Halaman

15 March 2011

Amalan terpuji, petua penghafaz

Oleh: Suriati Ali

Berkat usaha dengan mengamalkan amalan-amalan terpuji, meninggalkan perkara mungkar, menjauhi amalan terkutuk, mentaati ibu bapa dan sentiasa patuh dengan ajaran Allah S.W.T antara petua yang sentiasa diamalkan penghafaz al-Quran.

Jika semua itu gagal dipatuhi, mustahil seorang penghafaz mampu mengingati setiap ayat dalam mana-mana surah sehingga mampu menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran.

Peserta, Mohd Jalaluddin Al Fahmi Jusoh, 23 dari Manir, Kuala Terengganu, berkata dia mengakui setiap penghafaz al-Quran memerlukan displin yang tinggi sekiranya serius ingin mencapai kejayaan.

Katanya, kejayaan kali kedua ini adalah berkat doa dan dorongan semua pihak terutama ibu dan bapa yang tidak putus-putus memberi semangat.

“Saya akan membuat yang terbaik dengan melaksanakan persediaan awal bagi menaikkan imej Terengganu dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang bakal disertai nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, Kompeks Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi (14 Mac).

Menurutnya, dia membiasakan diri untuk bangun di awal pagi iaitu bermua 2 pagi sehingga 4 pagi, semata-mata ingin mencari ketenangan sewaktu menghafaz al-Quran, walaupun terpaksa mengorbankan waktu tidur.

“Cukup beruntung jika sesiapa yang bangun pada waktu itu untuk melaksanakan pelbagai amalan terpuji kerana sudah tentu banyak memperoleh keberkatan,” katanya.

Jueziatul Husna Ariffin, 25, berkata dia mula menghafaz al-Quran sejak berusia 16 tahun dan mendalami ilmu itu di Institut a-Quran Terengganu (IQ).

“Tanpa berkat kesabaran, hasil doa dan dorongan suami, ibu serta bapa, mungkin saya tidak mampu mencapai kejayaan seperti hari ini,” katanya.



PIMPINAN TERENGGANU ANTARA PENERIMA BINTANG DAN PINGAT PPM.

Laporan: Ruslan Abdul Rahman,Yusof,Rahim,Azli& Aris dari Putrajaya.


Dato' Mat Razali Kassim sedang menerima bintang persekutuan Pengakap Malaysia dari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, YB Haji Rozi Mamat adalah antara penerima bintang di Majlis Pengurniaan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Istana Melawati, Putrajaya pagi ini (15 Mac).

Beliau menerima Bintang Semangat Perak iaitu anugerah keempat tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia yang disampaikan kepada tokoh-tokoh yang memberi perkhidmatan dan bakti yang terpuji kepada pergerakan pengakap.

Turut menerima bintang yang sama ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Azlan Dagang, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Mat Razali Kassim dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud bersama-sama beberapa penerima lain dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak.



Sebelum itu, dalam majlis yang berasingan di Istana Melawati, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah mendahului penerima bintang dan pingat (PPM) dengan dikurniakan Bintang Semangat Padi Emas Kelas Pertama.

Dalam majlis itu juga, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak menerima kurniaan Bintang Semangat Padi Emas Kelas Pertama oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Bintang Semangat Padi Kelas Pertama adalah anugerah tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia yang hanya disampaikan kepada tokoh-tokoh terbilang sahaja.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dan To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Awang dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mazlan Ngah adalah antara tetamu yang hadir selain beberapa Menteri Pusat.

Penerima-penerima lain dari Terengganu pada majlis hari ini ialah Yang Di Pertua Majlis Daerah Setiu, Ishamudin Hashim, Haji Ahmad Awang (Unit Perancang Ekonomi Terengganu) dan Zulkifli Ali (Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Pengurusan Majlis dan Protokol).

Mereka menerima Pingat Perkhidmatan Gemilang (PPG) iaitu pingat yang dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin bertauliah yang telah banyak menabur jasa dan bakti cemerlang di atas perkembangan pengakap.



