Halaman

12 July 2011

Bakti ringan beban mangsa kebakaran

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang diketuai isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menyumbang RM4,000 kepada keluarga mangsa kebakaran yang mengorbankan dua nyawa pasangan kembar seiras berusia tiga tahun, di Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu.

Datin Paduka Seri Rosmah mengumumkan perkara itu ketika berucap di Majlis Malam Sentuhan Songket, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu.
Bakti dan 13 kontinjen yang terdiri daripada badan-badan amal dan kebajikan negeri dari seluruh negara berkampung di Kuala Terengganu sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, bermula 6 hingga 9 Julai lalu.

Keprihatinan pertubuhan wanita itu sebagai menunaikan tanggungjawab sosial bagi meringankan bebanan keluarga mangsa yang menderita akibat musibah itu.

Dalam kejadian 5 Julai lalu, pasanagn kembar, Fatin Fazanah Hamid dan Nor Fatin Fazana ditemui rentung dengan kedua-duanya saling berpelukan dalam timbunan kain di bilik mereka oleh pasukan bomba sejurus berjaya memadamkan kebakaran yang bermula kira-kira 9.18 pagi itu.

Menurut bapa kembar itu, Encik Hamid Mustafa, 44, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu dan hanya menyedari mengenai kebakaran itu selepas dikejutkan oleh sepupunya Wan Norizan Wan Ismail, 40, yang berjiran dengannya.

Ibu kanak-kanak itu, Puan Suriani Sulong, 40, pula ketika kejadian tidak berada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut melawat keluarga mangsa sejurus kejadian itu dan berjanji memberikan bantuan segera kepada keluarga malang terbabit.