Halaman

19 May 2011

Kejohanan Takraw Belia Kebangsaan bermula semalam

Sebanyak 15 pasukan menyertai Kejohanan Sepak takraw Belia Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Negeri, mulai semalam.

Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSTM) Mohd Sapian Ali berkata mereka terdiri daripada 13 pasukan negeri, satu masing-masing dari Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (Masum).

"Semasa kejohanan di Melaka tahun lalu, Terengganu muncul juara dan kita berhasrat untuk mempertahanan kejuaraan itu tahun ini.

"Kita akan menghantar pasukan sepak takraw yang akan mewakili Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan, yang baru pulang dari menyertai kejohanan Sukan Arafura di Darwin, Australia baru-baru ini ," katanya

Pasukan itu dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu kumpulan A mengandungi Terengganu, Sabah, Pulau Pinang dan Pahang, kumpulan B (Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan MSSM), kumpulan C (Kedah, Sarawak, Kelantan dan Masum), dan kumpulan D (Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka).

Juara kejohanan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan dua pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM1,000.



T’Shoppe Kuala Berang, Kemaman raih jualan RM3,000 sehari

Oleh: Aida Abd Rahman


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera (tengah) bersama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SRM) Terengganu, Encik Umar Sarim Saidin dan Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Encik Tahir Mat Yusoh.

T’Shoppe perlu mensasarkan jualan RM2,500 hingga RM3,000 sehari bagi memastikan kedai serbaneka itu mampu meraih keuntungan sekaligus dapat menampung pusingan modal pembelian produk dan bayaran sewa premis setiap bulan.

Dua rangkaian T’Shoppe yang mampu meraih jualan itu adalah T’Shoppe di Kuala Berang dan Kemaman.

“Kalau dapat RM2,000 ke atas sehari baru boleh untung dan `cover’ kos initial termasuk pengubahsuaian kedai serta bayar sewa bulanan kedai.
“ Untuk pengubahsuaian kedai, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sediakan peruntukan RM200,000 ke atas termasuk pusingan modal bagi membantu pengusaha,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, ketika sidang media sempena Program Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, petang semalam.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Encik Umar Sarim Saidin, Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Encik Tahir Mat Yusoh, Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Mohamed berkata, kos sewa premis perniagaan itu bergantung kepada lokasi dan kadarnya lebih mahal apabila terletak di bandar besar serta boleh mencecah sehingga RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri hanya mengambil satu peratus royalti setahun daripada jumlah keseluruhan jualan tahunan setiap T’Shoppe. Jika jumlah jualan RM100,000 setahun, maka hanya RM1,000 sahaja yang diambil.

“Kerajaan negeri mengambil jumlah yang kecil kerana kita bukan bertujuan untuk berniaga sebaliknya membantu pengusaha tempatan memasarkan produk IKS mereka,” katanya.

Beliau berkata, T`Shoppe merupakan alternatif terbaik yang dilaksanakan YPU bagi membantu golongan usahawan yang sebelum ini sukar mendapat tempat di pasar raya terkenal di negeri ini.

Oleh itu, bagi memperhebatkan rangkaian itu, YPU mensasarkan 100 rangkaian T`Shoppe bakal dibuka di seluruh negara, sama ada diuruskan Cakna atau perkongsian pintar (Joint Venture Company).

“Sebagai pelengkap kepada jaringan T’Shoppe, YPU mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemasaran (TP3) semata-mata bagi menjalankan aktiviti berkaitan,” katanya.

Katanya, pihaknya mensasarkan 70 peratus daripada produk IKS dijangka dapat dipasarkan menerusi T-Shoppe tidak lama lagi, berbanding hanya 30 peratus produk berkenaan sejak dibuka tiga tahun lalu.

Selain itu, Kerajaan Terengganu mensasarkan untuk mewujudkan 100 buah kedai T'Shoppe di seluruh negara menjelang 2013.

Setakat ini YPU sudahpun mewujudkan 18 buah T'Shoppe di beberapa buah negeri, termasuk dua di Kedah dan satu masing-masingdi Ampang dan Melaka. Sementara yang lainnya di seluruh Terengganu.

Antara rangkaian T’Shoppe di Terengganu, di Jalan Gong Kapas, Kuala Berang, Dataran Shahbandar, Kelulut, Marang; Geliga, Kemaman; Paka, Dungun dan Gong Kemuntung, Besut.

