Halaman

11 July 2011

Destinasi menarik jadi ikon pelancongan

Oleh: Suriati Ali

Sepuluh destinasi menarik dan terbaik di negeri ini digelar sebagai ikon pelancongan sebagai usaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan tempatan dan luar negara.

Ikon pelancongan itu termasuk Taman Taman Islam; Taman Reakresi dan Mini Zoo; Muzium Negeri; Pulau Redang; Bazar Warisan; Pulau Warisan; Tasik Kenyir; Pantai Batu Buruk; Pasar Besar Kedai Payang dan Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, destinasi itu wajar digelar sebagai ikon kerana menjadi faktor penyumbang peningkatan jumlah pelancongan pada setiap tahun.

“Peningkatan jumlah pelancong bukan saja mampu memberangsangkan ekonomi negeri dan menarik minat pelabur malah meningkatkan taraf hidup penduduk terutama yang membabitkan diri dalam perniagaan.

“Apa yang membanggakan apabila tiba musim cuti sekolah atau umum, peniaga keropok lekor, pengusaha kain batik dan songket bagaikan tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya kepada Teganukita

Menurutnya, dia menyarankan kepada semua peniaga terutama pengusaha makanan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kedatangan pelancong dengan mengenakan harga yang tidak munasabah.

“Sikap ingin untung sekejap ini, bukan saja merugikan diri sendiri malah membabitkan imej Terengganu. Apabila pelancong mengeluh mengenai harga makanan mahal, mereka bukan saja tidak mengunjungi restoran itu lagi malah akan menjaja topik kepada rakan atau saudara lain.

“Pelancong juag akan naik bosan untuk mengunjungi Terengganu, sekaligus membantutkan usaha kerajaan negeri yang tidak jemu-jemu menghebahkan tentang keindahan negeri ini ,” katanya.

Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program tahunan peringkat antarabangsa di pelbagai lokasi menarik di negeri ini sebagai langkah menambat hati pelawat terutama pelancong luar negara.