Halaman

02 March 2011

Empangan Hidroelektrik Kedua Siap 2015

Oleh: Esah Abdullah

Pembinaan Empangan Hidroelektrik kedua di Tasik Kenyir yang dimulakan tahun lalu merangkumi dua fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015.

“Setakat ini pembinaan masih berada dalam fasa pertama iaitu pembinaan empangan, terowong air dan stesen janakuasa elektrik bawah tanah,” kata Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu, Encik Md. Yuslan Md. Yusof.

Katanya, dalam fasa terakhir pembinaan merangkumi kerja-kerja mereka bentuk, memasang serta menguji peralatan mekanikal dapat disiapkan sepenuhnya dan anggaran peruntukan keseluruhan projek ini hampir RM1 bilion.

“Empangan kedua ini dibina di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah, Hulu Terengganu dan mempunyai kapasiti sebanyak 250 megawatt,” katanya.

Katanya, selain empangan itu, Terengganu mempunyai dua buah stesen janakuasa hidroelektrik iaitu di Paka, Dungun dan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Ismail di Paka mampu mengeluarkan tenaga dengan kapasiti ,1,200 megawatt dan Empangan Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir mempunyai kuasa 400 megawatt,” katanya.




Sepuluh Faktor Utama Kejayaan Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman

Sepuluh faktor yang mempengaruhi kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2008 dengan pungutan 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa, lonjakan daripada kedudukan terbaik berada di tangga keenam di Sukma Selangor 1998 dan 15 emas sebagai pungutan pingat terbanyak pada Sukma Kedah 2006.

Antara faktor penyumbang kejayaan itu adalah program latihan berstruktur bermula lebih awal iaitu hampir dua setengah berbanding sbelumnya hanya dalam tempoh yang singkat dan setiap sukan menyediakan pelan perodiasasi latihan masing-masing yang dirangka bersama pakar daripada majlis Sukan Negara Malaysia dan para akademik universiti.

Faktor lainnya peranan jawatankuasa antara Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan persatuan sukan melalui jawatankuasa kerja yang telah menyelesaikan banyak masalah berkaitan birokrasi dan juga pemantauan berterusan.

Selain itu, penambahbaikan struktur MSNT dengan penekanan kepada `core-business’ dan `caretaker, iaitu peranan pegawai perhubungan sukan di setiap jenis sukan, program pemantapan kerohanian yang diadakan dari masa ke semasa termasuk program motivasi dan kem berasingan serta berkelompok.

Malah, sokongan padu kerajaan negeri terutama aspek peruntukan kewangan, faktor tuan rumah yang merangsang semangat luar biasa atlet bertanding di mana menyumbang 5 hingga 10 peratus kejayaan itu (2008) dan program latihan dan pertandingan lur negara serta pelantikan pengusus pasukan lebih awal turut membantu memperkemaskan lagi persiapan pasukan.

Berdasarkan kepada faktor kejayaan itu, kerajaan negeri merangka program penyediaan atlet yang sama dengan menambahbaik di mana yang perlu seperti memperkemaskan mekanisme pemantauan latihan dan penekanan kepada kehadiran dalam latihan dalam program penyediaan atlet 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata hasilnya Sukma ke-13 Melaka 2010, Terengganu sekali lagi kekal juara mutlak walaupun ada beberapa jenis sukan yang tidak memihak kepada pasukan Terengganu kerana pengadilan yang kurang adil dan tidak telus.

Katanya, kejayaan itu sekaligus membuktikan Terengganu bukanlah jaguh kampung yang hanya mampu menjadi juara di laman sendiri, tetapi juga mampu meraih kejuaraan itu di negeri orang.

“Kita sudah meletakkan tapak asas dalam pembangunan sukan kita pada landasan yang betu kepada sukan-sukan yang sudah membuktikan kejayaan dalam Sukma yang lalu.

“Sukan-sukan lain mesti memastikan asas pembangunan yang sama bagi sukan masing-masing. Jika masih lagi belum mantap, sukan ini perlu memantapkan persediaan dahulu sebelum turun ke medan juang yang sebenar,” katanya.

Beliau juga mengingatkan atlet supaya tidak terlalu ghairah untuk turur bertanding sedangkan penyertaan mereka akan menambah koleksi rekod buruk sukan yang tidak pernah menyumbangkan sebarang pingat kepada negeri sejak awal penyertaan dalam sejarah Sukma lagi.

Katanya, tumpuan perlu kepada persiapan pasukan yang mantap terlebih dahulu dan apabila sudah bersedia barulah masuk gelanggang serta dapat meraih kejayaan supaya orang lain lebih menghormati pasukan kita.




JPNIN hantar 1,000 guru tabika ke universiti

Oleh: Esah Abdullah

Seramai 1,000 guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Perpaduan akan dihantar melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dalam bidang Diploma Perguruan tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Dato’ Azmin Amin Hassan berkata, keputusan ini diambil bagi memastikan guru-guru terbabit boleh diserapkan ke jawatan tetap iaitu Gred S27.


“JPNIN telah mula menghantar guru Tabika di bawah JPNIN untuk buat diploma sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini lebih 400 orang guru telah menyertai kursus Diploma Perguruan dan setelah keluar mereka dilantik ke jawatan tetap,” katanya.

Katanya, pihaknya juga menyediakan senarai guru dan menguruskan kemasukan mereka ke university tempatan memandangkan kebanyakan guru terbabit memperolehi kurang lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

“Kita juga sentiasa mencari inisiatif untuk membolehkan proses tersebut mengambil masa tiga tahun sahaja berbanding tempoh sepatutnya,” katanya.

Selain itu menurut Dato’ Azmin, JPNIN sedang menguruskan supaya guru yang tiada lima kredit diberi peluang dan latihan bagi mendapat diploma.




GALERI PETRONAS anjur pameran di Muzium Negeri

Oleh: Kamarudin Mat Akib



GALERI PETRONAS, galeri seni korporat yang berpusat di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan kerjasama Muzium Negeri Terengganu mengadakan pameran ‘Perkataan + Gambar = Buku ‘ bagi mengangkat kedudukan buku bergambar di Malaysia kepada satu bentuk seni agar ia diterima baik masyarakat tempatan, mulai semalam.

Melalui pameran itu, 30 ilustrasi daripada 10 buku bergambar kanak-kanak nukilan 10 pengilustrasi ternama seperti Mohd Yusof Ismail (Yusof Gajah), Azalan Hussain, Shukri Edrus, Jainal Amambing, Awang Fadilah Ali Hussein, Faizal Abdul Jalil, Khairul Azmir Shoib, Emila Yusof, Norazmi Mokhtar dan Chong Chin Yew.

Pameran ini mengundang masyarakat Malaysia suatu pandangan ke dalam ilustrasi buku bergambar kanak-kanak melalui penerokaan mempesonakan yang membawa para pengunjung ke suatu tempat yang menarik, umpama mimpi dan menawan dengan 10 cerita khusus Malaysia disampaikan melalui pelbagai gaya berbeza.

Sambil menjanjikan habuan visual untuk para pengunjung daripada semua peringkat, pameran ini bertujuan mengangkat kedudukan ilustrasi buku bergambar Malaysia kepada suatu bentuk seni yang serius, berasaskan peranannya dalam perkembangan lanskap seni Malaysia.

Pengurus Besar Kanan untuk Bahagian Perkhidmatan Korporat, Encik Medan Abdullah berkata, pameran ini turut menawarkan kepada pengunjung muda suatu kemungkinan dunia media lain mengandungi cat air, cat minyak, akrilik, cetakan blok kayu, papan lakaran, kolaj, dakwat dan lukisan pensil.

“GALERI PETRONAS bermatlamat menggalakkan masyarakat umum menghargai kepelbagaian bakat kesenian yang sedia wujud di Malaysia melalui pameran ini,” ujar beliau.
Pameran tersebut akan berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April di Muzium Negeri, Bukut Losong.



Tingkat langkah keselamatan elak kebakaran – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, meminta penduduk tempatan supaya meningkatkan langkah-langkah keselamatan di kediaman masing-masing, bagi mengelakkan kebakaran kerana musim panas sudah bermula.

Sejak awal tahun ini, 16 rumah di negeri ini hangus dalam kebakaran dengan dua kes terbaru dilaporkan di Kampung Seberang Marang, petang semalam.

Dalam kejadian terbaru itu kedua-dua rumah yang terlibat dengan kebakaran tersebut hangus sama sekali beserta dengan semua kelengkapan rumah dan barangan peribadi serta pelbagai dokumen penting milik penghuninya.

Dato’ Seri Ahmad berkata, jika penduduk negeri ini mengambil langkah-langkah berjaga kemalangan seumpama itu dapat dielakkan.

“Setiap kali berlaku kebakaran, pemilik rumah menghadapi kerugian besar dan banyak dokumen penting musnah dan mereka terpakas mengambil masa yang lama untuk mendapat dokumen gantian.

“Pihak kerajaan pula perlu mengeluarkan peruntukan tertentu bagi menggantikan rumah pemilik yang terlibat dengan kebakaran. Jika kita sama-sama beringat, musibah ini boleh dielak dan kita dapat menjiimatkan wang sendiri serta wang kerajaan,” ujarnya.


Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir bin Nik Wan Ku ketika melawat lokasi kebakaran.



DUN Bukit Payong anjur kejohanan bola sepak

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman


Ketua Pemuda Negeri, Saiful Bahri Dato' Baharuddin menyerahkan jersi dan bola kepada pasukan yang mengambil bahagian.

Sebanyak 14 pasukan dari sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong menyertai pertandingan bolasepak tertutup bagi merebut Piala Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong 2011.

Majlis perasmian pertandingan itu diadakan di perkarangan kediaman Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, malam tadi dan dihadiri lebih 300 belia dari sekitar kawasan itu.

Pada majlis itu juga, Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang merangkap Ketua Pemuda Negeri, Saiful Bahri Dato Baharuddin menyerahkan jersi dan bola kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Kejohanan tersebut yang bertujuan menarik golongan muda bersukan dan mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial seperti merempit dan menyalahgunakan dadah, akan diadakan secara liga.

Pertandingan tersebut akan diadakan pada setiap hujung minggu dan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dijangka diadakan akhir tahun ini.



Dalam ucapannya, Encik Zaidi menegaskan golongan belia perlu mengamalkan konsep bersyukur dan sentiasa berterima kasih atas setiap pemberian dan kemudahan yang telah disediakan kerajaan negeri.

“Sejak dahulu hingga sekarang banyak program dan bantuan yang telah dihulurkan oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan muda kerana kerajaan sedar mereka adalah aset negara,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan, malah peruntukan yang besar disediakan melalui bajet pada setiap tahun bagi memberi peluang mereka meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga.

“Justeru itu, golongan muda perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk memajukan diri mereka dan membantu keluarga, terutama daripada golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.



01 March 2011

Pameran Picture+Word=Book

1 Mac – 30 April 2011



Pameran Picture+Word=Book
Picture+Word= Book Exhibition

Venue: Galeri Seni, Muzium Negeri Terengganu.



Pameran illustrasi dengan pelbagai aktiviti sampingan bagi tujuan pendidikan dengan kerjasama PETRONAS.

The Exhibition of Illustration with various additional activities for education, in collaboration with PETRONAS.



MB lawat mangsa kebakaran

Oleh: Kamarudin Mat Akib


HANGUS ... pelbagai kelengkapan rumah dan barang-barang peribadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, melawat mangsa kebakaran di Kampung Seberang Marang, petang ini dan menghulurkan bantuan peribadi kepada mangsa bencana tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 petang itu, dua rumah papan yang berdekatan antara satu sama lain, hangus sama sekali beserta dengan pelbagai kelengkapan rumah dan barang-barang peribadi.