Manakala Pegawai Pengurusan Majlis dan Protokol , Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Mohd.Zahari Jannah menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) iaitu pingat kepada mereka yang memberi sumbangan yang sama juga dengan PPG.

Dato' Seri Ahmad bersyukur dan bangga di atas anugerah yang diterima oleh pimpinan dan pegawai dari Terengganu di majlis berkenaan hari ini.



14 March 2011

PENERBANGAN UMRAH PERTAMA LTSM-TERENGGANU KE JEDDAH PADA 18 MAC



Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Satu penerbangan Umrah anugerah Kerajaan Negeri Terengganu tahun ini diperkenalkan dengan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 18 Mac ini (Jumaat).

Ia adalah pertama kali diadakan penerbangan terus untuk umat Islam yang mengerjakan umrah dengan penerbangan terus Kuala Terengganu-Jeddah.
Penerbangan Umrah Anugerah ini merupakan sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurut sumber Kerajaan Negeri, umrah anugerah ini adalah jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat AD Charter Services Sdn.Bhd yang telah mengendalikan operasi penerbangan haji tahun lepas Kuala Terengganup-Jeddah pada 16 Oktober hingga 17 Disember 2010.

Kini syarikat berkenaan bersetuju pula menawarkan satu penerbangan umrah secara terus Kuala Terengganu Jeddah dengan harga tiket penerbangan subsidi pada kadar RM1,500 termasuk cukai lapangan terbang dengan pakej umrah pada kadar minimum RM3,800 seorang termasuk tiket penerbangan dan penginapan.

Tawaran itu membuka peluang kerajaan negeri untuk member I ganjaran Anugerah Umarah ini kepada petugas yang terlibat dengan Operasi Haji pada tahun lepas dan peluang ini juga dibuka kepada kakitangan kerajaan negeri dengan 451 tempat duduk disediakan.

Jadual penerbangan pada 18 Mac jam 5.10 petang dan penerbangan balik pada 29 Mac.

Menurut sumber itu, kerajaan negeri Terengganu melihat langkah ini sebagai ‘platform’ permulaan untuk agensi-agensi pengendali umrah menjadikan LTSM sebagai pintu gerbang (hub) untuk mengerjakan umrah bagi penduduk Pantai Timur Semenanjung (Terengganu, Kelantan dan Pahang).

Selepas ini perancangan kerajaan negeri akan turut menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa negara yanga telah dikenalpasti Indo China, Thailand dan Bandung, Indonesia yang masih dalam perbincangan dengan syarikat penerbangan.



Kerajaan beri subsidi barangan RM10.32 bilion

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan telah memberi subsidi RM10.32 bilion ke atas tujuh barangan kegunaan harian rakyat di negara ini sepanjang tahun lalu semata-mata untuk memastikan harga barangan berkenaan sentiasa terkawal dan stabil.

Antara barangan tersebut termasuklah Gula (RM789 juta), Tepung Gandum (RM89 juta), Minyak Masak (RM813 juta), Beras ST15 (RM486 juta), Petrol RON95 (RM3.13 bilion) Diesel (RM3.59 bilion) dan LPG (RM1.43 bilion).

Demikian kata Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepunggunaan Negeri Terengganu (PPDNKK), Encik Abdul Ghani Harun di majlis Taklimat Tribunal Tuntutan Pengguna kepada penjawat awam, di Wisma Darul Iman.

Beliau juga menarik perhatian pengguna supaya mempunyai kesedaran mengkritik tentang mutu, nilai sesuatu barangan dan perkhidmatan serta bertindak dengan penuh tanggung jawab sosial.

“Satu pengguna satu suara di mana pengguna mampu mempengaruhi dan menentukan harga serta penawaran barangan dalam pasaran yang kompleks,” katanya.

Katanya, pengguna juga berkuasa memastikan penipuan, penyelewengan dan penindasan oleh peniaga tidak berlaku sewenang-wenangnya melalui peningkatan pengetahuan, memperkuatkan jati diri dan mengamalkan hak mereka sebagai pengguna.

“Terdapat lapan perkara yang menjadi ‘hak’ pengguna termasuklah untuk mendapat keperluan asas, membuat pilihan, mendapat maklumat, ganti rugi, perkhidmatan, barangan yang selamat,menyuarakan pendapat , pendidikan dan mendapatkan alam sekitar yang bersih dan selamat,” katanya.

Katanya, pengguna perlu bertindak secara bersepadu dalam menuntut hak dan bergerak seiring secara efektif serta mewakil satu golongan yang kuat dan disegani tanpa mengira latar belakang.




MB LAWAT MANGSA KEBAKARAN BOT PELANCONG

Oleh: Raja Faisal B Raja Haron



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ditemani SUK, Dato' Mazlan Ngah melawat mangsa kebakaran bot pelancong di Hospital Jerteh, Besut. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said melawat tiga mangsa kebakaran bot di Hospital Besar Jerteh pada petang ini dan menghulurkan bantuan peribadi kepada mangsa bagi meringankan beban mangsa.

Kebakaran bot yang berlaku semalam (13 Mac) kira-kira 10.30 pagi melibatkan 3 mangsa yang megalami kecederaan ringan dua dari mangsa trauma dan seorang melecur di bahagian tangan, manakala 33 mangsa yang lain di tempatkan Kluang Beach Resort dalam keadaan selamat.

Dalam lawatan tersebut beliau menemui dan bertanyakan seorang mangsa, Jaafar bin Aman yang masih dalam keadaaan trauma.

Jaafar memberitahu bot mula bertolak pada pukul 10 pagi, selepas lima minit bot bergerak, satu kepulan asap kecil keluar dari belakang bot menyebabkan penumpang mulai cemas dan 20 minit kemudian api yang mula marak ,menyebabkan semua penumpang diarahkan oleh pemandu ke bahagian hadapan sebelum mereka terpaksa terjun ke dalam laut menggunakan jaket keselamatan dan bergantung kepada tali yang disediakan.



Selepas 15 minit kemudian, penumpang diselamatkan oleh bot nelayan yang dihubungi oleh pihak ‘boatman’ melalui telefon bimbit.

Semua mangsa yang selamat di tempatkan di Kluang Beach Resort di uruskan sepenuh oleh Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu dan mangsa yang berada di hospital juga semakin pulih dari trauma kejadian.

Dato’ Seri Ahmad berharap agar kejadian tersebut tidak berulang lagi dan mengambilnya sebagai pengajaran.



“Kita berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada pengusaha bot pelancong agar memeriksa dengan terperinci dahulu sebelum memulakan perjalanan bot” katanya semasa lawatan ke “resort” yang menempatkan mangsa kejadian yang selamat.

Beliau juga berharap agar kejadian ini tidak menjejaskan industri pelancongan di Besut khususnya, dan mengambilnya sebagai satu iktibar kepada semua pihak yang terlibat.



YPU komited bantu usahawan

Oleh: Suriati Ali

Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga komited membantu usahawan Industri Kecil dan Sederdaha (IKS) sama ada di bandar atau kawasan pendalaman untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, setiap tahun pelbagai langkah dilaksanakan semata-mata ingin melihat usahawan di negeri ini berjaya memiliki perniagaan yang stabil.

Antaranya termasuk menyediakan peruntukan pinjaman RM1 juta setahun, menawarkan kursus atau seminar jangka pendek berkaitan perniagaan dan mengikuti pelbagai espo dalam dan luar Terengganu.

“Pendekatan ini nyata memberi kesan positif kepada setiap usahawan terutama yang baru `berjinak’ dalam bidang perniagaan.

“Usahawan YPU setiasa dilatih supaya memiliki sifat peramah, sopan ketika melayan pelanggan, murah dengan senyuman dan tidak lokek memberi penerangan berkaitan produk jualan,” katanya ketika ditemui Teganukita.

Dato’ Haji Mohamed, berkata usahawan Melayu tempatan diingatkan supaya tidak terlalu ‘manja’ sekiranya mahu berjaya dalam dunia perniagaan kerana ramai di kalangan mereka bukan sahaja mengharapkan projek daripada kerajaan malah mahu dibantu berserta dengan modal.

