihasilkan dalam bentuk video cakera padat (VCD).



TEGANUKITA

17 February 2011

Henti segera tabiat buruk

Oleh: Suriati Ali

Pemandu teksi, pengusaha restoran dan mana-mana individu yang terlibat secara langsung dengan pelancong perlu menghentikan tabiat gemar mengenakan bayaran melampau kepada golongan itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, tabiat buruk ini bukan hanya boleh merugikan dan mencemar pemilik teksi atau pengusaha makanan itu sendiri malah membawa kerugikan besar terhadap industri pelancongan Terengganu.

“Selain itu, ia akan membawa tanggapan negatif dan persepsi buruk pelawat kepada negeri, akhirnya pelawat tidak lagi suka berkunjung ke Terengganu walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri.

“Maka, timbullan sikap salah menyalah dan tuding menuding yang akhirnya pihak kerajaan juga akan dipersalahkan, kononnya tidak menjalankan usaha untuk menarik pelancong berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Kalendar Aktiviti, di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, petang ini.

Kira-kira 12 aktiviti bakal pihak pengurusan muzium sepanjang 2011, iaitu Pameran Picture + Word = Book; Pertandingan Mewarna Warisan Kita; Rampai Budaya Pameran 1 Asean 1 Jalinan serta Pertandingan Keris dan Pasar Antik.

Manakala enam lagi adalah Pameran 1 Malaysia Contemporary Art Tourism; Lumba Jelajah Muzium; Program Aidilfitri; Pameran dan Seminar Arkeologi Terengganu; Pertandingan Permainan Tradisional dan Pertandingan Gamelan Kebangsaan.

Dato’ Haji Mazlan, berkata aktiviti yang dirangka pada tahun ini, dirancang dengan lebih teliti, ia mengambil kira aspek pembelajaran, hiburan dan ilmiah.
“Pendekatan ini mampu menambat hati pelbagai golongan termasuk kanak-kanak, pelajar, remaja, dewasa dan warga emas.

“Saya percaya dan yakin, bahawa pelawat yang berkunjung ke muzium akan terhibur menikmati segala program yang dirancang,” katanya.

TEGANUKITA

Kelas Khas Rekrut Hafiz

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Haji Khazan Che Mat

Mulai tahun ini kerajaan negeri mewujudkan satu kelas khas di sepuluh Sekolah Menengah Agama (SMA) negeri dalam usaha merekrutkan setiap pelajar sebagai hafiz sebelum tamat tingkatan lima.

Pelajar kelas berkenaan diwajibkan menghafaz enam juzuk setahun mulai tingkatan satu dan mereka dijangka mampu menamatkan 30 juzuk al-Quran sebaik tamat tingkatan lima.

SMA terlibat adalah SMA Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk; SMA Khairiah, SMA Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu; SMA Marang; SMA Mahmudiah, Kuala Berang; SMA Setiu; SMA Ittifakiah, Jerteh; SMA Maarif, Besut; SMA Sultan Ismail, Dungun dan SMA Al- Falah, Kemaman.

“Kerajaan sedar harapan masyarakat teralu tinggi untuk melihat anak-anak mereka menjadi hafiz al- Quran bila tamat sekolah menengah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Agama negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Seminar Pemantapan Ummah Guru-guru Sekolah Menengah Terengganu yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (17 Februari).

Hadir sama, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Shaikh Harun Ismail; Penolong Pesuruhjaya Pembangunan Sumber Manusia, Encik Zahari Sulong dan 340 guru dari SMA, SMK, Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) dan Institut Al-Quran Terengganu (IQT) serta guru-guru dari Timur Tengah.

“Kewujudan kelas-kelas al-Quran di SMA, mampu meningkatkan jumlah pelajar yang hafiz selain pelajar hafiz dari SMI dan IQT,” katanya.

Kerajaan mengambil inisiatif untuk memberi penekanan kepada Bahasa Arab dan penekanan terhadap al-Quran supaya apabila mereka berada dalam masyarakat, sekurang-kurangnya mereka boleh menjadi pembantu imam dan bilal di 469 masjid yang terdapat di seluruh Terengganu.

Sementara itu, program pemantapan Bahasa Arab dan al-Quran yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu oleh kerajaan negeri dengan mengambil tenaga pengajar dari negara Timur Tengah berjaya meningkatkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Arab.

Seramai 27 guru didatangkan dari Mesir, Sudan dan Syria ditempatkan di sepuluh Sekolah Menengah Agama (SMA) negeri untuk mengajar Bahasa Arab dan al-Quran dalam tempoh dua tahun mereka berada di negeri ini.

Di samping mengajar di kelas, guru berkenaan turut dilantik sebagai warden asrama bagi memberi peluang untuk mereka bergaul dengan pelajar dengan lebih dekat serta secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pelajar.

