Halaman

29 March 2011

Longkang tersumbat punca banjir kilat

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ketika menemui mangsa banjir yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Tok Jembal. - Foto: Harish Fadzillah.

Sikap segelintir individu yang gemar menjadikan longkang sebagai tong sampah sehingga mengakibatkan Taman Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu mengalami banjir kilat amat dikesali.

Kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini (Mac) menyebabkan 46 keluarga mengandungi 206 orang terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal (SKTJ) bermula awal pagi tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata banjir kilat yang melanda Taman Uda Murni adalah kali kedua dalam bulan ini dan semua mangsa dapat dipindahkan dengan selamat hasil bantuan pelbagai pihak.



Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa membersihkan kembali semua longkang yang tersumbat akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu.

“Kontraktor berkaitan juga perlu bertangungjawab dalam perkara ini, kerana sering mengabaikan syarat-syarat ditetapkan sebelum membina longkang.

“Jika longkang yang ada sekarang ini dibina dengan saiz lebih besar, sudah tentu bencana seperti ini boleh dielak dan tidak akan berlaku,” katanya kepada media ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di SKTJ.

Hadir sama dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa pemimpin peringkat kampung.

Katanya, bagi mengelak kejadian sama berlaku pada masa akan datang, PBT akan menyediakan lebih banyak longkang bersaiz besar di samping memastikan longkang tidak dicemari sampah sarap.



“Longkang yang tersumbat akan dibuka dan dibersihkan bagi memudahkan air banjir melaluinya tanpa sebarang halangan,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun puluhan juta dibelanjakan termasuk projek tebatan banjir bernilai RM5.6 juta di Taman Perumahan Pusu Tiga, Kuala Nerus .

“Alhamdullilah, penduduk di kawasan itu kini sudah berasa lega dan tidak lagi cemas setiap kali hujan lebat melanda.



UniSZA anjur syarahan perbezaan pendapat mahzab

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menganjurkan Syarahan Akademik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) kepada orang ramai, Khamis ini.

Syarahan Akademik bertajuk 'Harmonizing Juristic Disagreement Towards the Unity of Ummah' (Mengharmonikan Perbezaan Pendapat Mazhab ke Arah Penyatuan Ummah) itu akan disampaikan Pengarah Yayasan Islam Kanada, Dr Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani.

Dr Yusuf Muhyiddin juga merupakan anggota Majlis Ulama Syria dan Penasihat Kehormat Komuniti Muslim di Amerika Utara serta Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Lubnan.

Ketua Jabatan Syariah FKI, Tengku Fatimah Muliana Tengku Muda berkata syarahan akademik itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang keanjalan Islam dalam mendepani kekeliruan yang timbul dari percanggahan pendapat di kalangan ulama dan mazhab.

Syarahan yang dijangka dihadiri 570 peserta itu akan diadakan di Dewan al-Muktafi Billah Shah, kampus Gong Badak, bermula pukul 10 pagi.

"Golongan profesional khususnya ahli akademik, wakil jabatan, badan atau institusi kerajaan dan swasta, pelajar serta masyarakat awam dialu-alukan menyertai syarahan akademik yang diadakan secara percuma itu," katanya.



Penduduk puji sikap cakna Menteri Besar

Oleh: Suriati Ali

Sikap prihatin dan cakna pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turun padang bagi melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan, Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal, mendapat pujian mangsa banjir.

Kemunculan Menteri Besar ‘turun padang’ amat melegakan mereka yang ditimpa musibah itu.

Hasil tinjauan itu, Dato’ Ahmad berjanji untuk mengarahkan kerja-kerja membersih kembali longkang tersumbat, selain membina longkang bersaiz besar dalam masa terdekat.

Bagi pihak penduduk, mereka berharap arahan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang mangsa banjir yang juga kakitangan kerajaan, Encik Syukur Amit, berkata dia dan keluarga redha dengan kejadian ini walaupun sudah lima kali berlaku banjir sejak lima tahun menetap di kawasan ini.

“Saya mengharapkan PBT membersih semua longkang yang tersumbat dengan kadar segera kerana dibimbangi kejadian sama akan berulang,” katanya kepada pemberita Teganukita.
Puan Suhaila Salim, 35, berkata dia bernasib baik kerana kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini, suami Fauzi Lomel berada di rumah.

“Jika tidak situasi cemas dan kelam kabut seperti yang berlaku sebelum ini iaitu pada malam Khamis (24 Mac) lalu pasti berlaku lagi.