“Sebenarnya banyak sebab mengapa usahawan Melayu masih lagi lemah di bidang ini dan kita perlu kenal pasti kelemahan tersebut serta mencari jalan untuk memperbaikinya agar mereka dapat bersaing di pasaran terbuka,” katanya.


Maidam agih RM300 ribu untuk TABSK

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 sebagai sumbangan kepada tabung dana kewangan Tabung Amanah Bahagian Sokongan Keluarga (TABSK).

Peruntukan daripada wang agihan Asnaf Al-Gharimin yang disalurkan kepada akaun TABSK, Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Terengganu itu bertujuan membiayai bantuan nafkah kepada isteri dan anak yang terbabit dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harunjan Sulaiman berkata, penubuhan TABSK diputuskan Ketua Hakim Syarie seluruh negara.

Katanya, berasaskan kepada keputusan itu, sumbangan kepada TABSK juga akan ditambah oleh Kerajaan Pusat dengan nisbah sama menjadikan jumlah tabung ini pada peringkat negeri keseluruhannya berjumlah RM600,000.

“Sumbangan Maidam kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan kerana menyedari pentinganya TABSK membiayai nafkah isteri dan anak yang masih dalam perbicaraan.

“Kita lihat terdapat kes mengambil masa terlalu lama sehingga memberi kesan buruk kepada pengadu kerana terpaksa menunggu lama sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Selepas pemohon berjaya mendapat tuntutan nafkah untuk anak dan diri sendiri atau tanggungan, suami atau bekas suami perlu membayar semula wang TABSK yang hanya diberi pinjam dalam tempoh sementara kepada isteri dan anak.



Anak jati Terengganu juara pidato antarabangsa

Oleh: Aida Abd Rahman

Peserta tuan rumah, Malaysia yang juga anak jati Terengganu, Amirrudin Abd Rahman, 25, dinobatkan selaku juara bagi kategori nusantara pada pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam kelmarin (11 Mac).

Peserta Turki, Halil Ibrahim pula muncul johan bagi kategori antarabangsa pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta termasuk Rusia, Singapura, Brunei, Korea Selatan, China, Australia dan tuan rumah, Malaysia.
Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai USD5,000, piala pusingan; piala iringan; hadiah dan sijil. Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak bertindak sebagai penaung PABM hadir merasmikan malam kemuncak serta menyampaikan hadiah kepada peserta akhir pertandingan itu.

Bagi kategori nusantara, peserta Brunei, Awang Abdul Rashid Awang Damit memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Muhammad Izwan Othman dari Singapura.

Naib johan kategori antarabangsa pula menjadi milik peserta Rusia, Daria Kamyshnikova dan tempat ketiga menjadi milik peserta Australia, Genevieve Woods.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai USD3,000 dan USD2,000 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.

Sementara Amirrudin yang mempertaruhkan pidato yang bertajuk `Bangsa Berilmu Bangsa Bertamadun’ menyifatkan kemenangannya itu di luar jangkaan kerana semua pesaing lain menunjukkan persembahan hebat untuk menarik perhatian juri.

Katanya, penyertaan dalam PABM 2011 adalah kali ketiga, selepas gagal mara di peringkat saringan untuk mewakili negara pada penyertaan 2009 dan 2010 lalu.

“Penyertaan kali ini ternyata berbaloi dan amat bermakna kerana ia penglibatan terakhir saya mewakili universiti . Saya kini sedang menjalani praktikal dan berada di tahun akhir dalam Pengajian Bahasa English Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia.

“Saya dedikasikan kejayaan saya di pentas antarabangsa ini kepada jurulatih, rakan-rakan dan teristimewa buat ibu dan keluarga tercinta di kampung yang sentiasa menyokong penglibatan saya dari awal hingga kini,” kata anak kelahiran Kuala Terengganu itu lagi.

