Halaman

10 March 2011

KUT siap tahun depan

Oleh: Suriati Ali

Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang bakal dibina di Kampung Kubang Jela, Manir membabitkan peruntukan RM26 juta dijangka siap akhir tahun depan.

Apabila siap kelak, ia bakal menjadi pusat sehenti bagi memenuhi keperluan usahawan termasuk mendapatkan segala maklumat dan kemudahan dalam urusan perniagaan.

Kompleks setinggi tiga tingkat ini akan menyediakan ruang niaga untuk disewa, bilik pameran dan pusat pengeluaran moden dan tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera, berkata kerajaan negeri menjanjikan kelainan dalam konteks pembangunan sektor keusahawanan dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di Terengganu.

“Ia bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan ini dengan kedudukannya yang strategik berhampiran jalan baru menghubungkan Losong, Kubang Jela, Jeram dan Gemuruh,” katanya.

Dato’ Haji Mohamed berkata, separuh daripada KUT yang terletak 16 kilometer dari pusat bandar ini akan diubahsuai untuk menempatkan T' Hotel bertaraf tiga bintang dengan kapasiti 99 buah bilik.

"Dengan kadar RM90 sehingga RM220 sehari, hotel ini mampu menyelesaikan masalah kekurangan tempat penginapan bagi menjana sektor pelancongan di Terengganu serta mewujudkan lebih 80 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Manakala sebahagian lagi KUT, akan menempatkan ruang pameran, pusat batik, pusat reka bentuk, pusat kraftangan, pusat kajian produk serta konsep kedai francais dan kedai khusus untuk mengkomersialkan produk tempatan," katanya.

Katanya, kompleks ini bakal beroperasi seperti sebuah 'mall' dan dapat membantu pengusaha tempatan dari segi penjenamaan dan pemasaran produk mereka.

"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu usahawan tempatan dalam menangani masalah mendapatkan premis yang sesuai untuk mereka serta meningkatkan daya maju," katanya




Kerajaan Negeri Menaja Penerbangan Balik Pelajar ke Mesir

Oleh: Raja Faisal dan Mohd Shahrir


Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Samsuddin bin Sulong dan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Kamaruddin bin Omar ketika bermesra dengan pelajar Mesir.

Kerajaan negeri bakal menguruskan penghantaran kumpulan pertama yang terdiri daripada 293 pelajar ke Mesir yang di jangka 15 Mac ini.

Kebanyakan pelajar bidang perubatan itu akan dihantar dengan menaiki pesawat MAS dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada pukul 10 pagi ke KLIA sebelum di terbangkan terus ke Mesir mengunakan “Charter fly EGL”.

Penerbangan pulang pelajar kumpulan kedua dijadualkan pula pada akhir Mac atau awal April ini.

Pesawat dijangka mengambil kumpulan pelajar Terengganu yang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum dijangka bertolak ke Mesir, kira-kira jam 5 petang.

Perkara itu diputuskan hasil pertemuan sebahagian pelajar terlibat dengan wakil Pengarah Yayasan Terengganu dan pegawai kanan di pejabat Menteri Besar di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, petang ini (10 Mac).

Hadir sama, Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Kamaruddin bin Omar, Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Samsuddin bin Sulong dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tajaan Yayasan Terengganu,Encik Razali Mahmud.

Pertemuan itu memberi peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi memastikan proses penghantaran balik berjalan lancar sebelum tiba waktu sebenar penerbangan.

Kos penghantaran pulang yang diperuntukan hampir RM6,000 seorang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri bagi memastikan pelajar sampai ke Mesir tepat pada masa yang dirancang.

Pelajar perubatan tahun lima, Universiti Mansurah, Wan Mohd Syazani Al Faruki Wan Mazlan melahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri serta kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana menaja kos penghantaran pulang ke Mesir.

“saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana hasrat meneruskan pengajian terlaksana melalui usaha keras kerajaan negeri dalam memastikan anak jati Terengganu dapat meneruskan pengajian dengan lancar sekaligus hasrat melahirkan lebih ramai doktor perubatan dapat dicapai”, kata pelajar berusia 23 tahun itu.

Bagi pelajar tahun empat dari bidang perubatan, Ainshaw University Mesir Wan Nadiah Izzah bt Wan Mohammad Nor pula, merasa amat berbangga dengan kerajaan negeri yang begitu menitik berat kebajikan dengan pelbagai kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri agar pelajar selesa dan pulang dengan selamat ke Mesir.