Sebanyak 20 rangkaian lagi sudah dilluluskan kerajaan negeri dan akan beroperasi pada bila-bila masa.




Sasar kutip lebih RM26 juta cukai tanah

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mensasarkan lebih RM26 juta bayaran cukai tanah di seluruh Terengganu dapat dikumpul sepanjang tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya percaya sasaran itu dapat dikutip sekiranya pemilik tanah prihatin dengan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, lebih RM9 juta berjaya dikutip PTG melalui pelbagai kaedah, termasuk secara `online’ dan manual.

“Bagi menggalakkan orang ramai membuat bayaran, PTG bersetuju melanjutkan tempoh bayaran pada 31 Mei ini kepada 31 Julai depan,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Kerajaan Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (18 Mei)

Katanya, kesedaran masyarakat Terengganu mengenai tanggungjawab ini masih rendah berikutan terdapat lebih RM17.4 juta baki tertunggak berbanding lebih RM25 juta jumlah bayaran yang sepatutnya dibayar pemilik bagi 2010.

“Pada tahun lalu, pihak kami hanya menerima bayaran RM7.6 saja. Jumlah itu cukup kecil jika dibanding sasaran sebenar.

“Kerajaan meminta individu berkaitan prihatin mengenai pembayaran ini bagi mengelak tunggakan dan didenda lewat bayar,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan, berkata pemilik tanah akan diberi surat peringatan untuk tempoh tertentu sekiranya mempunyai rekod tunggakan.

“Jika masih ingkar membayar, Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis 6A dengan memberi tempoh selama tiga bulan untuk menjelaskan segala urusan.

“Sekiranya tetap gagal berbuat demikian dan mempuyai tunggakan ditahap maksima tanah berkenaan boleh dirampas dan menjadi hak milik mutlak kerajaan negeri,” katanya.


18 May 2011

Batik songket Terengganu tembusi pasaran antarabangsa

Oleh: Esah Abdullah

Batik dan songket Terengganu mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa apabila beberapa syarikat tekstil dari luar negara menunjukkan minat untuk memasarkan produk itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, maklum balas ini diterima melalui program ‘Idaman Terengganu’ inisiatif kerajaan negeri yang mengadakan promosi dan rangkaian niaga di negara-negara Eropah tahun lepas.


“Melihatkan sambutan terhadap produk songket buatan negeri kita, saya yakin produk songket boleh diterima di negara barat dan sesuai dijadikan pakaian, perhiasan rumah dan cenderahati dengan citarasa dan corak fesyen di sana,” .

YB Dato’ Haji Mohamed berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Koperasi Penenun Songket Terengganu Berhad (Kopsongket), di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Chendering, Kuala Terengganu petang ini.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Encik Umar Sarim Saidin; Pengarah PKKM Cawangan Terengganu, Encik Zahir Ahmad dan Pengerusi Kopsongket, Haji Shamsul Bahrain Abd. Mutalib.

“Saya berharap pengusaha songket di negeri ini dapat meningkatkan kualiti dan mutu pengeluaran masing-masing supaya ia boleh diterima di peringkat global kelak,” katanya.

Katanya, dengan wujudnya Kopsongket ini semua pengusaha dapat bergabung tenaga dan berganding bahu dalam memajukan industri ini.

Selain itu katanya, melalui amalan berkoperasi, pengusaha songket dapat bersatu dan meningkatkan rangkaian niaga sesama mereka dan mampu memantapkan industri pembuatan songket serta pembangunan koperasi di negeri ini.

YB Dato’ Haji Mohamed kemudian menyarankan pengusaha memberi tumpuan utama kepada masalah bekalan bahan mentah dan monopoli daripada satu pihak pembekal sahaja agar pemasaran songket dapat dilakukan secara berkelompok serta tidak menganggu pasaran pembeli asal.

Sehubungan itu katanya, koperasi juga perlu lebih aktif dalam memberi kemudahan dan kebajikan kepada ahli-ahlinya serta dapat meluaskan jaringan perniagaan bagi pasaran tempatan dan seterusnya ke peringkat global.





Tuanku Mizan akan rasmi Perkhemahan Poni Kebangsaan

Oleh: Suriati Ali


Sidang media mengenai Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 yang akan diadakan di Terengganu Equestrian Resort Kuala Ibai pada 6 Jun ini. - Foto: Zul Putra.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai pada 6 Jun ini, kira-kira jam 3.00 petang.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, program anjuran bersama Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia ini diadakan selama lima hari iaitu bermula 5 hingga 10 Jun.

