Isteri wakil rakyat dan bakal wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab sepenuhnya untuk memberi keselesaan dan menyokong suami masing-masing supaya dapat memainkan peranan dalam memenangi pilihan raya.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak meminta isteri wakil rakyat supaya memberikan sokongan padu dan tidak memberi masalah kepada suami supaya suami mampu mengekalkan BN atau mendapatkan semula negeri yang berada di tangan pembangkang.
“Jaga makan minum dan pakaiannya termasuk seluarnya, maka saya percaya wakil rakyat BN dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan lagi.
“Malah, kalau suami balik lambat percayalah bahawa mereka sedang buat kerja sebagai wakil rakyat Barisan Nasional maka itulah untuk sumbangan kejayaaan Barisan Nasional. Kalau suami menang, BN menang, isteri pun menang juga,” katanya ketika berucap pada majlis 'Malam Sentuhan Songket' sempena penutup Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.
Turut hadir, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan
Timbalan Menteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, merangkap Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri merangkap Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bersama isteri masing-masing.
Dato’ Seri Mohd Najib berkata, isteri juga tidak boleh terlalu asyik merungut menyebabkan suami tertekan dan darah tinggi naik kerana ia akan mengakibatkan wakil rakyat sukar menjalankan tugas dengan baik sekaligus menjejaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seseorang wakil rakyat.
Selain itu, isteri wakil rakyat juga memainkan peranan dalam membantu suami melayan penduduk setempat dengan baik dan berhemah apabila mereka berkunjung ke rumah masing-masing.
Menurutnya, isteri wakil rakyat juga boleh berfungsi sebagai penyalur maklumat mengenai isu berkaitan rakyat termasuk rungutan penduduk setempat kepada suami masing-masing, maka `networking’ isteri dengan orang ramai itu boleh membantu suami merasai denyutan nadi rakyat.
Beliau turut memuji semangat yang ditonjolkan di kalangan peserta PTIWRBNM yang gigih ketika menentang lawan di gelanggang badminton pada kali ini.
“Kalaulah suami memerlukan sokongan daripada isteri, pastinya isteri juga mahu satu perkara yang amat dihargai oleh mereka. Maka malam inilah, saya bagi pihak semua suami hendak melahirkan aprisiasi yang tinggi terhadap isteri kami,” katanya.