YPU sedia RM8 juta untuk buka 100 T’Shoppe

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Usaha (YPU) menyediakan peruntukan RM8 juta untuk membuka 100 cawangan T'Shoppe menjelang tahun 2013 di seluruh Malaysia di mana pada masa kini, terdapat 20 rangkaian itu termasuk tiga T’Shoppe di luar Terengganu.

Pengurus Besar YPU, Encik Azmi Razik, berkata jumlah kutipan jualan T’Shoppe bergantung kepada keadaan semasa dan lokasi. Kebiasaanya memperoleh antara RM1,500 hingga RM3,500 sehari.

Katanya, T’Shoppe Kuala Berang antara rangkaian yang paling laris dan mendapat pandapatan kasar lebih RM100 ribu sebulan.

“Pelbagai jenis makanan tradisional terdapat di T’ Shoppe bagi memudahkan pelancong tempatan dan luar negara mendapat produk Terengganu.

“Langkah yang dilaksanakan ini nyata dapat membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing di mana sebelum ini sukar untuk berbuat demikian kerana mendapatkan syarat ketat dari pasar raya ternama tempatan,” katanya.

YPU turut melaksanakan program `Satu Kampung, Satu Koperasi’ di mana menyasarkan 600 koperasi dengan keanggotaan seramai 500,000 individu.

Pada masa sekarang sebanyak 438 koperasi telah didaftarkan di seluruh Terengganu dengan keahlian 241,109 orang. Ia dijangka mampu menyumbang dua peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.




PM bantu gempur Dun Manir, Bukit Tunggal

Oleh:Kamarudin Mat Akib

Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan membantu Umno Terengganu menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dan Bukit Tunggal, akhir April ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan mengadakan majlis pemimpin bersama rakyat yang melibatkan kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu di dua kawasan yang diwakili pembangkang bagi menyemarakkan gerak kerja Umno.

Beliau berkata, Umno kini nekad untuk merebut kembali dua kawasan tersebut serta enam lagi kawasan lain yang turut dimenangi Pas pada pilihan raya umum lalu.

Enam kawasan DUN lain ialah Batu Buruk, Ladang, Bukit Payong, Sura, Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang.

Dato' Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, program pemimpim bersama rakyat di DUN Manir dan Bukit Tunggal merupakan sebahagian daripada jadual sempena lawatan Perdana Menteri dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, ke Terengganu pada 30 April ini.

Lawatan ini amat bermakna kepada Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad selaku Menteri Besar kerana genap tiga tahun beliau menerajui Terengganu pada akhir Mac ini.

“Kita akan gempur kawasan tersebut habis-habisan supaya ia dapat dipulangkan semula ke pangkuan Umno,” ujar Menteri Besar ketika merasmikan persidangan berkelompok Umno cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, malam tadi (9 Mac).

Beliau berkata, Umno Terengganu akan mengadakan program-program penerangan isu-isu semasa dan pelbagai kegiatan lain di kawasan tersebut bagi memastikan Umno dapat merampas semula kerusi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.



Usah taksub dengan golongan mahu pecah belah umat Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya tidak taksub dengan golongan tertentu yang mahu memecah-belahkan umat bagi kepentingan mereka untuk merebut pemerintahan negara ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata golongan berkenaan sanggup melakukan apa saja termasuk menghancurkan umat Islam, dapat dicapai.
“Sebagai umat Islam kita perlu berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengikut pedoman yang disaran oleh Rasulullah s.a.w supaya kita selamat di dunia dan akhirat,” katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Kemaman di Padang Astaka, Chukai, hari ini (10 Mac).

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan pemimpin UMNO bahagian.

Majlis itu turut diserikan dengan cabutan bertuah selepas selesai perarakan di mana pelbagai hadiah menarik berupa barangan elektrik, basikal dan toto disediakan pihak penganjur.

Kira-kira 23,000 orang menyertai perarakan yang bermula di padang berkenaan dan mengelilingi Bandar Chukai serta berakhir di tempat yang sama.

Menteri Besar meminta umat Islam supaya bersatu dan menghayati tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu “1Malaysia 1Ummah”, serta tidak keliru dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab.