Pertandingan PABM 2011 yang menjadi edisi kelima ini menyaksikan penyertaan 59 peserta daripada 56 negara meningkat dari 23 negara yang meliputi enam benua sebelum ini.






Karnival 1Malaysia IPT 2011 jana aktiviti bermanfaat

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mastura Jamaldin

Berteraskan slogan ‘Persefahaman Menjana Mahasiswa Gemilang’ Karnival 1Malaysia IPT 2011 berjaya mengumpul penuntut universiti tempatan di bawah satu bumbung melalui pelbagai aktiviti yang sihat dan memberi manfaat.

Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu , Haji Sharafudin Ali Hussin berkata, pelbagai aktiviti seperti Pameran 1Malaysia,pameran agensi kerajaan, mini ekspo, kembara kampus dan pidato berjaya menarik penyertaan seratus peratus penuntut institusi pengajian tinggi seluruh Terengganu.
“Karnival 1Malaysia IPT ini merupakan satu program yang amat bermakna kepada para siswa dan siswi kerana mereka mendapat pelbagai maklumat berguna daripada pihak kerajaan melalui pelbagai program serta aktiviti di karnival itu,” katanya sewaktu merasmikan perasmian penutup Karnival 1Malaysia IPT di di kolej Islam Sains & Teknologi ( KIST ) Kuala Berang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Hajah Azizah Awang.

Haji Sharafudin yang mewakili Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata, penghargaan harus diberikan kepada KIST dan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu kerana berjaya merealisasikan karnival dua hari itu sebagai platform kepada penuntut tempatan menghayati konsep 1Malaysia dan melahirkan budaya ketahanan diri dalam kehidupan mereka.




Terengganu, Oman sepakat luaskan jaringan pelaburan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu mencapai kata sepakat dengan Oman untuk meluaskan jaringan pelaburan dalam sektor petroleum, pendidikan dan pelancongan hasil lawatan ke negara itu, sempena penyertaan ke Pameran Gulfood 2011, di Dubai, baru-baru ini.

Program lawatan yang menjadi `serampang dua mata’ sempena pameran pada 27 Februari hingga 2 Mac lalu itu turut membincangkan kaedah bagi membuka pasaran baru untuk produk industri kecil sederhana (IKS) Terengganu ke negara itu.
Delegasi Terengganu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera menemui Dewan Perdagangan dan Industri Oman yang dipengerusikan Khalil Mohamad Al-Khonji.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Haji Azmi Razik dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat Terengganu, Encik abdullah Muhamad.

Lanjutan berbincangan dua hala itu, delegasi kemudiannya mengadakan lawatan kerja dan perbincangan dengan dua rangkaian pasaraya terkemuka dan terkenal di Timur Tengah, Lulu Hypermarket dan Safeer Hypermarket.

Dato’ Mohamed berkata, rombongan turut mengadakan lawatan ke Khimji Ramdas Group, satu kumpulan perniagaan yang besar di Muscat di mana mereka memiliki rangkaian hypermarket dan juga terlibat di dalam sektor logistik, infrasturktur, pelancongan dan gaya hidup.

“Hasil pertemuan itu, Oman berminat untuk mendapatkan produk sejuk beku yang dihasilkan pengusaha IKS Terengganu seperti roti canai, murtabak segera dan `grilled chicken’.

“Jika sebelumnya, negara jiran seperti Singapura yang menjadi pembekal dengan menggunakan produk IKS negara kita tetapi pembungkusan yang dihasilkan sendiri oleh mereka mendapat pasaran yang baik di negara Timur Tengah itu,” katanya.

Katanya, pengusaha di Oman berminat untuk menempah terus daripada pembekal negara kita termasuk dari Terengganu mengikut citarasa dan piawaian dikehendaki pasaran mereka.

Susulan itu, Dato’ Mohamed berkata, delegasi Oman akan berkunjung ke Terengganu dalam tempoh beberapa bulan lagi bagi memperincikan lagi kerjasama perniagaan selain melihat sendiri pembangunan dan industri yang boleh menjana pelaburan antara kedua-dua negara itu.