Halaman

14 July 2011

Terengganu tarik pelabur ternak udang



Kerajaan Terengganu sedang menimbang permohonan beberapa pelabur yang berminat untuk melabur dalam bidang ternakan udang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha'ari Idris, berkata sehingga ini, sekurang-kurangnya enam pelabur dari luar Terengganu memohon berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian dan melihat setakat mana kesungguhan pelabur berkenaan untuk melabur di negeri ini.

“Kerajaan negeri memang mengalu-alukan pelabur yang ingin mengusahakan ternakan udang di negeri ini kerana ia boleh memberi pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri perlu berhati-hati dan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, setakat ini sebuah syarikat telah dibenarkan menternak udang di Kampung Nyatuh, Setiu, yang melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar.

Katanya, syarikat itu sekarang ini sedang di dalam peringkat melatih pekerja dan ia dijangka memulakan operasi September depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri meminta pelabur berkenaan supaya mengenal pasti kawasan ternakan yang mereka berminat mengusahakannya.

“Terengganu mungkin akan menjadi pengeluar udang terbesar sekiranya semua permohonan itu diluluskan,” ujar beliau.



Hotel, chalet dan Taman Tamadun Islam antara destinasi pilihan pelancong

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 2,815,184 pelancong direkodkan melawat Terengganu sepanjang 2010 melibatkan 2,528,035 pelancong domestik, manakala 287,149 lagi pelancong antarabangsa.

Daripada jumlah itu, 1,272,896 pelancong memilih untuk menginap di hotel dan resort, diikuti 821,442 mengunjungi Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu bagi menyaksikan 22 replika masjid terkenal di seluruh dunia yang terdapat di taman tema bercirikan Islam pertama di dunia itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pelancong antarabangsa pastinya menginap di hotel dan chalet di sekitar Kuala Terengganu sebelum mengambil peluang mengunjungi taman tema berkenaan.

“Bagaimanpun, bagi pelancong domestik pula kebanyakannya menghabiskan masa melawat Taman Tamadun Islam dalam tempoh beberapa jam sebelum kembali ke tempat tinggal masing-masing tanpa bermalam di hotel atau chalet.

“Selain itu, jumlah pelancong yang tinggi turut direkodkan menginap di pelbagai penginapan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, iaitu 299,871 orang,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, Taman Laut Pulau Redang turut menjadi destinasi pilihan utama pelancong apabila mencatat 110,840 pelawat bermula Februari hingga Ogos lalu, manakala tasik buatan manusia, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dikunjungi 225,570 pelawat dan 81,596 pelawat lagi mengunjungi Taman Laut Pulau Perhentian, Besut.

Sementara itu, 2,969 pelancong domestik serta antarabangsa menginap di enam inap desa atau homestay yang berdaftar di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

“ Seramai 319 orang pelancong antarabangsa direkodkan menginap di inap desa atau homestay yang terdapat di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, Indonesia mencatat 83 orang, Singapura (80), Sepanyol (50), Amerika Syarikat (36), manakala China, Arab dan Netherlands, masing-masing sembilan orang. Sementara Korea dan Perancis pula empat orang, diikuti masing-masing dua dari Vietnam dan Jerman serta 30 orang lagi dari serata tempat seluruh negara.

Datuk Abdul Rahin berkata program inap desa dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai budaya ketimuran dan adat resam Melayu kepada pelancong tempatan dan juga asing.

Sehingga kini, enam inap desa yang berdaftar dan diiktiraf kerajaan termasuklah Homestay Kampung Pasir Raja, Dungun; Homestay Rhu 10, Setiu; Homestay Felda Selasih, Jertih; Homestay Kampung Buloh, Hulu Terengganu; Homestay Kampung Teluk Ketapang dan Kampung Pulau Duyung, Kuala Terengganu.




TTITC bayar pampasan RM140,500

Oleh: Suriati Ali

Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) membayar pampasan insurans Skim Takaful Malaysia berjumlah RM140,500 kepada seorang ibu tunggal Puan Norafidah Ismail, 26, yang kematian suami akibat kemalangan jalan raya pada awal Mac lalu.