Pohon bantuan melalui saluran yang betul-YB Yahya

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap segelintir individu yang tidak gemar bergaul dan meminggirkan diri daripada menyertai komuniti di kampung menjadi punca mereka tidak mengetahui saluran yang tepat bagi mendapatkan pelbagai bantuan kebajikan yang disediakan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata golongan itu lazimnya lebih gemar membawa haluan sendiri dan langsung tidak mahu terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dengan anggapan penyertaan itu tidak memberi apa-apa faedah kepadanya.
“Kadangkala golongan yang memerlukan datang berjumpa terus dengan kita dan minta bantuan tertentu. Walhal mereka ada saluran yang betul sama ada menemui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pejabat Penyelaras Dun masing-masing yang akan memberi khidmat dan menerangkan cara permohonan diuruskan,” katanya ketika ditemui Teganukita, semalam (9 Mac).

Katanya, pelbagai bantuan dan peruntukan yang disediakan kerajaan negeri untuk meringankan bebanan rakyat yang ditimpa kesusahan dan penyakit termasuk Tabung Darul Iman, Tabung Penyakit Kronik dan Program Bantuan Rumah sama ada bina baru atau baik pulih.

Pada masa yang sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan bantuan am berdasarkan beberapa kategori yang boleh dipohon berdasarkan syarat tertentu.

Beliau berkata, kes-kes bencana alam seperti ribut, kebakaran dan banjir adalah kejadian yang memerlukan tindakan segera dan perkara itu akan dirujuk di bawah Tabung Darul Iman.

Menurutnya, tabung itu mampu menangani had peruntukan jabatan yang terhad serta mengelakkan sebarang prosedur yang ketat berbanding bantuan-batuan lain.

Sementara Tabung Penyakit Kronik pula, katanya diwujudkan sejak tahun lalu dengan peruntukan RM10 juta untuk kes rakyat yang menderita penyakit kronik dan kritikal dan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan yang sepatutnya disebabkan kekangan sumber kewangan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan contohnya, walaupun mempunyai berbagai skim bantuan untuk golongan miskin dan yang memerlukan, namun dua jabatan itu mempunyai skim bantuan dan kadar maksimum bantuan yang terhad,” katanya.

YB Yahya berkata, berdasarkan kelemahan dan kekurangan itu, Kerajaan Terengganu mengambil langkah segera bagi menanganinya dengan menubuhkan Tabung Penyakit Kronik yang sudah melibatkan 230 pemohon dengan perbelanjaan kira-kira RM358,000 sehingga Februari lalu sejak tabung itu diperkenalkan.




JPNINT sedia insuran kepada peronda SRS

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri menjangkakan lebih banyak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dapat diwujudkan di kampung-kampung untuk memberi khidmat serta mengawal keselamatan penduduk tempatan.

“Sehingga akhir tahun lalu terdapat 316 KRT seluruh negeri dengan penyertaan 300,000 anggota masyarakat yang melaksanakan 17,090 aktiviti,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar.

Selain itu katanya, 194 SRS dengan 3,280 anggota peronda berjaya ditubuhkan sehingga akhir tahun lalu yang memberi impak besar kepada kehidupan bermasyarakat serta dapat mengeratkan perpaduan kalangan penduduk setempat.

Katanya, melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Intergasi Nasional Terengganu (JPNINT), dianggarkan 85 KRT dan 102 SRS lagi dapat diwujudkan tahun ini.

“Jawatankuasa RKT dan peronda SRS dilindungi insuran dan JPNINT telah melantik Syarikat Takaful Malaysia mengendalikan sebarang kes kemalangan atau kematian ketika menjalankan tugas,” katanya.

Katanya, terdapat enam skim perlindungan antaranya kematian akibat kemalangan (RM20,000) kailatan kekal/menyeluruh akibat kemalangan (RM20,000), elaun hospital akibat kemalangan sebanyak RM50.00 sehari dan maksimun 30 hari.

“Tuntutan juga boleh dibuat bagi perbelanjaan hospital (akibat kemalangan) sebanyak RM1,000, khairat kematian akibat kemalangan dan kematian penyakit biasa (RM1,000),” katanya.

Katanya, skim ini dilindungi 24 jam di seluruh negara kecuali negara yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.




Produk makanan Terengganu diterima di Timur Tengah

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Mohamed Awang Tera mengadakan perbincangan dengan Oman Chamber of Commerce & Industry.

Penyertaan Terengganu ke Pameran Gulfood 2010, Dubai 2011 bakal membuka lembaran baru dalam sektor makanan yang melibatkan industri kecil sederhana (IKS) apabila respon yang menggalakkan diterima daripada pengusaha makanan di seluruh dunia khususnya untuk pasaran Timur Tengah.