“Ketika kejadian pertama, saya bersama lima anak terpaksa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam untuk menyelamatkan diri kerana terlalu cemas apabila melihat air melimpah begitu pantas ke dalam rumah,” katanya.

Katanya, akibat kejadian kali kedua ini, pelbagai barangan kesayangan termasuk kelengkapan sekolah anak-anak rosak dan dihanyut air.

“Kami sekelurga tidak mampu berbuat apa-apa kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dengan berada di kawasan selamat secepat mungkin,” katanya.
Tinjauan pemberita Teganukita mendapati semua kanak-kanak mangsa banjir sibuk menyertai pelbagai aktiviti seperti mewarna, melukis, bermain catur dan membaca anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM menghantar tiga kakitangan untuk mengurus aktiviti itu semata-mata menghilangkan rasa bosan ketika berada di pusat pemindahan banjir.




Negara Brunei puji langkah kerajaan wujud kelas maya

Oleh; Esah Abdullah

Kelas Maya yang diperkenalkan kerajaan negeri telah mendapat perhatian dan pujian daripada beberapa agensi pendidikan dalam dan luar negara.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud berkata, kelas maya perintis yang mula beroperasi Februari lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga di Kuala Terengganu, dikunjungi pegawai dari Pejabat Pelajaran negeri-negeri di Semenanjung dan luar negara.

Setakat ini, katanya, kelas maya berkenaan telah menerima kedatangan pegawai dari Jabatan Pelajaran Johor, Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan yang terbaru dari Kementerian Pelajaran Negara Brunei Darul Salam.

“Mereka datang untuk membuat kajian serta melihat sendiri kaedah belajar secara interaktif dan peperiksaan melalui talian serta impak kepada pelajar yang mengikuti kelas berkenaan,” katanya pada majlis Penyerahan e-Book Pelajar Tahun 5 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang, petang semalam.

Katanya, mereka tertarik dan memuji usaha kerajaan negeri yang begitu komited dalam usaha memberikan yang terbaik kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau selaku orang yang bertanggungjawab dalam arah tuju pendidikan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak pernah putus idea memberi tambah nilai dalam bidang pendidikan di negeri ini.

“Apabila wujudnya kelas maya ini hasil kerja termasuk jawapan dan markah boleh dilihat pada skrin sesentuh di hadapan kelas selain pelajar tidak boleh membuka aplikasi lain termasuk permainan komputer,” katanya

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa, guru dan pelajar perlu melihat usaha kerajaan ini dari sudut positif demi masa depan bangsa dan negara yang cemerlang dan gemilang.

Pada majlis itu, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said menyerahkan e-Book kepada 916 pelajar daripada 14 buah sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, Marang.




Pemimpin turun padang bantu mangsa banjir di Tok Jembal

Oleh: Aida Abd Rahman



Sikap sanggup susah senang bersama rakyat menjadi amalan pemimpin Barisan Nasional (BN) sejak zaman berzaman lagi.

Dalam perkembangan terbaru, nasib 26 keluarga dari kawasan Taman Perumahan Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu yang menjadi mangsa banjir dan rumah mereka ditenggelami air akibat hujan berterusan sejak seminggu lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, sanggup meredah malam untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Dalam kejadian pertama, seramai 69 keluarga dari kawasan itu dipindahkan ke SK Tok Jembal pada malam Khamis lalu.

Haji Ahmad Razif kesal dengan kejadian yang berulang kali itu, namun berharap penduduk di kawasan berkenaan bersabar dengan ujian Ilahi itu dan memastikan keselamatan nyawa dan barangan mereka terjamin.

“Kerajaan akan membantu mangsa banjir bagi meringankan bebanan mereka selain mengarahkan semua pihak berwajib termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

“Apabila sudah ketahui punca kejadian, kita akan cari jalan bagi mengatasi masalah ini dan supaya ianya tidak berulang lagi,” katanya.

Katanya, kerjasama semua pihak khususnya badan bukan kerajaan, penduduk setempat dan pelajar Universiti Malaysia Terengganu diperlukan bagi bergotong-royong membersih rumah dan kawasan sekitar akibat kesan banjir itu kelak.




Jangan rosakkan pemikiran aset negara

Oleh: Esah Abdullah



Ibu bapa dan guru di negeri ini yang cenderung bermain politik diingatkan supaya jangan sekali-kali merosakkan pemikiran anak-anak serta pelajar kerana mereka merupakan aset negara.

“Kalau nak berpolitik boleh tapi jangan rosakkan masa depan mereka,” kata Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ketika berucap di majlis Penyerahan e-Book kepada Murid Tahun 5, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud dan Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali.



Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bidang pendidikan melebih peruntukan pembangunan lain semata-mata ingin melihat generasi baru mendapat kemudahan dan peluang belajar terbaik demi masa depan diri, keluarga dan negara.

“Mereka jadi penganti kepada barisan kepimpinan hari ini dan bekal paling berharga adalah ilmu pengetahuan dunia dan akhirat agar sentiasa bersedia mental dan fizikal berhadapan cabaran dunia global,”katanya.



Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan mempunyai wawasan untuk melihat rakyatnya berjaya, pembangunan modal insan menjadi agenda utama dan usaha merubah lanskap ekonomi masyarakat diberi perhatian serius.

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan 916 unit e-Book kepada 916 pelajar Tahun 5 daripada 14 buah SK dalam DUN Pengkalan Berangan.

Sekolah berkenaan termasuklah Sk Jambu Bongkok (45 orang), SK Pasir Putih (37), SK Gong Balai (67), SK Mercang (109), SJK (C) Chong Hwa (30), SK Jenang (17), SK Jerong (62), SK Padang Mengkuang (133), SK Gondang (39), SK Wakaf Tapai (72), SK Bukit Sawa (153), SK Bukit Jejulong (65), SK Pengkalan Berangan (62) dan SK Kubu (25).



Laporan Terkini Banjir Terengganu



Klik LAPORAN TERKINI BANJIR

Pusat pelancongan sejarah di lokasi penemuan Batu Bersurat

Oleh: Aida Abd Rahman

Pusat pengembangan jawi, Islam dan sejarah bakal dibangunkan di kawasan penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang sebagai aset pelancongan sejarah yang menjadi daya tarikan baru produk pelancongan negara dan Terengganu amnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pembinaan pusat pelancongan sejarah itu akan dibangunkan secepat mungkin agar memberi manfaat kepada negeri dan rakyat keseluruhannya.
Katanya, ia juga mampu menjadi tempat lawatan serta pusat kajian cerdik pandai serta sejarawan dari seluruh dunia.

"Rancangan membina Pusat Pengembangan Jawi, Islam dan Sejarah di kawasan tapak penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu di Kampung Buluh, Hulu Terengganu harus disegerakan kerana manfaatnya besar," katanya di majlis perasmian Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir,Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Datuk Abdul Rahintidak menolak kemungkinan pada satu masa nanti, lokasi keramat penemuan artifak bersejarah itu juga akan menjadi terkenal sebagaimana Mesir kerana memiliki piramid serta India dengan keunikan Taj Mahalnya.

"Kita yakin dan percaya bahawa kita semua berbangga kerana mempunyai Batu Bersurat Piagam Terengganu yang membuktikan bahawa penempatan manusia tamadun awal bermula di Hulu Terengganu dan Kuala Berang yang pernah dikenali sebagai Foloan oleh para pedagang negara China," katanya.

Beliau berkata, penubuhan pusat pelancongan baru itu amat bertepatan, apatah lagi Batu Bersurat Piagam Terengganu juga diiktiraf sebagai salah satu daftar Memori Dunia yang telah diberikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco, baru-baru ini



28 March 2011

Pelajar cemerlang SPM diberi imbuhan RM500 seorang

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said bersama murid Tahun 5 yang menerima e-Book di majlis Penyerahan e-Book Murid Tahun 5 di Sek Keb Paya Resak. - Foto: Harish Fadzillah.

Seramai 405 pelajar di negeri ini yang mendapat kelulusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumum minggu lalu, akan diberi hadiah wang tunai RM500 seorang, sebagai ganjaran kejayaan mereka meraih keputusan cemerlang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, satu majlis khas akan diadakan dalam tempoh terdekat ini bagi meraikan para pelajar terbabit atas kejayaan mereka.

“Ganjaran ini merupakan insentif kepada para pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dan negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun 5 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, hari ini.



Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

Dalam peperiksaan SPM tahun lalu, bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pelajar.

Kesemua 17 pelajar yang mendapat keseluruhan A dengan Gred Cemerlang Tertinggi (A+) diberi hadiah komputer riba oleh Menteri Besar sewaktu pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, baru-baru ini.



Menteri Besar berkata, semua pelajar yang mendapat keputusan A bagi setiap mata pelajaran yang diambil akan menerima wang ganjaran tersebut.

Sementara itu, 623 murid Tahun 5 daripada tujuh sekolah rendah di kawasan DUN Bukit Payong menerima e-Book masing-masing daripada Menteri Besar pada majlis berkenaan.




Bicara Media Sempena 3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu