Halaman

11 July 2011

IQ komited didik pelajar

Oleh: Suriati Ali



Warga Institut Al-Quran Terengganu (IQ) komited melaksanakan tanggungjawab mendidik, merangka program-program baru dan mempertingkatkan kemahiran pengajaran semata-mata ingin merangsang pelajar meneroka ilmu yang berteraskan ajaran al-Quran.

Pengarah IQ, Dr Ahmad Bazli Shafie, berkata pihaknya berharap dengan berkat kesabaran dan usaha gigih yang ditonjolkan pentadbir dan pendidik membolehkan IQ melonjak nama sebagai institut pengajian al-Quran terkenal di peringkat antarabangsa.

“IQ bersyukur kerana mendapat perhatian istimewa daripada kerajaan negeri sehingga mampu melahirkan lebih ramai qari serta qariah dan genarasi berjiwa al-Quran,” katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen, di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai, semalam (10 Julai).



Seramai 258 pelajar IQ iaitu 228 pelajar program Pengajian Kulliyah al-Furqan, 18 pelajar program Persijilan Tahfiz dan 12 pelajar program Diploma Tahfiz menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena majlis itu, termasuk pameran, seminar al-Quran dan rancangan al-Kuliiyyah TV3 bertujuan melahirkan masyarakat berketrampilan, budaya seiring dan berintegrasi dalam memenuhi tuntutan tugas harian.

Seorang pelajar Puan Norzimah Ibrahim berkata, dia terharu kerana berjaya memperoleh sijil Pengajian Umum al-Quran selepas setahun menuntut ilmu di IQ.



“Pelbagai ilmu agama dipelajari terutama berkaitan memperbetulkan taranum dan bacaan al-Quran.

“Saya akan guna ilmu yang diperoleh ini untuk mendidik dan membimbing anak-anak supaya menjadi insan soleh dan solehah,” katanya yang kini sedang menyambung pangajian di institut sama bagi memperoleh diploma tahfiz al-quran.