Sebanyak 120 respon positif melibatkan pengusaha makanan dari Emeriah Arab Bersatu, Kuwait, Iraq, Angola, India, Pakistan dan Swaziland diterima sepanjang ekspo tiga hari yang bermula 27 Februari itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membawa lima pengusaha produk tempatan yang terdiri daripada kopi, `beef steak & grilled chicken’, roti canai segera, murtabak segera, minuman sarang burung, sardin dan susu krim.



Katanya, sebanyak 3,800 syarikat daripada seluruh dunia termasuk hampir 50 syarikat pengeluar makanan daripada Malaysia menyertai ekspo yang bertujuan meluaskan jaringan pemasaran produk IKS ke seluruh dunia terutama di negara Timur Tengah.

Beliau yang mengetuai penyertaan kali kedua Terengganu ke ekspo berkenaan berkata, respon yang diterima amat menggalakkan dan mencetus dimensi baru dalam merancakkan ekonomi negeri dan negara terutama melibatkan IKS.



“Rundingan lanjut dengan ejen dan pengusaha yang memberi respon baik kepada produk tempatan dan IKS Terengganu itu sedang dilaksanakan dengan terperinci menerusi pegawai YPU.

“Kita menjangkakan proses rundingan itu akan membawa kepada rundingan kontrak dan jualan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang dan produk Terengganu akan menembusi pasaran di seluruh dunia pada masa depan,” katanya.





23,000 sertai perarakan Maulidur Rasul daerah Kemaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengetuai perarakan Maulidur Rasul Peringkat daerah Kemaman yang disertai kira-kira 23,000 orang mewakili pelbagai agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), orang perseorangan dan pelajar.

Kira-kira 3,000 kanak-kanak tadika daripada pelbagai agensi, turut menyertai perarakan yang bermula awal pagi ini (9 Mac).


Kira-kira 23,000 orang menyertai perarakan Maulidur Rasul Peringkat daerah Kemaman. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Turut menyertai perarakan itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang tera; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman; Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohd Kamil Othman dan ketua-ketua jabatan.



Majlis sambutan Maulidur Rasul itu dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, diikuti ucapan Pegawai Daerah serta Menteri Besar dan penutup penyampaian sijil penghargaan kepada mereka yang memberi sumbangan bagi menjayakan program berkenaan.



Sambutan turut diserikan dengan cabutan bertuah selepas selesai perarakan di mana pelbagai hadiah menarik berupa barangan elektrik, basikal dan toto disediakan pihak penganjur.



Selain kanak-kanak tadika, kira-kira 7,000 pelajar sekolah rendah dan menengah turut menyertai perarakan tersebut.



09 March 2011

Alangkah baiknya Nik Aziz berhenti menyalahguna dan menyalah tafsir Islam .




Petikan tulisan bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir mengenai Nik Aziz:disalin semula oleh Ruslan AR.

Percubaan Dato Nik Aziz untuk memperingatkan saya bahawa saya akan berdiri dihadapan Allah s.w.t. satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya. Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.

Nik Aziz juga akan berdiri dihadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi. Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri.



Sehingga kita diadili di akhirat kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa. Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz. Dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t. Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman.
Saya tidak pernah dakwa yang saya ini selalunya betul dan tetap ke syurga. Saya juga tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundi saya kerana itu akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat. Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz.

Dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa, atau menjamin balasan di akhirat kelak. Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang UMNO sebagai Jahiliah.

Untuk tidak menjadi Jahiliah sokonglah PAS. Apakah ulama-ulama Islam yang tidak punyai kepentingan politik sudah putuskan bahawa syarat untuk menjadi orang Islam ialah menyokong PAS? Di manakah dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih yang menyebut bahawa hanya dengan menyokong PAS baharulah seseorang itu beragama Islam? Kalau ini benar nenek moyang siapa yang jahil kerana tidak ada PAS masa mereka? Orang Islam lain di luar Malaysia sudah tentu bukan Islam kerana tidak ada PAS di negara mereka.

Orang UMNO adalah orang yang beragama Islam, walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS. Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO dan ahli PAS juga adalah orang Islam. UMNO tidak mendakwa bahawa hanya orang UMNO sahaja yang Islam, atau dengan mengundi UMNO menjadi Islam dan akan ke syurga.

Oleh kerana orang UMNO beragama Islam maka perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama (Islam) dan negara. Demikianlah pegangan UMNO kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan UMNO mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam. Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS.

Asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme. Penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis. Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam.


Tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah s.w.t.