“Penganjuran kali pertama ini diadakan bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada ahli kelab tentang cara penjagaan serta memelihara haiwan itu dengan sempurna.

“Memberi peluang menunggang kuda dalam persekitaran semulajadi, menggalakkan peserta berinteraksi dan mewujudkan semangat kerja berkumpulan. Selain itu, pendekatan ini mampu melahirkan bakat peserta melalui aktiviti bengkel,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Kerajaan Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, seramai 320 peserta termasuk 30 guru dan jurulatih menyertai perkhemahan ini. Mereka mewakili 15 kelab poni dari seluruh negara, termasuk Kelab Poni Imtiaz, Terengganu; Pusat Ekuin (PE) TER; PE Bandar Darul Aman, Kedah; PE Kelab Turf Perak, PE Putrajaya dan PE Triple Bar Sungai Buluh, Selangor.

“Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang tempoh perkhemahan, antaranya kegiatan bersukan, bengkel, program menunggang, praktikal mengenai penjagaan kuda serta pemakanan dan motivasi diri.

“Semua aktiviti yang dirancang ini akan dikendalikan oleh guru dan jurulatih berpengalaman,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan, berkata kerajaan negeri bangga penganjuran program ini kerana selaras dengan hasrat kerajaan untuk `Merakyatkan Sukan Berkuda’ selain mampu menaikkan imej Terengganu.




Masyarakat Cina di Taman Sri Desa Chendering dapat tanah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kira-kira 500 masyarakat Cina yang tinggal di Taman Sri Desa, Chendering ceria apabila menerima khabar gembira daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang meluluskan permohonan mereka mendapatkan tanah bagi menjalankan aktiviti riadah di kawasan penempatan mereka.

Menteri Besar yang pertama kali mengunjungi taman yang mempunyai kira-kira 100 kediaman itu berkata, keperluan penduduk di situ akan direalisasikan bergantung kepada status pemilikan tanah berkenaan.
Susulan itu, Dato’ Seri Ahmad mengarahkan Pegawai Daerah Kuala Terengganu mengenal pasti status tanah yang dipohon sebelum ianya diwartakan sebagai rizab jalan Persekutuan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara 1965.

“Jika tanah yang mereka pohon itu tanah kerajaan negeri kita boleh wartakan mengikut Seksyen 62,” katanya ketika menemui masyarakat Cina sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar Terengganu di Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, di taman itu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Taman Desa, Lam Hong Guan, berkata semua komuniti di taman itu amat berbesar hati dengan keprihatinan pemimpin negeri yang sudi turun padang dan beramah mesra dengan majoriti penghuni di situ yang terdiri daripada masyarakat Cina.

Katanya, tiada keperluan lain yang lebih utama buat mereka setakat ini, melainkan mendapat sebidang tanah untuk menggerakkan aktiviti dan kegiatan masyarakat di taman itu.






Kajian semula harga rumah di Padang Air

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan telah membuat kajian semula bagi menyelesaikan masalah harga subsidi rumah kos rendah di Kampung Padang Air, Mukim Kuala Nerus yang tidak mampu ditampung oleh syarikat pemaju.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pembinaan berkenaan dilaksanakan secara penswastaan membabitkan 171 unit yang akan diagihkan kepada rakyat.

“Masalah sekarang harga yang dicadang untuk dijual tidak mampu ditanggung oleh syarikat pemaju berkenaan,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Menteri Besar membuat penjelasan berkenaan ketika menjawab soalah YB Haji Muhamad Ramli Noh (BN-Tepoh) yang ingin tahu status terkini pembinaan rumah teres kos rendah di kawasan cadangan perumahan bercampur Padang Air, Mukim Kuala Nerus.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, mesyuarat telah diadakan dan hampir mendapat kata putus mengenai jumlah harga yang ditetapkan dan perjanjian tambahan itu tidak dapat dikeluarkan sekarang dan tidak boleh memaklumkan dalam dewan hari ini.