TEGANUKITA

Umno Marang Bersatu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

Kehadiran penuh saf kepimpinan Umno Bahagian Marang dan ketua-ketua sayap parti itu serta lebih 1,000 orang dengan sebahagian besarnya bekas pejuang Umno, pada majlis

Mesra Veteran Bersama Pemimpin, Jasa Mu DiKenang peringkat Parlimen Marang, petang ini, membuktikan kesungguhan parti itu merebut semula kerusi Parlimen Marang daripada pembangkang.

Penyelia Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu Parlimen Marang, Anuar Yahya, berkata pihaknya yakin kehadiran luar dugaan pada majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang, akan menyemarakkan usaha untuk membangkitkan semangat petugas parti bagi memenangi semula calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Majlis ini menyaksikan kehadiran pemimpin baru Umno dan bekas pemimpin parti ini di peringkat bahagian. Semua pihak terlibat secara langsung dan hadir di majlis ini, tidak ada kem atau puak-puak tertentu seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak sebelum ini.

“Hilang rasa penat dan lelah petugas yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai persiapan bagi menjayakan majlis ini sejak lebih sebulan lalu,” katanya kepada Teganukita selepas majlis tersebut selamat disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Rasa teruja Anuar dengan kehadiran yang ramai itu terbukti apabila dewan berkenaan tidak mampu menampung kehadiran para hadirin, sehingga mereka terpaksa duduk di kanopi yang dipasang di tepi dewan tersebut.

Antara pemimpin bahagian yang hadir ialah Ketua Umno Bahagian, Encik Yahya Khatib dan Timbalannya, Haji Alias Abdullah; Naib Ketua Bahagian, Encik Razali Idris, Ketua Pergerakan Pemuda, Encik Saiful Bahri Dato’ Baharuddin dan Ketua Puteri Bahagian, Marina Endut.

Kehadiran yang luar biasa itu juga menimbulkan semangat kepada Menteri Besar yang berucap agak panjang walaupun beliau menghadiri acara yang sama pada sebelah pagi di peringkat Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, jasa veteran amat besar kerana mereka berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, walaupun banyak negara lain di dunia yang mempunyai bilangan umat Islam yang jauh lebih besar berbanding negara ini, mereka gagal memartabatkan Islam sebagai agama rasmi.

Di Indonesia sebagai contoh, katanya, mempunyai kira-kira 200 juta penganut Islam, tetapi Islam bukan agama rasmi republik tersebut.

“Terdapat ramai ulamak yang lebih hebat di Indonesia, tetapi mereka tidak mampu menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara itu,” katanya.

Beliau berkata, itulah kehebatan pejuang Umno dan sewajarnya ia disanjung oleh generasi hari ini.

TEGANUKITA

Umno Sasar KPI 60 Peratus Daftar Pemilih Menjelang PRU 13

Oleh: Aida Abd Rahman

Umno Terengganu menetapkan sasaran Kunci Penunjuk Prestasi (KPI) sebanyak 60 peratus ahlinya di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Sehubungan itu, semua wakil rakyat dan Pegawai Penyelaras DUN di 32 DUN seluruh Terengganu digesa berkerja keras untuk mencari ahli parti itu dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih sekaligus mencapai KPI yang ditetapkan pucuk pimpinan negeri.

Bagaimanapun, DUN Chukai, Sura dan Jertih KPI yang ditetapkan adalah 50 peratus memandangkan tiga DUN berkenaan ramai di kalangan penduduknya di kalangan masyarakat Tiong Hua.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sasaran itu relevan dan mampu dicapai berdasarkan pencapaian semasa dan pengalaman yang pernah dilalui beliau sendiri yang mengetuai DUN Kijal.

“Semasa di Kijal dulu sebelum buat pemutihan 58 peratus (mendaftar pemilih) , selepas pemutihan tinggal 52 peratus dan hanya berbaki lapan peratus lagi untuk mencapai (KPI), yang mana usaha ke arah itu perlu dibuat sepanjang masa.

“Usaha itu boleh dicapai dengan kesungguhan dan gerakan melalui program seperti Seribu Mawar yang dianjurkan Puteri UMNO serta (program) remaja bermotosikal dan pada masa yang sama mendaftarkan mereka sebagai ahli UMNO dan pengundi kita,” katanya pada sidang media selepas program Mesra Veteran Bersama pemimpin, Jasamu Dikenang, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini (17 Februari).

Menteri Besar juga menggesa supaya semakan dijalankan terhadap setiap ahli UMNO termasuk ahli yang aktif berjuang untuk UMNO sama ada keluarga, terutama isteri dan anak-anak mereka sudah mendaftar sebagai pemilih dan jika belum mereka perlu didaftarkan segera.

Katanya, jika ketua keluarga aktif dalam parti tetapi tidak mendaftarkan ahli keluarga sebagai pemilih, ia merugikan parti dan kerajaan, terutama apabila setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau sudah mengarahkan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu supaya mengemaskini semula rekod pendaftar pemilih di setiap DUN untuk peringkat kedua.

Katanya, pada peringkat pertama, hasil yang diperolehi amat baik apabila APMT berjaya mengemaskini keahlian UMNO dan terdapat pertambahan pemilih sehingga 14,000 orang.


TEGANUKITA