Terselamatnya banyak negara Islam yang dahulu dijajah adalah hasil perjuangan nasionalis Islam. Mereka nasionalis kerana mereka masing-masing sayang dan setia kepada negara mereka sahaja. Jika mereka hanya berjuang untuk Islam maka tumpuan mereka tentulah kepada membebaskan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa atau negara. Tetapi hakikatnya mereka tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini. Yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu.

Nik Aziz sendiri berjuang hanya di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan dan tekanan. Walaupun Nik Aziz mendakwa bahawa dia berjuang untuk Islam, tetapi dengan menghadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam UMNO. Jika orang UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga jahil kerana sebab yang sama.

Apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup ini? Jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin dia akan melihat perjuangan UMNO untuk Islam secara yang terpampang dihadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli UMNO berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam. Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas. Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz.

Sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR. Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam. Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihanraya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihanraya.

Bolehkah Nik Aziz baca apa yang ada dalam hati orang Melayu UMNO Islam apabila mereka mengucap dua kalimah syahadah? Apakah Nik Aziz tahu apa yang ada dalam hati seseorang apabila dia berniat dalam hati semasa solat dan masa-masa lain. Apakah Nik Aziz percaya dia adalah manusia luarbiasa yang tahu apa ada dalam hati seseorang yang tidak sama dengan apa yang disebut olehnya?

Kuasa ini hanya ada pada Allah s.w.t. Adakah Nik Aziz juga mempunyai kuasa ini? Apakah pandangan Islam terhadap orang yang mendakwa dia boleh baca apa yang ada dalam hati manusia sepertimana Allah s.w.t. boleh membacanya.

Apakah dasar pejuangan UMNO telah saya jelaskan. Islam tidak menyuruh kita hanya membuat ibadat tertentu sahaja. Mempertahankan umat Islam di Malaysia adalah satu daripada yang diwajibkan ke atas orang Islam. Sebab itu orang yang terbunuh mempertahankan orang Islam dan negara mereka termasuk dalam golongan syahid.

Apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan pimpinan nasionalis Melayu Islam supaya keupayaan menyelamatkan umat Islam dan agama Islam di Malaysia ada pada negara ini tidak menepati satu daripada kewajipan orang Islam? Untuk pengetahuan Nik Aziz Kerajaan pimpinan Melayu Islam nasionalis berjaya menolong orang Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara tertentu sehingga serangan keatas mereka terpaksa dihentikan.

Untuk menunaikan kewajipan ini negara harus mempunyai kewangan yang cukup yang datang daripada peningkatan ekonomi negara. Akan mampukah kita menunaikan kewajipan ini jika kita papa kedana, selalu meminta-minta dan mengemis daripada orang lain. Perjuangan untuk membangunkan negara supaya pertahanannya lebih kukuh adalah kewajipan orang Islam. Tidak mencukupi jika kita hanya berdoa meminta pertolongan Allah s.w.t.

Apakah benar UMNO menghapuskan Jawi sehingga kita tidak dapat membaca Al-Quran? Tidakkah Kerajaan UMNO mengadakan sekolah agama, mata pelajaran Islam yang menggunakan tulisan Jawi? Kenapakah Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta Al-Quran, tidak boleh baca Jawi.

Peruntukan kepada sekolah agama rakyat dihentikan kerana bukan agama yang diajar di sekolah-sekolah ini tetapi politik pecah-belah parti PAS.

Tidak pernah saya membuat tuduhan yang Nik Aziz menyebabkan parti UMNO diharamkan, atau penubuhan Semangat 46 atau Parti Keadilan. Tetapi yang jelas ialah PAS memberi sokongan kuat kepada serpihan ini kerana gemar melihat perpecahan dan pengharaman UMNO.

Benarkah Islam menerima pecah belah sebagai satu perkara yang pasti berlaku seperti Nik Aziz katakan?

Tafsiran ayat 36 dalam Surah Al-Baqarah berbunyi demikian; "Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) daripada syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan kami berfirman, "Turunlah kamu. Sebahagian dari (keturunan) kamu menjadi musuh kepada sebahagian daripada yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

Ayat ini adalah berkenaan umat manusia yang sering berpecah belah dan bermusuh-musuhan sesama mereka.

Rujukan oleh Nik Aziz kepada ayat ini secara tidak langsung menjadi pengakuan oleh Nik Aziz yang dianya memang terlibat dengan pecah belah orang Melayu Islam.

Khusus bagi orang Islam, Allah s.w.t. berfirman (Ayat 10 Surah Al-Hujarat); "Innamalmukminu na ikhwatun..." iaitu orang-orang yang beriman (mukmin) itu adalah bersaudara.