Menjawab soalan tambahan dari wakil yang sama Menteri Besar berkata, projek berkenaan telah dikendalikan oleh Syarikat Abdul Rahman Terengganu setelah syarikat asal ( ketika Pas memerintah) yang diberi tanggung jawab menyiapkan pembinaan itu telah menarik diri.

Katanya, berasaskan pengalaman lalu, projek penswastaan yang membabitkan rumah kos rendah kerap berlaku ‘main ngelat’ di kalangan pemaju-pemaju dan pembinaan rumah kos rendah hanya dibina dipenghujung projek.

“Kadang-kadang dalam satu peringkat tu, sampai 10 tahun masih belum buat lagi , sebab itu kita telah keluarkan syarat baru sekarang supaya bina dahulu rumah kos rendah sebanyak 50 peratus.” katanya




Pusat Rawatan Hemodialisis di semua daerah

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan sudah mewujudkan perkhidmatan Pusat Rawatan Hemodialisis (HD) di semua hospital daerah di seluruh negeri .

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kerajaan menyedari masalah pertambahan keperluan HD sejak kebelakangan ini.

Setakai ini katanya, daerah Kemaman ada 16 HD, Dungun (14), Hulu Terengganu (11), Besut (13) manakala Setiu akan memulakan perkhidmatan pada awal Julai depan.

Menurut Dr. A. Rahman, terdapat 49 buah mesin dengan 128 pesakit sedang menerima rawatan dan jumlah ini adalah kapasiti maksima kemampuan unit ini.

Selain itu katanya, 84 pesakit menerima rawatan melalui kaedah ‘ Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).

“Terdapat lapan pusat HD milik swasta dan empat daripadanya beroperasi dalam daerah Kuala Terengganu dengan kapasiti 79 buah mesin membabitkan 256 pesakit,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa bersedia menambah bilangan mesin berkenaan jika keadaan memerlukan berbuat demikian demi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.




Pesona reka bentuk astaka Majlis Tilawah al-Quran 2011

Oleh: Aida Abd Rahman



Di sebalik kejayaan penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Tahun 1432 Hijrah /2011 Masihi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu baru-baru ini, turut menarik perhatian tetamu adalah reka bentuk astaka sebagai tempat qari dan qariah memperdengarkan bacaan mereka berdiri megah dengan konsep dan tatarias yang cukup mempesonakan.

Astaka yang dihasilkan Bahagian Arkitek, Jabatan Kerja Raya Terengganu dengan konsep reka bentuk bertemakan 1Malaysia, 1Ummah mengaplikasikan warna tema bagi pentas mengaji.
Warna merah bagi logo 1Malaysia, melambangkan perpaduan keseluruhan rakyat Malaysia, biru pula melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh rakyat, manakala kuning melambangkan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong .

Sementara kedudukan panel-panel yang berlapis dan saling bersentuhan antara satu sama lain melambangkan sikap ummah yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati sesuatu visi seperti kebersamaan, kekitaan dalam sama-sama menikmati kemajuan serta kemakmuran.

Manakala replika al-Quran pada puncak pentas utama itu menunjukkan kehebatan sirah junjungan yang diturunkan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w yang dijadikan panduan sepanjang zaman.

Bilangan tujuh panel di sekeliling pentas mengaji pula menunjukkan tujuh daerah di Terengganu yang bersatu di bawah satu kepimpinan, diikuti enam panel yang membawa pengertian enam Rukun Iman, sementara lima garisan biru, kuning dan merah di atas pentas mengaji menunjukkan lima Rukun Islam.



Muzium dibuka percuma hari ini

Oleh: Suriati Ali



Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dibuka secara percuma kepada orang ramai sempena menyambut Hari Muzium Antarabangsa hari ini (18 Mei).

Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran LMNT, Encik Mohd Saberi Muda, berkata pelbagai aktiviti dianjurkan bagi minat orang ramai mengunjungi tempat sejarah yang disambut serentak di seluruh dunia.
Antaranya, termasuk demonstrasi serta permainan tradisional, kuiz dan pameran.

“Program sehari bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang bertujuan mendekatkan dan memupuk kemesraan antara muzium serta masyarakat.

“Orang ramai dipelawa datang beramai-ramai untuk merebut peluang yang hanya datang setahun sekali ini,” katanya.

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2011 adalah bertemakan `Muzium dan Kenangan'. Bagi peringkat kebangsaan akan diadakan di Negeri Sembilan bermula semalam hingga 23 Mei ini.