Puan Norafidah yang baru menerima kehadiran orang baru dalam keluarganya bukan sahaja gembira malah terkejut dan terharu apabila sumbangan yang disampaikan sendiri, Pengerusi TTITC , Haji Ahmad Razif Abdul Rahman di kediamannya di Manir, Kuala Terengganu, semalam (13 Julai).

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, berkata dia berharap semua pihak dapat membuat caruman insurans melalui mana-mana agensi dalam usaha meringankan beban sekiranya berlaku sebarang musibah terhadap ahlinya.

“Semua kakitangan TTITC dilindungi skim insurans Takaful Malaysia dan kita dapat menyerahkan cek pampasan ini kepada ahli keluarga terbabit, malah isteri bekas kakitangan TTITC ini juga bakal menerima elaun pencen berjumlah RM2,000 sebulan melalui tuntutan daripada Perkeso,” katanya.

Puan Norafidah berkata, dia amat berterima kasih kepada Takaful Malaysia yang menguruskan pemberian cek itu dan akan menggunakan wang itu sebaik mungkin terutamanya untuk kegunaan dia serta anaknya pada masa akan datang.

"Saya akan gunakan wang pampasan itu sebaik mungkin bagi menampung keperluan kami dua beranak.dan mungkin akan membuka perniagaan kecil-kecilan selepas ini kerana sebelum ini saya tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Allahyarham yang telah dua tahun berkhidmat di pusat latihan itu turut meninggalkan seorang anak lelaki yang berusia 30 hari.

Dalam nahas pada 16 Mac lalu, kira-kira jam 7.35 pagi itu, arwah yang bekerja sebagai tenaga pengajar di TTITC terbunuh apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 137 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu, Kampung Felda Belara dekat sini.

Ketika kejadian Ahmad Afendie Othman, 26, dari Kampung Gong Badak di sini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Teris, Hulu Terengganu.



Kesal dengan tindakan menghina lagu Negaraku

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri kesal dan kecewa berhubung isu penghinaan lagu Negaraku yang didakwa dilakukan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi laman sosial Facebook.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, Sains Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebagai seorang rakyat Malaysia yang setia kepada negara perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya kita perlu bekerjasama dan mematuhi undang-undang sedia ada agar kesejahteraan negara sentiasa terjamin.

Katanya, pihaknya sudah meminta laporan lengakap daripada UMT berhubung perkara yang berlaku itu dan kepastian penglibatan pelajar UMT masih belum dapat diputusankan lagi memandangkan siasatan sedang dilakukan.

“Sekiranya betul ia melibatkan pelajar UMT maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya dan kecewa dengan apa yang berlaku, tidak kira lah sama ada dilakukan oleh pelajar atau pun individu lain.

“Kita seharusnya menjadikan jadikan saluran media alternatif yang ada sekarang ini terutamanya melalui laman sosial sebagai satu medan menyalurkan maklumat yang betul, bukannya tempat menyebarkan fitnah dan mengelirukan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, seorang individu yang menggunakan nama profil Mohd Farizal dengan status sebagai pelajar UMT telah mengubah lirik lagu Negaraku dalam laman sosialnya dengan menghina raja, mencerca dan mempersendakan lagu tersebut selain turut menghina Perdana Menteri.

Satu laporan polis sudah dibuat pendaftar UMT di Balai Polis Gong Badak supaya perkara itu dapat disiasat pihak berwajib.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMT berharap kebebasan yang diberikan kerajaan digunakan dengan sebaik mungkin dan pengendali laman sosial perlu mengikut etika serta garis panduan ditetapkan agar tidak mencetuskan sentimen yang mampu menganggu gugat keamanan negara.

Justeru, pengedali blog mahupun laman sosial perlu menulis dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati dalam usaha memastikan peranan mereka mampu membina kemajuan negara bukannya meruntuhkan negara.


1Malaysia Hijau, 1Malaysia Bersih di Air Terjun Cemerong esok

Oleh: Aida Abd Rahman

Program 1Malaysia Hijau, 1Malaysia Bersih anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu di Hutan lipur Air Terjun Cemerong, Dungun selama dua hari bermula esok.

Penganjuran program mendapat kerjasama kerajaan negeri serta Jabatan Perhutanan dan Persatuan Kembara Negara.

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai implikasi ke atas industri pelancongan dan membuka minda setiap rakyat Malaysia agar sama-sama menjaga kebersihan dan memastikan Malaysia sentiasa bersih dan indah.
“Selain itu, ia juga bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan tempat-tempat pelancongan, sekaligus akan menarik minat dan perhatian pelancong tempatan atau luar negara untuk melawat berulang kali ke tempat berkenaan,” kata Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Sepanjang program berlangsung, peserta akan menetap bersama keluarga angkat di inap desa Kampung Pasir Raja, satu penempatan tradisional yang masih kekal terpelihara dengan keindahan alam semula jadinya.

Selain tinggal dengan keluarga angkat, peserta turut dijemput mengikuti program `Mount Berembun Green Challenge 2011’ yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,700 kepada peserta.

Dengan ketinggian 1,108 meter, Gunung Berembun yang terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong dalam Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara setinggi 305 meter.

Secara teknikalnya, pertandingan lasak ini memerlukan peserta mengharungi larian bermula dari Air Terjun Chemerong ke `check point’ yang ditetapkan penganjur mengikut kategori yang terbahagi kepada tiga, iaitu terbuka lelaki/wanita (18 tahun ke atas), terbuka veteran lelaki (45 tahun ke atas) dan tertutup Terengganu lelaki/wanita (13 tahun ke atas).

Sementara itu, yuran penyertaan bagi kategori lelaki/wanita terbuka RM60, veteran lelaki terbuka RM 40 dan tertutup Terengganu lelaki/wanita pula RM30.

Pada masa yang sama, pelbagai acara sampingan diadakan bagi memeriahkan pertandingan termasuk pameran dan jualan, cabaran fotografi, lawatan kembara bersama media, sukan rakyat, acara` flying fox, abserling, rope challenge’, selain pertandingan mewarna dan juga cabutan bertuah.





13 July 2011

Kembara Ramadan sempena bulan kemerdekaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu bakal menganjurkan program Kembara Ramadan ke seluruh negeri selama enam hari bermula 3 Ogos ini.

Pengarahnya, Puan Azizah Awang, berkata program bertujuan memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan negara yang jatuh pada Ramadan selain membangkit dan mengekalkan semangat jati diri serta semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
"Program merupakan aktiviti kembara bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan negara. Selain itu diadakan pertandingan foto merdeka dan juga kempen kibar Jalur Gemilang," katanya.

Puan Azizah berkata, Kembara Ramadan menggantikan program tahunan Semarak Merdeka Jalur Gemilang yang menjelajah seluruh negeri.

"Program itu akan diadakan di masjid atau rumah-rumah anak yatim dengan mengadakan majlis berbuka puasa, bertarawih, bersahur serta mengedarkan Jalur Gemilang dan lain-lain," katanya.



Maidam terima zakat perniagaan RM80 ribu

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Majlis Penyerahan Zakat, pejabat Maidam baru-baru ini.

Pegawai Eksekutif PUNB En. Dzulkifli Fadzilah menyerahkan sejumlah RM80,000 kepada Ketua Penolong Setiausaha Baitulmal, Maidam, En. Marzuki Endut.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata Maidam menjangkakan kutipan zakat sebanyak RM80 juta pada tahun ini, berikutan kedudukan ekonomi global yang semakin beransur baik.

Pada tahun lepas, Maidam memperoleh kutipan sebanyak RM76 juta berbanding RM74 juta bagi tahun 2009.

Katanya, pihaknya menjangkakan zakat perniagaan dan zakat pendapatan memberi sumbangan paling besar kepada peningkatan kutipan ini.

"Keadaan ekonomi kita bertambah baik, secara tidak langsung perniagaan mana-mana pemilik sama ada syarikat besar atau usahawan kecil bertambah maju. Faktor ini mendorong mereka mengeluarkan zakat lebih tinggi pada setiap tahun.

“Pada masa sama, pihak kami bersyukur kerana timbul kesedaran terhadap kewajipan membayar zakat di kalangan umat Islam,” katanya kepada Teganukita.

Maidam melantik 12 ejen di seluruh negeri untuk mengutip zakat daripada pelbagai agensi termasuk bank, koperasi dan pihak swasta bertujuan memudahkan orang ramai membayar zakat serta menguruskan kutipan.

“Pihak kami masih melantik amil bertauliah untuk mengutip pelbagai kategori zakat sama ada zakat pendapatan, zakat ternakan, zakat tanaman dan zakat emas dan perak.

“Setiap zakat yang diperoleh akan diagihkan kepada lapan asnaf yang layak iaitu faqir, miskin, amil, riqad (pejuang Islam), al-Gharimin (pelbagai), ibnussabil (pengembara), fisabilillah dan muallaf,” katanya.


Pengendali Piala Monsun dapat kepercayaan MYA.

Oleh: Esah Abdullah

Pengarah Syarikat T-Best Events, Datuk Wan Hisham Wan Salleh telah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dalam mesyuarat agung persatuan itu yang diadakan di Pusat Maritim, Putrajaya baru-baru ini.

Pelantikan berkenaan dilihat mampu meneruskan kesenimbungan kejayaan kerajaan negeri dalam acara sukan layar peringkat antarabangsa kerana Datuk Wan Hisham merupakan individu yang bertanggungjawab menaikkan nama negara dalam arena sukan tersebut.

Kejayaan Piala Monsun yang diadakan di Pulau Duyong, Terengganu di bawah pengendalian Syarikat T-Best berjaya menarik ramai pelancong ke negeri ini setiap tahun di samping menjana peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.

Sementara itu, Datuk Wan Hisham berkata, hasratnya kini adalah untuk mengembangkan sukan pelayaran dan seterusnya mampu memberi manfaat besar kepada rakyat untuk menjana ekonomi.

“Saya amat berbesar hati dengan pelantikan ini, dan kejayaan mengendalikan Piala Monsun akan dikongsi bersama semua pihak untuk menjayakan sukan kapal layar pula,” kata Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Kuala Terengganu.




12 July 2011

Bakti ringan beban mangsa kebakaran

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang diketuai isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menyumbang RM4,000 kepada keluarga mangsa kebakaran yang mengorbankan dua nyawa pasangan kembar seiras berusia tiga tahun, di Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu.

Datin Paduka Seri Rosmah mengumumkan perkara itu ketika berucap di Majlis Malam Sentuhan Songket, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu.
Bakti dan 13 kontinjen yang terdiri daripada badan-badan amal dan kebajikan negeri dari seluruh negara berkampung di Kuala Terengganu sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, bermula 6 hingga 9 Julai lalu.

Keprihatinan pertubuhan wanita itu sebagai menunaikan tanggungjawab sosial bagi meringankan bebanan keluarga mangsa yang menderita akibat musibah itu.

Dalam kejadian 5 Julai lalu, pasanagn kembar, Fatin Fazanah Hamid dan Nor Fatin Fazana ditemui rentung dengan kedua-duanya saling berpelukan dalam timbunan kain di bilik mereka oleh pasukan bomba sejurus berjaya memadamkan kebakaran yang bermula kira-kira 9.18 pagi itu.

Menurut bapa kembar itu, Encik Hamid Mustafa, 44, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu dan hanya menyedari mengenai kebakaran itu selepas dikejutkan oleh sepupunya Wan Norizan Wan Ismail, 40, yang berjiran dengannya.

Ibu kanak-kanak itu, Puan Suriani Sulong, 40, pula ketika kejadian tidak berada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut melawat keluarga mangsa sejurus kejadian itu dan berjanji memberikan bantuan segera kepada keluarga malang terbabit.



Agih biasiswa kepada atlet Sukma


Kerajaan negeri akan memberi biasiswa kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yang masih bersekolah dan tidak mendapat sebarang biasiswa persekolahan yang lain.

Pembantu Kemajuan Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Shamri Hamzah berkata, biasiswa persekolahan itu akan diberi kepada pelajar yang terlibat mulai bulan ini.

"Pemberian biasiswa itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri yang mahu melihat setiap atlet mengekalkan kecemerlangan dalam sukan dan pada masa yang sama akademik mereka tidak diabaikan,” katanya.

Biasiswa yang akan diberikan iaitu sebanyak RM60 sebulan kepada atlet Sukma yang belajar di sekolah-sekolah sukan manakala RM50 sebulan kepada atlet bukan dari sekolah sukan.

Shamri berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk melahirkan atlet yang berpendidikan tinggi dan bukan atlet yang merupakan ‘school drop-out’ yang tidak menjamin masa depan mereka setelah tidak bergiat dalam bidang sukan.