Halaman

10 July 2011

Solat tarawih bersama imam Arab Saudi.

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan menjemput 32 imam dari Arab Saudi bagi menjadi imam solat tarawih di masjid-masjid seluruh Terengganu sepanjang Ramadan nanti.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dari jumlah itu seramai 15 orang didatangkan khas dari Arab Saudi manakala 17 orang lagi terdiri daripada guru-guru bahasa Arab dari negara sama yang sedang mengajar di sekolah menengah di Terengganu.

"Semasa bulan Ramadan tahun lepas kita hanya menjemput 12 orang saja imam dari Arab Saudi, tetapi tahun ini kita tambahkan lagi. Mereka ini akan menjadi imam di masjid-masjid negeri dan masjid daerah secara bergilir-gilir," katanya.

Sementara itu Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) Md Kamaru Al-Amin Ismail ketika ditemui pada majlis itu berkata terdapat seramai 3,105 guru Kafa di bawah penyeliaan YIT.

Katanya dari jumlah itu seramai 1,600 guru Kafa telah diberi kursus pemantapan melibatkan lapan siri di setiap Parlimen selama dua bulan pada April dan Mei lepas.

"Guru-guru berkenaan kita beri kursus kerana kita dapati penyampaian pengajaran mereka kepada murid tidak sampai 45 peratus berbanding guru kementerian iaitu antara 70 peratus dan 80 peratus," katanya.

Katanya, kursus seumpama itu akan diadakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan lagi pengajaran dan pembelajaran kepada murid di sekolah rendah dan menengah di negeri itu.