Halaman

16 July 2011

MSNT isi kekosongan bola sepak Sukma

Oleh: Suriati Ali

Majlis sukan Negeri Terengganu (MSNT) memanggil beberapa pemain dari Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Piala Presiden T-Team menjalani sesi pemilihan bagi mengisi kekosongan skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu.

Langkah awal untuk membentuk pasukan baru itu diambil setelah kesemua barisan pemain yang sedaia ada telah melebihi had umur yang ditetapkan untuk mengambil bahagian dalam Sukma di Pahang 2012.



Menurut Pengarah MSNT, Encik Zainal Abidin Hussin, sesi uji bakat itu sebenarnya terbuka kepada semua pemain yang berbakat serta memiliki minat yang mendalam dalam sukan bola sepak, namun beberapa senarai pemain yang pernah beraksi dalam kedua-dua pasukan itu diambil untuk melihat kemampuan sebenar mereka.

“Bagaimanapun, uji bakat ini sebenarnya terbuka kepada semua yang berumur di bawah 21 tahun dan ada beberapa pemain yang dipanggil adalah terdiri daripada pemain dari daerah-daerah yang menunjukkan potensi tinggi dalam perlawanan persahabatan bersempena Jelajah Piala FA Ke Daerah-Daerah yang bermula 11 Julai lepas.

“Justeru, saya berharap agar mana-mana yang berminat serta memiliki bakat dalam sukan bola sepak tidak melepaskan peluang terbaik untuk mengisi 25 kekosongan skuad bola sepak Sukma Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan, Gong Badak, Kuala Terengganu petang tadi (16 Julai).