Mangsa dan keluarga kini tinggal sementara di rumah keluarga dan diberi bantuan pakaian dan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dato’ Seri Ahmad berkata, disebabkan keluarga yang terlibat dengan kebakaran itu adalah penyewa, kerajaan negeri hanya memberi bantuan segera berupa sedikit wang tunai, makanan dan pakaian.


Menteri Besar Terengganu melawat mangsa kebakaran di Kampung Seberang Marang. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

“Manakala penyewa pula tidak berhak mendapat rumah baru seperti peruntukan sedia ada kerana mereka menyewakan rumah masing-masing kepada orang lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah yang terbakar itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara itu dan memberi bantuan yang sewajarya kepada pemilik rumah berkenaan.


TERHARU...MB ketika mendengar masalah yang disampaikan oleh keluarga Mat Rani.

Sementara itu, Menteri Besar turut melawat Mat Rani Yusof, 57, yang menghidap penyakit strok sejak dua minggu lalu dan menyampaikan bantuan peribadi.

Bekas guru tersebut kini terlantar di rumahnya yang berdekatan dengan kediaman yang terbakar itu.



GAMBAR SUDAH MAMPU CERITAKAN SEMUANYA





Apa perasaan kita apabila kanak-kanak ini dipergunakan untuk tujuan politik...gambar ini menceritakan segala-galanya. Ia dirakamkan semasa proses penamaan calon di Kerdau, Temerloh baru-baru ini.



TSUK Ketuai Misi Kekalkan Juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman


Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) negeri, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dilantik sebagai `Chef De Mission’ atau Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Terengganu sekaligus menggalas misi Terengganu selaku `Kuasa Baru Sukan Negara’ untuk kekal sebagai juara Sukma kali ketiga berturut-turut.

Beliau menerima pentauliahan bagi mengetuai kontinjen `Terengganu Hanelang’ itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat sempena majlis pelancaran Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 , di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (1 Mac).



Dato’ Wan Ahamad berbesar hati dengan pelantikan itu dan akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin serta akan bekerjasama dengan semua pihak khususnya Majlis Sukan Negeri (MSN) serta pihak pengurusan sukan yang lain bagi menjayakan matlamat dan hasrat semua.

“Walaupun bagi mencapai kecemerlangan dan mengekalkan kejayaan sebagai `kuasa baru sukan negara’ dengan menjuarainya untuk kali ketiga-tiga berturut-turut bukan perkara yang mudah untuk dicapai, saya akan berusaha dan memberi komitmen yang sewajarnya demi kepentingan sukan negeri dan negara amnya. Sama-sama kita berdoa dan melakukan yang terbaik untuk tujuan murni ini,” katanya.



Dato’ Wan Ahamad merupakan individu yang tidak asing dalam pembangunan sukan Terengganu kerana MSN adalah satu jabatan yang terletak di bawah kawalan beliau secara langsung.

Malah, beliau adalah antara pengasas kepada penubuhan Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dan dilantik selaku Timbalan pengerusi Pengurusan TSG.

Beliau sendiri yang mengambil inisiatif tinggi untuk memastikan hasrat Menteri Besar untuk menubuhkan satu pasukan berbasikal bertaraf dunia serta mengumpul pelumba negeri ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dapat direalisasikan dengan tertubuhnya pasukan TSG, sekaligus menjadikan Terengganu satu-satunya negeri yang memiliki pasukan basikal profesional.

Beliau dilahirkan di Kuala Terengganu pada 20 Ogos 1956 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi kepujian (Analisa) Universiti Malaya dan Diploma Lepasan Ijazah Undang-Undang dari Universiti Metropolitan Manchester, United Kingdom.



Dato’ Wan Ahamad sebelum berkhidmat sebagai TSUK (Pengurusan) pernah berkhidmat sebagai Guru Besar Pusat Pendidikan Yayasan Islam Bukit Payong, Marang (1987) dan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu pada 1 Februari 1988 sebagai Penolong Pegawai Daerah, Pejabat daerah Marang, selain menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar (16 April 2008).