Ayat itu diteruskan dan maksudnya ialah, "maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); "Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai..."

Tak mungkin Nik Aziz tidak tahu akan ayat-ayat ini. Lebih mungkin Nik Aziz lupa dalam keghairahan menyalahguna agama untuk menghalalkan perbuatan yang ditegah. Yang jelas ialah Islam tidak menyuruh perpecahan di kalangan umat Islam.

Nabi Muhammad saw tidak memecah-belah orang Islam. Utbah bin Rabiah mengecam Nabi kerana agama Islam yang dibawa Baginda memecah belah kaum Quraisy (yang pada masa itu bukan semuanya Islam) kerana sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam. Janganlah Nik Aziz banding dirinya dan apa yang dilakukan olehnya sama dengan Baginda Rasulullah. Baginda telah cuba menyatupadu orang Quraisy melalui Islam tetapi Nik Aziz menyeru supaya orang yang sudahpun Islam berpecah tiga dengan niat untuk melemahkan UMNO, musuh politik PAS.

UMNO tidak menculik ADUN PAS. Sebaliknya permusuhan antara pemimpin PAS Terengganu menyebabkan beberapa daripada mereka meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO. Hari ini pun terlihat banyak peristiwa seperti ini berlaku. Jika mana-mana ahli PAS yang berpisah dari PAS untuk menyertai UMNO dan kemudian balik kepada PAS itu adalah pilihan mereka. Tidak ada paksaan atau tekanan dengan menyalahguna agama oleh UMNO untuk mendapat orang PAS.

Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.

PAS tidak harus lupa di Memali enam orang anggota polis ditembak mati oleh pengganas Memali. Itulah sebabnya polis terpaksa tembak balas.

Iqraq ditafsir sebagai "baca". Membaca tetap akan memberi kita tambahan ilmu. Sebab itu intelek Islam dizaman dahulu mengejar ilmu dengan membaca dalam bahasa Greek ilmu yang diterokai oleh mereka itu. Tak mungkin mereka membaca tulisan Greek dengan mengguna bahasa Arab.

Selepas menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek, orang India, Parsi dan lain-lain maka dapatlah intelek Islam menambah kepada ilmu sains dan matematik dengan hasil kajian mereka. Dengan itu juga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.

Orang Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu mereka. Sementara itu orang Islam (Arab) menolak ilmu yang kononnya sekular, kerana kononnya tidak berkaitan dengan agama.

Ilmu terkini yang diterokai oleh bangsa Eropah ditulis hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.

Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.

Bolehkah Nik Aziz perkenalkan seorang Melayu yang mempelajari Sains hanya dalam Bahasa Melayu yang mampu menulis kertas atau memahami tulisan berkenaan dengan nano sains atau theory of relativity atau perkiraan yang diperlukan untuk menghantar space shuttle supaya menemui dan dipasang kepada International Space Station.

Pada pendapat Nik Aziz apakah hanya dengan mengguna bahasa Melayu dalam mempelajari sains dan matematik kita akan jadi lebih Islam? Apakah Nik Aziz berpendapat dengan mengguna bahasa Malayu maka kita lebih Melayu, lebih setia kepada bangsa, lebih nasionalis, sedangkan Nik Aziz mendakwa Melayu tidak penting asalkan kita Islam, dan nasionalisme menjadikan kita kurang Islam. Apakah minat Nik Aziz kepada pengajaran dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan sifat Nik Aziz sebagai seorang nasionalis juga, sama seperti orang UMNO. Nik Aziz harus tuntut supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta'ala?

Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?

Apakah oleh kerana di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama (yang dibangun oleh orang Islam) maka ini bermakna pembinaan sekolah agama oleh UMNO tidak bermakna berjasa kepada Islam. Apabila PAS mendirikan sekolah agama apakah PAS berjasa kepada Islam? Atau berjasa kepada parti?

Arak sekarang dijual dibawah pemerintahan PAS. Besar atau kecil tidak bermakna kebenaran menjual arak tidak bertentangan dengan Islam.

Judi dan arak memang haram bagi Islam. Saya jemput Nik Aziz secara terbuka tuntut rakan karibnya DAP supaya sekarang ini, sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah negara ini membuat pengakuan tertentu yang Kerajaan campuran Pakatan akan haramkan judi dan penjualan arak, disamping menerima hukum Hudud. Jika DAP enggan membuat kenyataan ini sanggupkah PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam PRU dengan pertolongan DAP yang penting?

Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya.